Anda di halaman 1dari 5

Kesan globalisasi terhadap bidang pendidikan di negara ini

Posted on 25 Mei, 2009 by admin


Globalisasi merujuk kepada satu cara hidup dunia tanpa sempadan dan saling
berkaitan antara satu sama lain. Walaupun secara umumnya globalisasi itu lebih
memberi kesan kepada ekonomi dunia, namun bidang lain seperti pendidikan
tidak terkecuali.
Natijah daripada dunia tanpa sempadan, pendidikan di negara ini menjadi
terbuka kepada dunia luar sama ada untuk belajar mahupun menubuhkan
cawangan universiti asing di sini. Sudah tentu peluang yang sebegini akan
diambil oleh universiti luar, terutamanya yang terkemuka dan berprestij. Mereka
akan membuka cawangannya di negara ini. Walaupun cara ini merupakan suatu
persaingan yang sihat, namun institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih
belum bersedia untuk menghadapi situasi ini. Hal ini akan memberi kesan yang
besar kepada IPT tempatan, terutamanya Institusi Pengajian Tinggi Swasta
(IPTS). Para pelajar tentu akan memilih universiti luar yang terkemuka demi
pasaran kerja mereka. Hal seperti ini telahpun berlaku apabila graduan IPT luar
negara menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan IPT tempatan.
Dengan demikian juga, IPT tempatan akan mengalami masalah kekurangan
pelajar dan akhirnya membawa kepada penutupan IPT berkenaan, khususnya
IPTS yang bersaiz kecil.
Kesan globalisasi ini juga akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu. Hal ini berlaku kerana para pelajar mudah mendapat maklumat melalui
internet. Maklumat yang disebarkan melalui internet sebahagian besarnya dalam
bahasa Inggeris. Selain itu, cawangan universiti luar akan terus menjadikan
bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu
menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu
akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha
ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut.
Globalisasi akan memesatkan pengkomersilan pendidikan itu sendiri. Ahli
korporat pendidikan akan mengaut keuntungan melalui bidang pendidikan. Amat
dibimbangi jika hal ini berterusan dan tanpa kawalan, matlamat dan objektif asal
pendidikan akan terkorban. Demi mencapai keuntungan semata-mata, kualiti
pendidikan mungkin diabaikan. Masalah ini akan ketara apabila kelayakan
masuk pelajar tidak diambil berat seperti dikenakan syarat yang longgar,
pensyarah terdiri daripada mereka yang kurang terlatih dan kurang pengalaman,
kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang minimum, kualiti ilmu yang diajar
meragui dan lain-lain lagi.
Selain itu, pengkomersilan pendidikan seperti ini akan menafikan konsep
pendemokrasian pendidikan. Hanya pelajar yang mampu dari segi kewangan
sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran. Han ini hanya sekitar 20 peratus
sahaja bilangan pelajar bumiputera di IPTS berbanding ratusan ribu pelajar IPTS
keseluruhannya. Perkara ini jika tidak dibendung akan meluaskan jurang antara
golongan bumiputera dengan golongan bukan bumiputera. Selain itu, hanya
yang kaya sahaja akan dapat menikmati pendidikan tinggi, manakala yang
miskin dinafikan peluang mereka. Ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang
ingin melahirkan masyarakat berilmu tanpa mengira latar belakang agama dan
bangsa.
Kesan seterusnya yang akan timbul ialah penghayatan ilmu itu semakin terhakis.
Hal ini demikian kerana para pelajar hanya belajar ilmu sahaja tanpa menghayati
ilmu itu sendiri. Mereka belajar hanya untuk tujuan peperiksaan atau demi
memenuhi tugasan yang diberikan sahaja. Ini akan melahirkan generasi yang
cerdik pandai tanpa diimbangi dengan penghayatan ilmu itu sendiri. Akibatnya,
kemahiran yang mereka miliki mungkin akan digunakan untuk tujuan negatif
seperti melakukan pecah amanah, menipu dan sebagainya.
Kesimpulannya, semua pihak harus menyedari kesan globalisasi ini dan
bersedia dengan langkah yang komprehensif. Kita tidak boleh mengelak
daripada menghadapi globalisasi kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan.
Oleh itu, kita perlu bersedia untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud
daripada fenomena globalisasi ini.
Filed under: STPM | Tagged: globalisasi, Pendidikan | 12 Comments
Pendidikan hari ini gagal melahirkan insan yang seimbang?
Posted on 23 Mei, 2009 by admin
Tujuan utama Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang diluluskan pada
Disember 1988 adalah untuk memberikan pendidikan yang berterusan kepada
rakyat demi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani. Namun begitu, ada kalangan anggota masyarakat yang mendakwa
sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan kamil sebagaimana hasrat yang
termaktub dalam FPN.
Jika dilihat pada situasi masyarakat sekarang, anggapan sedemikian memang
ada benarnya. Kalau kita perhatikan, masyarakat hari ini hidup dalam keadaan
tertekan. Tertekan oleh jenayah yang dilakukan oleh mereka yang dulunya
pernah bersekolah. Gejala penagihan dadah, rompak, rogol, seks bebas dan
penyakit Aids yang melanda masyarakat hari ini adalah antara bukti kegagalan
sistem pendidikan kita. Dalam kes penagihan dadah misalnya, terdapat kira-kira
289,763 orang penagih dadah dikenal pasti sejak tahun 1988 hingga 2005.
Begitulah juga dengan penghidap HIV dan Aids yang telah meningkat hampir
80,000 orang sehingga Disember 2008. Gejala-gejala ini berlaku disebahkan
nilai murni yang diterapkan di sekolah gagal menarik mereka ke arah kebaikan.
Selain itu, jenayah kolar putih yang berlaku saban waktu dalam masyarakat kita
juga turut menggambarkan kegagalan sistem pendidikan kita. Dari segi ilmu dan
kemahiran, golongan ini merupakan yang terbaik. Kedudukan mereka yang stabil
dan mewah masih tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan jenayah.
Maka berlakulah kes kehilangan wang pelanggan di bank atau ATM, pemalsuan
cek, pemindahan wang syarikat ke akaun peribadi, rasuah dan sebagainya.
Semua ini berpunca daripada nilai agama dan moral yang rapuh bersarang di
dada mereka.
Seterusnya masyarakat kita hari ini lebih senang mengamalkan cara hidup Barat
atau moden dengan mengenepikan norma-norma hidup masyarakat Timur yang
terpuji. Kini, masyarakat kita lebih bersifat individualistik dan materialistik.
Semangat bergotong-royong, ziarah-menziarahi dan bertegur sapa sudah lenyap
daripada fikiran mereka. Ramai kalangan masyarakat sekarang yang pentingkan
hiburan, majlis-majlis jamuan dan parti yang biasanya diisikan dengan nyanyian,
tarian, minuam keras dan bertukar-tukar pasangan untuk seks. Gaya hidup
mereka kini sudah terbabas jauh daripada landasan sebenar. Semuanya kerana
nafsu mereka yang gagal dijinakkan oleh sistem pendidikan kita.
Kegagalan sistem pendidikan kita juga dapat dikesan apabila masyarakat hari ini
lebih mementingkan kejayaan dan kesempurnaan. Kejayaan memastikan
seseorang itu akan dihormati dalam masyarakat. Demi mendapatkan kejayaan,
seseorang itu tidak lagi menghormati orang tua. Malah ada yang sanggup
memperhamba orang tua sendiri di rumah. Lebih malang lagi apabila terdapat
anak yang rela ibu bapanya dihantar ke tempat lain untuk dibela oleh orang luar
seperti ke Rumah Sri Kenangan, Cheras. Dengan cara ini, anak-anak tidak perlu
menjaga ibu bapa mereka jikalau sakit. Mereka juga tidak payah lagi
menyediakan kos untuk sara hidup ibu bapa. Apa yang lebih penting, mereka
tidak lagi berasa malu apabila jiran-jiran dan kawan-kawan bertandang ke rumah.
Walau bagaimanapun, sistem pendidikan kita tidak gagal sepenuhnya dalam
melahirkan manusia yang berguna kepada bangsa dan negara. Kemunculan
tokoh-tokoh masyarakat seperti Dato Haji Hassan Din al-Hafiz, Profesor Diraja
Ungku Aziz, Dato Dr. Awang Had Salleh, Dato Dr. Fadhilah Kamsah dan ramai
lagi telah membuktikan hakikat ini. Dengan ilmu yang dimiliki, mereka tampil
untuk menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara. Dato Haji Hassan
dengan ilmu dan bimbingan agamanya, Profesor Diraja Ungku Aziz dengan
pelan tindakan ekonominya, Profesor Dato Dr. Awang Had Salleh dengan dunia
pendidikannya dan Dato Dr. Fadhilah Kamsah dengan bidang kaunseling dan
motivasi. Semuanya ada peranan masing-masing dalam membangunkan minda
masyarakat dan bangsa.
Kesimpulannya, kejadian rogol, bunuh, amuk, sumbang mahram, buang anak,
Aids, rasuah dan sebagainya menjadikan kita sangsi akan keberkesanan sistem
pendidikan kita. Beberapa tokoh akademik telah menyarankan agar sistem
pendidikan kita dirombak semula ada juga rasionalnya.
Filed under: STPM | Tagged: insan, Pendidikan, seimbang | Leave a comment
Kebaikan e-pembelajaran dalam bidang pendidikan
Posted on 14 Mac, 2009 by admin

Melalui konsep e-pembelajaran atau e-learning yang diperkenalkan ini, guru dan murid
tidak perlu lagi berinteraksi secara empat mata. Sebaliknya, proses berinteraksi berupaya
dilakukan pada jarak yang tiada sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan
komputer dan internet sebagai medium.
Sungguhpun demikian, pengaplikasian e-pembelajaran tidak bermaksud proses
pembelajaran akan menjadi lebih longgar dan kurang pengawasan hingga boleh
menjejaskan kualiti pendidikan yang disampaikan. Sebaliknya, e-pembelajaran
merangkum suatu program yang mapan, bukan saja mampu mengekalkan kualiti
pendidikan, malah mampu menjadi lebih terancang dan fleksibel jika diukur dan aspek
penilaian prestasi pelajaran dan pembelajaran yang dilangsungkan.
Konsep ini merupakan enjin e-pembelajaran mengikut masa sebenar yang dibangunkan
bagi mewujudkan kitaran pembelajaran yang menyamai proses pengajaran dan
pembelajaran secara fizikal, seperti yang diamalkan di sekolah. Pada masa yang sama,
konsep e-pembelajaran dapat mengenal pasti kelemahan setiap pelajar juga. Proses
mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar ini dapat dilaksanakan melalui latihan
dan profil pelbagai cumber pembelajaran. Malah, melalui latihan yang dijalankan melalui
talian, enjin ini mampu membuat penilaian terhadap kemampuan para pelajar dalam
setiap komponen dalam satu-satu mata pelajaran.
Misalnya, dalam pelajaran Bahasa Inggeris, para pelajar akan diberi ujian dalam setiap
komponen yang terdapat dalam subjek tersebut, termasuklah aspek tatabahasa,
pemahaman, dan sebagainya. Seterusnya, keputusan semua ujian tersebut akan dianalisis
secara automatik untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pelajar.
Pada masa yang sama, enjin ini juga turut menyediakan kemudahan kepada para guru
untuk mengubahsuai sistem sedia ada mengikut kesesuaian proses pengajaran mereka.
Misalnya, guru dapat menyesuaikan beberapa pilihan jawapan yng betul dan dapat
diterima untuk satu-satu soalan berbentuk subjektif. Beberapa kata kunci tertentu akan
dimasukkan ke dalam sistem oleh guru yang terlibat bagi membolehkan sistem tersebut
menandakan jawapan yang diberikan oleh pelajar mengikut kehendak guru yang
berkenaan.
Filed under: PMR | Tagged: e-learning, e-pembelajaran, Pendidikan | 2
Comments
Transformasi pendidikan
Posted on 2 Ogos, 2008 by admin

Oleh Rosniza Mohd Taha


Pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM tetap jadi ukuran masuk
institusi pengajian tinggi
TRANSFORMASI pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2010 menekankan
lebih 50 peratus pencapaian pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), manakala bakinya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata penekanan
lebih terhadap pencapaian SPM kerana ia faktor penentu kelayakan pelajar
memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, cadangan itu antara pendekatan transformasi pendidikan yang
akan dibentangkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein, bulan ini.
Kewujudan peperiksaan awam masih diperlukan untuk menilai tahap kebolehan
pelajar apabila sistem baru penilaian prestasi berasaskan sekolah dilaksanakan
mulai 2010.
Bagaimanapun, majoriti pemarkahan adalah berasaskan keputusan SPM
kerana ia berkaitan kemasukan pelajar ke IPT dan pasaran pekerjaan.
Peratusan pemarkahan dalam UPSR, PMR dan SPM ini antara perkara difokus
dalam perbincangan peringkat akhir sistem penilaian berasaskan sekolah
sebelum dibentang kepada Menteri Pelajaran untuk penambahbaikan dan
persetujuan, katanya selepas menjadi tetamu Program Laman Minda terbitan
TV Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan, di Kuala Lumpur, kelmarin.
Program membincangkan Hala Tuju Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
Menjelang 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 itu turut disertai
Pengarang Berita Pendidikan Berita Harian, Tamrin Anuar dan Ketua Wartawan
Pendidikan The Star, Karen Chapman.
Tahun lalu, Hishammuddin mengumumkan Kementerian Pelajaran akan
melakukan transformasi pendidikan mulai 2010 dengan melaksanakan sistem
penilaian prestasi pelajar berasaskan sekolah bagi mengatasi sistem pendidikan
kini yang berorientasikan peperiksaan.
Menerusi sistem itu, penilaian pelajar dibuat secara berterusan berdasarkan
prestasi mulai Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dalam pelbagai aspek, selain
peperiksaan.
Hishammuddin menjelaskan, sekurang-kurangnya lima pendekatan akan
dilaksanakan menerusi sistem berkenaan iaitu taksiran psikometrik atau
personaliti pelajar, kegiatan kokurikulum, penilaian peperiksaan peringkat
sekolah, penilaian peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia serta penilaian
peperiksaan awam.
Mengenai projek rintis sistem penilaian prestasi berasaskan sekolah di kalangan
murid Tahun Satu, Alimuddin menjelaskan ia membabitkan 50 sekolah rendah
seluruh negara dilaksanakan sejak Jun lalu dan akan diperluas ke 500 lagi
sekolah tahun depan.
Ehsan: Berita Harian (1 Ogos 2008)

Anda mungkin juga menyukai