Anda di halaman 1dari 2

Cabaran memperkasa BM di sekolah

Nawi Ismail

MENURUT Kamus Dewan, memperkasakan bermaksud menjadikan sesuatu hebat.


Frasa memperkasakan bahasa Melayu bermakna menjadikan bahasa Melayu hebat.
Untuk menjadikan bahasa Melayu sedemikian, keyakinan rakyat terhadap
keupayaan bahasa itu memainkan peranan sebagai bahasa rasmi, bahasa
kebangsaan, dan bahasa perpaduan amat penting.

Pada masa sama, usaha untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul perlu
dilakukan agar bahasa kebangsaan tidak menjadi bahasa rojak yang boleh
menjejaskan kewibawaannya.

Di sekolah, guru Bahasa Melayu (BM) berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk
mendidik pelajar agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Apa tidaknya,
ketika guru BM berbuat demikian, terdapat sesetengah guru mata pelajaran bukan
BM tidak mempedulikan langsung tentang aspek kebahasaan.

Bagi mereka, soal binaan ayat, penggunaan imbuhan, dan ejaan yang betul tidak
penting asalkan perkara yang disampaikan itu difahami pelajar.

Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, memang terdapat segelintir pelajar


yang memperoleh keputusan cemerlang dalam BM bagi peperiksaan bertulis, tetapi
pelajar yang berkenaan amat lemah apabila berkomunikasi secara lisan.
Penggunaan dialek yang berterusan, termasuk di sekolah adalah antara faktornya.

Di sekolah, memang terdapat segelintir guru yang cenderung menggunakan dialek


ketika mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dan juga semasa
menyampaikan ucapan dalam perhimpunan pagi di sekolah.

Kecelaruan semakin ketara apabila akhir-akhir ini terpampang pelbagai slogan atau
nama program yang tertulis dalam dialek tertentu dengan pelbagai kesalahan
bahasa dan ejaan. Lebih aneh lagi, perkara ini turut dilakukan oleh unit-unit tertentu
dalam organisasi pendidikan.

Selain menampakkan ketidakfahaman pihak yang berkenaan terhadap konteks


penggunaan bahasa rasmi, tindakan tersebut seolah-olah menggalakkan
penggunaan dialek dalam kalangan pelajar. Mampukah pelajar menggunakan
bahasa Melayu dengan betul sekiranya mereka berada dalam persekitaran
penggunaan dialek yang berterusan?

Penggunaan bahasa rojak, sama ada oleh media cetak atau media elektronik turut
mempengaruhi penguasaan bahasa Melayu pelajar dan masyarakat. Kini,
kebanyakan pelajar gemar sekali meniru individu tertentu yang barangkali berasa
hebat apabila berbicara dengan menggunakan bahasa Melayu yang bercampur
aduk dengan bahasa Inggeris.

Penggunaan bahasa slanga oleh rakan-rakan dan amalan menggunakan bahasa


SMS pula tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi penggunaan bahasa
Melayu pelajar di sekolah, termasuk ketika menjawab soalan peperiksaan. Perkara
ini merupakan satu lagi cabaran kepada guru BM dalam usaha untuk
memperkasakan bahasa Melayu di institusi yang mulia itu.

Masalah kesalahan bahasa, khususnya pada papan tanda kerap diperkatakan oleh
pihak-pihak tertentu, terutama apabila musim Kempen Bahasa tiba. Dari segi
realitinya, masalah ini bukan sahaja tidak diambil peduli oleh pihak-pihak yang
berkenaan, malah kadangkala lebih banyak kesalahan ditonjolkan.

Sebagai contoh, ketika pencinta bahasa kebangsaan mempersoalkan penggunaan


nama tempat, misalnya presint, waterfront, dan yang seumpamanya, pihak lain pula
dengan bangganya memperkenalkan nama kereta kebangsaan Proton Preve,
Perodua Myvi dan cogan kata lagi power lagi best. Jika demikianlah sikap kita,
wajarkah kita berbicara tentang memperkasakan bahasa Melayu?

Tindakan sedemikian menampakkan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai


ekonomi. Demikianlah sikap segelintir rakyat negara kita yang mulai kehilangan jati
diri tanpa disedari.

Situasi ini juga mengingatkan penulis tentang bijaknya penjajah membebaskan


negara kita setelah menyedari bahawa minda rakyat negara ini sudah terjajah
kukuh. Dari aspek yang lain pula, situasi ini secara tidak langsung memperkecil
usaha pihak yang memperjuangkan bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, usaha untuk memperkasa bahasa Melayu perlu diteruskan.


Sehubungan itu, guru BM dan pencinta bahasa kebangsaan hendaklah menangani
cabaran tersebut dengan berbekalkan keyakinan bahawa kita melaksanakan
tindakan yang wajar. Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok warganegara
yang merosakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur