Anda di halaman 1dari 7

Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek

membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah


dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk
membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat
khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang
suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah
menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau
tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang
dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak-anak
sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu
bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu
semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak
betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah,
bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan
suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus
menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan
menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak
kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar
ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.

Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah
membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku
Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku
akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik
serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku
yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu
membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang
untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan
sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-
buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar. Tegasnya, usaha ibu bapa
membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah
efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan
menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan.

Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli
banyak buku atau majalah yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh
mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca
jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan
mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan
bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan
Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara
harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku
dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu
bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan
bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya
membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat,
berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu
bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah
sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran.
Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena
hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan
belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini
akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak
cinta.

Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku


dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan
dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui
perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi
ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan
pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku. Secara tidak langsung, anak-anak
juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak
berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh
mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan
tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak
menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh
pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan
sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut
memperoleh manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak
menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai
ahli kelab buku agar anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat
membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.

Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-
bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya
agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri selain buku pelajaran
dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca
buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah
memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang
disediakan dalam perpustakaan mini di rumah. Anak-
anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap
hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan
masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah.
Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang
banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan
dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang
kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa
yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan
untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu,
anak-anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca
sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu
membaca apabila ada masa terluang dan mereka akan menghargai masa
kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang,
mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berhampiran
dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku
yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-
anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan
yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-
anak mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah
dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan
ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet
merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan Internet seperti melihat
gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing
kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet
untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai
buku berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak membaca karya-karya
ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu
yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan
hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah
penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang
memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan
ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak
mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh
hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan
minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh
cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang
luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam karya
besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja
menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan
makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan.

Ibu bapa ialah tonggak sesebuah keluarga. Peranan mereka umpama nakhoda sebuah bahtera yang sedang
merentasi sebuah samudera yang penuh cabaran. Budaya membaca sebagai penanda aras penting sesebuah
masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan dan kemajuan patut bermula dari rumah. Di tangan ibu
bapalah asas pembentukan tingkah laku dan tabiat anak-anak dapat disemai. Peribahasa menyebut bahawa
melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa hendaklah memainkan peranan utama bagi memupuk
budaya membaca di rumah. Penentu kejayaan peranan ibu bapa termasuklah keupayaan kepimpinan,
kewangan dan dorongan yang berterusan.

Kepimpinan ibu bapa dalam konteks pemupukan budaya membaca bermaksud proses mempengaruhi
anggota keluarga supaya sentiasa aktiviti pembacaan semasa berada di rumah. Untuk itu, ibu bapa terlebih
dahulu hendaklah memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan budaya membaca. Kesedaran
itu kemudian dipanjangkan kepada anak-anak supaya mereka juga memiliki tahap kesedaran yang sama
dengan ibu bapa mereka. Kesedaran tentang budaya membaca dizahirkan menerusi minat ibu bapa terhadap
bahan bacaan menerusi percakapan dan juga perbuatan. Pendek kata, kesedaran ibu bapa adalah asas
pemupukan budaya membaca di rumah.

Cogan kata 'kepimpinan menerusi teladan' sudah biasa kita baca dan dengar. Sebagai pemimpin keluarga,
ibu bapa ialah suri teladan terdekat kepada anak-anak. Ibu bapa dan anak-anak bukan sahaja memiliki
hubungan biologi yang jelas, bahkan sebahagian besar pembawaan dan tabiat ibu bapa turut diwarisi oleh
anak-anak. Peranan ibu bapa dalam proses pemupukan budaya membaca ialah pengukuhan pengaruh positif
secara konsisten. Ibu bapa bukan hanya menggesa anak-anak supaya membaca, sebaliknya mereka sendiri
menunjukkan teladan amalan membaca yang ketara.

Sebagai pemimpin keluarga, ibu bapa berperanan merancang jadual kegiatan keluarga, termasuk
peruntukan waktu membaca bagi seisi keluarga. Ibu bapa mungkin sibuk dengan pekerjaan dan urusan rumah
tangga yang lain, tetapi tiada sebarang sebab yang munasabah mengizinkan berlakunya pengabaian kegiatan
seisi keluarga termasuk pembacaan. Misalnya, ibu bapa mengumpulkan seisi keluarga di ruang tamu sambil
memegang bahan bacaan yang bermanfaat seperti buku dan majalah. Sebarang gangguan terhadap tumpuan
pembacaan seperti siaran radio dan televisyen dihentikan. Peruntukan waktu senyap di rumah akan
membuka laluan supaya tabiat membaca berkembang dan menjadi kebiasaan di rumah.

Ibu bapa juga mesti meluangkan masa bersama anak-anak untuk berkunjung ke perpustakaan awam yang
berdekatan. Misalnya, pada pada hujung minggu, selepas sarapan pagi, seisi keluarga bergerak menuju
perpustakaan dan berada di sana mungkin dalam tempoh satu atau dua jam. Ibu bapa harus menemani anak-
anak yang masih kecil untuk memberi galakan ke arah pengukuhan tabiat membaca yang didambakan. Ibu
bapa juga boleh membantu anak-anak untuk memahami bahan bacaan pilihan masing-masing. Ibu bapa mesti
sanggup menurunkan tahap komunikasi supaya setara dengan anak-anak supaya aktiviti pembacaan tidak
bersifat beban yang berat atau membosankan. Kunjungan ke perpustakaan awam hendaklah dijadualkan,
manakala anak-anak diberi pengukuhan supaya memiliki tahap kesediaan yang tinggi untuk terus bersama
mereka ke perpustakaan awam.

Belanjawan keluarga memang perlu dirancang dengan berhemah bagi memenuhi semua keperluan,
walaupun pendapatan ibu bapa mungkin tidak sebanyak mana. Di samping melangsaikan segala perbelanjaan
asas rumah tangga, peruntukan untuk membeli bahan bacaan harus ada walaupun sedikit Misalnya, setiap
orang anak dihadiahkan senaskhah buku setiap bulan. Kini, buku dan bacaan bacaan yang bermutu tidak
hanya dijual di toko buku yang besar, bahkan di gerai pasar malam dan pasar tani, terutama buku terpakai
yang masih baharu. Penerbit buku juga mungkin mengadakan pameran buku bergerak dengan tawaran
potongan harga yang menarik. Ibu bapa boleh membeli bahan bacaan yang bersesuaian sambil dapat
berjimat.

Kegiatan bacaan di rumah juga menjadi lebih selesa jika terdapat suasana fizikal rumah yang sesuai.
Ibu bapa boleh mengatur susunan perabot yang menyokong aktiviti pembacaan. Ruang tamu tidak hanya
dipenuhi dengan rak cakera padat hiburan, tetapi didominasi oleh bacaan bacaan yang menarik. Berdekatan
dengan set televisyen juga tertera slogan seperti 'baca buku dahulu, kemudian baharu menonton'. Minda seisi
keluarga sudah dibiasakan dengan keutamaan amalan membaca. Disiplin dalam pembacaan juga diterapkan
dalam kalangan anak-anak. Seisi keluarga menghormati tempoh waktu membaca tanpa sesiapa pun yang
cuba membuat kecoh. Tiada sebarang bacaan yang dibiarkan berselerak usai aktiviti membaca. Pendek kata,
ibu bapa berperanan besar dalam menyediakan suasana membaca di rumah.

Di negara maju seperti Jepun dan Jerman terdapat pasar raya buku yang khusus. Di Malaysia, walaupun
gedung besar seumpama itu belum wujud, sekurang-kurang terdapat kedai buku di lot kedai atau pasar raya
utama. Ibu bapa boleh memainkan peranan memupuk budaya membaca di rumah dengan mengajak anak-
anak mengunjungi premis kedai buku yang berkenaan. Kunjungan ke kedai buku bukan bererti untuk
membuat belian bahan bahan bacaan dalam kuantiti yang banyak. Sebaliknya ibu bapa menetapkan
senaskhah buku bagi setiap orang anak. Tujuan sampingan ke kedai buku adalah untuk membuat tinjuan
judul buku terkini. Ibu bapa boleh memberitahu anak-anak supaya merujuk buku-buku yang berharga mahal
di perpustakaan sahaja.

Anak-anak yang masih mentah mungkin sekali tidak konsisten dalam amalan bacaan mereka. Umpama
bunga yang mudah layu, siraman air akan mengembalikan kesegarannya. Maka, demikian juga dengan anak-
anak yang mungkin tergoda dengan aktiviti lain yang lebih santai dan ringan hingga melanggar peruntukan
waktu untuk pembacaan. Maka, ibu bapa berperanan untuk memberi pengukuhan, peringatan, dorongan dan
galakan, sama berbentuk lisan dan hadiah yang munasabah Pujian yang dihamburkan oleh ibu bapa
hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan suci hati. Bahasa mesra yang digunakan untuk
menggalakkan anak-anak untuk terus membaca bakal menyumbang terhadap proses pemupukan budaya
membaca di rumah.

Aktiviti pembacaan yang sihat tidak berakhir dengan begitu sahaja tanpa sebarang susulan yang konkrit.
Ibu bapa berperanan untuk memastikan bahawa setiap sesi pembacaan seisi keluarga memberi manfaat yang
berpanjangan. Caranya adalah dengan melakukan perbincangan ringan tentang perkara yang dibaca. Ibu
bapa dan anak-anak saling bersoal jawab tentang pengalaman pembacaan yang telah dilalui. Input bacaan
dikongsi bersama dalam bentuk aplikasi alam nyata. Anak-anak juga diberi peluang meluahkan pendapat
samada setuju atau membantah saranan yang ditemui dalam bahan bacaan masing-masing.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca di rumah begitu menyumbang
terhadap pembinaan sebuah masyarakat yang mencintai ilmu dan kemajuan dalam segala bidang. Ibu bapa
bukan sekadar memainkan peranan yang pasif dengan hanya tahu menyuruh anak-anak membaca, sebaliknya
mempamerkan contoh teladan yang terbaik. Amalan membaca bukan suatu pilihan, tetapi ialah suatu
kewajipan sebagaimana yang disarankan lewat surah al-Alaq. Tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin
keluarga untuk menyemarakkan amalan membaca di rumah tidak boleh dibuat secara sambil lewa. Peranan
ibu bapa dalam memupuk budaya membaca di rumah sebenarnya sangat kritikal.
Posted by CIKGU AZHAR RODZI at 5:14 AM

Selain itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memupuk amalan membaca
dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Justeru , amalan membaca perlu dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil keranajiwa anak-anak
kecil umpama sehelai kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Jiwa kanak-
kanak juga masih lembut umpama rebung dan mudah dilentur dan dididik menjadi insan yang suka
akan buku dan seterusnya suka membaca. Contohnya, sejak kecil lagi ketika anak-anak belum boleh
membaca, ibu bapa sendiri boleh membacakan untuk mereka buku-buku cerita yang bersesuaian. Ibu
bapa juga boleh menghadiahi anak-anak mereka buku-buku pada hari ulang tahun kelahiran ataupun
sebagai penghargaan atas pencapaian anak-anak dalam pelbagai bidang. Jelaslah, jika ibu bapa dapat
menyemai amalan membaca ini sejak anak-anak masih kecil, usaha untuk melahirkan remaja yang suka
membaca akan tercapai.
Seterusnya, peranan pihak sekolah juga tidak boleh disisihkandalam usaha menggalakkan amalan
membaca ini. Hal ini demikian kerana, selain di rumah, remaja menghabiskan sebahagian besar masa
mereka di sekolah. Justeru pihak sekolah perlu melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk
menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar-pelajar. Contohnya, melalui program Nadi
Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang dilaksanakan oleh pihak sekolah merupakan penggabungan
semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai
kepada pelajar mengikut bilangan buku yang telah dibaca. Usaha-usaha galakan membaca yang
berterusan perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah melalui aktiviti-aktiviti koakademik yang dikendalikan
unit Pusat Sumber Sekolah, Ketua-ketua Bidang Mata pelajaran, Panatia-panatia Mata Pelajaran,
persatuan-persatuan dan sebagainya. Contohnya, aktiviti seperti Bulan Bahasa, Bulan Membaca,
pertandingan yang berkaitan dengan membaca dan sebagainya perlu dijalankan. Selain itu, semua guru
perlu sentiasa menekankan kepentingan membaca kepada pelajar-pelajar dan memberi dorongan serta
ganjaran yang sewajarnya. Oleh itu, sekiranya usaha-usaha untuk menggalakkan amalan membaca
yang lebih sistematik, terancang dan berterusan akan membentuk pelajar-pelajar yang suka membaca
dan seterusnya menjadi insan yang cemerlang pada masa depan.

Anda mungkin juga menyukai