Anda di halaman 1dari 7

PENDAHULUAN

Profesion perguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar
(Ali, 2011). Ibrahim Ahmad Bajunid (1995) berkata, tenaga pengajar dan pengurus
pendidikan berdepan dengan pelbagai perkembangan terkini dalam proses kepimpinan,
pengurusan, pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat pendidikan. Oleh itu, dalam
melaksanakan perubahan dan pelbagai reformasi pendidikan sudah pasti menjadikan
peranan dan tanggungjawab dalam profesion keguruan lebih mencabar.

Disebabkan kepelbagaian dan kerumitan hidup yang bertambah bagi seorang guru,
tekanan yang merupakan satu penyakit yang dikaitkan dengan kesihatan mental atau lebih
dikenali sebagai stres telah menyerang mereka. Sebenarnya stres ini telah wujud dan
menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari (Hatta
Sidi & Mohamed Hatta Shaharom, 2002). Stres biasanya dialami oleh seseorang yang
berada dalam keadaan yang tidak menyeronokkan.

Fenomena stres dalam kalangan guru sedang hebat diperbincangkan malahan


banyak kajian yang mendapati bahawa profesion perguruan satu bidang kerjaya yang
menghadapi tekanan kerja yang tinggi (Mokhtar, 1998). Menurut Sapora Sipon (2007), guru
yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada hubungan guru-pelajar
serta turut menjejaskan mutu pengajaran dan pembelajaran. Hal ini seterusnya akan
membantutkan usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Guru yang menghadapi tekanan atau berada dalam stres tidak dapat berfungsi
dengan berkesan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas,
tegang dan tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa
gembira atau berpuas hati terhadap kerja yang dilakukan (Smith, 1993). Disebabkan itu,
terdapat pelbagai tanggapan daripada masyarakat bahawa kerja, tugas dan beban guru
masa kini menjadikan kerjaya guru tidak lagi menarik.

Suasana yang tidak sihat sebegini jika dibiarkan berlaku dan berterusan
mencengkam para guru maka sudah pasti bukan sahaja individu guru sahaja yang menjadi
mangsa, bahkan sistem pendidikan negara juga akan menerima kesan buruknya. Masalah
tekanan emosi ataupun stres dalam kalangan guru perlu diteliti puncanya seterusnya
dijustifikasikan agar cadangan penyelesaian bagi permasalahan yang menjadi punca stres
tersebut dapat diselesaikan dengan tuntas.
PUNCA DAN JUSTIFIKASINYA TERHADAP TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN
GURU

Sebagai seorang guru pelatih PISMP Semester 8, saya telah ditempatkan di sebuah sekolah
untuk latihan internship di salah sebuah sekolah rendah. Di sini saya bergaul dengan guru-
guru senior yang telah berkhidmat dan sempat berbual secara santai dengan mereka
tentang tekanan emosi dan stres dalam kalangan guru. Selain itu saya turut memerhatikan
seorang individu guru yang berkemungkinan menghadapi tekanan emosi. Hasil daripada
temu bual dan pemerhatian yang dilakukan oleh saya semasa internship, ternyata terdapat
pelbagai punca tekanan emosi yang berlaku dalam kalangan guru.

Di sekolah tersebut saya memerhatikan antara punca tekanan guru yang paling
dominan ialah masalah beban tugas guru yang tinggi. Contohnya guru yang saya perhatikan
memegang pelbagai jawatan penting di sekolah seperti ketua panitia subjek, ketua guru
disiplin, ketua penasihat sebuah pasukan beruniform dan pelbagai lagi jawatan lain.
Jawatan-jawatan yang disandang sudah tentu memberikan tekanan kerja kepada guru
kerana setiap jawatan akan menimbulkan tugasnya yang tersendiri yang harus dilaksanakan
oleh guru. Disamping itu, jawatan yang disandang turut memerlukan guru tersebut
menghadiri berbagai-bagai kursus yang diadakan oleh jabatan atau badan berkaitan.

Hasilnya kekangan dan kesuntukan masa sentiasa mencengkam guru terbabit. Hal
ini disokong oleh Boyle et. al. (1995) yang mendapati kekangan masa menjadi faktor penting
yang mempengaruhi tekanan kerja guru. Kerja yang melambak-lambak yang dihadapi oleh
seorang guru turut dilihat tidak adil dan menjadikan seseorang guru itu seolah dianayai oleh
pentadbir sekolah. Dapat diperhatikan guru tersebut keletihan dan sentiasa mengejar-ngejar
kerja yang terbeban kepadanya sepanjang waktu. Beban tugas yang melampau telah
dinyatakan oleh Siti Rohani (1991) sebagai faktor yang menyebabkan guru menghadapi
tekanan kerjayanya.

Masalah keluarga yang dihadapi oleh guru turut memainkan peranan dalam memberi
tekanan emosi kepada guru. Masalah yang berlaku dalam keluarga guru akan menyebabkan
guru tersebut berhadapan dengan rasa letih, mempunya masalah untuk tidur, sakit kepala
dan pitam. Justeru, mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada sebarang tugas yang
mereka lakukan dan sering menjadi sensitif sehingga mereka berubah menjadi garang
(Allen, 1998). Suami guru tersebut yang menghadapi serangan jantung telah menyebabkan
ketidakfungsian keluarga dan tekanan dalam keluarga itu sendiri (McClelland, 1956)
termasuklah guru terbabit.
Oleh kerana guru terbabit seorang guru wanita, beban tugas di rumah ditambah
dengan beban tugas di sekolah sememangnya menimbulkan tekanan emosi yang jelas
kepada beliau. Beliau kerap tidak dapat hadir ke sekolah kerana menjaga suaminya yang
sakit. Hal ini turut menjejaskan prestasi kerja beliau di sekolah. Kerja keras juga terlibat
secara langsung dengan tekanan seseorang di mana seseorang yang terpaksa bekerja
tanpa rehat akan menghadapi rasa tidak gembira dan murung kerana keletihan (Carter &
McGoldrick, t.t.). Terlalu banyak tekanan akan menyebabkan pelbagai perasaan negatif yang
menyelubungi seseorang sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Guru tersebut juga menghadapi masalah kesihatan sendiri iaitu kencing manis dan
sakit jantung. Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam darah dan bahan-
bahan ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan kolesterol yang akan menutupi
saluran pembuluh darah. Stress juga akan meninggikan tekanan darah di samping
memudahkan proses pembekuan darah. Semua ini merupakan perubahan-perubahan yang
boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan angin ahmar berlaku kepada seorang guru
(Walton et. al., 2002).

Kesugulan dan tekanan hasil dari stress akan menambahkan kadar gula di dalam
darah dan ini boleh membawa kepada penyakit kencing manis atau menerukkan keadaan
pesakit yang telahpun mengidapnya (Watkins, 1998). Justeru saya berpendapat punca-
punca stress yang disebutkan sebelum ini menjadi punca guru mendapat penyakit tersebut.
Dengan penyakit yang dihidapi, ia turut menyumbang kepada bertambahnya tekanan emosi
guru kerana masalah kesihatan akan turut melibatkan masalah kewangan, masa dan
mengganggu tugasnya.

Saya turut mendapati bahawa guru terbabit mengajar kelas terakhir tahun dua di
sekolah tersebut. Kelas tersebut sememangnya terkenal dalam kalangan guru dengan
kenakalan dan masalah disiplin pelajar. Menurut Azizi Yahaya dan Norliza Othman (2010),
faktor masalah disiplin pelajar ialah faktor paling dominan yang menjadi punca stress dalam
kalangan guru. Dengan masalah pelajar yang tidak membawa buku teks atau melaksanakan
arahan-arahan daripada guru untuk pembelajaran, sudah tentu akan menimbulkan tekanan
emosi kepada guru untuk menjalankan tugasnya.

Dalam senario pendidikan zaman kini dengan beban tugas pentadbiran, pengajaran,
dan komitmen lain yang semakin bertambah, masalah disiplin murid dan kegagalan guru
terbabit untuk menanganinya dengan baik akan membawa kepada tekanan kerja,
ketidakpuasan kerja dan akhirnya menghadapi tekanan emosi (James, 2014). Sudah tentu
perkara ini akan menyebabkan seseorang guru tidak seronok semasa mengajar dan boleh
menjadi sebab seorang guru meninggalkan prosefyennya (Ingersoll & Smith, 2003).
CADANGAN PENYELESAIAN

Untuk mengatasi masalah bebanan tugas, guru perlu menguruskan masa dengan baik
(Charu, 2015). Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam
sehari. Oleh yang demikian sepatutnya tidak ada diantar guru yang mengeluh tidak dapat
menyiapkan tugasan dengan alasan tiada masa. Penggunaan masa dalam sehari,
seminggu, sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada mereka yang
pandai menguruskan masa. Pengurusan masa yang baik dapat meringankan tugas yang
ada. Tugas yang banyak akan mampu diurus dengan baik sekiranya pengurusan masa yang
baik juga dapat diimplementasikan dengan cemerlang walaupun tidak dinafikan
pembahagian tugas yang adil juga dituntut daripada pihak pentadbiran sekolah kepada guru.

Masalah keluarga yang dihadapi oleh guru tersebut pula boleh diselesaikan ataupun
paling kurang dapat diringankan dengan menyertai kaunseling kekeluargaan. Daripada sesi
kaunseling tersebut, guru terbabit akan dapat menyusun kembali dan merancang perjalanan
urusan keluarga dengan lebih efisyen agar tugasnya sebagai isteri tidak akan mengganggu
peranannya di sekolah sebagai seorang guru. Kaunseling juga akan dapat menambahkan
kemahiran guru tersebut untuk mengendalikan kehidupannya, memperbaiki perhubungan
dengan orang lain membantu beliau membuat keputusan. Walaupun masalah yang dihadapi
agak berat, tetapi setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya yang tersendiri.

Kesihatan sememangnya satu aset penting bagi setiap manusia. Dengan kesihatan
yang baik, pelbagai tugas dan fungsi manusia dapat dipenuhi dengan optimum. Menjadi
seorang guru pastinya menuntut kesihatan sentiasa di tahap yang terbaik agar tugas dapat
dilaksanakan dengan sempurna. Justeru menjaga kesihatan adalah menjadi kewajipan agar
guru dapat mengajar dengan baik. Seterusnya, tekanan emosi akibat memikirkan masalah
kesihatan juga dapat dielakkan. Walaupun telah menghidapi penyakit, kesihatan masih perlu
dijaga agar tidak terlalu kritikal dan masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa sebagai
seorang guru yang bertanggungjawab terhadap pendidikan anak bangsa di tanah air kita ini.

Disebabkan kemahiran pengurusan bilik darjah mempunyai perkaitan langsung


dengan perlakuan dan pencapaian murid dalam pembelajaran, guru perlu memantapkan
ilmu dan kemahiran mengurus bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan
dapat mengekalkan peraturan serta dapat mengoptimumkan pembelajaran murid dan
pengajaran guru (Kauchak & Eggen, 2008). Guru tersebut juga akan dapat menjimatkan
masa mengajar dan tidak terlalu tertekan untuk mendapatkan kawalan kelas apabila murid di
dalam kelas terkawal dan terurus (Brophy & Good, 1986). Kawalan kelas yang baik sudah
tentu dapat mengurangkan lagi tekanan emosi guru kerana perjalanan pengajaran kelas
yang lancar dan memuaskan sehingga dapat membantu kepuasan kerja seorang guru.
PENUTUP

Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan
guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh
menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini
akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa
Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan. Oleh itu, punca-
punca tekanan emosi guru haruslah ditangani sebaik mungkin oleh individu guru itu sendiri.
Namun ia turut memerlukan perhatian yang serius daripada pelbagai pihak yang berada
dalam ruang interaksi guru untuk sama-sama menanganinya.

Profesion guru adalah salah satu daripada tugas yang sukar dan perlu kepada usaha
pengorbanan yang tinggi. Sememangnya boleh dikatakan bahawa semua bidang mampu
menyebabkan tekanan kepada individu. Tetapi tidak bermakna bahawa tekanan pada tahap
tinggi sehingga menyebabkan gangguan pada operasi pendidikan itu perlu dipandang
sebagai suatu perkara biasa. Isu ini perlu dipandang serius supaya bidang pendidikan yang
sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan mutunya ini dapat selari dengan keperluan dan
kepentingan semua pihak yang terlibat. Meningkatkan mutu pendidikan bukan bermakna
perlu mengorbankan atau membebankan satu pihak sahaja iaitu guru.
RUJUKAN

Ali, R. M. D. R. (2011). Faktor-Faktor Yang Mendorong Tekanan Kerja (Stres) Dikalangan


Guru- Guru Sekolah Menengah Di Daerah Pasir Putih. Open University Malaysia.

Allen, R. (1998). Dealling With Stress. Minnesota: University of Minnesota Extension Service.

Boyle, G.J., Borg, M.G., Falzon, J.M. dan Baglioni, A.J.Jr. (1995). A Structural Model of The
Dimension of Teachers Stress. British Journal of Educational Psychology, 63(1): 271-
286

Brophy, J. E., & Good, T. L. (1986). Teacher Behavior and Student Achievement. Dalam M.
C. Wittrock (Ed.), Handbook of Research on Teaching (Ed. ke-3, ms. 376-391). New
York: Macmillan.

Carter, B. & McGoldrick, M. (t.t). The Epanded Family Life Cycle (3rd ed.,pp.249-273).
Boston: Allyn & Bacon.

Charu, R. (2015, 16 Mac). Cadangan Mengatasi Beban Tugas Guru. Diakses daripada
http://sijithra.blogspot.my/2015/03/cadangan-mengatasi-beban-tugas-guru.html

Hatta Sidi dan Mohammed Hatta Shaharom. (2002). Mengurus Stres, Pendekatan Yang
Praktikal. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ingersoll, R.M, & Smith, T.M. (2003) The wrong solution to the teacher shortage. Educational
Leadership,60(8). 30-3.

James, A.J.E. (2014). Pengurusan Bilik Darjah: Strategi-Strategi Mewujudkan Komuniti


Pembelajaran Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Publications.

Kauchak, D.P. & Eggen, P.D. (2008). Introduction to Teaching: Becoming a Professional.
United Kingdom: Pearson.

Mokhtar Ahmad. (1998). Tekanan kerja di kalangan guru sekolah menengah: Satu kajian di
Daerah Kulim Bandar Baharu, Kedah Darul Aman. Tesis Sarjana Sains. Bintulu:
Universiti Malaysia Sarawak.

McClelland, D. C. (1956). Some Social Consequences of Achievement Motivation.


Middletown Ct.: Wesleyan Univ Middletown Ct.

Sapora Sipon (2007, 27 Julai). Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi. Utusan Malaysia.
Siti Rohani Md. Sharif. (1991). Pengaruh Faktor Sekolah ke Atas Tekanan Guru. Tesis
Sarjana Pendidikan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Smith, P. B. (1994). The Effective of Japanese Style of Management: A Review and Critique.
Journal of Occupational Psychology, 57. 121-136.

Walton, K. G., Schneider, R. H., Nidich, S. I., Salerno, J. W., Nordstrom, C. K., & Merz, C. N.
B. (2002). Psychosocial Stress and Cardiovascular Disease Part 2: Effectiveness of
the Transcendental Meditation Program in Treatment and Prevention. Behavioral
Medicine (Washington, D.C.), 28(3), 106123.

Watkins, C. (1998). Depression and Anxiety in the Person with Diabetes. Practical
Diabetology.

Yahaya, Azizi and Othman, Norliza (2010) Bab 5 : Faktor-Faktor yang Menyebabkan Stres
dalam Kalangan Guru Sains dan Matematik di Sekolah Menengah. Sains Sosial.
Universiti Teknologi Malaysia, 1-7.