Anda di halaman 1dari 2

TEKNIK FACLK (FOKUS, AKIBAT, CONTOH, LANGKAH, KEPENTINGANNYA)

Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus
penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas
itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya,
murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L)dan ayat kelima ialah
kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau
gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika
murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah
pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak
skema pemeriksa.

Soalan Contoh 1
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam
kalangan masyarakat ini masih wujud.
Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Perenggan Pendahuluan Contoh 1


Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan
pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana
jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali
gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan
rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya
akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah
agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan
kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu
penyakit. (K)

Soalan Contoh 2
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai
warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

Perenggan Pendahuluan Contoh 2

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita
yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F)Bangunan tersebut boleh dijadikan
fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang
telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki
bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di
Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan
bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh
UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)

Murid-murid harus menyedari bahawa perenggan pendahuluan sama pentingnya dengan perenggan isi
dan perenggan penutup. Perenggan pendahuluan juga akan memberikan gambaran atau impression awal
tentang keseluruhan karangan murid-murid. Oleh hal yang demikian, cubalah berlatih untuk menulis
pendahuluan karangan dengan menggunakan teknik ini. Sebenarnya, banyak cara lagi untuk menulis
pendahuluan karangan dan cikgu mendangkan satu lagi teknik tambahan kepada murid-murid. Jadi, murid-
murid mempunyai banyak cara yang boleh dipilih untuk menulis perenggan pendahuluan. Bagi calon-calon
STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90
hingga 100 perkataan. Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan
yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan. Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah
perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan
sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).