Abstrak
Artikel ini membincangkan tentang isu-isu disiplin yang berlaku dalam bilik darjah. Isu
disiplin dalam bilik darjah telah lama berlaku dalam sistem pendidikan di negara kita.
Namun, isu ini kian parah pada masa kini. Disiplin dalam bilik darjah akan mempengaruhi
pembelajaran, persekitaran, hubungan murid dan guru serta hubungan guru dan ibu bapa.
Isu disiplin dalam bilik darjah akan mengakibatkan pelbagai dampak kepada sekolah, ibu
bapa, guru dan murid itu sendiri. Artikel ini akan membincangkan tentang punca berlakunya
masalah ini, kesan terhadap murid, guru dan proses pengajaran dan pembelajaran
Pengenalan
Disiplin berasal daripada perkataan Latin iaitu disciplina yang bermaksud mengajar.
Disiplin mengikut Kamus Dewan Bahasa Pustaka adalah kawalan yang diperoleh daripada
penguatkuasaan peraturan. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) mendefiniskan disiplin
sebagai kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang
sama ada disiplin dikenakan dari luar atau kesanggupan sendiri. Masalah disiplin dalam bilik
darjah menurut Kindsvatter (dalam Levin & Nolan, 2004) adalah tingkah laku bermasalah
atau salah laku. Chong Lean Keow (2009) mentakrifkan masalah disiplin dalam bilik darjah
mempunyai ciri-ciri yang seperti menggangu pengajaran guru, menimbulkan rasa kurang
selamat murid dari segi psikologi dan fizikal dan merosakkan harta.
Menurut Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2016), disiplin tidak boleh
ditafsirkan sebagai hukuman. Hukuman adalah bertujuan untuk mengajar murid tentang
perkara yang tidak harus mereka lakukan. Hukuman bersifat negatif manakala disiplin
bersifat membina. Disiplin mengajar manusia untuk hidup bertamadun, beradab sopan,
menurut peraturan dan undang-undang serta melibatkan peneguhan positif, pujian serta
ajaran tentang perlakuan yang harus diterima dan cara mengawal tingkah laku.
Masalah disiplin dalam bilik darjah sekolah rendah kebanyakannya adalah masalah
disiplin distruptif. Namun dalam sesetengah kes, terdapat juga masalah disiplin destruktif
contohnya, terdapat murid Tahun 5 atau Tahun 6 yang membawa bahan lucah ke dalam
kelas. Contoh bahan lucah adalah seperti video lucah,dan gambar lucah. Tetapi
kebanyakan masalah disiplin yang berlaku adalah kategori distruptif. Menurut Wong Kiet
Wah (2016), murid-murid pada usia 7-12 tahun adalah kategori kanak-kanak. Kanak-kanak
pada usia itu adalah kanak-kanak yang aktif dan tidak suka duduk diam. Kanak-kanak yang
mempunyai masalah distruptif akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Kes
sebegini berlaku di setiap kelas di sekolah-sekolah rendah di Malaysia.
Terdapat beberapa senarai tingkah laku yang sering dilakukan oleh murid dalam bilik
darjah sekolah rendah. Antaranya adalah, kurang memberikan perhatian, hiperaktif,
pendiam, sensitif, apati, gemar melengah-lengahkan kerja ,gemar bercakap semasa guru
mengajar, mengganggu rakan sekelas, berbohong atau menipu, menimbulkan kekecohan
didalam kelas, serta merosakkan harta benda di dalam kelas. Menurut Haliza Hamzah dan
Joy Nesamalar Samuel (2016), tingkah laku tersebut kadangkala ditunjukan oleh murid. Hal
ini adalah kerana setiap murid berbeza dari segi perkembangan, temperamen dan tingkah
laku. Seseorang murid itu menganggap tingkah laku yang ditunjukkan adalah normal namun
bagi murid lain, tingkah laku itu tidak normal.
Oleh itu, penting bagi guru untuk mencari punca berlakunya masalah disiplin yang
ditunjukkan oleh para pelajar di dalam kelasnya dan mencari jalan penyelesaian terhadap
masalh tersebut.
Sikap guru juga antara punca berlakunya masalah disiplin dalam bilik darjah. Guru
yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati murid akan mempengaruhi tingkah
laku murid. Contohnya, guru yang gemar mengeluarkan kata-kata kesat pada murid akan
menyebabkan emosi murid terganggu. Lantas murid akan bertindak melawan guru dan tidak
menghormati guru. Implikasinya, guru akan hilang pertimbangan dan timbul isu guru
menumbuk, menamar dan merotan murid sehingga menimbulkan kecederaan Selain itu,
guru yang tidak memberi motivasi akan menyebabkan murid kurang berminat untuk belajar.
Guru boleh memberi motivasi ekstrinsik pada pelajar secara berterusan agar murid berasa
dihargai. Menurut Noriati A. Rashid et.al (2016), motivasi ekstrinsik adalah motivasi luaran
seperti ganjaran dan dendaan. Melalui motivasi ini, minat murid akan bertambah kerana
murid beranggapan bahawa guru memberi perhatian kepadanya.
Sekolah merupakan tempat tinggal kedua bagi murid selepas rumah. Menurut Wong
Kiet Wah et.al (2016), kanak-kanak berusai 7-12 tahun menghabiskan kebanyakan masa
mereka di sekolah. Justeru sekolah turut memainkan peranan dalam meningkatkan disiplin
murid dalam bilik darjah. Namun, terdapat sekolah yang menumpukan seratus peratus
kepada aspek akademik dan peraturan yang tegang akan menyebabkan suasana tidak
selesa dan kurang menyeronokkan. Kesannya, murid akan berasa tertekan dan
menyebabkan emosi murid terganggu. Kelas-kelas tambahan yang padat juga akan
menyebabkan murid mudah letih dan menyebabkan mereka tertidur di dalam kelas.
Contohnya, kelas tambahan yang melebihi daripada dua jam pada waktu malam akan
menyebabkan murid berasa penat dan mereka kurang masa untuk tidur. Hal ini akan
menyebabkan murid berasa mudah marah apabila penat lantas menyebabkan mereka
menimbulkan kekacauan didalam kelas. Sekolah yang mempunyai prasarana yang kurang
cukup turut mempengaruhi disiplin murid dalam bilik darjah. Prasarana yang kurang di
sekolah akan menyebabkan pelajar berasa kurang selesa. Contohnya, peralatan untuk
bermain kurang seperti bola. Maka semasa kelas Pendidikan Jasmani, murid yang tidak
bermain bola akan membuat perkara lain contohnya mengganggu rakan, dan membuli
rakan. Perkara ini akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terganggu.
Latar belakang murid juga punca berlakunya masalah disiplin di dalam kelas. Pada
masa kini, ibu bapa yang sibuk kurang memberikan perhatian kepada anak-anak. Oleh itu,
murid akan melakukan masalah disiplin distruptif untuk menarik perhatian guru. Selain itu,
konflik didalam keluarga juga merupakan punca masalah ini berlaku. Penceraian atau
pergaduhan ibu bapa akan menyebabkan emosi murid dan tingkah laku murid terganggu.
Murid akan berasa mudah marah lantas menyebabkan mereka gagal mengawal tingkah laku
dan menyebabkan berlakunya buli di dalam bilik darjah. Murid juga akan melakukan perkara
yang tidak elok seperti membuat bising didalam kelas kerana ingin menarik perhatian guru
namun hal ini menimbulkan gangguan pada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu,
tingkah laku murid yang baik haruslah dipupuk semasa di rumah dan ibu bapa haruslah
mengelakkan sebarang konflik yang akan mempengaruhi emosi murid.
Kesimpulan
Kesimpulannya, masalah disiplin dalam bilik darjah boleh dielakkan sekiranya guru,
pihak sekolah dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing. Kerjasama diantara guru
dan ibu bapa penting agar dapat mengelakkan salah faham yang kemudiannya
menyebabkan berlaku kes ibu bapa serang guru. Pihak sekolah juga seharusnya tidak
terlalu mementingkan pencapaian murid namun turut melibatkan disiplin murid terutamanya
semasa murid di dalam kelas. Justeru, jika perkara ini dilakukan, maka masalah disiplin
dalam bilik darjah dapat dikurangkan serta dapat mengelakkan berlakunya isu-isu yang tidak
diingini.
Rujukan
Belvel, P.S & Jordan, M. (2003). Rethinking Classroom Management. California: Corwin
Press.
Charles, C.M. (2008) .Building Classroom Management. Boston: Allyn & Bacon
Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah
Laku (Edisi Kedua). Selangor: Oxford Fajar. Sdn.Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2016).
Murid dan Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar.
Saadah binti Sumrah, Salwan binti Sulaiman, Roslee bin Ahmad (2008). Seminar
Kaunseling Keluarga 2008. Jurnal Kaedah Menangani Kanak-Kanak Bermasalah
Tingkah Laku.
Sahabuddin Hashim. (2006). Pedagogi: Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan.
Kuala Lumpur: PTS Publication.
Wong Kiet Wah, Mohammad Isa Azis, Rafidah Ruhani. (2016). Perkembangan
Kanak-Kanak( Edisi Kedua). Selangor:Oxford Fajar.