Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Industri

Kraf Tangan
IDEA KARANGAN

1. Dapat menjadi sumber tambahan bagi menambahkan pendapatan penduduk


desa.

2. Dapat mempelbagaikan sumber ekonomi yang sedia ada di negara ini.

3. Membentuk masyarakat yang kreatif, inovatif serta mempunyai semangat daya


yang tinggi.

4. Memperbanyak peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat khususnya


penduduk desa.

5. Mengekalkan warisan dan budaya Melayu serta menyemai perasaan cinta akan
budaya Melayu.

CONTOH KARANGAN

Industri kraf tangan bukanlah antara kegiatan ekonomi gergasi di Malaysia. Hal ini
menyebabkan industri kraf tangan negara kian lenyap ditelan zaman. Mengapakah
keadaan ini berlaku? Sesetengah berpendapat bahawa kurangnya perhatian kerajaan
terhadap industri ini menjadikan masalah ini berlarutan. Kurangnya pengusaha-
pengusaha muda juga menyumbang kepada isu ini. Oleh itu, orang ramai
seharusnya sedar akan kepentingan industri ini meskipun industri ini berskala kecil.

Mari kita fokuskan minda kita kepada perkara yang pertama iaitu industri kraf
tangan dapat menjadi sumber kewangan kepada penduduk luar bandar. Seperti
mana yang kita sudah sedia maklum, terdapat jurang ekonomi yang besar antara
penduduk bandar dan penduduk luar bandar. Kegiatan industri kraf tangan pula
sering dijalankan oleh penduduk luar bandar. Apabila penduduk luar bandar mula
menceburi bidang ini, maka penduduk luar bandar dapat menjual produk ini dan
mendapat keuntungan yang berlipat-ganda.

Mari kita lensakan skop pemikiran kita kepada perkara yang seterusnya iaitu
kehadiran industri kraf tangan dapat mempelbagaikan kegiatan ekonomi yang
terdapat dalam negara. Industri kraf tangan bukanlah industri yang setanding
dengan industri pertanian atau pelancongan. Namun, jika hasil industri kraf tangan
dieksport ke luar negara, hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pendapatan
negara, malah dapat menjadi suatu keunikan di Malaysia.

Sementelahan itu, industri kraf tangan juga dapat membentuk masyarakat yang
kreatif, inovatif dan mempunyai daya semangat yang tinggi. Hal ini kerana
persaingan dalam industri kraf tangan amat sengit. Sesebuah hasil kraf tangan
hendaklah mempunyai nilai komersial dan reka bentuk yang mampu menarik
perhatian pembeli. Untuk menjadi pengusaha yang terbaik, maka pengusaha
tersebut haruslah mempunyai kualiti seperti kreatif dan mampu berdaya saing.

Mari kita luaskan takrifan minda kita kepada perkara yang seterusnya iaitu industri
kraf tangan dapat memperbanyak peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat
khususnya masyarakat desa. Tenaga kerja sememangnya diperlukan bagi
menghasilkan kraf tangan yang diperlukan bagi meningkatkan kadar
pengeluarannya. Kraf tangan membuka peluang kepada para remaja serta belia
untuk mengenali kraf tangan secara lebih mendalam melalui berbagai-bagai peluang
pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang ini. Selain itu, tenaga kerja yang terlatih
juga diperlukan bagi berkongsi ilmu tentang penghasilan sesuatu produk kraf
tangan. Hal ini dapat mewujudkan peluang bagi mereka yang hanya berkemahiran
dalam bidang tersebut khususnya penduduk desa yang kebanyakannya hanya
memperoleh kemahiran yang diturunkan oleh generasi terdahulu.

Ayuh kita maju ke hadapan dengan perkara yang terakhir iaitu industri kraf tangan
dapat mengekalkan warisan dan budaya Melayu serta menyemai perasaan cinta
akan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat. Arus pemodenan telah
menenggelamkan budaya tradisional masyarakat Melayu dalam diri remaja pada
masa kini. Oleh itu, peluang haruslah diberi kepada setiap lapisan masyarakat untuk
mengenali warisan dan budaya tersebut melalui konsep rekaan sesuatu kraf tangan
yang menggunakan bahan tempatan sebagai ramuan utama. Budaya masyarakat
Melayu juga dapat dipromosikan kepada negara-negara luar kerana kraf tangan itu
sendiri sudah melambangkan identiti negara yang masih mengekalkan warisan unik
secara turun-temurun.

Konklusinya, suatu jaringan kolaborasi haruslah diwujudkan untuk memajukan


industri kraf tangan negara.