Anda di halaman 1dari 14

KARANGAN RAMALAN SPM 2017

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu
bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau
memandang ke hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Bagaimanapun
kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan
kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah tetangga atau mereka yang tinggal di sekitar kita. Semangat
kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan
bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran,
sebaliknya kita perlu bertolak ansur dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa
mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa muafakat
membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan
semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian. Walau
bagaimanapun, pada era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan dalam
kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu
bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di
negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak hilang
daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang
dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-
anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk
setempat dapat berkumpul untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila
berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara satu sama lain
dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan
dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal
makan tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-royong adalah seperti
membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang
dijalankan secara gotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar
aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat
menjalinkan hubungan mesra sesama jiran tambahan pula mereka juga sedar akan peranan masing-
masing dalam sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang
sama untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti
gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik kepada anak-anak
sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah
mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mencapai keberkatan dalam
hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kejiranan
dan prihatin terhadap jiran mereka. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah
bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu akan hal rumah tangga
mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu
mereka supaya dapat meringankan beban yang dihadapi oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian
kerana dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah
itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Sebagai analoginya, ketika
ketua keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk
menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal jauh dari tempat
tinggal mereka, mendapatkan bantuan kecemasan ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan
menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang
berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka bersempena
dengan sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim
dan menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama.
Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan
lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dan
bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat
akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai
contohnya, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina,
Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan Kehadiran ibu bapa bersama-
sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak
mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat kekitaan
dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka
mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka
dan membentuk masyarakat yang harmoni

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat
sebagai langkah untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak.
Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran
tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan
keadaan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal ini
akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam keadaan yang serba
kekurangan. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika
kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu
penyakit . Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang
sejauh-jauh sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu
memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha
kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban
yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa,
aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama
seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi
dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan aktiviti seperti hari keluarga untuk
merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kemasyarakatan ini kerap
diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-
anak bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu,
ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu
dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem yang teratur. Persatuan atau pertubuhan
ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga, Jawatankuasa
Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui pertubuhan
seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman
secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada
berlaku seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau
saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting
untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk
memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap
individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan membentuk perpaduan
kaum. Walau apa-apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai
jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan ketika kita dalam
keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan
ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan diri kita
sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga
akan berbaik-baik dengan kita. Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam
kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji
ini. Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh
itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh. Jadi, dalam
setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa
diamalkan supaya negara kita sentiasa aman, harmoni, dan sentosa

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan penting
dalam membangunkan dan memajukan negara ini. Ulaskan penyataan di atas.

Karangan Contoh:

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal
tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti generasi muda di
negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara
kita. Menurut kata mutiara sarjana, Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah
generasi mudanya pada hari ini. Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap, Jika
diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup
tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia. Bait-bait
susunan retorik yang penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan
golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia yang
berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan
peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai
kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang
maslahat untuk melahirkan yang pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan
negar yang cerah terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor
perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu
proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan,
terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari
lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat
untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung.
Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia
hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa
binasa. Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu
bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja
dan golongan yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin


pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan
mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan
fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan
kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa
mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan generasi
muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya patut mengamalkan
pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan
tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis
dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja
mahupun golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa
kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan
rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan
baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda harus
disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan
semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam
kebejatan sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan diri
daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah, berzina dan mencuri. Selain
menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan muda juga harus dibimbing supaya
melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi
rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu
mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat
membantu pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada ancamana masalah
sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah,
berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara
luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang
gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan
mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu
akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan belia kita
harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur.
Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka
melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak
berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam
pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya
menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika
negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan negara dengan
memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat sedemikian, kita lazimnya
dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi
kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah
yang akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi
mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap
toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu
padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya
perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini,
keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan lancar
dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda yang belum
keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu
membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai tanggungjawab
dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara kerana pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan tunjang yang bakal menerajui
kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia
yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan
dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata
dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu terjaga
daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat
menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita
dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan
terkenal di seantero dunia.

Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam kehidupan seharian.
Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada
masyarakat dan negara.

Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman
falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah
pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui
oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai
input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya
menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan
manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan
maklumat yang paling canggih. Di Malaysia, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda
baharu yang begitu diberikan perhatian. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius
untuk menerapkan budaya ICT kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen dijalankan untuk
menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan
yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu,
ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan
negara ini.

Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah
masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan
dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti
perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan
memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat
boleh mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus untuk
mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh
mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini,
masyarakat Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang pantas
bergerak bagai belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah tempurung tidak akan dilabel pada
setiap rakyat Malaysia. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat
Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.

Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi dapat
mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam
negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan
dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan
dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan
agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui
mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh
lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang
kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Jelaslah bahawa
kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain walaupun berada di
benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin
akrab bagai isi dengan kuku.

Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi maklumat dan
telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Kewujudan ICT dapat
membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat
dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari
seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan
belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di
sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih
luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal
ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru
berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada
pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun
pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam
cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia. Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi
tarikan dalam memajukan sistem pendidikan di negara kita.

Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam
menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara
Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup (CCTV) banyak
digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan
terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar
isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini
berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat
yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya
memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama
Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis tersebut pernah
menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat
kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati
namun dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi mayat
kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan negara dapat dipelihara dan
secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara
juga akan menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat dijaga melalui
kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga meningkatkan kualiti dan
produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan bidang ICT secara langsung atau tidak membantu
meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan
kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat
dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi
maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai
ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada
pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia
melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di
kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling
serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan
teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan
negara-negara maju yang lain.

Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada
masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang
ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup manusia masa
depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa ini pun,
kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh
itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk
mempelajari pengetahuan baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah
tempurung. Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan
kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah
sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi
berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang
keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai
bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda
hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan
masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya
Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar
dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah
tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada
hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang
dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi
masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi bilangan pesakit pada
tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara
terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh
pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat
masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar
pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata
pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu
daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci
pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan
seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah
sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh
seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan
secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada
beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian
bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan
kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan
yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak.
Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan
makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan
berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu
diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk
menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu
Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh
mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat
iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi
merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan
mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi,
sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda
atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang
dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya.
Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan
aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk
melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih
dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan
pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta
melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan
merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu,
badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya,
seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan
mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk
mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan
sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa
melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara
untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.
Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam
membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak
lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian
Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan
pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran
Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam
bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai
objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan
penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai
budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat
masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan
bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan
dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke
dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi,
disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan
bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan
mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa
berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna.
Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita
boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah
penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat
Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan
Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan
kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara
terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar
sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka.
Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah
berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat
perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan
rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa
atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap
dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan
secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau
oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana
pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya.
Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit
menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan
serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor
berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya
pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal
paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat."
Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan
tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan
kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang
boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti
rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu,
untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap
kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani,
rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita
pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai
warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit
yang menggunung

Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun sikap ini semakin kurang
diamalkan dalarn kalangan masyarakat. Huraikau punca wujudnya keadaan ini dan cara-cara untuk
menerapkan kesedaran tersebut.

Karangan Contoh:

Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul
dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam.
Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-
sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu
megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era
globalisasi namun, malangnya tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia
begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat
dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain.
Kata-kata, Yang muda disayangi, yang tua dihormati, tidak dapat kita lihat daripada perlakuan
mereka. Buktinya, sampah-sarap dibuang di merata-rata tempat telah mengotorkan dan
menyakitkan mata memandang bukan lagi perkara asing di negara kita. Di manakah silapnya
sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif
yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita
lihat di mana-mana? Oleh itu, kita harus meneliti dan mendalami punca permasalahan ini agar
langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam
kalangan masyarakat kita.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Kurangnya kesedaran
sivik dalam kalangan masyarakat kita berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masyarakat kini menjadikan rumah sebagai neraka
buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian
dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar
seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah
tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara
suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah jawapannya ialah anak-
anak. Menyaksikan ibu bapa seperti anjing dengan kucing, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa
anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini
akan mendorong mereka melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng
tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon
awam. Sikap ini dapat diumpamakan seperti marahkan pijat, kelambu dibakar. Segala perlakuan ini
menjadi bukti betapa rendahnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita. Jadi, tidak
keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam
kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri
sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut yang akan memberi
impak kepada perlakuan mereka yang tidak bermoral.

Selain itu, semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam
kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi
rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara
Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan
pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara, berapa
ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu
tersebut? Tidak keterlaluan dikatakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam
kalangan warga senior kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah,
natijahnya perasaan Negara KitaTanggungjawab Kita juga turut kurang dalam diri setiap individu.
Lantaran itu, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat
yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk
mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, aku, aku dan engkau, engkau
dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan
menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan
kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud
dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-
perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih
rendah.

Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dalam keghairahan mengejar kemajuan dan
fatamorgana hidup terutamanya dalam aspek kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat
yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut
semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap siapa lu siapa gua semakin berleluasa.
Hidup bak enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing sudah menjadi kelaziman
dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang
bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu
menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk
dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan
disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong
itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-
bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat
demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim
serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saling mengenali dan bertegur sapa antara
jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam
kalangan masyarakat kita semakin berkurang.

Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin


jelas, namun kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin
serius. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum yang bengkok terus menjadi patah, langkah-
langkah untuk mengembalikan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera
dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak
pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah
mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap
mata pelajaran, maka dalam kurikulum baharu yang disemak semula, perkara ini ditambah pula
dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam
pengajaran. Selain itu, mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan telah dimasukkan dalam
kurikulum sekolah dan wajib dipelajari oleh semua pelajar. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun
negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di
samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Semangat inilah yang membawa
negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang
tercinta. Tegasnya, dalam usaha menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri masyarakat kita,
maka perubahan dalam sistem pendidikan wajib dilaksanakan.

Cara yang seterusnya untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik
yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke
negara jiran kita iaitu Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan
peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun begitu, dasar sebenar
sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura mendidik rakyatnya. Setiap mereka
yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan
tandas awam pun, Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul. Sesiapa yang didapati
tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga.
Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat
yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada
sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan
pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat
yang berkepala batu dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan
tindakan tegas. Setakat ini, tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang tidak dapat
membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas. Dalam hal ini, tindakan beberapa
pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam
dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan,
melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa
menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan
mereka. Izharlah bahawa hukuman atau tindakan yang tegas dan berat dapat menanam kesedaran
sivik dalam diri masyarakat kita.
Secara tuntasnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan kesedaran sivik rakyat Malaysia
semakin luntur dan beberapa langkah dapat diambil untuk menangani permasalahan tersebut.
Walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah,
namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan generasi muda
kita kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan
agar kemajuan yang kita kecapi selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa
kita. Dalam menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah
atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing
untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang
tinggi kerana negara kita menjadi tanggungjawab kita. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga
negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan
yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita. Janganlah
diabaikan pesanan ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu
hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa
manusia. Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh, marilah kita bersama-
sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik tanpa menunggu hari esok.

Anda mungkin juga menyukai