Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah
membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum iaitu
Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada
masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan.
Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun,
masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan
kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat
kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh
pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya.
Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara
kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat
patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama
dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ,
terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan
melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara
dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah
seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan
sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai
serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi
juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke
tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa
sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah
atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui
lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi
kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa
dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa
haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang
tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat
patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut
hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila
anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca
kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora
dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada
anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah
sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh
mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan
terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan
sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri
tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-
anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak
menyertai program larian 1Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium
Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang
dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu
bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang
berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-
peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi
muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita
mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman,
Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa
boleh juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita
dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah
pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet
untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak.
Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan
setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar
sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa
perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau
berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan
berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang
pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan
tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan
negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan
sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat
disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama
mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang
kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat
sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan
sebegini diadakan. Kisah di sebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkaikan
dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda
dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan
menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan
daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung,
perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari
Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk
dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis
Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang
ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat jelas
membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan
personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
ALAM SEKITAR
Mendidik generasi muda mencintai alam sekitar - 9 Ogos 2008 Berita Harian PENERAPAN
pendidikan menjaga alam sekitar dan kebersihan bermula di rumah dan mudah dilaksanakan
seandainya ibu bapa benar-benar komited untuk melaksanakan usaha murni ini. Ia bukanlah
suatu perkara yang sukar dilaksanakan dan tidak memerlukan kos tinggi malahan banyak
memberikan manfaat kepada setiap keluarga yang mengamalkannya. Oleh itu, ada beberapa
kaedah mudah yang boleh diamalkan ibu bapa untuk mendidik anak untuk menjaga alam
sekitar bermula dari rumah. Pertama; Menanam sikap membuang sampah di tempat yang betul.
Pada masa ini, pembuangan sampah sudah menjadi tabiat di kalangan masyarakat. Amalan
membuang sampah di tempat yang betul dapat mendidik generasi cintakan kebersihan dan
bencikan kekotoran. Melalui pendidikan alam sekitar di rumah, anak diberikan penekanan untuk
membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan. Kedua; Amalan mengasingkan
sampah mengikut jenis seperti kertas, plastik botol kaca dan sisa makanan boleh dibudayakan
daripada rumah. Ia dapat dilakukan dengan menyediakan empat bekas sampah yang berlainan
warna (kuning, biru, jingga dan hijau) bagi mengasingkan sampah harian yang terhasil. Ia boleh
diletakkan di tempat strategik di dalam dan halaman rumah. Ketiga; Ibu bapa perlu
mengadakan ruang di halaman rumah untuk menanam tanaman seperti pokok bunga, sayuran
dan buah-buahan. Ia bukan saja dapat mengindahkan persekitaran rumah malahan sayuran
dan buah-buahan boleh dijadikan santapan berkhasiat untuk jamuan sekeluarga. Sekiranya
ruang untuk menanam tumbuhan terhad teknik hidroponik boleh dilaksanakan. Amalan ini
selaras dengan saranan Perdana Menteri baru-baru ini untuk menggalakkan tanam sayur dan
buah-buahan di sekitar rumah. Selain itu, sisa makanan yang terhasil setiap hari boleh
digunakan sebagai baja kompos organik untuk menyuburkan tanaman. Ibu bapa perlu
melakukan aktiviti ini secara bersama dengan anak. Kaedah ini dapat menerapkan kefahaman
menyayangi alam melalui penanaman tumbuhan yang boleh memberi manfaat kepada
manusia. Keempat; Aktiviti rekreasi alam sekitar perlu diperbanyakkan dan amalan membeli
belah ke pusat beli- belah perlu dikurangkan. Ini dapat menggalakkan anak berjimat cermat dan
pada masa sama meningkatkan kesedaran untuk menyintai alam sekitar di kalangan anak.
Aktiviti rekreasi alam sekitar seperti ke kawasan rekreasi air terjun, kawasan tanah tinggi, hutan,
sungai dan pantai adalah lebih bermanfaat daripada ke pusat beli-belah, sekali gus mengisi
masa lapang anak dengan penuh berkualiti. Kelima; Amalan penjimatan tenaga perlu di jadikan
amalan di rumah. Amalan penjimatan penggunaan elektrik dan air boleh dilakukan dengan
mematikan suis lampu, pendingin hawa dan kipas apabila ia selesai digunakan. Penggunaan air
pula di gunakan secara berhemat dengan memastikan air yang digunakan secukupnya dan
tidak membazir. Air basuhan pakaian sebenarnya masih boleh digunakan untuk menyiram
pokok dan tanaman di halaman rumah. Keenam, aktiviti mengemas rumah, mencuci kereta dan
membersihkan halaman perlu dijadikan budaya di dalam sesebuah keluarga. Ia perlu diadakan
sekerap mungkin. Anak-anak yang diajar dengan nilai baik mencintai kebersihan dan membenci
kekotoran akan dapat melahirkan ahli masyarakat yang baik ketika berada di luar rumah.
Ketujuh; Bagi mendidik keprihatinan mengenai alam sekitar anak perlu didedahkan dengan
maklumat mengenai isu alam sekitar yang berlaku. Majalah berbentuk pendidikan alam sekitar
perlu diperbanyakkan di rumah. Anak yang didedahkan maklumat dan bahan bacaan mengenai
alam sekitar akan dapat membina pemikiran yang sihat dan matang. Gambar hiasan di dalam
rumah juga perlu menonjolkan aspek cintakan alam sekitar. Sesungguhnya isu dan masalah
alam sekitar kini semakin mencabar dan kompleks. Peranan ibu bapa amat penting bagi
mendidik anak menghayati alam sekitar. Generasi muda yang terbina dengan asas nilai murni
yang kuat dari rumah dapat membina masyarakat yang bertanggungjawab dan sedar mengenai
alam sekitar.
ATOP 1= PW + TUGASAN + ISI 1 + BAHASA INDAH
[Antara][ langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak
mereka menjaga keindahan alam sekitar][ ialah mendidik anak-anak cinta akan alam
sekitar sejak kecil lagi][ kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.]
[Selain itu,][ ibu bapa juga perlu menunjukkan suri teladan yang terbaik kepada anak-
anak tentang penjagaan alam sekitar][ dapat menyemai sikap menjaga keindahan alam
sekitar dengan lebih mudah lagi dalam diri anak-anak mereka][, bak kata pepatah ke
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.]
[Di samping itu,][ langkah lain yang perlu dipraktikan oleh ibu bapa untuk memupuk
sikap mementingkan keindahan alam sekitar dalam jiwa anak-anak][ ialah dengan
menggalakkan ahli keluarga mereka mengitar semula barang barang buangan seperti
plastik, tin dan kertas.]
[Langkah yang terakhir untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan alam sekiar
di negara ini][ ialah ibu bapa boleh membawa ahli keluarga mereka melawat atau
melancong ke tempat-tempat menarik di seluruh negara][ supaya mereka menyayangi
alam sekitar dengan tidak mencemarkannya.]
PERPADUAN
Satu Malaysia jadi pegangan,
Serangkap lagu satu Malaysia di atas menunjukkan betapa pentingnya perpaduan kaum
diamalkan oleh rakyat Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, slogan kata Satu Malaysia yang menjadi
pegangan wazir negara kita, Dato Seri Najib Abdul Razak merupakan satu langkah yang jelas bagi
memantapkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, banyak
kepentingan yang boleh kita peroleh daripada amalan perpaduan kaum di Malaysia.
Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia ialah mewujudkan masyarakat yang harmoni.
Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum
di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya. Peribahasa rambut sama hitam,
hati lain-lain jelas menunjukkan walaupun manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma
dan keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan
masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal
yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum
dalam kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat.
Industri pelancongan merupakan salah satu industri yang menjadi penyumbang terbesar kepada
pendapatan negara. Kunci utama dalam menarik kedatangan pelancongan ke Malaysia ialah dengan
rakyat Malaysia mengamalkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum yang wujud dalam kalangan rakyat
Malaysia akan menarik minat pelancong dari luar negara untuk melihat sendiri amalan perpaduan kaum
yang menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia. Hal ini secara implicit dapat memperkenalkan keindahan
Malaysia kepada masyarakat luar seterusnya menaikkan nama negara. Oleh itu, wajarlah rakyat
Malaysia mengamalkan perpaduan kaum kerana selain dapat menarik kedatangan pelancong,
perpaduan juga mampu menaikkan nama negara, seperti kata peribahasa, sambil menyelam minum air.
Selain itu, dengan mengamalkan perpaduan kaum, kita juga dapat memajukan ekonomi negara.
Apabila perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia, penindasan ekonomi tidak akan berlaku
kerana setiap kaum akan bersaing dengan adil tanpa sedikit pun perasaan hasad dengki dalam diri
mereka. Contohnya, persaingan yang berlaku dalam dunia perniagaan. Bukan itu sahaja, apabila rakyat
mengamalkan peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, nescaya rakyat juga dapat bersama-
sama memajukan ekonomi negara.
Keamanan negara turut dapat dipertingkatkan apabila amalan perpaduan kaum telah meresap ke
dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Seperti yang kita ketahui, tanpa perpaduan kaum, keamanan tidak
dapat diwujudkan kerana rakyat akan bergaduh sesama sendiri sehingga menghancurkan keamanan
sesebuah negara yang telah dibina itu. Pertelingkahan yang berlaku antara rakyat hanya akan
menghasilkan suasana hidup yang porak-peranda. Oleh hal yang demikian, benarlah perpaduan kaum itu
penting untuk meningkatkan keamanan negara.
Konklusinya, semua pihak harus berganding bahu dan tidak mengharapkan pihak kerajaan
semata-mata dalam mewujudkan perpaduan kaum. Janganlah kita bersikap evasif mahupun bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana perpaduan kaum itu hanya akan wujud apabila
semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolak ansur.
PERPADUAN2
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat
hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara
yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang
bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang
menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang
maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat
diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.
Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara
satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik
antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya
menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia
sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling
bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang
berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak
menyumbang ke arah perpaduan kaum. Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah
Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
(SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama
bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat
hidup dalam keadaan harmoni kerana perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas
menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara
kaum dapat dikukuhkan.
Selain itu, ramai pelancong luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya
masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat
pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat,
kesenian dan sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan
pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat
dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25
juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang
bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya
kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen
menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun
2012 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan
pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita
mampu menarik pelancong asing datang ke sini.
Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi
negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam
modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan yang
mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara
akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana
menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini,
pelabur dari China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang
bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi
pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan
kepada negara sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Pelabur ini berani menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan
politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang
perbalahan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan
ekonomi negara.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan
imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pada masa kini
sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang
berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada
mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan
Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah
menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di
pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai
buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara
yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas
yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa
pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga
keadaan menjadi aman dan harmoni.
Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara
di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat.
Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau
media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa
yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia
kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru
supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk
menjadi negara maju dapat direalisasikan.
_____________________________________________________________________________________
Mata pelajaran Sejarah sering dikatakan susah oleh para pelajar masa kini. Mereka tidak memahami
bahawa Sejarah amat penting untuk masa dpan negara.Jadi mereka yang gagal untuk mempelajari
sejarah mereka pasti mengulangi kesilapan orang kita pada masa dahulu. Dengan mempelajari sejarah
kita dapat mengenal asal usul kemunculan tulisan, bandar, sistem pemerintahan dan sebagainya. Setiap
rakyat malaysia khususnya anak muda harus mengetahui latar belakang negara kita dan pembentukan
negara malaysia itu sendiri kerana ini merupakan sejarah negara kita.oleh itu, terdapat pelbagai
kepentingan mempelajari mata pelajaran sejarah.
Mengambil iktibar daripada peristiwa lalu merupakan kepentingan mempelajari Sejarah. Hal ini
demikian kerana, mereka yang tidak mempelajari sejarah berkemungkinan mengulangnya dan
membawa kepada kejatuhan negara. Memetik kata-kata ahli falsafah george santayana mereka yang
melupai sejarah pasti akan mengulanginya. Kesilapan orang terdahulu sewajarnya diambil berat dan
bukannya dipandang enteng sahaja kerana kesannya amat menyakitkan. Buktinya pada zaman
pendudukan jepun orang kita terdahulu hidup terseksa dan di bunuh tanpa belas kasihan akibat
mempercayai janji palsu jepun. Oleh itu, kita wajar mengambil iktibar daripada peritiwa lalu.
Selain itu, mempelajari sejarah dapat menimbulkan rasa patriotisme dalam kalangan masyarakat. Hal ini
demikian kerana, jika kita lihat senario pada hari ini, masyarakat tidak lagi menghargai jasa-jasa pejuang
tanah air kita yang telah bersusah payah membebaskan negara kita daripada dijajah. Akibat daripada itu
semangat patriotisme semakin terhakis dalam diri masyarakat kita terutamanya golongan remaja.
Sambutan hari kemerdekaan juga sering tidak diendahkan oleh para remaja hari ini kerana mereka
menganggap sambutan itu tidak mendatangkan apa apa faedah sedangkan sambutan itu wajib
diadakan untuk menghargai jasa-jasa pejuang tanah air. Mereka harus sedar bahawa segala kesenangan
dan kebebasan yang mereka perolehi pada hari ini hasil usaha pewira-perwira negara kita.nama mereka
sentiasa meniti di bibir pejuang negara kerana harimau mati meninggalkan belang manusia mati
meninggalkan nama.
Seterusnya, kita dapat menyedari kepentingan mengekalkan perpaduan kaum. Hal ini demikian
kerana, kestabilan negara bergantung kepada perpaduan masyarakat. Negara kita ibarat pokok dan
rakyat kita ibarat akar. pokok tidak akan berdiri kukuh tanpa akar begitu juga negara kita. Jika rakyat
bersatu padu, negara kita akan aman dan stabil, maka, perpaduan dapat dikekalkan. Negara kita penah
mencatatkan sejarah hitam selepas merdeka iaitu tragedi persalahfahaman antara kaum pada 13 mei
1969. Tragedi ini meragut banyak nyawa dan perpaduan negara pada masa itu ibarat telur di hujung
tanduk. Selepas terjadinya peristiwa hitam itu, kita mestilah sentiasa memastikan bahawa perpaduan
antara kaum itu dipelihara agar tragedi itu tidak berulang kembali.
Tuntasnya, kepentingan mempelajari mata pelajaran sejarah negara amat penting dalam pembentukan
masyarakat yang sentiasa menghayati dan menghargai jasa-jasa pejuang tanah air yang berjuang untuk
kebebasan kita pada hari ini. Jadi, pelajar terutamanya tidak sewajarnya mengeluh untuk mempelajari
matapelajaran kerana di dalamnya terkandung 1001 iktibar, teladan serta pengajaran untuk pedoman
hidup
Sejarah sangat penting dalam kehidupan manusia dengan menjadi panduan dan iktibar kepada
kita untuk memperbaikki kesilapan masa lalu bagi membolehkan kita mencipta kejayaan yang
lebih gemilang. Tanpa belajar daripada kesalahan dan kesilapan masa lalu, kita mungkin
mengulangi kesilapan lampau yang bukan sahaja merugikan seseorang individu tetapi mungkin
juga kepada keluarga, masyarakat dan negara mahupun bangsa.
Melalui sejarah, kita dapat mempelajari kejayaan bangsa dan negara seperti zaman keemasan
Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang boleh dijadikan perangsang untuk memacu
kemajuan negara. Tidak dapat dinafikan, pembentukan negara Malaysia pada hari ini bertitik-
tolak daripada kewujudan Kerajaan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara.
Sejarah juga membolehkan kita mengingati kegemilangan masa silam yang mana jika ada
kesedaran, kegigihan dan kesungguhan di kalangan pemimpin dan rakyat, keagungan tersebut
mampu diulangi malah mungkin lebih cemerlang. Malaysia kini mengecapi pelbagai
kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan menjadi antara negara membangun yang paling
maju di dunia. Dengan kegigihan pemimpin dan rakyatnya, tidak mustahil Malaysia mampu
mengecapi kegemilangan dan mengulangi semula zaman kegemilangan Kesultanan Melayu
Melaka pada abad ke-15.
Di samping itu sejarah juga dapat memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan
negara. Perasaan ini timbul apabila kita mempelajari sejarah tanahair dan dengan itu akan
lahirlah rasa bangga terhadap negara dan bangsa. Tanpa semangat ini, maruah negara kita
boleh tercalar apabila lahirnya warganegara yang sanggup mengadai dan menjual maruah
negara seperti terlibat dengan kegiatan menyeludup masuk warga asing. Semangat patriotisme
timbul apabila kita mengetahui dan memahami siapa diri, bangsa dan negara kita, serta
mempunyai pengetahuan teguh tentang sejarah negara kita. Namun begitu, ramai generasi
muda hari ini hanya mempelajari sejarah semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan sama
ada di peringkat sekolah mahu pun di universiti. Malangnya mereka gagal untuk memahami
kepentingan mata pelajaran sejarah dan terhasil rakyat Malaysia yang buta sejarah negara
sendiri.
Sejarah juga membantu kita menghargai dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan
negara. Proses mendapatkan kemerdekaan telah pun selesai pada1957 tetapi pengisiannya
bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar di negara majmuk seperti Malaysia. Jika generasi
muda hari ini tidak memahami sejarah pembentukan negara, apa yang telah bina akan runtuh
dan musnah. Meruntuhkan sesuatu amat mudah tetapi untuk membina atau membentuk
sesuatu itu yang sukar. Negara merdeka Tanah Melayu dibentuk hasil tolak ansur orang-orang
Melayu untuk menerima golongan imigran Cina dan India. Pemahaman terhadap kontrak sosial
ini amat penting untuk memacu Malaysia sebagai negara maju. Kegagalan memahami kontrak
sosial ini mampu mendatangkan impak negatif kepada negara. Namun begitu dengan memiliki
pengetahuan sejarah, rakyat Malaysia dapat memahami situasi ini dan akan menjadi bangsa
yang bersyukur seterusnya bersama-sama mengembling tenaga untuk membangun dan
mengukuhkan negara.
Jelas kepada kita betapa pentingnya pengetahuan sejarah kepada rakyat Malaysia. Tanpa
pengetahuan sejarah terutamanya mengenai pembentukan negara kita yang bermula dengan
Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, akan lahirlah warganegara tanpa jati diri. Mereka ini
tidak menghargai apa yang telah dimiliki pada hari ini dan lahirlah warganegara yang tidak
bersyukur, lupa asal- usul, adat resam dan budaya. Tidak hairanlah jika akan lahir rakyat
Malaysia yang tamak haloba dalam mencapai matlamat hidup tanpa mempedulikan halal-haram
dari aspek undang-undang dan memcampakkan kontrak sosial negara ketepi demi mencapai
cita-cita mereka. Hargailah apa yang telah kita kecapi hari ini. Presiden Amerika Syarikat ke-44,
Barack Hussin Obama dalam ucapan sulung sebagai presiden mengungkapkan: Sejarah akan
menilai kita dengan apa yang kita bina dan bukan dengan apa yang kita runtuhkan
____________________________________________________________________________
Ibu saudara mereka menjaga mereka dengan baik sekali. Tetapi, mereka hidup susah, kais pagi makan
pagi, kais petang makan petang. Ibu saudara mereka, yang dipanggil Mak Lang itu sangat sayang akan
mereka. Mak Lang bekerja di kebun pada waktu pagi, dan petangnya pula pergi ke rumah-rumah orang
membersih dan mengemas rumah orang. Pada setiap hujung bulan, dapatlah Mak Lang pendapatan
kira-kira RM300 sebulan, dan hiduplah mereka sekeluarga sekadar mampu dan bersederhana.
Kamalia dan adik-adiknya pula sangat sayang pada Mak Lang. Jika tidak bersekolah, Kamalia akan
menjaga rumah, memastikan adik-adiknya diuruskan dan menyiapkan kerja sekolah mereka. Kamalia
telah berjanji pada dirinya yang dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa baik Mak
Langnya menjaganya serta adik-adiknya dengan baik. Tambahan pula, Mak Langnya hidup seorang diri,
tidak punya sesiapa lagi selain Kamalia dan adik-adiknya.
Lia, belajar lah bersungguh-sungguh supaya mendapat kejayaan ya nak, pesan Mak Lang pada
Kamalia suatu hari.
Baiklah Mak Lang, Lia janji akan belajar bersungguh-sungguh. Suatu hari nanti, Lia nak kerja dan bantu
Mak Lang pula. Lia sayang Mak Lang.
Mak Langnya memeluk Kamalia sambil menangis, bersyukur walaupun tidak mempunyai anak, tetapi
Allah mengurniakannya anak-anak saudara yang baik dan sangat menghormatinya.
Di sekolah, Kamalia dan dua orang lagi adik-beradiknya adalah antara pelajar yang cemerlang, dan
kerap mendapat pujian guru-guru. Mereka selalu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, di
samping baik budi pekertinya. Mereka menjadi antara murid-murid kesayangan para guru di sekolah.
Tahun ini, Kamalia akan menduduki peperiksaan yang penting di sekolahnya, iaitu peperiksaan
UPSR. Sejak awal tahun lagi, Kamalia mengulangkaji pelajaran setiap hari dan tidak lupa bertanya
kepada gurunya jika ada pelajaran yang tidak difahami. Kamalia menumpukan sepenuh perhatian ketika
cikgu mengajar di kelas. Dia ingin mendapat kejayaan dalam peperiksaan tersebut.
Di samping itu, Kamalia tidak lupa sembahyang dan memohon pada Allah SWT supaya diberikan hati
yang terang dan dipermudahkan ketika menjawab soalan peperiksaan kelak.
Tibalah hari peperiksaan yang dinanti-nanti. Kamalia menjawab soalan peperiksaan dengan berhati-
hati. Sehingga hari terakhir peperiksaan dijalankan, Kamalia dapat menjawab semua soalan dengan
mudah. Harapannya tinggi supaya keputusan yang akan diterimanya nanti akan mendapat hasil
cemerlang.
Apabila keputusan UPSR diumumkan, Kamalia mendapat keputusan yang cemerlang sekali. Semua
orang sangat bangga dengan keputusan Kamalia antaranya cikgu-cikgu di sekolahnya, Mak Lang dan
adik-adiknya dan juga kawan-kawan di sekolah. Kamalia amat bersyukur sekali
________________________________________________________________________________
Rina adalah seorang gadis yang baik. Dia berumur 15 tahun dan tinggal bersama keluarga yang hidup
sederhana. Namun Rina tetap bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya.
Rina adalah seorang anak tunggal yang sering mendengar kata ibu bapanya. Dia tidak pernah melawan
kerana dia tahu bahawa perbuatan itu adalah dosa.
Rina adalah seorang yang mementingkan pelajaran. Pada tahun ini, dia akan menghadapai
Penilaian Menengah Rendah (PMR). Oleh itu, Rina berazam untuk mencapai kejayaan lapan A dalam
PMR. Dia tidak ingin mengecewakan kedua ibubapanya yang telah mendidiknya sejak kecil lagi.
Rina, kamu belajarlah bersungguh-sungguh nak, Tanamkan azam dalam diri kamu untuk
mencapai kejayaan lapan A dalam PMR. Pesan ibunya.
Insyallah ibu, Rina akan belajar bersungguh-sungguh. Rina tidak akan mengecewakan ibu dan
ayah janji Rina kepada ibunya.
Di sekolah, Rina mempunyai ramai teman. Mereka sering membuat perbincangan tentang
pelajaran. Mereka sentiasa bersikap serius ketika guru sedang mengajar kerana mereka tahu bahawa
sekiranya mereka tidak serius ketika guru sedang mengajar mereka tidak dapat menumpukan sepenuh
perhatian dalam pelajaran.
Baiklah pelajar-pelajar, dua minggu lagi kamu semua akan menghadapi Pra PMR. Saya harap
kamu sudah membuat persediaan yang secukupnya untuk peperiksaan tersebut dan tolong ingat pesan
saya, usaha adalah tangga kejayaan. Jadi kamu semua berusahalah bersungguh-sungguh. Jangan
kecewakan kedua ibubapa yang telah mendidik dan menjaga kamu sejak kecil. Kata cikgu Riduan
kepada Rina dan rakan-rakan sekelasnya.
Sejak itu, Rina dan rakan sekelasnya yang lain mula membuat persediaan untuk peperiksaan
yang akal menjelang. Mereka sering membuat perbincangan bersama di dalam kelas. Cikgu Riduan juga
sering membuat kelas tuisyen untuk mereka demi kejayaan mereka bersama.
Saya tidak mahu kamu semua gagal dalam peperiksaan ini. Saya mahu kamu semua berjaya
dan kerana itulah saya sanggup korbankan masa untuk kamu semua dengan mengadakan kelas
tuisyen. Kata cikgu Riduan kepada anak-anak murid yang disayanginya.
Akhirnya, Pra PMR telah pun berlalu. Keputusan juga telah diberikan, semua rakan Rina telah
lulus dalam peperiksaan tersebut tetapi Rina berasa terkejut dengan keputusan yang diperolehnya. Dia
benar-benar tidak menduga dengan keputusan yang diperoleh dari Pra PMR tersebut. Rina berasa
sangat sedih. Dia telah mengecewakan kedua ibu bapanya dengan begitu juga dengan cikgu Riduan.
Ya, Allah apakah ini satu ujian untukku?. Ya Allah, sesungguhnya aku telah berusaha dengan
bersungguh-sungguh, tetapi mangapa aku gagal?. Astaghfirullahalazim. Ya Allah, engkau tenangkanlah
hatiku dan berikan aku kekuatan. Jauhilah aku dari sifat berputus asa, Doa Rina dalam hati sambil
menangis.
Rina, awak janganlah bersedih. Awak kena terima semua ini dengan hati yang tenang, Rina.
Awak tidak boleh salahkan takdir. Ini semua ujian dari Allah. Dia nak awak terus berusaha untuk
mencapai kejayaan. Masih belum terlambat lagi. Kata cikgu Riduan kepada Rina.
Saya faham cikgu, tapi saya dah kecewakan ibu dan ayah. Saya tak sanggup hendak
tunjukkan keputusan saya kepada mereka. Tentunya mereka akan memarahi saya nanti, kan cikgu?,
jawab Rina.
Rina, tak baik awak berkata begitu. Setiap ibu bapa tidak akan pernah membenci anaknya
sendiri. Awak perlu yakin bahawa awak pasti akan berjaya, tambah cikgu Riduan kepada Rina.
Baiklah cikgu, mulai saat ini, saya akan berusaha lagi dengan lebih bersungguh-sungguh
untuk berjaya dalam PMR yang bakal saya dan rakan-rakan hadapi tidak lama lagi, jawab Rina.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Rina terus menangis di pangkuan ibunya. Dia tidak sanggup untuk
memberitahu keputusan peperiksaan kepada ibu dan ayahnya.
Ibu, maafkan Rina yang telah kecewakan ibu dan ayah, maafkan Rina jawab Rina sambil
menangis.
Sayang, itu semua adalah takdir Allah. Tidak mengapalah nak, gagal tidak bererti akan gagal
untuk selamanya. Ibu harap dalam PMR sebenarnya nanti kamu akan mencapai kejayaan yang kamu
inginkan selama ini, kata ibunnya.
Ibu, Rina janji, Rina akan buktikan kepada ibu dan ayah yang Rina boleh berjaya, kata Rina.
Semenjak itu, Rina sering membuat latihan tambahan di rumah. Ibunya sering memberikan
sokongan dan dorongan kepadanya. Rina juga sering bertanya kepada guru sekiranya dia tidak
memahami sesuatu tajuk. Rina tidak pernah berhenti membuat latihan. Dia tetap berusaha bersungguh-
sungguh. Rina tidak pernah jemu membuat latihan kerana dia tahu bahawa dengan membuat latihan, dia
akan dapat mengukuhkan lagi kefahaman terhadap sesuatu mata pelajaran.
Pada suatu pagi di dalam bilik darjah tiga Arif, selepas loceng masa ke-4 yang menandakan
waktu rehat bagi semua pelajar menengah rendah. Kelihatan rakan-rakan kelas Rina bergegas keluar
kelas untuk menjamu selera di kantin sekolah. Suasana mula hiruk-pikuk dengan suara pelajar-pelajar
yang tidak sabar dengan urusan masing-masing.
Rina, aku cukup bangga dengan engkau. Walaupun kau gagal dalam Pra PMR namun kau
tidak pernah berputus asa. Malah engkau terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang sudah lama
diidamkan itu, kata Linda teman baik Rina kepadanya.
Aku tidak akan pernah putus asa. Aku tak nak kecewakan ibu dan ayah aku lagi. Aku nak
buktikan kepada mereka yang aku akan berjaya, kata Rina kepada Linda.
Sebulan selepas peristiwa itu, esok merupakan hari penting bagi Rina bersama rakan-rakan
sekelasnya. Mereka akan menduduki Penilaian Menengah Rendah.
Ya Allah, engkau berkatilah segala usaha yang telah aku lakukan. Berikan kejayaan kepadaku
Ya Allah Doa Rina dalam solat subuhnya pagi itu. Selesai memakai pakaian seragam sekolah Rina terus
menuju ke dapur rumah untuk bersarapan bersama ayah dan ibunya. Rina terus duduk di meja makan
bersebelahan dengan ibunya. Mereka berpesan agar Rina sentiasa fokus dalam menjawab soalan-
soalan PMR nanti.
Akhirnya, tiga hari kemudian PMR telah pun berlalu. Rina dan rakan-rakanya berasa cukup
lega kerana mereka telah pun menghadapi ujian yang penting. Mereka telah pun berusaha dengan
bersungguh-sungguh. Kini mereka hanya mampu bertawwakal kepada Allah supaya mereka mendapat
kejayaan yang cemerlang dalam PMR.
Kira-kira tiga bulan selepas mereka menduduki PMR, keputusan PMR akan diumumkan.
Seramai 30 orang pelajar SMK. Dato Abdul Samad telah berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Kesemua mereka berjaya mendapat keputusan lapan A. Dia tidak menyangka bahawa dia telah berjaya
mendapat keputusan cemerlang lapan A. Rina berasa sangat gembira, segala usahanya yang telah
dilakukannya selama ini tidak sia-sia.
Ya Allah, aku benar-benar bersyukur kepadaMu, terima kasih Ya Allah, doa Rina.
Rina pulang dengan penuh perasaan gembira. Dia ingin berkongsi kegembiraannya bersama
ibu dan ayahnya.
Ibu! Ayah! Rina dah berjaya. Rina telah mendapat kejayaan yang Rina inginkan, jerit Rina
sekuat hati tanda gembira. Ibu dan ayahnya keluar setelah mendengar jeritan Rina.
Alhamdulilah, akhirnya anak ibu dah berjaya, luah hati ibu sambil memandang tepat kepada
wajah suaminya.
Ibu! Ayah!, Rina dah berjaya, Rina dah buktikan kepada ibu dan ayah, kata Rina kepada
kedua ibu dan ayahnya.
Ya nak, kamu telah berjaya. Jadi selepas ini kamu akan melanjutkan pelajaran di sekolah
berasrama penuh, kata ayahnya pula. Rina dan ibunya tersenyum mendengar kata ayahnya.
Akhirnya, Rina telah berjaya melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh di Sekolah
Menengah Sains Tuanku Jaafar. Ibu dan ayahnya berbangga dengannya kerana walaupun dia pernah
gagal dalam Pra PMR, namun dia tidak pernah berputus asa. Rina tetap terus berusaha demi kejayaan.
Bak kata pepatah nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Mereka tidak menyangka anak mereka yang
selama ini mereka didik telah berjaya dengan cemerlang dalam PMR. Mereka sentiasa mendoakan agar
Rina terus berjaya dalam kehidupannya kelak.