Anda di halaman 1dari 37

ANALISIS RUANG DAN MASA BAGI KAJIAN TANAH

RUNTUH SEPANJANG LEBUHRAYA TIMUR BARAT

NAZIRAH BINTI AZIZAT

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA


2015
ANALISIS RUANG DAN MASA BAGI KAJIAN TANAH

RUNTUH SEPANJANG LEBUHRAYA TIMUR BARAT

oleh

NAZIRAH BINTI AZIZAT

Tesis yang diserahkan untuk


memenuhi keperluan bagi
Sarjana

September 2015
PENGHARGAAN

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaNya saya dapat menyiapkan

tesis sarjana ini. Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi di sepanjang

kajian ini dijalankan namun berkat kesabaran dan dorongan dari insan-insan yang

sentiasa memberi galakan tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kajian

ini dengan jayanya.

Ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof. Dr. Habibah bt. Hj. Lateh

sebagai penyelia utama saya serta Dr. Lea Tien Tay dan Dr. Izham Mohamad Yusoff

sebagai penyelia bersama kerana tanpa jemu memberi tunjuk ajar, teguran, dan nasihat

yang sangat berguna di dalam kajian ini. Penghargaan ini juga ditujukan kepada semua

pihak di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh dengan memberi perkhidmatan dan

kerjasama dalam menjayakan kajian ini.

Setinggi-tinggi perhargaan turut diucapkan kepada kedua ibu bapa saya iaitu

Azizat bin Isa dan Sham bt. Shawal kerana sudi memahami keadaan saya semasa

menjalankan kajian ini. Galakan dan kata-kata semangat dari suami tercinta iaitu Badrul

Hisham b. Ali amat saya hargai. Akhir sekali, khas buat sahabat-sahabat seperjuangan,

Siti Nursaila bt. Alias, Nurul Huda bt. Abd. Halim, Siti Syaida bt. Sirat yang sering

berada bersama dalam keadaan susah dan senang serta memberi buah fikiran sentiasa

saya ingati.

ii
SENARAI KANDUNGAN

Page

PENGHARGAAN .... ii

SENARAI KANDUNGAN .. iii

SENARAI JADUAL vii

SENARAI RAJAH .. viii

ABSTRAK . xi

ABSTRACT ... xiii

BAB 1 PENGENALAN

1.1 Pengenalan kepada Kajian ................................................. 1

1.2 Pernyataan Masalah ....................... 4

1.3 Objektif Kajian ....... 6

1.4 Persoalan Kajian ................ 7

1.5 Skop Kajian.......................................................................................... 7

1.6 Kawasan Kajian .. 7

1.7 Kepentingan Kajian .. 11

1.8 Rangka Kerja Konseptual Kajian .... 11

1.9 Rumusan .......... 12

BAB 2 SOROTAN KAJIAN

2.1 Pendahuluan . 14

2.2 Definisi Operasi...................................................... 14

2.2.1 Tanah Runtuh................................................................................ 14

2.2.2 Konsep Bahaya Tanah Runtuh ....................................................... 16

iii
2.3 Faktor-faktor Mempengaruhi Kejadian Tanah Runtuh ............ 18

2.3.1 Faktor Topografi ................................................................. 18

2.3.2 Faktor Geologi ................................................ 22

2.3.3 Faktor Tekstur Tanah ............................................ 23

2.3.4 Faktor Hidrologi ....................................... 25

2.3.5 Faktor Vegetasi ...................................................... 26

2.3.6 Hujan ...................................................................... 27

2.4 Faktor Dominan dalam Kajian Tanah Runtuh ..................................... 28

2.5 Pemetaan Zon Tanah Runtuh .............................................................. 28

2.6 Kaedah Penilaian Tanah Runtuh ......................................................... 29

2.6.1 Kaedah Nisbah Frekuensi .......................................................... 31

2.6.2 Kaedah Indeks Statistik ............................................................. 32

2.7 Analisis Masa ............................................................................... 33

2.7.1 Model Fizikal ............................................................................ 35

2.7.2 Kaedah Empirikal ................................................................. .... 35

2.8 Rumusan ....................................................................................... .... 37

BAB 3 METODOLOGI

3.1 Pendahuluan. 38

3.2 Kerangka Konseptual Kajian................................................................. 38

3.3 Penyediaan Data dalam Pemetaan Tanah Runtuh .. 39

3.3.1 Peta Asas dan Lokasi Tanah Runtuh .............. 39

3.3.2 Peta Tekstur Tanah, Peta Litologi Batuan dan Peta Umur Batuan 44

3.3.3 Peta Ketinggian, Kecuraman Kecerunan, Peta Aspek Cerun, Peta

Lengkungan Cerun ... 55

iv
3.3.4 Peta Jarak diantara Titik Tanah Runtuh dengan Sesar dan Saliran 72

3.3.5 Peta Taburan Hujan..................................................................... 79

3.3.6 Peta NDVI .......................................................................... 80

3.4 Pemetaan Zon bahaya Tanah Runtuh .................................................. 87

3.4.1 Nisbah Frekuensi ............................................ 87

3.4.2 Indeks Statistik .. 88

3.4.3 Pengelasan Semula Indeks Bahaya Tanah Runtuh..................... 89

3.5 Perbandingan Antara Kaedah .............................................................. 90

3.6 Analisis Sensitiviti ................................................... 90

3.7 Analisis Masa ........................................................... 91

3.6.1 Hujan Anteseden Mutlak ............................................................ 91

3.6.2 Kala Kembali (Return Period) ................................................... 93

3.6.3 Nilai Kritikal Berkaitan Tanah Runtuh ...................................... 95

3.6.4 Intensiti Hujan Ternormal ...................................................... 96

3.8 Rumusan ....................................................................................... .... 96

BAB 4 KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN

4.1 Pendahuluan ...... 97

4.2 Analisis Ruangan ......... 97

4.3 Pemetaan Zon Bahaya Tanah Runtuh Menggunakan Nisbah Frekuensi 97

4.4 Pemetaan Zon Bahaya Tanah Runtuh Menggunakan Indeks Statistik 106

4.5 Perbandingan Antara Kaedah ....................... 113

4.5.1 Ketepatan Analisis ...................................................... 113

4.5.2 Ketepatan Ujian ......................................... ................................ 114

4.6 Analisis Sensitiviti Terhadap Faktor Kejadian Tanah Runtuh .. 115

v
4.7 Analisis Masa........................................................................................ 128

4.7.1 Data Hujan .................................................................. 129

4.7.2 Hujan Anteseden Mutlak dan Kala Kembali ..................... 130

4.7.3 Analisis Takat Ambang Hujan (Intensiti Tempoh)..................... 136

4.7.4 Intensiti Hujan Ternormal ..................................................... 137

4.7.5 Rumusan..................................................................................... 138

BAB 5 KESIMPULAN DAN CADANGAN ............................................... 141

5.1 Pendahuluan......................................................................................... 141

5.2 Sumbangan dan Cadangan................................................................... 143

SENARAI RUJUKAN ... 145

vi
SENARAI JADUAL

Muka Surat

Jadual 1.1 Kejadian Tanah Runtuh Yang Berlaku Di Malaysia 2

Jadual 2.1 Jenis Pergerakan Tanah Runtuh 15

Jadual 3.1 Jenis Litologi 45

Jadual 4.1 Nisbah Frekuensi Pada Setiap Faktor Kejadian Tanah Runtuh 98

Jadual 4.2 Indeks Statistik Pada Setiap Faktor Kejadian Tanah Runtuh 101

Jadual 4.3 Ketepatan Ramalan Bagi Nisbah Frekuensi dan Indeks 106
Statistik

Jadual 4.4 Ketepatan Ujian Bagi Nisbah Frekuensi dan Indeks Statistik 108

Jadual 4.5 Analisis Sensitiviti Menggunakan Kombinasi Faktor Yang 116


Berbeza

Jadual 4.6 Pembinaan semula hujan anteseden mutlak dari 1 hingga 15 132
hari dan kala kembali bagi 20 tahun bagi setiap peristiwa
tanah runtuh di sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli (analisis
hujan bagi ID01-ID13 menggunakan data hujan dari stesen
Kuala Kenderong manakala ID14-ID20 menggunakan data
hujan dari stesen Kg. Jeli. R: hujan(mm); R.P. : Kala Kembali
(tahun). Kritikal jumlah hujan-tempoh telah dihitamkan.

vii
SENARAI RAJAH

Muka Surat

Rajah 1.1 Peta Lokasi Lebuhraya Timur Barat (Gerik-Jeli) 10


Rajah 1.2 Rangka Kerja Konseptual Kajian 13

Rajah 2.1 Lengkungan Plan 20

Rajah 2.2 Lengkungan Profil 21

Rajah 2.3 Carta Analisis Tekstur Tanah USDA 25

Rajah 3.1 Peta Asas dan Lokasi Tanah Runtuh 41

Rajah 3.2 Peta Tekstur Tanah 46

Rajah 3.3 Peta Litologi Batuan 49

Rajah 3.4 Peta Umur Batuan 52

Rajah 3.5 Carta Aliran Penghasilan Peta Kecuraman Cerun, Aspek Cerun dan

Lengkungan Profil dan Mendatar 55

Rajah 3.6 Peta Ketinggian 57

Rajah 3.7 Peta Kecuraman Cerun 60

Rajah 3.8 Peta Aspek Cerun 63

Rajah 3.9 Peta Kelengkungan Plan 66

Rajah 3.10 Peta Kelengkungan Profil 69

Rajah 3.11 Penghasilan Peta Sesar dan Sungai 72

Rajah 3.12 Peta Jarak Lokasi Tanah Runtuh dari Sesar 73

Rajah 3.13 Peta Jarak Lokasi Tanah Runtuh dari Saliran 76

Rajah 3.14 Carta Aliran Penghasilan Peta Purata Hujan Tahunan 79

Rajah 3.15 Peta Taburan Hujan 81

Rajah 3.16 Peta NDVI 84

Rajah 4.1 Probabiliti Tanah Runtuh dan Pengelasan Zon 101

Rajah 4.2 Peta Bahaya Tanah Runtuh Menggunakan Kaedah Nisbah


viii
Frekuensi 103

Rajah 4.3 Probabiliti Tanah Runtuh dan Pengelasan Zon 109

Rajah 4.4 Peta Bahaya Tanah Runtuh Menggunakan Kaedah Indeks

Statistik 110

Rajah 4.5 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Jenis

Litologi 118

Rajah 4.6 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Jenis

Kelengkungan Menegak 119

Rajah 4.7 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Jarak

Dari Saliran 120

Rajah 4.8 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Nilai

NDVI 121

Rajah 4.9 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Jarak

Dari Sesar 122

Rajah 4.10 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Jenis

Kelengkungan Mendatar 123

Rajah 4.11 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Jumlah

Hujan Tahunan 124

Rajah 4.12 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Umur

Batuan 124

Rajah 4.13 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Tekstur

Tanah 125

Rajah 4.14 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Ketinggian

Topografi 126

Rajah 4.15 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut Aspek

Cerun 127
ix
Rajah 4.16 Peratusan Tanah Runtuh dan Nisbah Frekuensi Mengikut 128

Kecuraman Cerun

Rajah 4.17 Purata Hujan Tahunan Bagi Tiga Stesen iaitu Kuala Kenderong, 129

Air Banun dan Kg. Jeli

Rajah 4.18 Graf ln[-ln C(U)] terhadap hujan maksimum tahunan dalam 1 hari 134

(a), 2 hari (b), 3 hari (c), 5 hari (d), 10 hari (e), dan 15 hari (f) bagi

Stesen Kuala Kenderong dari tahun 1980-2009

Rajah 4.19 Graf ln[-ln C(U)] terhadap hujan maksimum tahunan dalam 1 hari 135

(a),2 hari (b), 3 hari (c), 5 hari (d), 10 hari (e), dan 15 hari (f) bagi

Stesen Kg. Jeli dari tahun 1980-2009 (kecuali tahun 2001, 2002, 2003)

Rajah 4.20 Kritikal Intensiti Hujan Terhadap Tempoh Hujan Bagi Stesen Air

Kenderong (a) Dan Kg. Jeli (b) 139

Rajah 4.21 Takat Ambang Hujan Bagi Intensiti Hujan Ternormal-Tempoh Untuk

Stesen Kuala Kenderong (a) dan stesen Kg. Jeli (b) 140

x
ANALISIS RUANG DAN MASA BAGI KAJIAN TANAH RUNTUH

SEPANJANG LEBUHRAYA TIMUR BARAT

ABSTRAK

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di tepi jalan dan lebuhraya telah menyebabkan

gangguan aliran trafik yang teruk serta kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Oleh itu, penilaian kejadian tanah runtuh perlu dijalankan melalui analisis secara

ruangan dan masa. Kajian ini adalah bertujuan untuk menghasilkan peta bahaya tanah

runtuh di sepanjang Lebuhraya Timur Barat (Gerik-Jeli) menggunakan kaedah nisbah

frekuensi dan indeks statistik. Data ruangan yang penting seperti geologi, hujan,

kecuraman cerun, tekstur tanah, saliran, kelengkungan profil, kelengkungan mendatar,

NDVI, garis sesar, ketinggian, umur batuan, dan aspek cerun digunakan dalam

menghasilkan peta bahaya tanah runtuh. Perbandingan diantara dua kaedah ini disahkan

menggunakan analisis sensitiviti. Dapatan daripada kajian menunjukkan bahawa nisbah

frekuensi adalah lebih jitu daripada indeks statistik dan boleh digunakan sebagai cara

yang mudah dalam penilai tanah runtuh bagi pemetaan tanah runtuh. Litologi dan

kelengkungan profil pula adalah faktor yang paling dominan di dalam mempengaruhi

kejadian tanah runtuh. Selain itu, kajian ini juga membincangkan analisis masa dalam

kajian tanah runtuh di kawasan kajian. Analisis masa menggunakan data hujan yang

mencetuskan kejadian tanah runtuh dengan menentukan takat ambang hujan

menggunakan data hujan harian dari Stesen Kuala Kenderong dan Stesen Kg. Jeli.

Persamaan dalam analisis regresi pada hujan yang mencetuskan tanah runtuh di

kawasan kajian adalah Ri= 3.8503D0.4753 bagi Stesen Kuala Kenderong and Ri =

40.49D0.36787 bagi Stesen Kg. Jeli dimana Ri adalah intensiti hujan (mm/hari) manakala

D adalah tempoh hujan dalam bilangan hari.

xi
SPATIAL AND TEMPORAL ANALYSIS OF LANDSLIDE ALONG EAST
WEST HIGHWAY

ABTRACT

Landslide that occurred on the roadside and highways has caused a severe traffic

disruption and properties damage and also loss of life. Therefore, landslide assessment

should be carried out through the analysis of spatial and temporal. The purpose of this

study is to produce a landslide hazard mapping along East-West Highway using

frequency ratio and statistical index methods. The essential spatial data such as

geology, rainfall, slope angle, soil texture, stream, profile curvature, plan curvature,

NDVI, fault line, elevation, age of rock and slope aspect were used in producing of

landslide hazard map. The comparisons for these two methods were verified using

sensitivity analysis. The results obtained from this study showed that frequency ratio

have a higher accuracy rather than statistical index and can be used as a simple tool in

landslide assessment of landslide hazard mapping. Lithology and profile curvature are

the most dominant factor in influencing of landslide. In addition, this study also

discussed of temporal analysis of landslide in study area. Rainfall data that triggered of

landslide have been used to determine rainfall thresholds using daily rainfall data from

Station Kuala Kenderong and Sation Kg. Jeli. The regression equation for rainfall

triggered landslides in the study area is Ri= 3.8503D0.4753 for Stesen Kuala Kenderong

and Ri = 40.49D0.36787 for Station Kg. Jeli where Ri is the intensity of rain (mm / day),

while D is the period in the number rainfall in days.

xii
BAB 1

PENGENALAN

1.1 Pengenalan kepada Kajian

Kejadian tanah runtuh merupakan fenomena bencana alam yang memberikan

impak yang besar terhadap sosio-ekonomi penduduk di sesebuah negara. Kos

kerugian sama ada secara langsung atau tidak langsung akibat kejadian tersebut

terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan atau pihak persendirian jika berlaku

sebarang kerosakan harta benda. Malahan, kejadian tanah runtuh juga boleh

membawa kepada kematian sekiranya berlaku di kawasan perumahan dan jalan raya

dalam skala yang besar. Menurut Lee dan Pradhan (2007), tanah runtuh telah

menyebabkan seribu kematian setiap tahun di Amerika Syarikat dengan kos kerugian

harta benda sebanyak USD 4 billion.

Pembangunan yang semakin pesat menyebabkan pembukaan kawasan tanah

tinggi dijalankan untuk menampung populasi yang semakin bertambah. Penebangan

hutan serta pemotongan dan tambakan banyak dijalankan pada cerun semulajadi

untuk pembinaan jalan dan perumahan. Kebanyakan kejadian tanah runtuh sering

berlaku di kawasan potongan cerun atau tambakan yang dibuat di sepanjang jalan

serta di kediaman yang terletak di kawasan tanah tinggi (Lee dan Pradhan, 2006; dan

Pradhan dan Youssef, 2010).

Di Malaysia, tanah runtuh merupakan ancaman bencana alam yang kedua

terbesar selepas banjir (Matori et al., 2011). Dalam inventori tanah runtuh yang

1
dikumpul semasa kajian pelan induk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati

bahawa terdapat 440 kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh Malaysia dari

tahun 1973 sehingga 2007 melibatkan kerugian ekonomi kira-kira RM 3.0 billion

dengan jumlah kematian melebihi 600 orang (JKR, 2009). Jadual 1.1 menunjukkan

beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di Malaysia dari tahun 1993 sehingga

tahun 2014.

Jadual 1.1 : Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Malaysia

Bil. Tarikh Lokasi Kematian Kecederaan Kesan


KM 58, Kuala Lipis - Gua
1 24.10.1993 1 15 Tiada rekod
Musang
KM 63, Kuala Lumpur -
2 28.11.1993 2 - Tiada rekod
Karak Highway
Ratusan penduduk
3 11.12.1993 Highland Towers 48 2 kehilangan tempat
tinggal
Sebuah kereta
KM 59.5, LebuhrayaTimur - musnah dan jalan
4 31.12.1993 1 3
Barat ditutup selama
satu hari
Genting Sempah, KL - 10 kenderaan
5 30.06.1995 20 22
Karak Highway musnah
Jalan ditutup selama
KM 303.8 PLUS
dua minggu dan tiga
6 06.01.1996 Highway,Gua Tempurung, 1 1
bulan untuk
Ipoh
peralihan jalan
Seluruh kampung
7 02.09.1996 Pos Dipang 44 10
dipindahkan
Kuala Terla, Cameron Beberapa buah
8 09.10.1996 3 2
Highlands rumah musnah
KM 17, Lebuhraya
9 25.12.1997 3
Ampang-Hulu Kelang
19 buah keluarga
10 18.10.1996 Pantai dalam, Kuala Lumpur 1 4
dipindahkan
Paya Terubong, Pulau 17 buah kenderaan
11 28.11.1998 0 0
Pinang tertimbus
Kg. Gelam, Sandakan, Beberapa buah
12 08.02.1999 17 0
Sabah rumah dipindahkan
1, 000 penduduk
Bukit Antarabangsa,
13 15.05.1999 0 0 dipindahkan dan 15,
Selangor
000 terkandas.
15 kereta , sebuah
14 28.11.1999 Bukit Aman, Pahang 0 0 bas dan sebuah
motosikal musnah
KM 449.6 Lebuhraya Utara- Ribuan kenderaan
15 03.12.1999 0 0
Selatan Sg. Buloh, Selangor terkandas. Jalan

2
ditutup selama
sehari.

15, 000 pengguna


Km 81.6, Jalan Brinchang,
jalan raya terkandas
16 09.01.2000 Tanah Rata, Cameron 6 0
sehingga beberapa
highlands
jam
Kg. Sri gunung Pulai, Sebuah rumah
17 27.12.2001 15 2
Pontian Johor musnah
Sebuah rumah
18 28.01.2002 Ruan Changkul, Sarawak 16 0 panjang
dipindahkan
Sebuah banglo
19 20.11.2002 Taman Hillview, Selangor 8 5
musnah
KM 21.8 , NKVE , Bukit
20 26.11.2003 -
Lanjan
KM 59, Kuala Lipis,
21 29.11.2004 4
Merapoh
KM8.5, FT 606, Pelabuhan
22 26.06.2006 Sepanggar, Kota Kinabalu, 1
Sabah
Rumah Anak Yatim Al-
23 21.05.2011 Taqwa, Hulu Langat, 16
Selangor
Perkampungan Orang Asli,
Beberapa buah
24 07.08.2011 Sg. Ruil, Cameron 7
rumah musnah
Highlands
Kilometer 139, Jerangau- Enam kereta
25 26.12.2012
Jabor tertimbus
Sebuah banglo
musnah dan puluhan
26 28.12.2012 Taman Puncak Setiawangsa
penduduk
dipindahkan
27 06.05.2013 Jalan Ampang 9 kenderaan musnah
Kawasan
28 03.07.2013 Ukay Perdana 3 1
pembinaan
Trafik terputus ke
29 07.01.2014 Jalan Mahameru Jalan Kuching &
PWTC

Sumber: Shu et al. (1981), Chow (1981), Chow (1984), Tajul Annuar Jamaluddin et
al. (2003), Arkib akbar digital di tapak web www.emedia.com.my dan News
Straits Times (2002) dalam Lim (2004)

Berdasarkan Jadual 1.1. mendapati bahawa penilaian adalah diperlukan

dalam menentukan kawasan-kawasan yang mempunyai potensi berlakunya tanah

runtuh melalui kaedah ruangan dan masa serta mengenalpasti faktor-faktor yang

menyebabkan kejadian tersebut berlaku (Nagarajan et al., 1998). Ramalan ruangan

penting dalam menentukan kawasan-kawasan yang terdedah dengan bahaya tanah

3
runtuh dengan menggunakan data terdahulu seperti keadaan muka bumi, ciri-ciri

geologi dan aktiviti manusia yang membawa kepada kejadian tanah runtuh

(Brenning, 2005). Penganggaran bahaya tanah runtuh merupakan satu proses yang

kompleks kerana memerlukan pelbagai teknik dan kaedah serta kepakaran pihak

tertentu dalam penilaian bahaya tanah runtuh bagi mendapatkan faktor-faktor yang

menyumbang kepada kejadian tersebut dan pemetaan kawasan yang berpotensi untuk

berlakunya tanah runtuh.

Analisis masa juga adalah diperlukan agar dapat membantu pihak berkuasa

tempatan untuk berwaspada dan memberikan amaran awal kepada orang awam jika

kemungkinan berlaku kejadian tanah runtuh. Jika masa berlaku tanah runtuh di

kawasan-kawasan yang berpotensi berlaku tanah runtuh dapat dianggarkan, nyawa

orang awam dan kemusnahan harta benda dapat diselamatkan.

1.2 Pernyataan Masalah

Jalanraya merupakan jenis sistem pengangkutan yang utama di Malaysia

dan 30 peratus daripada jalan tersebut dibina merentasi kawasan tanah tinggi

(Suhaimi et al., 2006). Sejak dua abad kebelakangan ini, kejadian tanah runtuh di tepi

jalan atau lebuhraya di Malaysia semakin meningkat, melibatkan cerun potongan dan

cerun tambakan di kawasan yang berbukit (Mezughi et al., 2011). Impak daripada

kejadian tanah runtuh tersebut telah menyebabkan gangguan aliran trafik yang teruk

serta kerosakan harta benda malah kehilangan nyawa.

Kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Timur Barat (Gerik-Jeli) sering berlaku

pada musim hujan sehingga pihak kerajaan perlu menanggung jutaan ringgit untuk
4
kerja-kerja pembaikan cerun apabila kejadian tersebut berlaku. Menurut Jabatan

Kerja Raya Pengkalan Hulu pada tahun 2010, kos penyelenggaraan untuk 20 cerun

yang mengalami runtuhan mencecah sehingga RM 20 juta dengan satu kematian

yang dicatatkan iaitu pada tahun 1993. Walaubagaimanapun, kejadian tanah runtuh

yang berlaku di lereng-lereng cerun bukit terutamanya pada musim hujan bukan

sahaja sangat berbahaya kepada para pengguna jalan raya malah menyebabkan

gangguan perjalanan dari utara Semenanjung Malaysia ke bahagian pantai timur

Semenanjung Malaysia.

Pemetaan kawasan tanah runtuh adalah sangat penting bagi mendapatkan

kawasan-kawasan yang berpotensi untuk berlakunya runtuhan pada cerun. Maklumat

yang terdapat di dalam peta tersebut adalah merangkumi faktor-faktor yang relevan

dalam ramalan kejadian tanah runtuh seperti kecuraman cerun, geologi, tanah,

hidrologi dan geomorfologi (van Westen et al., 2008). Faktor-faktor yang

mempengaruhi kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku adalah penting dalam

meramal kejadian tersebut untuk berlaku pada masa akan datang.

Penggunaan GIS telah digunakan secara meluas di dalam pemetaan tanah

runtuh dengan menggunakan kaedah yang berbeza untuk meramal kawasan-kawasan

yang berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh. Secara amnya, terdapat dua kaedah

yang digunakan dalam pemetaan tanah runtuh iaitu menggunakan kaedah kualitatif

dan kuantitatif (Aleotti dan Chowdhury, 1999; Hervas dan Bobrowsky, 2009).

Walaubagaimanapun, setiap kaedah yang dipilih adalah penting dalam ketepatan dan

kebolehpercayaan dalam menentukan kawasan yang berpotensi untuk berlakunya

tanah runtuh.
5
Dalam penilaian tanah runtuh, anggaran masa berlaku kejadian tanah runtuh

juga untuk adalah penting. Sehubungan itu, takat ambang hujan dibentuk daripada

analisis intensiti, tempoh dan jumlah kumulatif hujan semasa berlakunya tanah

runtuh (Zzere et al., 2004; Marques et al., 2008). Hasil daripada analisis tersebut,

kebarangkalian berlakunya tanah runtuh dapat ditentukan apabila jumlah hujan

melebihi takat ambang hujan. Walaubagaimanapun, banyak kajian mengenai

pembentukan model ruangan tanah runtuh dijalankan tetapi kurang kajian dalam

menganggar kebarangkalian tanah runtuh secara masa. Kekurangan rekod mengenai

maklumat dalam data kejadian tanah runtuh seperti tarikh kejadian data lokasi

kejadian menyebabkan kesukaran dalam menentukan masa berlakunya kejadian

tanah runtuh.

1.3 Objektif Kajian

Secara amnya, kajian ini akan menghasilkan peta zon bahaya tanah runtuh di

sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli) dengan menggunakan GIS serta

ramalan masa tanah runtuh berlaku.

Objektif Spesifik:

1) Menganalisis zon bahaya tanah runtuh di sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli.

2) Membincangkan faktor-faktor yang dominan dalam mempengaruhi kejadian

tanah runtuh.

3) Membezakan kaedah yang tinggi nilai ketepatan ramalan dalam menentukan

kawasan yang berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh.

4) Menentukan nilai takat ambang hujan dalam kejadian tanah runtuh.

6
1.4 Persoalan Kajian

Apakah tahap zon bahaya di sepanjang Lebuhraya Gerik-Jeli?

Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kejadian tanah runtuh di

kawasan kajian?

Apakah terdapat perbezaan nilai ketepatan dalam peta zon bahaya

tanah runtuh antara kaedah nisbah frekuensi dan indeks statistik?

Berapakah nilai takat ambang hujan yang mencetuskan kejadian tanah

runtuh?

1.5 Skop Kajian

Skop kawasan kajian ini adalah di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-

Jeli) yang melibatkan cerun di bahagian kiri dan kanan sepanjang laluan. Kajian

dijalankan terhadap cerun tambakan dan cerun potongan di kedua-dua bahagian kiri

dan kanan jalan. Perwakilan tanah runtuh adalah diwakili dalam bentuk titik. Halaju

dan saiz setiap tanah runtuh yang berlaku tidak diambilkira di dalam kajian ini.

Selain itu, analisis ruangan juga tidak dijalankan mengikut jenis tanah.

1.6 Kawasan Kajian

Lebuhraya Timur-Barat merupakan laluan utama yang menghubungkan

bahagian barat dengan bahagian timur di utara Semenanjung Malaysia dan merentasi

Tasik Temenggor. Lebuhraya ini merentasi kawasan bentuk muka bumi yang

berbukit-bukau dan dilitupi oleh hutan hujan tropika. Pembinaan lebuhraya ini

bermula pada tahun 1973 dan siap pada tahun 1979 yang menelan kos sebanyak 74

juta dan mula dibuka pada tahun 1979 (Lloyd et al., 2001). Pembinaan dan
7
penyelenggaraan laluan ini dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang

melibatkan JKR Daerah Hulu Perak bagi kawasan negeri Perak dan JKR Jajahan Jeli

bagi kawasan negeri Kelantan.

Kajian ini dijalankan di sepanjang 120 km Lebuhraya Timur-Barat yang

bermula di daerah Gerik, Perak sehingga daerah Jeli, Kelantan iaitu dari koordinat U

050 27 32.0 T 1010 07 42.3 sehingga U 50 42 11.15 T 1010 49 54.74 (Rajah

1.1). Jaringan pengangkutan ini penting bagi menghubungkan penduduk di utara

semenanjung dengan negeri-negeri di bahagian pantai timur. Purata jumlah

kenderaan yang melalui Lebuhraya Timur-Barat ini adalah sebanyak 5292 buah

kenderaan sehari (JKR, 2008). Lokasi tanah runtuh yang pernah berlaku di kawasan

kajian diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Hulu dari tahun

2007 sehingga 2012 dan seterusnya kerja lapangan dijalankan untuk mengenalpasti

koordinat setiap lokasi tersebut menggunakan GPS.

Kerja-kerja pembinaan dan pelebaran jalan di sepanjang cerun yang curam di

kawasan kajian merupakan faktor utama dalam ketidakstabilan cerun di kawasan

tersebut. Jumlah hujan yang tinggi dan berlarutan juga membawa kepada beberapa

jenis tanah runtuh seperti gelongsoran batuan, kemerosotan batuan, jatuhan batuan,

aliran baji, aliran tanah dan gelongsoran tanah (Mezughi et al., 2011).

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di sepanjang lebuhraya ini

mengakibatkan gangguan perjalanan serta berisiko kepada pengguna jalan raya.

Jumlah kos penyelenggaraan jalan yang disebabkan tanah runtuh juga adalah tinggi

iaitu dianggarkan sebanyak RM 200 ribu bagi setiap cerun yang mengalami
8
runtuhan. Oleh itu, laluan ini dipilih untuk dijadikan kawasan kajian berdasarkan

beberapa kriteria seperti berikut:

i) Penilaian tanah runtuh diperlukan untuk mendapatkan kawasan yang

berisiko untuk berlaku tanah runtuh serta faktor-faktor yang

menyebabkan kejadian tersebut itu berlaku.

ii) Rekod tanah runtuh yang lengkap yang merangkumi lokasi tanah

runtuh yang berlaku di sepanjang laluan serta tarikh tanah runtuh itu

berlaku.

9
Rajah 1.1: Peta Lokasi Lebuhraya Timur Barat (Gerik-Jeli)

10
1.7 Kepentingan kajian

Kajian ini adalah penting dalam memberikan maklumat kepada pihak

bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) akan tahap bahaya tanah runtuh

di sepanjang laluan Lebuhraya Gerik-Jeli berdasarkan pemetaan bahaya tanah runtuh

di kawasan tersebut. Malah, kawasan-kawasan yang berisiko untuk berlakunya tanah

runtuh dapat dikenalpasti dan penyelenggaraan cerun wajar dijalankan bagi

mengurangkan impak tanah runtuh ke atas kawasan tersebut. Makluman serta amaran

pada papan-papan tanda di lokasi yang mempunyai tahap bahaya yang tinggi turut

membantu para pengguna agar berwaspada ketika melalui kawasan tersebut

terutamanya pada musim hujan.

Selain itu, analisis masa adalah penting di dalam menentukan kebarangkalian

berlakunya tanah runtuh dalam sesuatu tempoh masa. Jumlah hujan yang tinggi dan

melebihi takat ambang hujan dapat memberikan amaran kepada pihak

bertanggungjawab agar memberi perhatian dan tinjauan yang lebih kerap ke

kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya tanah runtuh.

1.8 Kerangka Kerja Konseptual Kajian

Rajah 1.2 menunjukkan rangka kerja konseptual kajian dalam analisis

ruangan dan masa bagi kajian tanah runtuh di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat

(Gerik-Jeli). Faktor-faktor yang mempengaruhi kejadian tanah runtuh seperti

morfologi, geologi, jenis tanah, hidrologi dan geomorfologi dijadikan sebagai

parameter di dalam analisis ruangan. Faktor yang paling dominan di dalam

mempengaruhi kejadian tanah runtuh dapat dikenalpasti dengan menggunakan

kaedah sensitiviti. Perbandingan antara dua kaedah yang diaplikasikan di dalam


11
pemetaan zon bahaya tanah runtuh adalah bertujuan untuk mendapatkan kaedah yang

paling sesuai digunakan dalam penghasilkan peta yang lebih tepat.

Ramalan masa adalah penting dalam menentukan masa berlakunya tanah

runtuh atau kebarangkalian berlakunya tanah runtuh pada sesuatu masa. Analisis

masa untuk kejadian tanah runtuh berlaku menggunakan perhubungan diantara faktor

pencetus iaitu hujan dan kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku pada sesuatu

kawasan berdasarkan hujan anteseden, tempoh hujan, intensiti hujan, purata hujan

tahunan (MAP-Mean Annual Precipitation) dan hujan kumulatif bagi mendapatkan

takat ambang hujan di kawasan kajian.

1.9 Rumusan

Kejadian tanah runtuh yang berlaku memberikan impak terhadap persekitaran

dan manusia. Dalam kajian ini, peta bahaya tanah runtuh dihasilkan dalam

menentukan kawasan yang berisiko dalam kejadian tanah runtuh di sepanjang

Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli). Selain mendapatkan faktor yang mempengaruhi

kejadian tersebut, analisis pemetaan bahaya tanah runtuh ini adalah menggunakan

Model Nisbah Frekuensi dan Indeks Statistik. Dalam ramalan masa berlakunya

tanah runtuh, analisis perkaitan air hujan dengan tarikh kejadian tanah runtuh

dijalankan bagi mendapatkan takat ambang hujan yang menyebabkan berlakunya

kejadian tersebut.

12
Kerangka Kerja Konseptual Kajian

Analisis Ruang Analisis Masa

Faktor Kejadian Tanah


Analisis Hujan
Runtuh (Data hujan harian)
Tekstur tanah
Ketinggian
Litologi Pembinaan semula data tanah runtuh
Umur Batuan yang lepas beserta tarikh
Kecuraman cerun
Aspek Cerun
Lengkungan Mendatar
Lengkungan Profil Keamatan Hujan Ternormal
Jarak Antara Sesar (Takat Ambang Hujan / MAP)
Jarak Antara Saliran
Taburan Hujan
NDVI Kala Kembali
(Taburan Gumbel)

Analisis ruangan bagi setiap


faktor
Kombinasi Hujan Kritikal

(Kuantiti-Tempoh) yang membawa


Kaedah Pemetaan Tanah Runtuh kepada kejadian tanah runtuh
Model Nisbah Frekuensi
Indeks Statistik
Takat Ambang Hujan
(Intensiti-Tempoh)

Zon Bahaya Tanah


Runtuh Masa berlaku tanah runtuh

Pengujian Ketepatan

Rajah 1.2: Kerangka Kerja Konseptual Kajian

13
BAB 2

SOROTAN KAJIAN

2.1 Pendahuluan

Bab ini membincangkan berkenaan kejadian tanah runtuh serta kaedah-

kaedah yang akan digunakan di dalam analisis ruangan dan masa. Analisis sensitiviti

turut dijelaskan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan bagi mendapatkan

faktor yang dominan dalam mempengaruhi kejadian tanah runtuh. Selain itu,

penerangan mengenai kaedah-kaedah dalam analisis ruangan menggunakan kaedah

yang berbeza dalam pemetaan zon bahaya tanah runtuh akan dibincangkan. Di akhir

bab ini huraian tentang analisis masa bagi mendapatkan jumlah hujan yang

membawa kepada kejadian tanah runtuh dibincangkan secara terperinci.

2.2 Definisi Operasi

2.2.1 Tanah Runtuh

Secara umumnya tanah runtuh adalah pergerakan tanah, batuan atau kedua-

duanya menuruni cerun (Cruden, 1991; Sassa et al., 2007). Selain itu, tanah runtuh

juga dikenali sebagai fenomena semulajadi yang membawa kepada pergerakan

sesuatu bahan dari kedudukan yang tidak stabil kepada kedudukan yang lebih stabil.

Terdapat pelbagai jenis pergerakan tanah runtuh seperti jatuhan batuan, gelinciran

batuan, tanah runtuh, gelongsoran batuan, gelongsoran salji, aliran lumpur dan aliran

tanah yang merujuk kepada jenis batuan pada cerun dan mekanisma gelinciran atau

jatuhan (Mathur & Sarkar, 2004). Oleh itu, jenis batuan dan mekanisma setiap

14
kejadian tanah runtuh adalah penting dalam menentukan klasifikasi kejadian tersebut

(Jadual 2.1).

Jadual 2.1: Jenis Pergerakan Tanah Runtuh (Varnes, 1978; Hungr et. al, 2014)

Jenis Pergerakan Jenis Bahan


Batuan Tanah Kejuruteraan
Jenis Tanah Jenis Tanah
Keras Lembut
Gelinciran Jatuhan Jatuhan batuan Jatuhan puing Jatuhan tanah

Terbalikkan Terbalikkan batuan Terbalikkan puing Terbalikkan


tanah

Gelinciran Batuan Puing Tanah


Putaran

Gelinciran Batuan Puing Tanah


Translasi

15
Pemisahan Pemisahan tanah
Mendatar

Aliran Aliran tanah

Pemisahan Kombinasi diantara dua atau lebih jenis pergerakan asas


majmuk

2.2.2 Konsep Bahaya Tanah Runtuh

Bahaya tanah runtuh merupakan kebarangkalian berlakunya tanah runtuh

mengikut jenis tertentu dan mempunyai magnitud di sesuatu kawasan dalam satu

tempoh rujukan masa (Hervas & Bobrowsky, 2009). Magnitud sesuatu tanah runtuh

adalah berdasarkan saiz dan halaju (Sorriso-Volvo, 2002; Hervas & Bobrowsky,

2009). Selain itu, Hervas dan Bobrowsky (2009) menyatakan bahawa frekuensi

kejadian tanah runtuh turut dipertimbangkan di dalam bahaya tanah runtuh dengan

menentukan masa sesuatu kejadian untuk berulang. Oleh itu, dalam peta bahaya

tanah runtuh tidak hanya menunjukkan kawasan yang cenderung berlakunya tanah

runtuh tetapi turut melibatkan taburan tahap frekuensi atau magnitud sesuatu aktiviti

tanah runtuh (Crozier, 1986).

16
Kerentanan tanah runtuh berbeza dengan bahaya tanah runtuh. Kerentanan

tanah runtuh adalah merujuk kepada kecenderungan sesuatu kawasan untuk

berlakunya tanah runtuh (Lee & Jones, 2004; Hervas & Bobrowsky, 2009). Menurut

Hervas & Bobrowsky (2009), secara ringkasnya definisi kerentanan tanah runtuh

adalah kebarangkalian kejadian tanah runtuh berlaku mengikut jenis tertentu di

sesuatu kawasan yang merujuk kepada perhubungan atau kebarangkalian (samada

kualitatif atau kuantitatif) dalam meramalkan kejadian tersebut berlaku pada masa

akan datang. Dalam pemetaan kerentanan taburan ruangan dan kadaran unit

permukaan bumi ditentukan mengikut pengaruh sesuatu faktor di dalam kejadian

tanah runtuh termasuk topografi, geologi, geoteknikal, iklim, vegetasi dan pengaruh

aktiviti manusia seperti pembangunan dan pembukaan hutan (Fell et. al, 2008). Oleh

itu, sesuatu kawasan yang mempunyai potensi tanah runtuh akan dikelaskan

mengikut darjah kesensitifan berdasarkan keadaan kawasan dan faktor-faktor yang

menyebabkan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan tersebut.

Risiko tanah runtuh adalah merujuk kepada jangkaan kemusnahan dan

kehilangan yang berlaku disebabkan oleh tanah runtuh (Hervas & Bobrowsky, 2009).

Dalam penilaian risiko tanah runtuh, nilai setiap kemusnahan dan kehilangan diukur

dalam bentuk ekonomi dengan mendapatkan kos yang ditanggung seperti kos

penyelenggaraan bangunan dan infrastruktur, kos ubatan bagi individu yang

tercedera atau kehilangan nyawa serta kehilangan tempat tinggal sekiranya berlaku

tanah runtuh. Oleh itu, peta risiko tanah runtuh mewakili bahaya tanah runtuh di

sesuatu kawasan yang terlibat serta kesannya kepada kehidupan manusia, ekonomi

dan perubahan persekitaran di kawasan tersebut.

17
2.3 Faktor-faktor Mempengaruhi Kejadian Tanah Runtuh

Secara amnya, pelbagai faktor yang mempengaruhi kejadian tanah runtuh.

Walau bagaimanapun, tanah runtuh boleh berlaku disebabkan oleh satu faktor sahaja

seperti hujan dan gempa bumi atau gabungan beberapa faktor yang lain termasuk

faktor persekitaran dan faktor pencetus. Faktor persekitaran adalah terdiri daripada

geometri cerun, geologi, tanah, hidrologi, geomorfologi dan guna tanah manakala

faktor pencetus terdiri daripada hujan dan gempa bumi (van Westen et. al, 2008).

Dalam kajian ini, faktor persekitaran yang digunakan adalah terdiri daripada

geometri cerun, geologi, tekstur tanah, hidrologi dan vegetasi. Faktor geometri cerun

terdiri daripada sudut cerun, aspek cerun, ketinggian dan kelengkungan cerun. Dalam

faktor geologi pula merangkumi litologi, sesar, dan umur batuan. Selain itu, tanah

juga digunakan dalam pemetaan zon bahaya tanah runtuh yang dikelaskan mengikut

tekstur tanah di kawasan kajian. Jarak tanah runtuh dengan sungai turut dianalisis

bagi mendapatkan faktor hidrologi terhadap tanah runtuh. Pengaruh vegetasi

terhadap tanah runtuh dipilih dengan menggunakan NDVI (Normalized Difference

Vegetation Index). Faktor pencetus yang digunakan dalam kajian ini pula adalah

hujan dengan menganalisis purata hujan tahunan di kawasan kajian.

2.3.1 Faktor Topografi

Faktor topografi merangkumi sudut cerun, aspek cerun, kelengkungan pada

cerun ketinggian. Diantara faktor geometri tersebut, sudut kecerunan mempunyai

pengaruh yang besar dalam mempengaruhi kejadian tanah runtuh (Dai dan Lee,

2002). Cerun yang curam mempunyai tegasan ricih yang tinggi berbanding dengan

kekuatan ricih. Oleh itu, semakin curam sesuatu cerun, kebarangkalian untuk runtuh
18
adalah tinggi (Ross, 1998). Dalam kebanyakan kajian tentang pemetaan kawasan

risiko tanah runtuh, kecuraman cerun dikenalpasti sebagai faktor yang paling penting

dalam mempengaruhi kejadian tanah runtuh (Pradhan & Lee, 2010).

Dalam pemetaan kawasan tanah runtuh, aspek pada cerun turut dijadikan

sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi kawasan yang berisiko tanah runtuh.

Aspek cerun didefinisikan sebagai arah permukaan cerun (Kanungo et al., 2006).

Aspek cerun terbahagi kepada cerun yang menghadap matahari dan cerun yang

terlindung secara tidak langsung mempengaruhi taburan hujan dan penerimaan

cahaya matahari. Jumlah taburan hujan adalah berbeza pada setiap aspek cerun

mengikut arah angin yang bertiup. Di Malaysia, taburan hujan dipengaruhi oleh

angin monsun barat daya dan angin monsun timur laut yang membawa hujan lebat di

bahagian barat dan timur Semenanjung Malaysia. Aspek cerun yang mengadap arah

tiupan angin akan menerima jumlah hujan yang tinggi berbanding aspek yang

terlindung dari arah tiupan angin. Penerimaan cahaya matahari pada setiap aspek

cerun mempengaruhi suhu sesuatu kawasan. Kelembapan dan penerimaan cahaya

matahari untuk pertumbuhan vegetasi menyebabkan taburan vegetasi adalah

dipengaruhi oleh aspek cerun.

Kebarangkalian berlakunya tanah runtuh mungkin juga disebabkan oleh

faktor permukaan cerun seperti Lengkungan plan dan lengkungan profil. Ayalew et

al., (2005) menyatakan bahawa keLengkungan plan dan profil adalah penting dalam

kajian tanah runtuh dengan mengawal pengaliran air yang keluar masuk ke dalam

cerun dan dikelaskan kepada cerun cembung, cekung dan lurus. Selain itu, halaju air

larian turut dipengaruhi oleh bentuk geometri sesuatu cerun.


19
Lengkungan pelan adalah lengkungan pada lereng bukit pada satah mengufuk

atau lengkungan kontur dalam peta topografi. Nilai positif menunjukkan permukaan

cembung manakala nilai negatif pula menunjukkan permukaan cekung (Rajah 2.1).

Nilai sifar menunjukkan permukaan cerun adalah lurus (Rajah 2.1). Lengkungan plan

mempengaruhi pertumpuan atau percapahan air dan bahan pada cerun mengikut arah

pergerakan tanah runtuh. Cerun cekung pada Lengkungan plan dalam arah menuruni

cerun menyebabkan air larian akan berkumpul pada cerun cekung apabila air

mengalir menuruni cerun secara mendatar. Cerun cembung pada kengkungan

mendatar pula akan menyebabkan air permukaan akan mencampah meneruni cerun

secara mendatar. Dalam kajian yang dijalankan oleh Alkhasawneh et. al (2013)

menunjukkan tiada perbezaan yang ketara peratusan bilangan tanah runtuh pada

kedua-dua permukaan cembung dan cekung bagi keLengkungan plan iaitu 46.19%

dan 45.47% masing-masing. Dalam kajian tersebut, faktor kelengkungan cerun

dikenalpasti sebagai salah satu faktor topografi yang menyebabkan kejadian tanah

runtuh dengan menggunakan kaedah rangkaian multilayer perceptron dan

backpropagation algoritma dalam pengelasan dan meramal masalah yang melibatkan

pengiraan yang ringkas berbanding struktur rangkaian neural yang lain.

Rajah 2.1: Lengkungan plan (ArcGIS Resources, 2010)

20
Lengkungan profil merupakan kadar perubahan dari bahagian atas cerun ke

bahagian bawah cerun pada satu aliran (Gallant & Wilson, 2000). Lengkungan ini

mempengaruhi kelajuan aliran dan proses pengangkutan sedimen. Nilai positif pada

kelengkungan profil menunjukkan permukaan cerun adalah cekung manakala nilai

negatif adalah cembung (Rajah 2.2). Nilai sifar pula menunjukkan permukaan cerun

pada kelengkungan profil adalah lurus (Rajah 2.2). Tanah runtuh sering berlaku

pada cerun yang berbentuk cembung (Pandey & Dharmaraju, 2000). Hal ini

disebabkan oleh jumlah beban pada cerun cembung adalah lebih tinggi daripada

cerun cekung dan cerun lurus. Walaubagaimanapun, Ayalew et al. (2005)

menyatakan bahawa cerun cekung mudah mengalami runtuhan berbanding cerun

cembung disebabkan kebarangkalian air bawah tanah menjadi tepu bagi setiap

kedalaman lapisan tanah.

Rajah 2.2: Lengkungan Profil (ArcGIS Resources, 2010)

Ketinggian juga merupakan faktor kejadian tanah runtuh kerana mengawal

beberapa proses geologi dan geomorfologi. Taburan hujan turut dipengaruhi oleh

ketinggian sesuatu kawasan (Mashari et al., 2012). Di kawasan tinggi, udara lembap

mungkin disejukkan di bawah takat embun lalu terhasilnya awan dan hujan. Selain

itu, ketinggian juga mempengaruhi suhu di sesuatu kawasan. Kawasan yang lebih

21
tinggi mempunyai suhu yang lebih rendah berbanding dengan kawasan rendah.

Malah ketinggian juga mempengaruhi pergerakan aliran sub-permukaan.

2.3.2 Faktor Geologi

Faktor geologi seperti litologi dan sesar turut mempengaruhi kejadian tanah

runtuh. Litologi adalah merujuk kepada ciri-ciri fizikal pada batuan. Litologi yang

berbeza pada setiap batuan mempengaruhi pembentukan dan ciri-ciri tanah runtuh

serta taburan tanah runtuh (Liu et al., 2004). Dalam kajian tersebut, multi-variable

elimination and characteristic model digunakan bagi mendapatkan pemberat bagi

setiap faktor yang terlibat di dalam kajian ini.

Kekuatan dan ketahanan sesuatu batuan terhadap proses luluhawa kimia dan

fizikal akan dipengaruhi oleh kandungan dan struktur litologi batuan tersebut.

Litologi juga mempengaruhi kejadian tanah runtuh apabila batuan induk terdedah

disebabkan oleh pemotongan cerun yang kebiasaanya berlaku di kawasan tanah yang

cetek (Jakob & Hungr, 2005). Dalam kajian oleh Kanungo et al. (2006), litologi

merupakan faktor yang penting di dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di

Darjeeling Himalaya apabila jenis batuan dikenalpasti sebagai faktor yang terpenting

yang diperolehi daripada kaedah kualitatif iaitu menggunakan pengalaman dan

kepakaran penyelidik.

Litologi turut digunakan di dalam penghasilan peta kerentanan di daerah

Henrek, Turkey serta menjadi aspek terpenting kerana kebanyakan tanah runtuh

berlaku pada pembentukan Orencik yang tidak kukuh atau semi- kukuh (evik &

Topal, 2003). Selain itu, jenis litologi yang berbeza mempengaruhi ciri-ciri pada
22
sesuatu cerun seperti ketelapan, kekuatan dan ciri-ciri pembentukan batuan atau

tanah.

Sesar pula mempengaruhi kejadian tanah runtuh apabila berlaku gelinciran

atau sesaran pada batuan disebabkan daya mampatan atau tegangan oleh kerak bumi.

Garisan sesar merupakan batuan yang mengalami rekahan disebabkan blok batuan

yang bergerak selari terhadap blok batuan yang lain (Monroe et al., 2007).

Pergerakan secara tiba-tiba pada garisan sesar boleh menyebabkan berlakunya tanah

runtuh. Beberapa tempat di Semenanjung Malaysia seperti Jerantut dan Bukit Tinggi

serta di kawasan Malaysia Timur mengalami gempa bumi tempatan yang disebabkan

oleh gelinciran atau garis sesar aktif.

2.3.3 Faktor Tekstur Tanah

Tekstur tanah boleh mempengaruhi kejadian tanah runtuh di sesuatu

kawasan. Tekstur tanah memberikan kesan yang mendalam dalam saliran tanah,

kapasiti menampung air serta hakisan tanah. Tekstur tanah adalah berkaitan dengan

nisbah peratusan kandungan liat, kelodak dan pasir (Pande et al., 2009, Park et al.,

2013). Kapasiti keupayaan menampung air dan aliran air melalui partikel tanah turut

dipengaruhi oleh tekstur tanah (Carrow, 1985; Reddy, S. M., 2003; Pande et al,

2009). Tekstur tanah dikelaskan dengan merujuk kepada saiz partikel tanah yang

berbeza dalam membentuk tanah yang dikelaskan kepada pasir, kelodak dan

lempung.

Kelas tekstur tanah dapat dikenalpasti daripada peratusan nisbah bagi pasir,

kelodak dan lempung dalam tanah dengan menggunakan system pengelasan Segitiga
23
Tekstur tanah USDA (United State Department of Agricuture) (Rajah 2.3). Segitiga

tekstur tanah ini terdiri daripada tiga bahagian sisi iaitu peratusan lempung (percent

clay), peratusan kelodak (percent silt) dan peratusan pasir (percent sand) manakala

terdapat 12 jenis tanah di dalam segitiga tersebut iaitu pasir, kelodak, lempung, lom,

pasir berlom, lom berpasir, lom lempung berpasir, lempung berpasir, lom berlodak,

lom lempung, lom lempung berlodak, dan lempung berlodak.

Lee et al., (2004) menggunakan tekstur tanah di dalam pemetaan kerentanan

tanah runtuh di Yongin Korea. Dalam kajian beliau, setiap faktor dianalisis dengan

menggunakan kaedah penentuan pemberat iaitu menentukan nilai nisbah peratusan

piksel tanah runtuh untuk setiap kelas bagi setiap faktor terhadap peratusan jumlah

piksel untuk setiap kelas. Hasil daripada ini mendapati bahawa kebanyakan tanah

runtuh berlaku di kawasan tekstur tanah jenis lempung bergravel, lempung berpasir

berbatuan, lempung berbatuan manakala bilangan tanah runtuh adalah rendah di

kawasan lempung dan lempung berpasir. Dapatan dari kajian tersebut mendapati

bahawa jenis tekstur tanah juga berkaitan dengan saiz butiran. Apabila hujan lebat,

saiz butiran tanah akan mempunyai lebih ruang di antara butiran tersebut maka

kandungan air akan menjadi lebih tinggi.

24

Anda mungkin juga menyukai