Anda di halaman 1dari 1

Sekapur Sirih

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pentadbiran sekolah kerana memberi saya peluang untuk berkongsi
dan mengimbas kembali segala pengalaman saya sepanjang perkhidmatan saya dalam Jabatan Pendidikan
sebagai seorang guru.

Selepas menamatkan latihan dari Maktab Perguruan Rajang, Binatang pada penghujung tahun 1978,
saya terus ditugaskan di beberapa buah sekolah di daerah Limbang, daerah kelahiran saya sendiri. Sepanjang
perkhidmatan saya, saya hanya berpeluang untuk bertugas di empat buah sekolah sebagai guru biasa.

Saya mula berkhidmat di SK. Kuala Medalam pada tahun 1979 dalam masa yang amat singkat. Dalam
bulan April tahun yang sama saya telah ditukarkan ke SK. Menuang , kemudian ke SK. Kuala Penganan, ke SK.
Ukong dan seterusnya kembali semula ke sekolah ini pada Tahun 1996. Ini bermakna saya bertugas di sekolah
ini sebanyak dua kali.

Dari 38 tahun perkhidmatan saya, 32 tahun saya curahkan di sekolah ini, yang juga merupakan sekolah
pertama untuk saya mengenali angka dan abjad. Di sinilah saya menerima pendidikan awal saya dari Darjah Satu
hingga Darjah Enam.

Pada zaman KLSR setiap guru mengajar secara menyeluruh dalam satu-satu kelas. Segala mata
pelajaran dalam kelas tersebut diajar oleh seseorang guru itu sahaja secara kontrak.

Dengan lahirnya KBSR pada tahun 1983, kuota guru sepatutnya dua kelas tiga orang guru. Guru utama
dikehendakki mengajar Bahasa Malaysia, Matematik dan Pendidikan Moral. Manakala guru yang dikenali
sebagai Guru Kedua ditugaskan untuk mengajar Bahasa Inggeris, Muzik, PJ dan Pendidikan Seni. Namun kerana
bilangan guru belum mencukupi pada masa itu, masih ramai yang kontrak satu kelas seperti zamam KLSR yang
terdahulu.

Kursus untuk guru-guru dijalankan di sekolah-sekolah menengah. Di situlah kami berkursus, makan
dan tidur. Untuk kursus-kursus KBSR, kami dipanggil berkursus semasa cuti selama seminggu untuk setiap
peringkat kelas. Tidak ada sebarang rungutan kedengaran sebab kata orang Alah bisa tegal biasa. Apabila
pengangkutan ke tempat kursus disediakan, tidak ada sebarang tuntutan yang diberikan. Untuk berkursus di
SMK Lawas, misalnya, kami menaiki bot pancung dari Limbang ke Trusan. Selepas itu baru naik bas ke Lawas.

Di sekolah saya selalu diberi tanggungjawab untuk menguruskan Kelab Keceriaan kerana saya memang
meminati penanaman pokok-pokok bunga. Selain itu saya selalu dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Kelab
Kebudayaan sekolah, khasnya dalam bidang tarian, walaupun kemahiran amat terhad.

Dalam bidang pengurusan saya juga pernah dilantik sebagai warden. Selain itu, khasnya bagi pusingan
kedua di SK. Menuang, saya juga pernah diberi amanah sebagai Ketua Panitia Bahasa Iban dan Bahasa Inggeris.

Boleh dikatakan sejak mula mengajar, saya ditugaskan untuk mengajar Darjah Satu dan Darjah Dua,
ataupun disebut Tahun Satu dan Tahun Dua sekarang. Ini merupakan satu tugas yang amat mencabar kerana
berhadapan dengan anak-anak kecil yang belum mengenali dunia angka dan abjad. Tidaklah seperti pada masa
ini di mana murid-murid Tahun Satu sudah dilatih di kelas-kelas Tadika sebelum memasuki alam persekolahan
yang sebenar. Kencing di seluar, bergaduh, menangis adalah satu kebiasaan. Ada kalanya saya mengakui bahawa
diri saya boleh hilang sabar disebabkan oleh karenah anak-anak kecil ini. Namun saya selalu mengingati diri saya,
jika tidak ada murid, sudah tentu tidak ada guru.

Hari ini telah sampailah saya ke penghujung perjalanan dalam profesyen perguruan. Maka dengan
peluang ini saya berharap agar guru-guru yang masih berkhidmat, sentiasa bersabar dan tabah menghadapi
cabaran kerana bagi diri saya segala cabaran itu adalah jalan menuju kejayaan.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai