Anda di halaman 1dari 3

KISAH AKU & SEHELAI KAIN BATIK LEPAS.

Namaku Radi. Usiaku kini hampir mencecah 50 tahun. Aku kini hidup bahagia dengan suri

hidupku, Sara dan 5 cahaya mataku Razlan, Razif, Rafiq, Rania dan Raudah. Merekalah sumber

kekuatan dan semangatku dalam mengekalkan kepuihan. Tanpa mereka, aku tidak pasti bagaimana

kehidupanku kini. Aku juga bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk berbakti pada kedua ibu

bapaku serta menebus segala khilaf ku selama ini.

Bila ku singkap tabir semalam, aku masih ingat saat-saat kelam hidupku sebagai seorang

penagih dadah. Siapa tidak kenal Radi, anak seorang ahli politik wanita yang sangat berjaya. Ibuku

sebenarnya seorang guru sebelum beliau terlibat dengan dunia politik. Beliau seorang yang sangat tegas

dalam mendidik daku dan adik-beradik yang lain. Kami 4 beradik dan aku anak yang bongsu dan aku lah

yang paling tidak menyerlah berbanding adik-beradik yang lain.

Sikap ibu yang suka membanding-bandingkan diriku dengan adik-beradik yang lain telah

membuatkan aku rasa tertekan dan rendah diri. Kakak dan abang-abangku adalah pelajar cemerlang di

sekolah dan berjaya menyambung pengajian mereka di universiti di luar negara. Mereka semua bekerja

sebagai doktor, jurutera dan peguam. Aku sahaja yang tidak minat bersekolah kerana tidak secemerlang

mereka. Aku sering ponteng sekolah dan berpeleseran bersama kawan-kawan yang sealiran denganku.

Aku mula mengenali rokok dan akhirnya berjinak-jinak dengan ganja. Wang bukanlah masalah buatku.

Ayah dan ibu tidak pernah sehaluan. Mereka tidak bercerai tetapi masing-masing membawa

haluan sendiri. Ayah terasa sunyi kerana ibu sibuk berpolitik dan mengambil keputusan untuk bernikah

dengan pembantu peribadinya. Tiada lagi kemesraan di antara mereka. Sejak ayah bernikah baru, beliau

jarang-jarang balik ke rumah. Ibu semakin ligat dengan aktiviti politiknya. Tinggallah aku sendiri

memandangkan aku seorang sahaja yang tidak menyambung pengajian selepas tamat peperiksaan SPM.
Ketagihanku telah membuatkan aku menjadi seorang pencuri di rumah sendiri. Banyak barang-

barang berharga milik ibuku telah ku curi dan ku jual semata-mata ingin melepaskan ketagihanku

terhadap ganja. Setiap kali bangun dari tidur, perkara pertama yang bermain di fikiranku adalah

bagaimana hendak dapat bekalan dadah. Astaghfirullah. Itulah Radi yang dulu.

Keluar masuk ke pusat pemulihan bukanlah sesuatu yang asing buatku. Namun ibuku tetap

melawat dan menasihatiku agar berubah. Aku tidak dapat menahan diriku daripada mengambil ganja

semula. Suatu hari, aku menggeledah almari pakaian ibuku. Aku mencari-cari apa yang boleh ku jual

untuk membeli dadah. Aku tertarik dengan susunan kain batik baru ibuku. Aku ambil keputusan untuk

menjual semua kain batik tersebut.

Malam itu ibu memanggil aku. Dia bertanyakan aku tentang kain-kain batik baru yang telah

lesap dari almari tersebut. Dia bertanya tahukah aku kegunaan kain batik tersebut? Aku hanya

menggeleng kepala. Dia mengambil 2 lagi kain batik dalam simpananya dan meminta aku membuka

lipatan kain batik tersebut serta melihat perbezaan kedua-duanya. Aku lihat sehelai daripada kain batik

tersebut berjahit dan sehelai lagi tidak berjahit.

Ibu menanyakan penggunaan kain batik tersebut kepadaku. Aku hanya mendiamkan diri. Ibu

berkata Kain yang tidak berjahit ini untuk tutup jasad ibu jika ibu mati kelak. Kalau semua kain ibu kau

jual, kau nak tutup jenazah ibu dengan surat khabarkah? aku terkesima. Tiba-tiba gambar jenazah

bertutup surat khabar bermain-main di mindaku. Terbayang jenazah rakan-rakanku yang mati dan hanya

ditutup dengan surat khabar. Aku memeluk ibu dan menangis semahu-mahunya. Aku tidak mahu jasad

ibu yang ku sayang dibalut sebegitu juga. Aku ingin berubah.

Aku bersetuju untuk dihantar ke pusat pemulihan secara sukarela. Kali ini aku dapat kekuatan

untuk terus berubah dan mengekalkan kepulihanku. Aku sedar selama ini aku hanya aberdendam

dengan ibuku. Aku menagih sebagai tanda protes dan ingin memalukan ibu. Namun, kasih sayang ibu
tidak pernah surut buatkan aku malu pada diri sendiri. Aku berazam untuk menjadi Radi yang baru. Kini

sudah hampir 20 tahun aku berjaya mengekalkan kepulihanku. Pada mulanya anak-anakku berasa malu

bila aku tampil di kaca televisyen berkongsi kisah hidupku dengan khalayak ramai.

Namun begitu, mereka akhirnya menyokong perjuanganku untuk membantu bekas-bekas

penagih dadah yang lain dalam mengekalkan kepulihannya setelah mereka memahami niat dan hasratku

untuk membantu orang yang pernah senasib denganku. Aku sering bekerjasama dengan beberapa

agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam merangka program pemulihan. Aku sering dijemput untuk

memberi ceramah kesedaran kepada murid-murid sekolah dan pelatih-pelatih di pusat-pusat pemulihan

dengan cara berkongsi pengalaman dan tips untuk kekal bebas tanpa dadah hingga kini. Aku

memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana telah memberi hidayah buatku untuk terus berubah

hanya kerana sehelai kain batik lepas! Semoga aku dapat mengekalkan kepulihanku sehingga ke akhir

hayat dan dapat terus berbakti kepada masyarakat..

Nukilan:

Siti Zubaidah binti Hussin

3160103