Anda di halaman 1dari 10

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif

lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.

Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada arnab-arnab itu
sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan putih
berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu memuji
kecantikan gigi arnab ini.

Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin sombong. Ia
mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan lain
mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh sebab tiada sesiapa lagi yang suka berbual dengannya,
arnab itu selalu berjalan bersendirian.

Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak seekor buaya sedang
berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu.

Hai Arnab, cantik sungguh gigi! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah pasti aku boleh
menjadi raja di laut. Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh gembira kerana
sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.

Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu? Tanya buaya itu lagi. Arnab berasa
bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, Engkau mesti banyak makan
sayur-sayuran dan jangan makan daging.

Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. Bolehkah engkau tolong periksa gigiku.
Gigiku sudah banyak yang rosak, kata buaya lagi. Tanpa berfikir panjang, arnab pun
menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu. Tanpa berlengah-lengah lagi,
buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka tamatlah riwayat arnab yang
mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya
cerita saya pada pagi ini. Pengajaran cerita ini adalah kita tidak sepatutnya bersikap sombong
dan perlulah sentiasa berfikir sebelum bertindak. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.

Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni rimba bahawa
mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada baginda. Binatang-binatang dalam
hutan itu pun mengadap Maharaja Singa. Masing-masing membawa permintaan. Tiap-tiap
permintaan itu dikabulkan oleh baginda.

Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa tamak di hati
harimau. Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada sekarang. Aku tidak mahu
makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari. Kalau aku dapat makan
tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.

Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja Singa.

Hah! Engkau datang juga, Harimau? tegur Singa. Apakah kehendak engkau? Harimau
terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya berdebar-debar.

Patik Patik mahu makan tujuh tujuh kata Harimau tergagap-gagap.

Tujuh apa? sergah Maharaja Singa lebih keras.

Tujuh hari sekali! jelas Harimau terketar-ketar.

Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan permintaan engkau.
Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh hari sekali, kata Singa.

Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak mengatakan tujuh kali
sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. TuankuPatikPatik

Sudah! potong Maharaja Singa. Tiap-tiap binatang hanya boleh mengemukakan satu
permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta kabulkan.

Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah sebabnya perut
Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya
cerita saya pada kali ini. Pengajaran cerita ini adalah kita tidak harus bersikap tamak tetapi
haruslah sentiasa bersyukur dengan apa yang sedia ada. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Janji Miko.

Boby, kawan Miko datang ke rumah Miko.

Miko, datanglah ke majlis hari jadi saya di rumah saya malam ini, kata Bobby.

Wah, bagus! Miko akan datang, kata Miko. Miko beritahu ibunya dan ibunya berjanji
akan menghantarnya ke rumah Boby pada pukul lapan malam.

Jam sudah hampir lapan malam, tetapi Miko masih menonton televisyen. Ibu
mengingatkan Miko tentang perjanjiannya dengan Boby. Namun, Miko tidak hiraukan kata-kata
ibu dan terus menonton televisyen.

Pada keesokan hari, Boby menunggu Miko di luar bilik darjah.

Miko, kenapa kamu tidak datang malam tadi? tanya Boby.

Oh...Miko tonton rancangan kartun. Miko rasa malas hendak pergi, kata Miko. Boby
berasa marah tetapi Miko tidak pedulikannya.

Pada waktu rehat, Jaja dan Suzi datang menjemput Miko untuk bermain pondok-pondok
bersama-sama pada waktu petang. Miko setuju dan mengajak mereka datang ke rumahnya
petang nanti.

Hari sudah petang, Miko lihat ayah sedang bersiap-siap untuk pergi ke pekan. Miko
ingin makan aiskrim, maka dia pun tanya ayahnya sama ada dia boleh ikut sama. Walaupun dia
ingat janjinya dengan Jaja dan Suzi, dia tidak pedulikan. Dia terus ikut ayahnya pergi ke
pekan.

Apabila Jaja dan Suzi sampai di rumah Miko, barulah mereka mengetahui bahawa Miko
sudah pergi ke pekan. Mereka berasa marah dan membuat keputusan untuk tidak bermain
dengan Miko lagi.

Pada hari ketiga, Jojo pula mengajak Miko untuk bermain bola bersama-sama di taman.
Jojo bersetuju dengan gembira. Dia mengayuh basikalnya ke taman pada pukul lima petang.
Namun, apabila dia sampai di taman, dia tidak nampak Jojo dan kawan-kawannya yang lain. Dia
pun duduk dan menunggu mereka sehingga hampir senja. Miko balik dengan kecewa.

Di tengah jalan, dia ternampak Jojo dan kawan-kawannya. Rupa-rupanya mereka


bermain di tempat lain. Miko berasa sedih dan geram. Dia menceritakan apa yang berlaku
kepada ibunya.

Itulah Miko, Miko selalu mungkir janji, sekarang Miko sendiri yang kena pula, kata ibu.
Selepas perkara ini, Miko berjanji tidak akan berbuat begitu lagi. Demikianlah kawan-kawan
berakhirnya cerita saya pada kali ini. Pengajaran cerita ini adalah kita haruslah sentiasa
menunaikan janji kita. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Pemotong Kayu Yang Jujur.

Pada masa dahulu, ada seorang pemotong kayu yang miskin. Pada suatu hari, semasa dia
memotong kayu di tebing sungai, tiba-tiba kapaknya terjatuh ke dalam sungai. Dia mulai
berasa bimbang kerana dia tidak tahu berenang.

Tiba-tiba, satu lembaga muncul di permukaan air sungai itu.

Nama saya Puteri. Saya penunggu sungai ini. Kenapa tuan hamba bersedih? tanya
lembaga itu.

Kapak hamba hilang, kata pemotong kayu.

Saya akan tolong tuan hamba, kata Puteri. Dia terus menyelam ke dalam air, kemudian
timbul semula. Di tangannya ada sebilah kapak emas.

Inikah kapak kamu? tanyanya.

Oh, tidak! jawab pemotong kayu itu.

Itu bukan kapak kepunyaan hamba.

Puteri menyelam ke dalam air sekali lagi. Kali ini dia timbul dengan sebilah kapak perak
di tangan.

Ini kapak kamu yang hilang? dia bertanya.

Oh, tidak, tidak! balas pemotong kayu. Hamba pemotong kayu yang miskin. Hamba
tidak mampu untuk membeli kapak yang mahal seperti itu. Kapak hamba diperbuat daripada
kayu, matanya adalah besi.

Puteri hanya tersenyum. Dia menyelam lagi ke dalam air. Kemudia dia muncul dengan
sebilah kapak besi.

Ini pasti kapak kamu, katanya. Pemotong kayu itu segera mengambil kapaknya sambil
mengucapkan terima kasih kepada Puteri. Sebagai balasan kepada kejujuran pemotong kayu,
Puteri telah menghadiahkan kapak emas dan kapak perak kepada pemotong kayu itu.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Pengajaran cerita ini
adalah kita haruslah sentiasa bersikap jujur. Sekian, terima kasih.
Selamat pagi, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim, guru-guru, dan rakan-rakan. Tajuk
cerita saya pada pagi ini ialah Semut Dengan Merpati.

Pada suatu hari yang terik, seekor semut mencari air untuk diminum. Setelah berjalan
ke sana ke mari, maka terjumpalah sebuah kolam.

Semut memanjat atas rumput untuk mencapai air di kolam itu. Ketika memanjat rumput,
dia tergelincir lalu terjatuh ke dalam kolam.

Seekor merpati sedang berehat di atas sepohon pokok di tepi kolam. Merpati memetik
sehelai daun lalu menggugurkannya dekat semut yang sedang terkapai-kapai itu. Semur
berenang ke arah daun dan memanjat atas daun itu. Akhirnya daun itu terhanyut ke tebing
kolam. Semut naik ke tebing kolam lalu berjalan ke pangkal pokok.

Ketika itu, seorang pemburu burung hendak melemparkan jeratnya ke arah merpati.
Menyedari akan tujuan pemburu itu, semut pun menggigit kaki pemburu itu. Pemburu berasa
sakit lalu terlepas jeratnya. Merpati terbang dari situ dan menyelamatkan diri.

Kawan-kawan, pengajaran cerita ini ialah budi yang baik akan dibalas baik. Sekian,
terima kasih.
Selamat pagi, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim, guru-guru, dan rakan-rakan. Tajuk
cerita saya pada pagi ini ialah Si Tanggang.

Di dalam sebuah kampung, tinggal Si Tanggang dan Mak Jumah. Mereka hidup dalam
kemiskinan.

Pada suatu hari, sebuah kapal berlabuh di kampung tersebut. Si Tanggang berkata, Ibu,
saya ingin bekerja di kapal itu.

Baiklah, nak! Kata Mak Jumah.

Setelah beberapa tahun belayar, dia telah pulang ke kampung dengan perasaan bongkak.
Dia tidak mahu berjumpa dengan ibunya.

Aduhai, malangnya nasibku! Derhaka betul anak ini, kata Mak Jumah.

Saya sumpah Tanggang menjadi batu, kata Mak Jumah.

Akhirnya, Si Tanggang menjadi batu.

Kawan-kawan, pengajaran cerita ini ialah kita harus mengenang budi ibu kita. Sekian,
terima kasih.
Selamat pagi, Tuan Pengerus Majlis, para hakim, guru-guru, dan rakan-rakan. Tajuk
cerita saya pada pagi ini ialah Penggembala Kambing Yang Tidak Jujur.

Pada setiap hari, Ali menggembala kambing. Pada suatu hari, Ali berasa bosan. Dia
mendapat satu akal.

Dia ingin menipu penduduk kampung.

Tolong! Tolong! Tolong! Kambing saya dimakan serigala, kata Ali.

Penduduk kampung datang beramai-ramai untuk membantu Ali apabila terdengar jeritan
Ali.

Ha, Ha, Ha, kamu semua tertipu, kata Ali. Semua penduduk kampung berasa sangat
marah lalu beredar.

Pada keesokan hari, kambing Ali benar-benar dimakan oleh serigala.

Tolong! Tolong! Tolong! Kambing saya dimakan serigala, kata Ali. Tidak ada sesiapa
yang datang. Semua kambing Ali telah dimakan serigala. Ali insaf atas perbuatannya.

Kawan-kawan, pengajaran cerita ini ialah kita harus jujur supaya mendapat kepercayaan
daripada orang lain. Sekian, terima kasih.
Selamat pagi, Tuan Pengerus Majlis, para hakim, guru-guru, dan rakan-rakan. Tajuk
cerita saya pada pagi ini ialah Dua Sahabat Dengan Beruang.

Pada suatu hari, dua orang sahabat, iaitu Haris dan Adam pergi mengembara di dalam
hutan. Sebelum pergi mengembara, mereka berjanji jika mereka menempuhi bahaya, mereka
akan menghadapinya bersama.

Haris dan Adam sampai di dalam hutan. Tiba-tiba seekor beruang keluar dari semak dan
berjalan ke arah mereka. Haris memanjat pokok yang paling dekat dengannya. Adam tidak
sempat memanjat pokok. Dia merebahkan diri lalu berpura-pura mati.

Beruang berjalan ke arah Adam. Ia menghidu semua bahagian badan Adam. Adam terus
menahan nafas dan tidak bergerak. Sebentar kemudian, beruang itu pergi dari situ.
Sebenarnya, beruang tidak makan mayat.

Haris turun dari pokok lalu bertanya, Mengapa beruang menghidu telinga kamu?
Adakah ia berkata sesuatu kepada kamu?

Ya. Jawab Adam, Beruang memberitahu aku jangan bersahabat dengan orang yang
meninggalkan sahabatnya dalam bahaya!

Kawan-kawan, pengajaran cerita ini ialah jangan bersahabat dengan orang yang
meninggalkan kita ketika menempuhi bahaya. Sekian, terima kasih.
Selamat pagi, Tuan Pengerus Majlis, para hakim, guru-guru, dan rakan-rakan. Tajuk
cerita saya pada pagi ini ialah Gagak Dan Musang.

Musang berehat di bawah sebatang pokok. Seekor burung gagak hinggap di dahan pokok
itu sambil menggigit seketul daging.

Musang berasa lapar. Setelah berfikir, musang pun mendapat satu akal.

Cantik sungguh bulu kamu burung gagak, kata Musang. Burung gagak diam kerana
masih menggigit daging.

Tentu suara kamu merdu, menyanyilah gagak, kata Musang lagi. Burung gagak berasa
gembira lalu membuka mulutnya untuk menyanyi. Daging tersebut telah terjatuh. Musang
terus membawa lari daging itu.

Pengajaran cerita ini ialah kita jangan mempercayai kata-kata manis orang lain.

Anda mungkin juga menyukai