Anda di halaman 1dari 4

Laporan Reflektif BIG

LAPORAN REFLEKTIF (TENTANG PROGRAM)

Ulasan Apa Yang Dialami Sepanjang Program

Di sepanjang program BIG siri 3/2013 bagi program DPLI GSTT 2013 yang telah diadakan di Kem
Alapong, Lundu, saya telah mengalami pelbagai peristiwa dan situasi yang cukup memberikan saya
pengalaman yang cukup berharga. Program selama 3 hari 2 malam ini telah diselitkan dengan aktiviti
dan program yang dapat menguji jiwa ketahanan diri guru-guru pelatih.

Di dalam tentatif program yang tertulis di dalam brosur, terdapat beberapa aktiviti utama
yang dirangka untuk guru-guru pelatih. Antaranya ialah aktiviti Keyakinan Air iaitu berkayak dan juga
Ice Breaking yang dijalankan pada waktu malam. Kedua-dua aktiviti ini dijalankan pada hari pertama.
Setelah menjalani aktiviti ini, saya merasakan sangat seronok terutamanya berkayak kerana sudah
sedia maklum saya memang tidak pandai berenang. Tambahan pula, aktiviti berkayak ini adalah
merupakan kayak saya yang pertama. Sudah tentu perasaannya lain dan berasa sangat seronok.
Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Pada aktiviti Ice Breaking pula, saya merasakan begitu
menguji sifat daya tahan dan kekentalan jiwa guru-guru pelatih. Ini kerana, guru-guru pelatih ketika
itu berada di dalam keadaan yang amat tertekan. Saya tidak terkecuali. Provokasi yang dikenakan ke
atas kami akhirnya berjaya juga menumpahkan air mata yang sememangnya amat sukar untuk
ditumpahkan. Ternyata berkat semangat berpasukan yang wujud di antara ahli-ahli kumpulan
berjaya mengikatkan tali sillaturrahim antara pasukan dan berjaya untuk mengharungi provokasi
tersebut dengan linangan air mata.

Antara aktiviti utama pada hari kedua pula diadakan aktiviti kembara pada waktu siang dan
pertandingan memasak dan refleksi yang dibuat pada waktu malam. Setelah menjalani aktiviti
tersebut, saya rasa sangat seronok. Walaupun perjalanan masuk ke hutan tidak begitu mencabar,
tetapi yang lebih mencabar di sini ialah aktiviti yang dilakukan setelah sampai di satu kawasan di tepi
sungai. Aktiviti memasak makanan di sana memerlukan kerjasama daripada setiap individu. Ia
sekaligus membuatkan kita peka terhadap masalah atau situasi yang timbul dan membuatkan kita
berusaha untuk mengatasinya. Saya ambil contoh yang mudah iaitu; jika ingin memasak makanan
kenalah sediakan unggun api. Maka, saya bertanggungjawab untuk mencari kayu api untuk dibuat
unggun api. Banyak lagi aktiviti-aktiviti di sana yang melibatkan tenaga ramai dan dapat kami
laksanakan dengan jayanya. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, saya berpendapat, setelah saya melalui aktiviti BIG ini, saya rasa aktiviti-
aktiviti yang direncanakan sesuai untuk dilaksanakan. Cabaran dan dugaan yang dirancang berupaya
untuk menguji sejauh mana kemantapan akhlak, nilai-nilai kerohanian dan keguruan, daya
ketahanan diri serta aura keguruan yang selaras dengan prinsip Rukun Negara, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru.

Cadangan Penambahbaikan Program


Pada pandangan saya, saya mencadangkan supaya aktiviti BIG seperti ini haruslah menyelitkan
aktiviti-aktiviti yang lebih lasak dan mencabar. Aktiviti-aktiviti ini mestilah cukup untuk menguji
ketahanan mental dan fizikal serta stamina dan daya tahan terhadap dugaan dan cabaran guru-guru
pelatih. Sebagai contoh, pada slot kem komanden, diselitkan aktiviti laluan berhalangan. Aktiviti ini
sangat popular untuk menguji tahap keberanian seseorang itu. Lebih mencabar, sekiranya dilakukan
pada hari malam. Di sini, kita akan dapat mengenalpasti siapa yang berani atau tidak.

Selain itu, program seperti ini haruslah dibuat dalam tempoh waktu yang memadai. Seperti yang kita
tahu, tempoh waktu kem ini adalah selama 3 hari 2 malam sahaja. Pada pandangan saya, tempoh
masa ini terlalu singkat untuk menilai hasil pencapaian guru pelatih secara individu. Bagi saya terlalu
awal untuk melihat perubahan dan nilai jati diri seorang guru pada diri seseorang. Ini belum
ditambah lagi dengan aktiviti-aktiviti yang belum cukup memberikan cabaran. Maka, pada hemat
saya, wajar sekiranya pada BIG akan datang untuk kumpulan yang lain, kita letakkan tempoh masa 4
hari 3 malam untuk tempoh masa program BIG. Lagi lama lagi bagus tetapi tidaklah melebihi 1
minggu. Tetapi, keberkesanan progam ini juga bergantung kepada pengisian aktiviti-aktiviti yang
diletakkan di dalam tentatif program. Tidaklah terletak 100% pada tempoh waktu yang dicadangkan.

Cadangan lain ialah, supaya para fasilitator lebih banyak meluangkan masa dengan guru
pelatih di dalam kumpulan dia sendiri. Ini saya sedari sendiri apabila fasilitator-fasilitator lebih
banyak meluangkan masa antara mereka sahaja dan bukan dengan kumpulan guru pelatih. Ini
kerana, pada konsep fasilitator itu sendiri lebih menekankan mengenai sikap membantu guru pelatih
di dalam kumpulan dan lebih banyak bersemuka dengan guru-guru pelatih yang ketandusan ilmu
dan pengalaman.

Cadangan lain ialah supaya aktiviti-aktiviti kem seperti BIG ini hendaklah dijalankan di tempat
yang berlainan. Ini adalah kerana, untuk program DPLI ini, telah 2 kali kami melawat ke Kem
Alapong. Selain semasa BIG minggu lepas, juga ketika Kem Unit Beruniform sewaktu di semester 2.
Oleh itu, untuk mewujudkan kepelbagaian suasana, maka elok sekiranya aktiviti BIG ini dilaksanakan
di tempat-tempat yang berlainan.

Ada banyak lagi cadangan yang wajar dilakukan pada aktiviti BIG akan datang yang dapat
menambahbaik program ini untuk kepentingan guru-guru pelatih khususnya.

Analisis Swot (Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman)

Terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan program BIG ini. Kekuatan dan kelemahan ini diharap
dapat dijadikan penilaian ke arah kemantapan program BIG akan datang.

Saya menyentuh mengenai kekuatan terlebih dahulu. Sepanjang program ini, saya dapat merasai
keberkesanan program pada slot Ice Breaking yang dikendalikan oleh Tuan Jackson Ambell. Di dalam
aktiviti ini, Tuan Jackson telah memperdengarkan kami dengan sebuah cerita mengenai seorang
guru dan murid serta kera peliharaannya. Pada slot ini, Tuan Jackson menjangkakan kami akan
tersentuh dan dapat menjiwai watak dan perwatakan yang ada dalam cerita tersebut. Namun,
suasana menjadi tegang kerana majoriti kami tidak dapat menjiwai cerita tersebut. Di samping itu,
kami umpama diberikan tekanan apabila Tuan memanggil beberapa orang guru pelatih ke hadapan
kerana dipercayai tidak memberikan apa-apa sumbangan terhadap aktiviti-aktiviti kumpulan, aktiviti
dan sebagainya. Suasana menjadi sangat tegang ketika itu. Ini ditambah lagi dengan kecuaian saya
memberikan amanah kepada fasilitator saya sehingga mengakibatkan ahli kumpulan saya berada
dalam keadaan terancam. Saya berasa sungguh tertekan ketika itu kerana tindakan di luar jangkauan
saya ketika itu. Namun, saya berasa sangat bersyukur kerana ia adalah gimik semata-mata untuk
menyambut hari jadi guru-guru pelatih yang berdiri di hadapan. Para fasilitator dan kem komanden
cumalah memprovok kami supaya kami dapat mencetuskan daya ketahanan guru dan aura-aura
keguruan kami ketika itu. Kes saya ketika itu cumalah modal untuk menghangatkan lagi provokasi
mereka. Namun, saya amat memuji pihak fasilitator dan kem komanden terutama sekali Tuan
Jackson kerana menghidupkan lagi provokasi mereka.

Selain itu, saya dapat merasakan kekuatan aktiviti melalui aktiviti berkayak yang dilangsungkan pada
hari kedua. Aktiviti yang sesuai dijalankan untuk menguji daya tahan dan tahap keberanian guru-
guru pelatih kerana saya pasti tidak semuanya boleh berenang dan berani untuk ke tengah lautan di
atas sebuah kayak yang kecil. Saya mengesyorkan agar pihak IPGKTAR tidak melepaskan peluang
untuk mengadakan aktiviti berkayak ini pada setiap aktiviti kem tidak kira kem BIG, kem Unit
Beruniform dan sebagainya.

Menyentuh mengenai kelemahan pula, selain daripada apa yang dinyatakan di atas, saya dapati
tiada peraturan yang ketat dilaksanakan di kem. Sebagai contoh, sewaktu setiap aktiviti dimulakan,
kem komanden akan memberikan ulasan terhadap ketepatan waktu samada kami datang tepat pada
waktunya atau pun tidak tanpa memberikan hukuman kepada sesiapa yang lewat. Perkara ini
berlarutan sehingga ke hari ketiga. Pada pandangan saya, untuk membuatkan guru-guru pelatih
lebih berdisiplin dan lebih menghargai masa, elok sekiranya kita tekankan dengan jelas akan
kepentingan menghormati masa dengan meletakkan hukuman. Hukuman tersebut tidak perlu
terlalu berat cukuplah sekadar memberikan peringatan kepada guru-guru pelatih agar menghargai
waktu agar proses aktiviti yang akan dijalankan seterusnya berjalan dengan lancar.

Kelemahan program BIG seterusnya ialah aktiviti yang tidak memberikan cabaran dan tidak menguji
daya tahan. Sebagai contoh, aktiviti di hari pertama iaitu Kembara Alam. Bagi saya, aktiviti masuk ke
dalam hutan ini tidak lah begitu menguji daya tahan dan kekuatan fizikal guru-guru pelatih. Kalau
ingin melaksanakan aktiviti masakan, di dalam kawasan kem pun sudah memadai ataupun di tepi
pantai. Ini belum lagi ditambah dengan aktiviti memasak yang dilaksanakan di hutan Kampung Bajo
tersebut. Setelah itu, ada lagi aktiviti pertandingan memasak yang dilaksanakan selepas aktiviti
berkayak pada hari kedua. Wujudkah kepelbagaian di dalam aktiviti? Selain itu, merentas kawasan
hutan juga bagi saya tidaklah begitu mencabar. Saya mencadangkan agar pihak pengurusan
merencanakan aktiviti yang pelbagai agar dapat menarik minat guru-guru pelatih dan seterusnya
memberikan pengalaman yang berharga kepada mereka.
Selain itu, kelemahan program BIG ini ialah, saya adalah individu yang mengikuti aktiviti Kembara
Alam pada hari pertama. Bagi saya, tidak wajar sekiranya guru-guru pelatih dipecahkan kepada 2
kumpulan. Kenapa saya berkata begini ialah, pada hari pertama cuaca sangat mendung. Ini
memberikan kelebihan bagi sesiapa yang menjalani aktiviti di pantai kerana tidak berpanas. Amat
malang bagi kumpulan kedua yang menjalani aktiviti di pantai pada hari kedua kerana cuaca yang
tersangat panas. Ini membuatkan kulit saya menjadi hitam membakar dan merah-merah. Kejadian
ini bukan terjadi kepada saya seorang sahaja. Ramai lagi rakan-rakan lain yang mengalami nasib yang
sama. Jika ingin menjadikan alasan tidak cukup tenaga pengajar pada satu-satu sesi tersebut, saya
kira itu bukan alasan yang munasabah kerana saya dapati ramai lagi fasilitator dan juga jurulatih-
jurulatih yang boleh menguruskan aktiviti berkayak sepenuhnya.

Terdapat beberapa lagi kelemahan-kelemahan program yang lain. Saya rasa sangat seronok
menjalani aktiviti-aktiviti seperti ini walaupun ianya kurang mencabar. Tetapi, saya berharap pada
masa akan datang pihak pengurusan akan lebih menitikberatkan mengenai kelemahan-kelemahan
program ini agar dapat membuat penambahbaikan untuk kepentingan guru-guru pelatih khususnya.
Insya Allah.

Yang benar,

_________________________

(Farid Izzuddin Bin Abdul Aziz)

DPLI-SR Bahasa Melayu,

Ahli Kumpulan 9