Anda di halaman 1dari 7

MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

TAJUK 3 SAHSIAH GURU MUSLIM

Sinopsis

Semoga anda terus bersemangat untuk mengkaji dan memahami isi pelajaran dalam tajuk
adab dan akhlak muslim khususnya mengenai sahsiah guru muslim. Dalam kursus ini, beberapa aspek
penting membincangkan dan mendedahkan tentang sahsiah guru muslim , menganalisis persekitaran
pembelajaran yang bersesuaian dengan peranan guru sebagai muallim,muaddib, murshid dan murabbi.
Mensintesis maklumat daripada pelbagai sumber untuk memperolehi pemahaman yang sesuai dengan
tugas guru sebagai pendakwah, membincangkan adab guru dengan murid, bentuk komunikasi serta
isu-isu semasa meliputi akhlak guru dan akhlak pelajar serta cara menanganinya.

Hasil pembelajaran

Pada akhir tajuk ini, pelajar-pelajar diharapkan dapat:

i Menganalisis persekitaran pembelajaran yang bersesuaian dengan peranan guru sebagai


muallim,muaddib, murshid, dan murabbi .

ii. Mengaplikasi komunikasi dengan murid dan masyarakat dengan pelbagai cara secara efektif
dan berkesan.

iii. Menangani pelbagai cabaran dalam pendidikan

vi. Menganalisis persekitaran pembelajaran yang bersesuaian dengan peranan guru sebagai
pendakwah

v. Menjelaskankan isu-isu semasa berkaitan salah laku guru dan pelajar serta kaedah
menanganinya.

50
MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

3.1 Peranan Guru

Guru sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat tentulah mempunyai tugas yang banyak serta
memegang peranan yang penting di dalam masyarakat. Tugas guru bukan sahaja mengajar atau
memberi ilmu pengetahuan kepada murid-murid, malah guru juga ditugaskan untuk memberi
pendidikan yang berkesan kepada generasi muda. Untuk melaksanakan segala tugas tersebut, guru
mestilah membuat persediaan mengajar, mesti membaca, mesti membetulkan kerja-kerja murid dan
mesti membuat persediaan untuk peperiksaan. Guru juga mesti membuat berbagai-bagai penyelidikan
untuk mendapatkan maklumat-maklumat baru supaya dengan mudah dapat mencapai matlamat
pengajarannya dengan lebih sempurna dan berkesan. Guru berperanan sebagai pendidik, pemimpin
masyarakat pembimbing dan pengajar. Mereka diharapkan memimpin generasi muda ke arah
kehidupan yang selamat dan sejahtera.

Orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya, bagaikan sebuah daftar yang berguna
kepada orang lain, tetapi ia sendiri kosong daripada ilmu, atau bagaikan batu asahan yang dapat
menajamkan besi, sedang ia sendiri tetap tumpul; ia laksana sumbu lampu, bila orang menyalakannya,
ia memberi cahaya selalu, tetapi hangus membakar dirinya.

Belajar dan mengajar adalah tanggungjawab yang difardukan ke atas umat Islam. Orang-orang yang
memiliki ilmu pengetahuan berkewajipan menyampaikan ilmu kepada orang yang memerlukannya.
Tugas menyampaikan ilmu Allah kepada seluruh masyarakat, samada dalam bentuk fardu ain atau
fardu kifayah untuk keperluan individu serta masyarakat merupakan tugas utama para ulama dan
ilmuan Islam. Menyampaikan ilmu secara sukarela dan ikhlas semata-mata untuk mendapatkan
keredaan Allah s.w.t. merupakan satu jihad yang tertinggi di mata Islam.

Guru adalah golongan yang ditugaskan untuk menyemaikan semangat keislaman yang tulen ke dalam
jiwa murid-murid. Dalam erti kata lain, guru Islam terlibat secara langsung di dalam pendidikan
Islam di sekolah-sekolah. Kerana itu kita perlu mencapai prestasi yang tinggi. Bagi mencapai tahap
kejayaan yang maksimum kita haruslah mengatur strategi pengajaran yang rapi serta mengambil kira
segala keperluan semasa supaya apa yang kita sampaikan itu dapat menyaingi segala teknik-teknik
baru yang diaplikasikan oleh orang lain.

51
MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

Peranan
Guru

Muallim Mudarris Muaddib Murabbi Murshid

3.1.1 Guru Sebagai Muallim.

Muallim berasal dari perkataan Arab yang bererti guru. Ia juga bermaksud pengajar yang
mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang muallim lebih menumpukan kepada
ilmu akal. Sebagai guru yang bersifat muallim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta
ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam proses melahirkan insan bermoral. Mu`allim
merujuk kepada peranan guru dalam bilik darjah untuk memberitahu, mengajar, memindah dan
menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada para pelajar sama ada
melalui latihan, arahan atau sebarang bentuk pengajaran yang dirancang. Proses talim merangkumi
juga adab berilmu yang akan mencorak dan mewarnai pembentukan dan pembangunan diri para
pelajar sebagai insan soleh.

Sebagai seorang muallim, guru mestilah mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kecekapan
bidang. Seseorang guru efektif semestinya mempunyai kecekapan yang mendalam dalam bidang atau
subjek yang diajar. Guru perlu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang
komprehensif terhadap bidangnya. Guru seharusnya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran dalam subjek diajar agar sentiasa kemaskini, menarik, bertenaga dan inspirasional. Ada
kalanya pelajar bertanya perkara melebihi sukatan pelajaran atau kurikulum yang tertera dalam buku
teks.

Sekiranya guru berkebolehan menjawab dengan tepat bersama fakta dan bukti kukuh, pasti
akan menimbulkan minat, keyakinan dan kecenderungan pelajar untuk mengikuti lanjutan
epistemologi disiplin tersebut. Lebih menarik dan efektif sekiranya guru dapat menghidupkan ilmu
berkenaan dan mengaitkan dalam kehidupan pelajar. Pelajar akan melihat dan menilai ilmu yang
dipelajari adalah berguna untuk dirinya pada masa ini dan akan datang. Pengetahuan dan kecekapan

52
MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

guru akan teruji apabila mengendalikan persoalan pelajar. Justeru sesetengah guru cuba mengelak
daripada soalan pelajar.

Gerak kerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat
mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi,
berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan
pembelajaran, cemerlang dalam mengurus bilik darjah dan menampakkan personalit yang optimum,
berupaya meningkatkan prestasi murid dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan
murid terhadap kemampuan guru.

3.1.2 Guru sebagai Mudarris

Mudarris dikaitkan dengan tugas guru yang melaksanakan peranan membimbing dan mendidik.
Seorang mudarris merupakan individu yang mampu mendidik murid-muridnya sehingga benar-benar
berpengetahuan dan mendapatkan pengajaran (learned and learnt) tentang sesuatu yang boleh
dimanfaatkan dalam kehidupannya. Murid yang terdidik bukan sahaja memperolehi ilmu pengetahuan
tetapi dapat memahami perkara-perkara yang tersirat daripada bahan yang dipelajari. Ini bermakna
murid terdidik, jika dilihat dari perspektif Taksonomi Bloom, sebenarnya telah mencapai ke tahap
mampu untuk mengaplikasi dan melakukan analisis tentang perkara yang diperolehi daripada
gurunya. Sekali gus menggambarkan peranan seorang Mudarris ialah membimbing dan mendidik
murid untuk sampai kepada darjah pemikiran sekurang-kurangnya pada peringkat aplikasi hingga ke
tahap penilaian iaitu berkeupayaan untuk membuat pertimbangan antara baik dan buruk, antara benar
dan salah, antara berfaedah atau berguna dan tidak, antara kebajikan dan kerusakan. Sejauh mana
sebenarnya guru Pendidikan Islam telah melaksanakan peranan sebagai mudarris atau sekadar
menyampaikan ilmu dan kemahiran setakat pengetahuan dan kefahaman? Jawapannya ada pada diri
guru itu sendiri.

Dengan mengajar sehingga tahap aplikasi, sintesis dan penilaian, bermakna peranan seorang Mudarris
juga ialah mempertingkatkan keupayaan murid untuk berfikir pada tahap tinggi yang dapat
membolehkan murid membuat keputusan berdasarkan kriteria, syarat dan situasi mengikut konteks
serta mampu untuk membuat keputusan yang boleh mendatangkan faedah atau kesan positif kepada
dirinya dan orang lain (termasuk persekitarannya). Tidak akan sampai ke tahap Mudarris seorang guru
yang sekadar menyampaikan atau memindahkan ilmu pengetahuan (masih terdapat ramai individu
yang berilmu pengetahuan tentang perlakuan yang tidak baik dan boleh merusakkan tetapi masih terus
berkelakuan demikian contohnya amalan rasuah). Untuk melaksanakan peranan seorang Mudarris,
guru Pendidikan Islam perlu berfungsi sebagai seorang pendorong, fasilitator, pemandu /
pembimbing, jurulatih yang berkesan, agen perubahan sosial dan pembentuk budaya masyarakat.

53
MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

3.1.3 Guru sebagai Muaddib

Muaddib (Tadib) berasal dari perkataan adab iaitu bererti budi pekerti. Muaddib juga membawa
maksud yang hampir kepada istilah mentor. Muaddib adalah pemupuk adab, akhlak, nilai atau proses
pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan muaddib adalah
menyiapkan muaddab yang dapat melaksanakan pekerjaan berat yang diletakkan di atas bahu mereka
pada masa hadapan. Guru muaddib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti
mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Muaddib mempunyai budi pekerti yang tinggi, membina
kecergasan akal dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitik beratkan
potensi insan berakhlak mulia dan seimbang.

Muaddib merujuk kepada peranan guru di dalam bilik darjah untuk mengasuh, mendidik,
membentuk, membimbing, menanam, menyuci, menitis dan menyuburkan akhlak mulia, disiplin,
tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan dalam pembinaan dan pembangunan diri para pelajar.
Proses tadib ini bersumberkan wahyu Allah SWT. Manakala nilai tadib yang cuba diterapkan dalam
diri para pelajar adalah bersifat mutlak, muktamad, kekal abadi dan suci, serta diasaskan kepada
keimanan yang kukuh kepada Allah SWT.

3.1.4 Guru Sebagai Murabbi

Murabbi dalam Islam membawa maksud yang lebih luas melebihi tahap muallim. Konsep
Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa
yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan
mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Guru murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu,
sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Tugas murabbi lebih berlegar di
hati. Spiritual Quotient (SQ) dapat dibentuk di dalam diri murid-murid kerana pengajaran berbentuk
nilai murni ini boleh diperkukuhkan dengan memberi kesedaran, keyakinan dan juga melalui amalan.

Murabbi pula merujuk kepada peranan guru di dalam bilik darjah untuk menjaga,
membesarkan, mencurahkan kasih sayang, mendidik, mengajar, menyubur dan memelihara fitrah para
pelajar serta memupuk bakat dan kebolehan yang wujud dalam diri mereka secara beransur-ansur agar
dapat berkembang dengan baik selaras dengan kematangan yang dilalui oleh para pelajar tersebut.
Guru berperanan merealisasikan pembentukan dan pembangunan para pelajar dari pelbagai aspek
(iaitu rohani, jasmani, intelek, emosi dan sosial) agar dapat melahirkan insan soleh yang berakhlak
mulia menurut kaca mata Islam.

54
MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

Peranan guru Pendidikan Islam sebagai murabbi melibatkan proses mendidik, memelihara dan
membentuk pelajar sehingga wujud rasa kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka.
Antara ciri-ciri guru murabbi menurut al-Ghazali adalah:

1) Menyayangi pelajar dan memperlakukan mereka seperti anak sendiri.

2) Sentiasa menasihati pelajar dalam segala hal termasuk pembelajaran dan perlakuan
Mereka.

3) Menjaga disiplin pelajar dengan menggunakan pendekatan mencegah dan menegur secara baik
terhadap perlakuan maksiat dan juga menggalakkan perlakuan makruf secara kasih sayang. Bagi
Ahmad Mohd Salleh (1997) pula, antara ciri-ciri guru murabbi adalah:

a) Mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar.

b)Bersikap adil terhadap pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga, keupayaan akademik, dan
ekonomi.

c) Merahsiakan maklumat sulit pelajar kecuali kepada yang berhak.

d)Bersedia membimbing pelajar serta menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku
sebagai contoh yang baik kepada pelajar.

3.1.5 Guru Sebagai Murshid

Mursyid bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam
bidang kerohanian. Mursyid secara istilahnya merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin
dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiah
yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin).
Tugas membentuk kepimpinan insan merupakan tugas yang berat dan perlu dilaksanakan oleh guru.

Mursyid merujuk kepada aspek kepimpinan guru dalam bilik darjah untuk menjaga,
menasihati, mengarah, membimbing dan memberi petunjuk kepada para pelajar ke arah pembentukan
dan pembangunan diri sebagai insan soleh. Konsep irsyad lebih memfokuskan konsep kepemimpinan
Rasulullah SAW dalam proses mendidik dan membimbing para sahabat. Guru yang mursyid ialah
guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas sebagaimana Rasulullah saw dalam proses
mendidik dan membimbing para sahabat. Al-Balabakki (1995) mendefinisikan penasihat yang ikhlas
dalam Bahasa Inggeris dipanggil mentor. Menurut Saedah Siraj et.al (1996) mentor berperanan
sebagai pengajar, penasihat, pendorong dan membantu seseorang di bawah asuhannya untuk
berkembang dan mencapai kecemerlangan.

Beberapa aspek peranan guru mursyid boleh dilihat dalam layanan seorang mentor kepada
pelajar-pelajarnya. Kajian ke atas konsep mentor oleh Bova dan Philips yang dirumuskan oleh Saedah

55
MPU20142 PENDIDIKAN ISLAM

Siraj et al. (1996) menunjukkan mentor memiliki status berikut, iaitu sebagai seorang yang memiliki
status yang agak tinggi dan sedia memberikan bimbingan sepenuhnya; Tokoh pemindah yang
berperanan untuk perkembangan seseorang iaitu gabungan peranan ibu bapa dan rakan sebaya; Model
contoh dan penasihat kepada pelajar; bertindak sebagai pembimbing, jurulatih, tutor dan pendorong
pelajar; bersifat murah hati, ikhlas, penyayang, mengambil berat orang lain, pendengar yang baik dan
mencurahkan rasa hati; bersifat sentiasa menerima dan bertanggungjawab; berkongsi impian dengan
anak didik dan membina persepsi kendiri yang ceria; dan Orang yang sangat berpengaruh terhadap
anak didiknya.

TUGASAN

Bincangkan tentang peranan guru sebagai muallim, murabbi dan mudarris


dalam memperkasakan Pendidikan Islam sekaligus melahirkan modal
insan berteraskan JERIS

56

Anda mungkin juga menyukai