Anda di halaman 1dari 2

MENJADI HEBAT DENGAN MEMBACA

ADA kepuasan yang berbeza apabila kita membaca buku berbanding dengan
membaca majalah mahupun akhbar. Dengan kita membaca akhbar, kita memperoleh
lebih banyak berita daripada maklumat. Kerencaman kandungan akhbar dan
pendeknya sesebuah berita itu menjadikan kita dapat menghabiskan bacaan
sesebuah akhbar dalam waktu yang singkat. Kepuasan membaca kita pun sedikit.
Apabila kita membelek majalah pula, keseronokan membaca kita bertambah
berbanding membaca akhbar. Selain daripada berita, majalah memaparkan
maklumat yang boleh dijadikan pengetahuan. Artikel-artikel yang dipaparkan juga
lebih panjang dan justeru itu menjadikan minda kita lebih terisi.
Membaca buku pula memberikan kita kepuasan yang maksima. Tidak kira
sama ada kita membaca buku hardcopy ataupun e-book, membaca buku adalah
kegiatan maraton berbanding dengan majalah yang dianggap sebagai senaman
minda untuk jangka waktu yang pendek atau membaca akhbar yang lebih
singkat masa bacaannya. Panjangnya tempoh membaca sesebuah buku itu
menjana kelestarian minda. Kondisi ini amat memuaskan.
Apakah kepuasan itu? Kepuasannya ialah apabila kita dapat mengadakan
hubungan psikik dengan si penulis buku itu. Apabila seseorang penulis hendak
menghasilkan bukunya, dia harus melalui proses yang rumit dan mengambil masa.
Penulis yang hendak menghasilkan sesebuah buku biasanya mempunyai sesuatu
idea, gagasan, teori atau penemuan besar yang ingin disampaikannya kepada
khalayak. Sebelum menulis, dia akan melakar konsep dan idea buku yang ingin
ditulisnya. Idea dan konsep ini akan disusun dari mula hingga akhir. Dia akan
mengumpul bahan-bahan penyelidikan dan rujukan yang digaul menjadi manuskrip
ilmiah mahu pun fiksyen.
Untuk melakar ideanya, si penulis perlu menumpahkan apa yang ada di dalam
fikirannya ke skrin komputer. Pastinya idea yang terzahir ini akan disemak dari segi
kesahihan fakta, kesinambungan idea, kelogikan pendapat yang kemudiannya
diuli dan disusun menjadi ayat yang mudah difahami oleh pembaca. Kemudian,
manuskripnya akan disemak dan disunting oleh editor daripada segi ketepatan fakta
dan kesinambungan idea. Akhirnya, apabila sesebuah buku itu lahir, ia merupakan
satu rantaian minda penulis yang biasanya dapat diikuti secara linear dari halaman
pertama sehinggalah halaman yang terakhir.

Bayangkan. Seseorang penulis itu mungkin mengambil masa bertahun untuk


menyiapkan sesebuah buku. Ideanya yang rencam, dikumpul menjadi rencah tulisan
yang diadun, diperam dan disaring. Hanya pati ideanya sahaja dipersembahkan
dalam bentuk sebuah buku. Kita sebagai pembaca boleh dengan mudah sahaja
menghazam inti fikirannya yang dikumpul bertahun lamanya dalam masa sehari!

Ketika membaca karya seseorang penulis, kita seolah-olah mengembara dan


menyelami minda dan hatinya. Meskipun si penulis telah meninggal dunia, kita
masih dapat belajar daripadanya. Andainya sebuah buku karyanya dibaca, kita
memperoleh sebahagian daripada pemikirannya. Sekiranya kita membaca dua
atau tiga atau lebih buku karya seseorang penulis itu, ia bererti kita
memperoleh pemikiran si penulisnya.

Bayangkan, jika kita membaca Al-Muqqadimah karya Ilmu Khaldun, kita


memahami ilmu falsafah sejarah daripadanya. Andainya kita membaca pula
buku Roh, karya Ibnu Qayyim, seorang ilmuwan Islam, kita belajar mengenai roh
daripadanya. Buku Lateral Thinking oleh Edward de Bono, A Brief History of Time
oleh Stephen Hawking, The Art of War oleh Sun Tse, adalah mengenai teknik
berfikir, fizik dan seni peperangan. Apakah maknanya apabila kita sudah
membaca kesemua buku-buku ini? Ia bererti, di dalam diri kita sudah ada
pemikiran Ibnu Khaldun, Ibnu Qayyim, Edward de Bono, Stephen Hawking
dan Sun Tse setelah kita membaca buku-buku mereka.

Setakat ini, berapa buah bukukah yang kita telah baca?


Andainya seratus buah oleh penulis yang berbeza, ia bererti, pendekatan pemikiran
kita adalah rangkuman daripada pemikiran 100 orang manusia. Bijakkah kita? Kita
bijak jika kita berhati-hati memilih buku yang ingin dibaca. Andainya kita
memilih karya-karya para ilmuan yang hebat, maka kita juga akan punyai
pemikiran yang hebat. Sebaliknya, andainya kita memilih bahan bacaan yang
mudah dan ringan, maka cara berfikir kita pun mudah dan ringan.

Jadilah orang yang punyai fikiran yang hebat, bukan berkarat.

Anda mungkin juga menyukai