Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja
hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti
negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar
melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak
pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah
yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan
menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu,
berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding
bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik
persis mutiara kata yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan
muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang
pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan
amalan membaca itu amalan hidup.
Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya
perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan
perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya
perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan
yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk
meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan
untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku
itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar
membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar
nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan
Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat
menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang
terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata
pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk
menjadikan membaca sebagai amalan hidup.
Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan
membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif
menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa
perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan
membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa
saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk
kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami
sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan
dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul
buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya bed story
sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu
pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak
lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan
membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas
pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk
amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.
Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi
Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar
membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi
buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku
NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan
bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga
boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan
kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca
berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka.
Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu
keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan
jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan
daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang
menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu
sendiri tidak mahu mengubahnya.
Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal
ini kerana, saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku
yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan.
Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah
dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di
pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di
pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya
dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk
membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat
menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau
kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu
membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan
perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.
Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-
buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga
bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh
mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau
meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa
membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan
terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan
individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai
contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary
Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem.
Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk
melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup
saya.