Anda di halaman 1dari 4

DADAH dan artis kini macam sudah berkait rapat.

Dengan jumlah artis kita yang


kecil, jumlah mereka yang terlibat dengan dadah pada relatifnya besar. Setakat ini
beberapa artis telah ditahan, disoal siasat dan dihukum kerana penyalahgunaan dadah.

Seperti di Barat yang hampir semua artis popularnya terjebak dengan dadah,
sesetengah artis tempatan juga ada kecenderungan menjadikan dadah sebagai
santapan jiwa. Tidak hairan hampir setiap tahun ada saja kes membabitkan artis dan
dadah yang dibawa ke muka pengadilan.

Ini termasuk lima artis yang ditahan sepanjang April lalu yang merupakan nama-nama
popular di kalangan peminat di negara ini.

Persoalannya, sampai bila kita mahu membiarkan artis-artis yang di bawah pengaruh
dadah ini bebas dan terus aktif di dalam bidang seni? Tidak kiralah sama ada mereka
pelakon, penyanyi atau pemuzik, kehadiran artis di bawah pengaruh dadah sangat
membimbangkan.

Justeru itu wajar ada satu mekanisme mengekang artis yang di bawah pengaruh dadah
ini terlibat dalam sebarang kegiatan seni. Ini untuk berlaku adil kepada pihak lain
misalnya kalangan produser atau pengarah.

Sekarang ini kalangan produser atau pengarah tidak tahu sama ada artis mereka
tengah lalok dengan dadah atau sebaliknya. Sebabnya tidak ada sebarang pengesahan
mengatakan mereka bebas dadah.

Stesen televisyen juga menghadapi masalah yang sama. Mereka tidak tahu sama ada
yang muncul di kaca televisyen itu penagih dadah atau tidak kecuali ditahan oleh
pihak berkuasa.

Cadangan menapis supaya artis yang menagih dadah tidak terlibat dalam sebarang
produksi bukan tidak masuk akal, terlalu sukar atau wujud diskriminasi. Pemilik
produksi boleh menerima artis yang jadi bekas penagih tetapi mereka tentu tidak
boleh menerima penagih kerana akan mengganggu perjalanan produksi.

Apa susah sangat? Kalau suatu ketika dulu semua pelakon dan penyanyi diwajibkan
menunjukkan kad keahlian Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sebelum berlakon,
kaedah yang sama boleh dilakukan untuk menapis artis yang menagih dadah.
Artis mesti menunjukkan sijil pengesahan bebas dadah untuk membuktikan dia bukan
penagih. Ini bukanlah menyusahkan artis tetapi memastikan ada satu mekanisme yang
memastikan produksi tidak menghadapi masalah kerana artis penagih.

Malah dengan cara ini, artis yang tidak mahu periuk nasi mereka terjejas akan
mengambil inisiatif mengekang diri daripada melakukan perkara negatif. Mungkin
pada tanggapan sesetengah pihak cadangan ini sesuatu yang sukar dilaksanakan
kerana artis bekerja di bawah majikan yang tidak tetap.

Dua kementerian yang berkait secara langsung dengan bidang hiburan iaitu
Kementerian Penerangan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan perlu
memikirkan perkara ini.

Eloklah sekiranya kita memulakan sesi tapisan ini secepat mungkin sesuai dengan
tahun 2005 yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai tahun memerangi dadah.

Wawasan untuk negara bebas dadah menjelang 2015 memerlukan khidmat kalangan
artis memandangkan golongan ini mempunyai pengaruh yang cukup besar kepada
masyarakat.

Sekurang-kurangnya ujian air kencing dan pemeriksaan kesihatan berkala akan


memberi pengajaran kepada golongan artis agar berfikir lebih jauh mengenai periuk
nasi mereka selepas ini.

``Ia perlu dilakukan supaya karyawan seni yang tidak terlibat dengan kes-kes negatif
sahaja diberi peluang untuk bekerja dalam bidang seni,'' kata Presiden Seniman,
Datuk Mustapha Maarof kepada Mingguan Malaysia.

Kata Mustapha, dengan mewajibkan setiap artis sama ada baik penyanyi, pelakon dan
pemuzik menjalani ujian air kencing dan pemeriksaan kesihatan secara berkala, gejala
dadah di kalangan artis dapat dikurangkan.

``Sudah sampai masanya kerajaan melakukan sesuatu terhadap golongan artis yang
tidak hidup dalam keadaan tidak normal.

``Hanya melalui pendekatan undang-undang menjadikan mereka gerun untuk


melibatkan diri dengan dadah,'' katanya.
Jika selama ini artis yang di bawah pengaruh dadah bebas terlibat dalam aktiviti seni,
selepas dipraktikkan sistem tapisan tentu tinggal hanya yang bebas dadah sahaja.

``Insya-Allah Seniman akan membawa usul mengenai ujian air kencing dan
pemeriksaan kesihatan artis ini kepada pihak kerajaan tidak lama lagi,'' kata
Mustapha.

Penerbit drama, Raja Alawiyah Raja Idris pula mengakui setiap kali mendengar berita
tentang penahanan artis kerana dadah, perasaannya sentiasa menjadi tidak tenteram.

Ini kerana beliau bimbang apakah artis yang terlibat adalah artis yang sedang berlakon
dengan drama terbitan produksinya.

``Sudah tentu penerbit bimbang setiap kali ada artis yang ditahan pihak berkuasa. Ini
kerana kita tidak tahu apakah artis yang bekerja dengan kita bebas daripada pengaruh
dadah atau sebaliknya.

``Jadi, perlu diwujudkan pendekatan baru supaya penerbit boleh memilih hanya
pelakon yang bebas daripada gejala dadah yang akan diambil bekerja.

``Bukan sahaja pelakon, tetapi saya cadangkan krew dan mereka yang di belakang
tabir produksi juga yang akan diambil bekerja perlu mengesahkan mereka bebas
daripada dadah.

``Dengan cara itu mereka akan menjaga nama baik dan reputasi agar terus mendapat
kepercayaan penerbit dan pengarah untuk bekerja,'' katanya yang pernah berhadapan
dengan masalah besar apabila krew yang berada di bawah pengaruh dadah diambil
bekerja.

``Kita tidak tahu statusnya apakah mengambil dadah atau tidak, krew berkenaan terus
dibiarkan bekerja dan selepas itu dia buat hal di lokasi,'' katanya kesal.

Sementara itu, penerbit dan pengarah Skop Production, Datuk Yusof Haslam
menganggap bidang seni adalah satu kerjaya profesional yang semakin dipandang
tinggi dalam masyarakat.

Oleh kerana itu perlu diadakan tapisan dari peringkat akar umbi terhadap golongan
berkenaan jika negara mahu melahirkan karyawan seni yang berjiwa besar.
``Jika ini berjaya dilakukan oleh kerajaan, peningkatan dan penghayatan seni setiap
artis akan semakin meningkat kerana kita menampilkan artis yang benar-benar
berkualiti dan berpijak di bumi yang nyata,'' katanya.

Yusof menganggap usaha ini sesuatu yang positif ke arah membentuk budaya bekerja
yang lebih tinggi dan efisien di kalangan penggiat seni.

``Jika kerajaan mahu melakukannya, saya sebagai penerbit menyokong penuh.


Masalah tidak akan wujud jika arahan itu diseragamkan di seluruh negara kepada
semua syarikat produksi dan syarikat rakaman,'' katanya.

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Ut
usan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz4jzlvpyux
Utusan Melayu (M) Bhd