Anda di halaman 1dari 8

TRANSFORMASI SISTEM DAN DASAR PENDIDIKAN SEMASA DAN

DIMENSI PENDIDIKAN PINTAR DAN BERBAKAT

TRANSFORMASI SISTEM DAN DASAR PENDIDIKAN SEMASA


Sebagai seorang guru yang terlibat dalam sektor pendidikan, pastinya Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menjadi panduan bagi saya.
11 Anjakan Transformasi Sistem yang diketengahkan banyak membawa perubahan
kepada sektor pendidikan sepanjang ianya dilaksanakan. Banyak manfaat yang
diperolehi oleh pihak sekolah, guru dan murid.
Anjakan pertama dalam 11 Anjakan Transformasi Sistem adalah tentang
menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf
antarabangsa. Seluruh komuniti guru dan sekolah di seluruh Malaysia sangat
terkesan dengan anjakan transformasi sistem ini iaiatu merombak peperiksaan
kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara
berperingkat peratusan soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi pada
2016. Ini kerana penerapan soalan dalam mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi
adalah sesuatu yang agak sukar dan memerlukan murid untuk berfikir secara
mendlam dan meluas. Namun bagi saya ianya bagus dalam menjadikan murid kita
berdaya saing dan mampu menyelesaikan masalah secara luar kotak dan tidak hanya
menghafal jawapan-jawapan ataupun teknik menjawab soalan daripada buku.
Walaupun kita dikejutkan dengan penurunan peratusan gred UPSR namun bagi saya
ianya adalah bagus supaya kita semua sedar bahawa selama ini murid-murid kita
hanya menghafal kerana takut dengan sistem yang berorientasikan peperiksaan.
Dasar pendidikan PPPM ini banyak memberi tumpuan kepada murid dari segi
aspek pembelajaran bahasa seperti yang diketengahkan dalam Anjakan ke-2 daripada
11 Anjakan Transformasi Sistem iaitu memastikan setiap murid menguasai
kemahiran dalam bahasa malaysia dan bahasa inggeris dan digalakkan mempelajari
bahasa tambahan. Sebagai guru yang juga mengajar subjek Bahasa Inggeris, banyak
program yang telah dianjurkan untuk guru-guru yang mengajar subjek ini dalam
menambah baik pengajaran guru. Guru-guru juga diajar cara untuk menarik minat
murid dalam mempelajari subjek ini. Umum mengetahui bahawa subjek Bahasa
Inggeris ini dianggap sebagai subjek yang susah kerana bukan bahasa kebangsaan kita
terutamanya bagi murid-murid di sekolah terpencil luar bandar di sekolah saya.
Namun, dengan adanya kursus yang diberikan mampu membantu saya dalam
mengajar murid-murid yang lemah terutamanya murid-murid LINUS yang tidak tahu
membaca. Dengan kaedah phonic yang telah dipelajari daripada kursus, hampir
sebahagian murid Tahun 1 kelas lemah saya mampu membaca suku kata Bahasa
Inggeris yang mudah pada penggal pertama walaupun pada awalnya tidak mengenal
abc dan menghubungkan bunyi huruf. Selain itu, bagi menyahut seruan kerajaan
dalam mempelajari bahasa asing sekolah-sekolah mula meletakkan beberapa pilihan
bahasa asing untuk diajar di sekolah. Bagi sekolah saya, pembelajaran Bahasa Arab
adalah wajib bagi semua murid sebagai bahasa ketiga. Ini adalah salah satu usaha
yang bagus daripada pihak kerajaan dalam melahirkan rakyat yang berkebolehan dan
boleh mewujudkan interaksi di negara luar.
Bagi Anjakan ke-3 pula iaitu melahirkan rakyat yang menghayati nilai
dengan mengukuhkan Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral dengan lebih
tumpuan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid dan
membangunkan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan
murid dalam 1Sukan, 1Kelab, dan 1Badan Beruniform. Subjek Pendidikan Agama
Islam wajib diambil oleh semua murid yang beragama Islam, manakala subjek
Pendidikan Moral wajib diambil oleh murid yang bukan beragama Islam. Subjek ini
dijadikan subjek teras dan wajib diambil oleh semua murid agar penerapan nilai
murni dan peneguhan-peneguhan dapat diberikan kepada murid. Selain itu juga,
bilangan guru-guru agama juga telah bertambah di sesebuah sekolah untuk menangani
masalah kekurangan guru dan hanya guru agama sahaja yang boleh mengajar subjek
agama. Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan murid lebih yakin dan mempercayai
ajaran yang diajar oleh guru agama.
Bagi membangunkan murid secara holistik, murid-murid diwajibkan
menyertai aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. Murid-murid
perlu terlibat dalam 1Sukan, 1Kelab, dan 1Badan Beruniform. Sebagai seorang guru,
saya dapat melihat kepelbagaian murid di sini dengan pemerhatian yang dilakukan
melalui aktiviti kokurikulum ini. Terdapat murid yang cemerlang akademiknya dan
bagus dalam kokurikulum, dan ini menunjukkan murid ini sangat seimbang. Namun,
terdapat juga murid yang cemerlang akademik tetapi tidak menonjol dalam
kokurikulum. Berdasarkan pemerhatian saya, ramai murid yang tidak cemerlang dari
segi akademik namun cemerlag di bahagian kokurikulum. Ini menunjukkan bahawa
sistem pendidikan tidak hanya memandang kepada akademik sahaja tetapi
menyeluruh dari segi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
Anjakan yang ke-4 ialah mentransformasi profesion keguruan menjadi
profesion pilihan. Sebagai seorang guru lepasan ijazah daripada Institut Pendidikan
Guru (IPG) daripada lepasan SPM yang perlu mengikuti kursus selama lima tahun
setengah mendapati bahawa bidang perguruan adalah sangat mencabar dan
memerlukan daya tahan yang sangat tinggi. Segala apa yang dipelajari di IPG adalah
sangat berguna, padat dan menjadikan saya seorang guru yang berdaya tahan dan
berdaya saing. Saya mendapati rakan-rakan lepasan IPG ataupun guru-guru lepasan
maktab (guru-guru diploma) adalah lebih kompeten kerana kami memilih kerjaya
guru sebagai profesion pilihan. Berdasarkan pemerhatian saya dan rakan-rakan serta
pentadbir, guru-guru lepasan maktab atau IPG lebih komited dan bertanggungjawab
dalam melaksanakan tugasan yang diberi berbanding guru-guru yang menjadi guru
sebagai pilihan terakhir (guru-guru KPLI). Walaupun tidak semuanya begitu namun
ianya memberikan impak dan pandangan negatif daripada kalangan pentadbir. Ini
kerana ramai beranggapan bahawa menjadi guru adalah tugas mudah yang boleh balik
rumah separuh hari namun hakikatnya tugas guru kini kian mencabar dan sangat
memerlukan komitmen terhadap tugasan wajib dan sampingan. Oleh itu, saya amat
bersetuju dengan cadangan kerajaan dalam mentransformasi profesion keguruan
mejadi pilihan profesion.
Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
merupakan anjakan ke-5 dalam 11 Anjakan Transformasi Sistem Pendidikan. Bagi
melaksanakan anjakan ini, kerajaan ingin memperkukuh kriteria pemilihan dan proses
perancangan penggantian bagi pengetua/guru besar mulai 2013 dan melaksanakan
Pakej Kerjaya Pengetua/ Guru Besar yang baharu secara berperingkat, dengan lebih
sokongan dan kebertanggungjawaban yang tinggi bagi meningkatkan keberhasilan
murid. Saya sangat setuju dengan pelaksanaan ini kerana pemimpin yang mempunyai
kepimpinan yang tinggi akan meningkatkan keberhasilan sekolah, guru dan murid.
Pemimpin perlu dihormati oleh guru-guru dan setiap arahan akan dilaksanakan.
Pemimpin juga perlu tegas dan boleh dibawa berbincang. Mengikut pengalaman saya
sebagai guru, Guru Besar perlu tegas dan sentiasa mendengar keluhan dan pandangan
orang bawahannya. Namun, Guru Besar juga tidak boleh terlalu linean dan berlembut
kerana akan menyebabkan guru-guru memandang rendah dan tidak menghormati
setiap arahan yang diberi. Seterusnya, Guru Besar juga perlu ada strategi dalam
mengadapi guru-guru yang terlalu lama di sekolah. Saya sebagai seorang guru baru
ataupun novis selalu menjadi orang pertama yang dituju apabila ada tugasan penting
ataupun projek yang perlu disiapkan oleh guru-guru lama. Namun, saya amat
menghormati Guru Besar saya kerana pandai memainkan peranannya secara
diplomasi dalam melepaskan saya daripada menjadi orang yang dituju. Guru Besar
yang berprestasi tinggi bukan sahaja pada grednya namun pada cara bekerja dan
personaliti.
Seterusnya adalah anjakan yang ke-7 iaitu memanfaatkan ict bagi
meningkatkan kualiti pembelajaran di malaysia. Bagi menyahut seruan kerajaan ini,
setiap sekolah telah dibekalkan dengan komputer riba mengikut perkapita murid di
sekolah. Sekolah kecil seperti sekolah saya yang mempunyai murid seramai 250
orang telah menerima 37 buah komputer riba. Sekolah saya juga bernasib baik kerana
mempunyai sebuah makmal komputer yang membolehkan murid-murid menjalani
proses pengajaran dan pembelajaran (pdp) menggunakan ict di makmal. Kerajaan
dengan kerjasama 1Bestarinet telah memberikan sekolah-sekolah akses internet
dengan kelajuan 4Mbps bagi memudahkan guru dan murid menjalankan pdp di
sekolah. Namun, kelajuan data bagi mengakses internet adalah tidak menentu dan
kadang-kadang menghadapi masalah apabila tiada capaian internet diperolehi ataupun
terlalu perlahan.
Dalam menyahut anjakan ke-7 ini, setiap sekolah telah diwajibkan untuk
mengaktifkan laman pembelajaran VLE 1Bestarinet sebagai laman rasmi sesebuah
sekolah. Sebagai seorang guru yang merupakan admin kepada laman VLE di sekolah,
saya merasakan bahawa laman VLE ini adalah medium yang sangat bagus kepada
murid dan guru dalam meningkatkan pembelajaran menggunakan ict. Laman ini yang
mempunyai kemudahan berinteraksi antara guru dan murid dengan kemudahan link
video, gambar, forum, chat dan sebagainya yang boleh dikongsikan bersama warga
sekolah. Guru-guru juga telah diberikan telefon mudah alih yang dibekalkan oleh
YES hasil kerjasama antara kerajaan dan 1Bestarinet bagi memudahkan guru-guru
menggunakan telefon tersebut dalam mengakses dan mengemaskini laman VLE.
Yang terkini guru-guru juga telah diberikan teblet percuma sebagai medium
perantaraan dan memudahkan guru-guru untuk melaksanakan tanggugjawab
pengisian data dan pencarian maklumat pengajaran. Namun begitu, masih ada
halangan dari segi pelaksanaan menggunakan ict ini. Berdasarkan pemerhatian saya di
sekolah yang mempunyai ramai guru lama tidak mahu menggunakan kemudahan ict
yang diberikan dan masih menggunakan cara pengajaran tradisional serta
mengejarkan sistem berorientasikan peperiksaan. Tidak semua guru yang
menggunakan laman VLE kerana tiada masa untuk mengkases akibat kekangan masa
dengan jadual yang padat dan kerja-kerja pengkeranian yang semakin bertambah.
Hanya sesekali guru akan mengaktifkan di laman ini apabila ditegur pentadbir. Pada
pendapat saya ianya memerlukan pengorbanan masa dalam penggunaan ict ini dan
sanggup belajar benda baharu.
Bagi Anjakan ke-6 dan ke-8 iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk
menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan dan mentransformasi
kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian. Kedua-dua anjakan ini telah
bermula dan dilaksanakan di sekolah. Pegawai-pegawai atasan akan turun memantau
program-program yang dilaksanakan di sekolah dan memantau pencapaian sekolah.
Terdapat kebaikan dalam proses pemantauan ke sekolah ini di mana guru-guru lebih
bersedia dan sentiasa menyiapkan tugasan yang diberi, pentadbir lebih peka dengan
program-program mendatang yang perlu diselesaikan. Namun begitu, dalam pada
pemantauan dijalankan ianya menyebabkan bebanan tugasan guru menjadi
bertambah. PPD mempunyai penanda aras yang tersendiri dan masing-masing ingin
mencapai KPI yang telah ditetapkan untuk dibanding beza dengan PPD yang lain.
Beban guru semakin bertambah di mana guru perlu lebih masa di sekolah untuk
menyiapkan program-program tambahan untuk murid-murid. KPI sekolah juga
dipantau dari segi pencapaian akademik khususnya. Fail-fail sampingan juga perlu
diwujudkan. Ini menyebabkan tugasan mengajar yang sepatutnya menjadi tugas
utama terganggu.
Seterusnya Anjakan Transformasi yang ke-9 iaitu bekerjasama dengan ibu
bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas. Bagi melaksanakan anjakan ini,
kerajaan telah menetapkan dengan melengkapkan setiap ibu bapa bagi membantu
pembelajaran anak mereka melalui sarana pelibatan ibu bapa dan akses dalam talian
kepada kemajuan anak di sekolah dan mendapatkan maklum balas daripada setiap
PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai 2016. Kini
ibu bapa hanya perlu pandai menggunakan internet dalam mengakses keputusan
peperiksaan anak-anak. Data peperiksaan telah mula dimuat naik dalm laman portal
yang telah disediakan oleh kerajaan iaitu di laman SAPSNKRA. Laman ini
memudahkan guru-guru dan ibu bapa untuk berhubung secara atas talian. Namun,
bagi sekolah terpencil seperti sekolah saya dan berlatarbelakangkan ibu bapa yang
kebanyakannya adalah nelayan agak sukar untuk mereka mengakses laman SAPS ini.
Oleh itu, kami masih menggunakan cara yang lama di mana mengadakan Program
Hari Bertemu Ibu Bapa dalam mengambil keputusan peperiksaan anak. Proses
pemberitahuan telah diberitahu kepada ibubapa tentang laman ini namun hanya ibu
bapa yang terdiri daripada golongan yang tertentu sahaja mahu mencuba benda
baharu. Penglibatan PIBG di sekolah saya amatlah mantap dan dipuji. Ini kerana
sekolah yang kecil hanya menerima peruntukan yang kecil daripada kerajaan kerana
mengikut bilangan muridnya. Namun PIBG sekolah saya sangat menyokong
program-program yang dianjurkan di sekolah dari segi penglibatan dan juga
sumbangan dana. Pemilihan ahli-ahli PIBG yang aktif dan bersuara lantang juga
bagus dalam meningkatkan usahasama antara PIBG dan pihak sekolah. Sekolah juga
mendapat manfaat daripada hasil usahama ini. Sekolah saya mendapat pentas baharu,
set alat pembesar suara, penghawa dingin di bilik guru dan bilik JQAF,sebuah surau
dan banyak lagi hasil daripada dana PIBG ini.
Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit adalah merupakan
anjakan yang ke-9. Untuk melaksanakan anjakan ini, setiap peruntukan yang
diberikan kepada sekolah perlu disediakan kertas kerja dan laporan bagi setiap aktiviti
yang dilakukan. Aktiviti yang dilaksanakan perlulah melibatkan murid dan untuk
meningkatkan keberhasilan murid. Sebagai contoh program yang dilakukan di
sekolah saya yang dilaksanakan setiap tahun seperti Kempen Membaca, Kempen Anti
Dadah, Program Kesihatan dan Keselamatan dan sebagainya yang mampu
meingkatkan keberhasilan murid. Selain itu juga, peruntukan yang diberikan juga ada
untuk meningkatkan kecekapan,kemahiran dan latihan guru. Sekolah saya akan
menganjurkan program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) sebanyak 2 kali
dalam setahun. Peruntukan yang diberi itu digunakan untuk menjalankan LADAP di
sekolah ataupun di luar. LADAP bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan
dengan berkongsi bahan-bahan ilmiah sesama guru ataupun mendengar ceramah atau
taklimat daripada guru cemerlang atau pegawai atasan.
Akhir sekali adalah anjakan yang ke-11 iaitu meningkatkan ketelusan untuk
kebertanggungjawaban awam secara langsung. Anjakan ini menyarankan agar
laporan tahunan awam dapat dilaporkan tentang kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan
Pembangunan Pendidikan mulai 2013. Perkara ini telah dilaksanakan di sekolah di
mana setiap unit pentadbiran, panitia, persatuan, kelab dan bilik-bilik khas perlu
mempunyai Pelan Strategik untuk 3 tahun sekali dan laporan tahunan berdasarkan
program yang telah dijalankan harus dibuat. Ini bertujuan untuk melihat
perkembangan dan peningkatan daripada aktiviti yang dijalankan. Guru perlu
menetapkan sasaran pada awal tahun dan melihat semula sama ada sasaran yang
diletakkan dapat diacapai atau tidak pada akhir tahun. Guru perlu membuat langkah
ataupun tindakan yang sewajarnya jika sasaran tidak dapat dicapai dan membuat
refleksi kendiri ataupun berkumpulan.

DIMENSI PENDIDIKAN PINTAR DAN BERBAKAT


Dimensi pendidikan pintar dan berbakat adalah satu benda baharu dalam dunia
pendidikan di Malaysia. Saya sejujurnya hanya mendengar dan mengenal tentang
pendidikan pintar dan berbakat ini daripada pembacaan dan media massa. Di sekolah
saya yang terpencil itu juga tiada pendedahan yang diberikan. Walaupun di sekolah
saya mempunyai kelas pendidikan khas namun ianya hanya untuk murid-murid yang
bermasalah pembelajaran seperti down syndrome, lembam dan autisme.
Bagi mengenalpasti murid yang pintar dan berbakat ini perlu pemerhatian
yang mendalam terhadap murid-murid. Menurut Abu Yazid dan Noriah (2016),
terdapat enam kluster ciri keperibadian pelajar pintar dan berbakat terdiri daripada
proses pemikiran, orientasi matlamat, ketekunan berterusan terhadap tugasan, lokus
kawalan dalaman, kesedaran sosial, dan keberkesanan dalam bersosial yang
membentuk 17 ciri profil personaliti iaitu kreatif, berimaginasi, mempunyai
pandangan yang mendalam, intuitif, keterbukaan, keamatan dalam tingkah laku, amat
menyukai kerjanya, perseptif, mendesak, berani ambil risiko, berdisiplin kendiri, cara
berfikir mirip kedua-dua gender, tabah berusaha, amat mementingkan kesempurnaan,
toleransi terhadap sesuatu yang tidak pasti dan mempunyai kemahuan yang kuat.
Berdasarkan pemerhatian ke atas murid-murid saya, terdapat beberapa murid yang
berpotensi namun tidak mematuhi 17 ciri profil yang dinyatakan.
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap murid-murid saya, kemungkinan
besar mereka mempunyai potensi sebagai pintar dan berbakat namun tidak
dikenalpasti. Ini kerana terdapat beberapa orang murid yang dikenalpasti tinggi dalam
kognetif iaitu dalam bidang akademik. Kecenderungan mereka dalam menguasai
pembelajaran yang susah seperti konsep sains dan matematik dengan mudah serta
menyebabkan mereka mudah bosan dan membuat gangguan di dalam kelas. Namun
begitu murid seperti ini sering disalahertikan sebagai nakal.
Kelebihan murid-murid ini tidak dapat dikenalpasti dengan mudah kerana
tiada pendedahan yang sebenar dan garis panduan kepada guru-guru. Walaupun pada
dasarnya kita mengetahui apa itu pintar dan berbakat namun ketiadaan garis panduan
yang sesuai dan boleh diguna menyukarkan guru untuk menganlpasti murid-murid ini.
Selain itu juga pentadbiran ujian IQ dalam mengenalpasti murid-murid pintar
berbakat juga memerlukan individu tertentu yang mahir untuk mengelakkan kesilapan
dalam mengenalpasti murid-murid yang benar-benar diklasifikasikan sebagai pintar
dan berbakat. Ini penting kerana program yang eksklusif ini perlu diselia dan ditadbir
dengan betul kerana ianya memakan kos yang tinggi dalam membangunkan program
seperti ini. Namun, program pintar dan berbakat ini sangat bagus dalam
membangunkan modal insan kelas pertama yang mampu menyumbangkan tenaga dan
idea dalam membangunkan negara setaraf dengan negara-negara membangun.
Pada pendapat saya, pendedahan tentang pendidikan pintar dan berbakat ini
harus didedahkan secara meluas di dalam pendidikan nasional. Ini supaya guru-guru
dapat mengenalpasti murid-murid yang merupakan murid pintar dan berbakat dengan
lebih mudah. Walaupun pada dasarnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
telah bermula pada awal tahun 60-an, namun kekangan pelaksanaan secara terancang
dan berkesan akibat daripada ketiadaan satu garis panduan yang jelas (Abu Yazid &
Noriah, 2016). Disamping itu, PPPM 2013-2025 telah memberi hala tuju baru dalam
membangunkan program pintar dan berbakat ini. Oleh itu, sesuatu harus dilaksanakan
bagi pelaksanaan dan pendedahan yang kurang diterima menyebabkan murid pintar
dan berbakat ini sukar dikenalpasti di sekolah-sekolah khususnya sekolah terpencil
seperti sekolah saya. Sekolah dan guru-guru seharusnya menyahut seruan kerajaan ini
untuk sama-sama membantu dalam menggerakkan program pintar dan berbakat ini.
Fasiliti dan kerangka sedia ada perlu dimantapkan dan diperluas agar program pintar
dan berbakat ini dapat diteruskan dan dijalankan.

Anda mungkin juga menyukai