Anda di halaman 1dari 1

Faedah Mengadakan Rumah Terbuka Pada Hari

Perayaan Sudah terang lagi bersuluh, hari perayaan merupakan sambutan rasmi yang lazim dilakukan
di negara Malaysia. Setiap perayaan di negara kita berbeza-beza mengikut bangsa masing-masing.
Tamsilnya, bangsa Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri, bangsa Cina menyambut Tahun Baru
Cina dan bangsa India menyambut Deepavali. Sehubungan dengan itu, rumah terbuka sering kali
diadakan semasa menyambut perayaan-perayaan ini. Majlis rumah terbuka sudah menjadi amalan
masyarakat Malaysia. Kerajaan juga menggalakkan rakyat mengadakan rumah terbuka supaya
penduduk yang berbilang kaum dapat mengenali antara satu sama lain. Secara tidak langsung, hal ini
dapat mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini. Terdapat banyak
kepentingan mengadakan rumah terbuka pada hari perayaan.

Salah satu kepentingan menganjurkan rumah terbuka ialah majlis ini mendorong masyarakat
mengeratkan silaturahim tanpa mengira kaum dan agama. Dalam majlis yang diadakan,
semua tetamu yang menghadiri majlis rumah terbuka itu dapat bertanyakan khabar dan berkenalan
antara satu sama lain sambil menikmati makanan yang disajikan. Dengan itu, hubungan silaturahim
dapat dipereratkan dan secara tidak langsung perpaduan dapat dicapai. Perpaduan yang terjalin
sekaligus dapat memudahkan pencapaian misi dan visi negara dalam usaha menjadikan Malaysia
sebuah negara bangsa. Jadi, setiap kaum di Malaysia boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain
tanpa sebarang halangan yang perlu dibimbangkan. Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat
dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

Di samping mengeratkan silaturahim, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu
masyarakat mengenali budaya sesuatu kaum. Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-
sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini
juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain
selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang dalam kalangan rakan-rakan mereka
sendiri. Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan
sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat
membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat
diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Pendek kata, budaya dan
adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.

Selain itu, amalan rumah terbuka dapat melahirkan perasaan hormat dan bermaaf-maafan.
Hal ini wujud apabila kita menghadiri rumah terbuka yang tuan rumahnya lebih berusia, tetamu yang
muda akan berasa hormat dan menyalamnya. Bukan itu sahaja, amalan bermaaf-maafan juga menjadi
tradisi apabila datangnya hari perayaan. Di samping itu, amalan rumah terbuka dapat mengurangkan
perasaan rendah diri akibat perbezaan taraf hidup. Hal ini kerana apabila majlis rumah terbuka
dianjurkan, semua tetamu dijemput hadir tanpa mengira miskin atau kaya. Tuan rumah akan melayan
semua tetamu yang hadir dengan layanan yang sama rata. Dengan itu, mereka yang miskin akan
berasa dihargai dan gembira dengan layanan yang diberikan oleh tuan rumah.

Bayangan yang samar kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa
kepentingan serta kebaikan kepada negara dan masyarakat. Oleh itu, konsep rumah terbuka
perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan
dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila
menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk
mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin.
Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha untuk
menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.

Anda mungkin juga menyukai