Anda di halaman 1dari 9

PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

1.0 PENGENALAN

Pendidikan Kesihatan (PK) ialah disiplin ilmu yang membolehkan murid mendapat
pengalaman pembelajaran secara berterusan untuk membuat keputusan, meningkatkan literasi
kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Murid dididik supaya sentiasa bersedia
menyesuaikan diri dalam aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani. Pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Kesihatan yang terancang dapat meningkatkan potensi individu ke tahap
kesihatan optimum.

Kanak-kanak merupakan aset negara yang amat penting. Untuk membesar dengan sihat
dan sempurna, keperluan fizikal dan mental kanak-kanak perlu dipenuhi. Tetapi malangnya, pada
saban hari, setiap helaian akhbar pasti ada melaporkan kes-kes kanak-kanak seperti gangguan
seksual, penyakit obesiti di kalangan kanak-kanak, kemalangan jalan raya dan masalah konflik
dengan keluarga. Masalah ini perlu dipandang serius agar keharmonian masyarakat dapat
dipelihara dan institusi kekeluargaan dapat diperkukuhkan.

Melalui Pendidikan Kesihatan, setiap individu dapat mengawal kesihatan diri, keluarga,
masyarakat dan persekitaran menerusi pengetahuan, kemahiran, amalan gaya hidup sihat dan
bersikap positif untuk mencapai kesejahteraan hidup serta jangka hayat panjang yang berkualiti.
Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan
bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.

1
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

2.0 PENDIDIKAN KESIHATAN DI MALAYSIA

Datuk Dr. Abdul Shukor Bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam kata
penghantarnya dalam buku Sukatan Pelajaran Pendidikan Kesihatan, Pusat Perkembangan
Kurikulum, 1999 menjelaskan bahawa Pendidikan Kesihatan membantu murid meningkatkan
pengetahuan kesihatan, memupuk sikap positif terhadap kesihatan, dan mengamalkan gaya hidup
sihat.

Kandungan Pendidikan Kesihatan memberi penekanan terhadap gaya hidup sihat


bersesuaian dengan ciri dan keperluan murid serta disusun mengikut tiga modul utama iaitu
kesihatan fizikal, kesihatan mental, emosi dan sosial, srta kesihatan persekitaran.

Pemahaman dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Kesihatan


kepada murid-murid amat perlu agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat sebagai budaya
masyarakat Malaysia. Murid dididik supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran
perubahan persekitaran dan sosial. Kurikulum Pendidikan Kesihatan yang terancang dan
persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran bagi
meningkatkan potensi individu ke tahap optimum.

3.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN KESIHATAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA


DENGAN MENGHUBUNGKAITKAN STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN KESIHATAN

Terdapat beberapa kepentingan Pendidikan Kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam


membantu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak di sekolah. Pendidikan Kesihatan
penting dalam membentuk perubahan dan juga merupakan keperluan individu bagi proses
perkembangan fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Sebagai contoh, PK dapat memupuk sikap
bertanggungjawab kanak-kanak terhadap kesihatan diri dan mengembangkan ilmu pengetahuan.
Murid diharapkan mempunyai perubahan tingkah laku dan sikap yang positif demi meningkatkan
kualiti kesihatan.

Selain itu, PK penting bagi melahirkan insan yang berpelajaran dan berpengalaman tentang
kesihatan. Di samping itu, Pendidikan Kesihatan dapat membentuk hubungan dan perlakuan mesra
serta melahirkan rasa empati terhadap masalah kesihatan yang di alami. Dalam sukatan pelajaran
Pendidikan Kesihatan KSSR, murid dapat mempelajari komunikasi yang berkesan dalam kehidupan

2
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

seharian dan mengetahui perhubungan dengan ibu bapa atau penjaga, ahli keluarga, rakan sebaya
dan individu lain. Dalam topik Perhubungan, guru boleh menggunakan strategi berpusatkan murid
untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Strategi berpusatkan murid merupakan
strategi pengajaran dan pembelajaran di mana murid memainkan peranan penting dan penglibatan
aktif dalam proses pembelajaran. Strategi berpusatkan murid dapat menggalakkan murid
bertanggungjawab dan melibatkan diri bagi membantu mereka belajar bagaimana untuk belajar.

Di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan penting


manakala guru bertindak sebagai pemimpin atau fasilitator yang membimbing murid dalam aktiviti
pembelajaran mereka. Dalam situasi ini, komunikasi dua hala akan terhasil di antara guru dan
murid. Guru boleh menggunakan kaedah simulasi seperti murid memainkan peranan pelbagai
watak. Contohnya, murid-murid menjalankan simulasi sebuah keluarga yang harmoni. Melalui
aktiviti ini, murid dapat memahami tanggungjawab dan perasaan setiap ahli keluarga di samping
belajar cara menjalin hubungan berkekalan dengan ibu bapa, ahli keluarga, rakan sebaya serta
orang lain.

Pendidikan Kesihatan juga penting untuk memberi peluang kepada kanak-kanak supaya
mereka lebih mengenali diri sendiri dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri dalam kehidupan
seharian. Dalam sukatan pelajaran Pendidikan Kesihatan KSSR iaitu Modul 1: Kesihatan Fizikal
adalah menekankan aspek perkembangan fizikal serta penjagaan kesihatan diri, keluarga dan
masyarakat. Dalam topik Kesihatan Diri dan Reproduktif khususnya mengetahui penjagaan
kebersihan diri, guru boleh menggunakan strategi pembelajaran kontekstual untuk menjalankan
sesi pengajaran dan pembelajaran kerana strategi ini menghubungkaitkan ilmu pengetahuan
dengan pengalaman kehidupan seharian. Melalui strategi ini, murid dapat menggabungkan isi
kandungan pelajaran yang diajar oleh guru dengan pengalaman harian mereka samada melalui
pengetahuan melalui ibu bapa, rakan-rakan atau media massa. Dalam perancangan pengajaran
topik ini, guru boleh mengaitkan pengalaman murid tentang kepentingan menjaga kebersihan diri
terutamanya gigi. Murid-murid mungkin telah diasuh untuk menggosok gigi di rumah dan juga
mengetahui atau berpengalaman mengalami sakit gigi. Melalui cara ini, pemahaman murid lebih
dapat dipertingkatkan dan pembelajaran akan menjadi lebih bermakna.

Selain itu, guru boleh menggunakan kaedah demonstrasi untuk menyampaikan pengajaran
dan pembelajaran. Kaedah demonstrasi merupakan cara pengajaran di mana sesuatu pertunjukan
secara amali dijalankan di hadapan murid. Kaedah demonstrasi bertujuan untuk menerangkan isi
pelajaran kepada murid agar pemahaman mereka dapat dipertingkatkan lagi. Sebagai contoh,
murid belajar cara memberus gigi dengan melihat demonstrasi daripada guru. Murid-murid mungkin
telah mengetahui kepentingan memberus gigi tetapi mereka belum mengetahui cara memberus gigi
dengan betul, maka, murid akan mengetahui cara dan urutan yang betul apabila memberus gigi

3
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

selepas sesi pembelajaran dijalankan. Kaedah demonstrasi amat penting bagi seorang guru
menggunakan kaedah ini agar murid dapat melihat dan memahaminya terlebih dahulu.

Di samping itu, Pendidikan Kesihatan juga memberi pendedahan dan pengetahuan kepada
kanak-kanak untuk membolehkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat. Kurikulum Pendidikan
Kesihatan berharap murid-murid dapat mempamerkan kemahiran mencegah masalah kesihatan
dan penyakit melalui sesi pengajaran dan pembelajaran. Semasa proses pembelajaran dalam kelas,
guru haruslah menggunakan strategi berpusatkan murid untuk merancang aktiviti yang dijalankan.
Strategi berpusatkan murid mementingkan perkembangan murid secara menyeluruh dan seimbang
dari segi intelek, rohani, jasmani dan sosial. Murid akan terlibat secara aktif dan sepenuhnya dalam
aktiviti berfikir, mencari maklumat, membentang, menilai, berkolaborasi, bekerjasama dan membuat
refleksi pembelajaran.

Dalam Modul 1 iaitu Kesihatan Fizikal, guru boleh menggunakan strategi berpusatkan bahan
untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Bahan pelajaran memainkan peranan yang
penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh
menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala murid pula
boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran
dengan secara sendiri atau secara kumpulan. Contohnya dalam topik Penyalahgunaan Bahan, guru
boleh menyediakan kad gambar ubat atau video yang berkaitan dengan kesan penyalahgunaan
bahan terhadap diri dan keluarga. Strategi ini dapat membantu murid memahami konsep yang
abstrak dengan lebih jelas di samping memupuk semangat berdikari dengan menjalankan aktiviti
pembelajaran. Sifat-sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan yang
melibatkan penggunaan bahan pembelajaran. Strategi berpusatkan bahan juga mementingkan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna melalui pengalaman yang sebenar dengan
adanya ilmu pengetahuan yang abstrak dapat dikaitkan dengan situasi yang konkrit.

Strategi, kaedah dan teknik saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya
kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan
menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum. Guru
juga boleh menggunakan kaedah inkuiri penemuan untuk menjalankan sesi pengajaran dan
pembelajaran. Kaedah inkuiri penemuan merupakan kaedah saintifik yang merujuk kepada proses
penyoalan, mencari pengetahuan dan maklumat, atau mengkaji sesuatu situasi itu berlaku. Kaedah
ini memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah. Contohnya, dalam topik Pemakanan (Tahun
4), guru boleh memberi maklumat yang berkaitan dengan pemakanan yang sihat serta selamat
supaya murid dapat memahami kepentingan memilih pelbagai jenis makanan yang sihat
berdasarkan Piramid Makanan Malaysia dalam kehidupan harian.

4
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

Semasa menggunakan kaedah ini, guru boleh menjalankan pengajaran dan pembelajaran
dalam kelas secara individu atau kumpulan-kumpulan kecil. Pelbagai bahan pengajaran boleh
disediakan untuk murid bagi mengarahkan proses pemikiran mereka. Contohnya, dalam topik
Penyalahgunaan Bahan, guru boleh mengagihkan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil
untuk mencari maklumat tentang kesan terhadap fizikal dan mental akibat pengambilan alkohol.
Dengan ini, murid lebih berkemahiran untuk menangani situasi berisiko terhadap diri,keluarga dan
masyarakat. Dalam hal ini, murid bukan sahaja dapat mengembangkan intelek mereka tetapi juga
dapat memperkembangkan sahsiah peribadi dalam menggalakkan kemahiran sosial kumpulan.

Pada masa kini, isu keselamatan membabitkan kanak-kanak kelihatan seperti tidak ada
penghujungnya. Di Malaysia, Pendidikan Kesihatan haruslah dititikberatkan kerana ini adalah
peluang untuk kanak-kanak mendapatkan kefahaman tentang keselamatan diri dan orang lain,
alatan dan tempat aktiviti melalui pembelajaran di sekolah. Guru memainkan peranan yang sangat
penting untuk menyampaikan isi pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menggunakan kaedah
sumbangsaran untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Kaedah sumbangsaran
adalah untuk menggalakkan murid menggunakan imaginasi mereka secara kreatif. Murid
digalakkan memberi sumbangan idea terhadap sesuatu kemahiran yang diajar oleh guru dalam
bentuk jawapan, kesimpulan, fakta serta penerangan.

Contohnya dalam KSSR PK Modul 3: Kesihatan Persekitaran, topik Keselamatan, guru


sebenarnya boleh membantu murid tahun satu melahirkan pendapat mereka melalui kaedah ini
dengan teknik penyoalan. Guru boleh bertanya kepada murid cara untuk memohon bantuan
daripada orang yang boleh membantu ketika mengalami kecederaan (termasuk penderaan) dan
kecemasan. Keselamatan diri bukanlah sesuatu perkara yang asing kepada kanak-kanak. Guru
boleh mencungkil pemikiran kreatif murid melalui kaedah sumbangsaran. Pemikiran yang kreatif
biasanya diarahkan kepada penyelesaian masalah tertentu, mencari cara baru untuk bertindak
dalam sesuatu situasi atau menghasilkan pelbagai interpretasi bagi sesuatu kejadian. Secara tidak
langsung guru juga dapat melihat murid-murid yang berpotensi dan berani menyuarakan pendapat.
Ini penting kerana di peringkat ini, murid-murid tahun satu cukup bersemangat dan berminat
menjawab soalansoalan yang diberi oleh guru.

Teknik bercerita amat sesuai dipilih sebagai teknik pengajaran untuk murid-murid sekolah
rendah kerana berunsur pembelajaran yang menyeronokkan. Dengan itu, guru boleh menggunkan
teknik bercerita semasa pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Bercerita melibatkan
aktiviti-aktiviti yang menceritakan semula perkara atau peristiwa, sama ada imaginasi, tradisi atau
kisah benar. Teknik ini boleh meningkatkan minat dan menarik perhatian murid. Apabila bercerita,
murid dapat mengenali masyarakat sekitar mereka dan kehidupan berdasarkan cerita-cerita yang

5
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

didengar. Guru haruslah menyampaikan cerita yang mempunyai hubungkait dengan lingkungan
kehidupan murid-murid.

Semasa pengajaran topik Keselamatan, guru boleh menceritakan Little Red Riding Hood
kepada murid-murid dan mengaitkan cerita tersebut dengan keselamatan diri. Jika guru berjaya
membina suasana penceritaan yang menyenangkan dan mengasyikkan, murid juga akan lebih
menumpukan perhatian sepenuhnya dan akan memudahkan mereka memahami cerita yang
disampaikan. Mereka akan menjadikan nilai yang diperoleh menerusi sesebuah cerita sebagai
panduan untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Dengan ini, murid dapat memupuk
rasa peka serta prihatin terhadap masyarakat sekeliling seperti langkah-langkah keselamatan untuk
mengelak situasi tidak selamat di rumah, sekolah, taman permainan dan tempat awam pada setiap
masa.

Pendidikan Kesihatan bukan setakat menyampaikan maklumat kesihatan malah merupakan


satu proses berterusan yang membantu dan memudahkan murid-murid mengembangkan ilmu,
mempelajari amalan positif memupuk sikap yang bertanggungjawab terhadap isu-isu kesihatan
yang mempengaruhi kehidupan seharian. Guru boleh menggunakan teknik penyoalan untuk
membiarkan murid berfikir dan memberi tindak balas terhadap soalan. Guru harus mengingati
bahawa murid adalah sentiasa diberi galakan untuk memberi pandangan atau pendapat agar dapat
memperkembangkan kemahiran pemikiran kreatif dan kritis mereka. Melalui kaedah penyoalan,
murid bukan sahaja dapat mengembangkan kemahiran berfikir mereka tetapi juga dapat menguasai
teknik menjawab soalan.

Isu-isu kesihatan yang mempengaruhi kehidupan seharian merangkumi pelbagai aspek.


Contohnya, kanak-kanak menghidap pelbagai penyakit ekoran mengamalkan budaya pemakanan
tidak sihat. Dalam hal ini, kanak-kanak haruslah belajar cara untuk menangani isu-isu seperti ini
melalui Pendidikan Kesihatan di sekolah. Guru boleh menggunakan kaedah perbincangan untuk
menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam topik pemakanan. Guru
membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan memberi isu kesihatan seperti obesiti. Murid
dibenarkan untuk menggunakan pelbagai cara untuk menghasilkan tugasan kumpulan. Setiap
murid digalakkan untuk memberi idea atau pendapat dan seterusnya dibincang bersama dalam
kelas untuk meningkatkan mutu tugasan. Dengan ini, murid menyertai proses pembelajaran secara
terus dan aktif. Bagi murid yang lemah, cara ini dapat mengembangkan potensi dirnya dari segi
intelek dan sosial. Hal ini demikian, murid yang lemah dapat menguasai kemahiran bersosial
dengan rakannya dalam kumpulan serta mendapatkan ilmu pengetahuan apabila mereka saling
memberi pendapat.

6
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

4.0 PENUTUP

Melalui Pendidikan Kesihatan, murid-murid diharapkan dapat menghadapi dan menangani


masalah dan isu berkaitan dengan kesihatan. Segala pengalaman pembelajaran dan kesan
daripada pelajaran kesihatan diharapkan akan mempengaruhi tingkah laku mereka dalam usaha
memperolehi satu taraf kesihatan yang memanfaatkan diri mereka sendiri, keluarga dan
masyarakatnya. Hal ini secara tidak langsung dapat menjadikan gaya hidup sihat sebagai rutin
harian dan berperanan aktif dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan.

Sebagai seorang guru juga perlu melihat dan menilai keberkesanan penggunaan strategi,
kaedah dan teknik yang digunakannya. Ini adalah untuk membantu guru meningkatkan kualiti
kerjanya dan secara tidak langsung menjadikan pengajarannya lebih seronok dan memahamkan
muridnya.

7
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

5.0 RUJUKAN

Ahmad Marzuki, Maziah and Rahman, Saemah and Hassan, Hamidah and Savage, Eileen.
(2015). Pembangunan Program Pendidikan Kesihatan kanak-kanak 3-6 tahun dalam
pencegahan obesiti. PhD thesis, UKM.

Fauziah Mat. (2011). Pedagogi Dalam Pendidikan ; Strategi. Muat turun pada 13 Mac 2017 dari
https://pomizipedagogy.wordpress.com/strategi/

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Dokumen Standard KSSR Pendidikan Kesihatan Tahun 1.
Bahagian Pembangunan Kurikulum : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Dokumen Standard KSSR Pendidikan Kesihatan Tahun 2.
Bahagian Pembangunan Kurikulum : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Dokumen Standard KSSR Pendidikan Kesihatan Tahun 3.
Bahagian Pembangunan Kurikulum : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2013). Dokumen Standard KSSR Pendidikan Kesihatan Tahun 4.
Bahagian Pembangunan Kurikulum : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2014). Dokumen Standard KSSR Pendidikan Kesihatan Tahun 5.
Bahagian Pembangunan Kurikulum : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2015). Dokumen Standard KSSR Pendidikan Kesihatan Tahun 6.
Bahagian Pembangunan Kurikulum : Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia, (1999). Sukatan Pelajaran Rendah dan Menengah Pendidikan
Kesihatan. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Mohd Fadhli Othman & Nurul Zakiah A Tajuldin. (2016). Memperkasa pendidikan kesihatan
reproduktif dan social. Muat turun pada 10 Mac 2017 daripada
http://m.malaysiakini.com/news/365392

Mok Soon Sang.(2010). Pedagogi. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.

Muzaffar Syah Mallow. (2016). Lindungi Hak dan Keselamatan Kanak-kanak. Utusan Online. Muat
turun pada 10 Mac 2017 daripada http://www.utusan.com.my/rencana/lindungi-hak-dan-
keselamatan-kanak-kanak-1.208229

Open University Malaysia (2007). HBHE 1203 Pedagogi Pendidikan Kesihatan. Meteor Doc. Sdn.
Bhd. Selangor Darul Ehsan.

8
PKE 3033E KURIKULUM & PEDAGOGI PENDIDIKAN KESIHATAN

Roos Niza Mohd. Shariff. (2016). Keselamatan Anak Tanggungjawab Ibu Bapa. Utusan Online.
Muat turun pada 10 Mac 2017 daripada http://www.utusan.com.my/rencana/keselamatan-
anak-tanggungjawab-ibu-bapa-1.382556

Sinar Harian. (2014). Kesihatan Kanak-Kanak Semakin Membimbangkan.Sinar Online. Muat turun
pada 10 Mac 2017 daripada http://www.sinarharian.com.my/rencana/kesihatan-kanak-
kanak-semakin-membimbangkan-1.289418