Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam


Negaraku Malaysia.

Yang Dihormati ,
En Saiful Adly bin Abd Wahab
Pengerusi Majlis Belia Daerah Tampin

Yang Berusaha
En Aminuddin bin Jaafar
Penolong Pegawai Pendidikan
Pejabat Pendidikan Daerah Tampin

En Khairul Amri bin Razak


Yang Dipertua PIBG SK Air Kuning Selatan

En Mohd Noor bin Ibrahim


Guru Besar
SK Kem Syed Sirajuddin

Sarjan Ab Aziz bin Ab Ghani


Pegawai Perhubungan Sekolah

Barisan Penolong Kanan SK Air Kuning Selatan

Para tetamu jemputan,barisan guru -guru, , Ahli JK PIBG, para Ibu bapa,
dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Hadirin yang dihormati,

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat illahi kerana dengan limpah dan


kurniaNya dapat kita berkumpul pada petang ini untuk menyaksikan
Kejohanan Sukan Sekolah kali ke-38 pada tahun ini. Saya bagi pihak
seluruh warga SK Air Kuning Selatan dan PIBG mengalu-alukan dan
mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu yang hadir bagi
memeriahkan majlis pada petang ini. Jutaan terima kasih daripada pihak
kami, atas kesudian tuan-tuan menerima undangan kami.
Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada En Saiful bin
Wahab atas kesudian untuk bersama-sama kami bagi menjayakan acara
sukan tahunan SKAS kali ke 38 bagi tahun 2017.

Sidang hadirin yang dihormati,

Sukan Tahunan merupakan kemuncak kepada semua aktiviti sukan


yang dijalankan di sekolah. Matlamat utama sukan tahunan adalah untuk
mengukur kemampuan murid bersukan di peringkat sekolah dan
seterusnya memilih bakal atlet yang berkemampuan untuk mewakili
sekolah ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Kepada murid-murid
yang terserlah kecemerlangannnya dalam bidang sukan diharapkan boleh
menjadi atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi
bagi mewakili daerah, negeri dan negara.

Pihak sekolah juga sentiasa mendukung hasrat KPM dengan


sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke arah pemupukan dan
membina bakat bagi murid yang berkecenderungan memilih kerjaya
mereka dalam apa jua bidang sukan.

Hadirin, hadirat, para tetamu jemputan serta murid-murid yang


dikasihi sekalian,

Sebagaimana yang kita semua tahu sukan adalah satu kaedah untuk
membina peribadi mulia dalam kalangan kita. Dengan memberi latihan
yang sepadu merangkumi minda, fizikal, otot, saraf, emosi dalam lain-lain
faktor sama ada dalaman atau luaran akan membentuk seorang murid
yang patuh dengan aturan dan secara tidak langsung mendidik seorang
atlet berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan membina jati diri
ke arah kepimpinan. Oleh itu konsep Membangun Modal Insan dan
memperkasa Sekolah melalui sukan amat bersesuaian dan perlu
diteruskan.

Kepada semua murid , tahniah saya ucapkan atas kegigihan


mengambil bahagian demi semangat berpasukan. Saya yakin semangat ini
jika dipindahkan ke dalam bilik darjah akan memberikan impak yang tinggi
kepada pencapaian akademik para pelajar.
Kepada ibu bapa, saya mengharapkan tuan-tuan memberikan
sokongan kepada anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti
kokurikulum kerana potensi dan penglibatan pelajar dalam bidang
kokurikulum akan membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam
bidang kurikulum.

Hadirin yang dihormati,

Sebagai mengakhiri ucapan sekali saya ingin mengambil


kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada En Saiful Adly Alumni SKAS yang sudi hadir utk merasmikan
kejohanan sukan kali ini. Beliau yang pernah suatu ketika dahulu
bersekolah di sini, pernah menimba ilmu di sekolah ini & merasai nostalgia
kesukanan, cuma keadaannya agak berbeza dahulu dan sekarang. Saya
amat mengharapkan anak-anak yang ada di hadapan saya ini menjadikan
kehadiran En Saiful Adly sebagai dorongan bagaimana kejayaan itu boleh
tercipta bermula dari bangku sekolah rendah lagi.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru SKAS yang berkorban
masa,tenaga, dan minda.

Akhir kata tahniah diucapkan kepada yang berjaya dalam acara yang
dipertandingkan. Ucapan terima kasih sekali lagi kepada semua individu
yang terlibat dalam menghulurkan sumbangan samada dalam bentuk
kewangan, tenaga atau buah fikiran khususnya kepada Kafiza Enterprise,
Puan Wan Dayang Suria Timbalan Ketua Wanita UNO Air Kuning Selatan,
Puan Nurhayati Binti Ahmad Munir Mantan PK1 SKAS bagi menjayakan
Kejohanan Sukan Tahunan pada kali ini.

Terima kasih kepada sarana ibu bapa yang sentiasa menyokong anak-
anak, dan terima kasih kepada murid yang amat bersemangat mengambil
bahagian dalam semua acara yang telah berlangsung pada hari ini.

SOKONGLAH KAMI WARGA SKAS untuk membentuk generasi masa


depan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang selaras dengan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah Assalamualaikum wbt.