Anda di halaman 1dari 6

SOALAN KARANGAN UMUM (KERTAS 1 SPM)

Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-


anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah.
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-
anak. Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih kurang daripada 350 patah
perkataan.

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan


universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama
bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli
keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-
anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu
bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai
kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih
sayang dan melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih ,
ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya , apakah
peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada
pendapat saya,jawapannya sudah pasti tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh
keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan
pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah


anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak .
Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya .
Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam
diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta
mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama
dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang
akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan
ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk
mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang
dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak
yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga
mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah
laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah
bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah
anak-anak.

Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan
kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini
demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi
sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata
lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu
perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli
keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik
dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar
membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang
baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak
ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa besarnya
peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-
anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu
bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya
corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan
akhlak anak-anak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik ,
tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau
menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting
dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling
bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia .
Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-
anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup
untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk
anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak
Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama
ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak
supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima
bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan
sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling
bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah
dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk
mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat
melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan
bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya
anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri
seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari .
Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa
sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak
yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan
nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang
sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah
diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang
sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara.
Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan
apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang
berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat
dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana
dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-
anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa
perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui
latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak
lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya
kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa
tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini
demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi
akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka
keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku
terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak
kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa
bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya ,
ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat
melahirkan anak yang berperibadi mulia .

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa


memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk
melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari
akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia .
Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu
keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula
dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih
dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka
kerana mereka merupakan role model bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga
merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan
bersahsiah mulia. Rumahku, Syurgaku
2. Pelbagai masalah yang wujud di negara ini sering dikaitkan dengan kegagalan
institusi keluarga. Nyatakan kepentingan-kepentingan mewujudkan perasaan
kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat dalam era globalisasi ini.
Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih kurang daripada 350 patah perkataan

Dewasa ini, hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar tidak erat


berbanding keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan oleh ibu
bapa tidak rapat dengan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama
mereka. Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan
kekeluargaan. Oleh itu,amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan
manfaat-manfaat mewujudkan perasaan kekeluargaan.

Kita dapat memastikan gejala sosial tidak mempengaruhi masyarakat terutamanya


dalam kalangan remaja apabila eratnya ikatan kekeluargaan dalam hidup mereka.
Remaja yang kurang perasaan kekeluargaan dan kasih sayang akan mudah terjebak
dengan budaya kuning seperti merokok dan melepak di pusat beli-belah kerana
mereka tidak mempunyai panduan hidup yang jelas. Lantaran itu,mereka
memberontak dengan melakukan perkara yang tidak sihat untuk mendapat perhatian
orang ramai. Selaras dengan itu,ibu bapa perlu memupuk perasaan kekeluargaan
terhadap anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Selain itu, kadar jenayah di negara kita dapat dikurangkan dengan drastik.
Kebanyakan kajian membuktikan pencetus utama penjenayah melakukan kesalahan
undang-undang seperti membunuh dan merogol adalah disebabkan masalah
kekeluargaan. Mereka hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah kerana
tertekan dan cuba mencari jalan penyelasaian bagi masalah mereka. Ketiadaan
keluarga untuk menjadi tempat mereka meluahkan masalah menjurus isu ini berlaku.
Sehubungan dengan itu, pelbagai program bercorak kekeluargaan seperti Hari
Bersama Keluarga perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengeratkan lagi
hubungan kekeluargaan.

Secara tidak langsung, negara kita akan sentiasa dalam keadaan aman dan damai
apabila masalah gejala sosial dan kadar jenayah berkurangan. Negara yang harmoni
dan tiada masalah dalaman mahupun luaran mampu melahirkan masyarakat yang
tinggi nilai kekeluargaan. Hal ini demikian kerana,mereka bebas melakukan pelbagai
aktiviti bersama keluarga tanpa memikirkan masalah-masalah yang menimpa negara
mereka. Oleh sebab itu,semua pihak perlu bekerjasama menjaga keamanan negara.

Produkitiviti rakyat turut bertambah kerana mereka berasa gembira melihat keluarga
yang bahagia dan keadaan negara aman yang makmur.Rakyat negara yang harmoni
pasti berwawasan dan mempunyai modal insan yang tinggi. Malahan, mereka dapat
menjaga kebajikan keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga,bangsa
dan negara mereka. Pertumbuhan ekonomi negara turut berkembang dengan pesat.
Oleh itu, nilai positif ini perlu diwujudkan supaya kebahagiaan sesebuah keluarga
dapat dikekalkan.

Malah, imej negara pada mata masyarakat dunia terus bersinar. Keluarga yang
bahagia menghasilkan semua impak yang positif. Masyarakat luar akan melihat
kejayaan ini dan cuba menyebarkan kejayaan itu di negara mereka. Tindakan ini akan
menyebabkan semua masyarakat luar akan mengenali rahsia kejayaan Malaysia ialah
kekuatan sistem keluarga mereka. Maka, rakyat negara ini boleh berbangga kerana
mereka dipandang tinggi oleh masyarakat asing.

Kesimpulannya,terdapat banyak faedah yang kita mampu peroleh apabila


mempraktikkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Situasi ini dapat
memastikan kehidupan yang kita jalani pada masa hadapan lebih berkualiti dan
bermakna kerana kita mempunyai keluarga yang menjadi penyebab seseorang itu
meneruskan kehidupannya.Justeru,masyarakat tidak boleh bersikap acuh tak acuh
dengan nilai-nilai murni ini agar mereka dapat melahirkan sebuah keluarga yang
sempurna.