Anda di halaman 1dari 7

CONTEMPORARY CAREER SEMINAR

(SSKC 5223)

DISKRIMINASI TERHADAP GOLONGAN


OKU DALAM KERJAYA

PREPARED TO:

DR AZEMI SHAARI

PREPARED BY:

SITI FATIMAH BINTI YUSOF 819814

MASTER OF SCIENCE COUNSELING


1. PENGENALAN

Perkataan diskriminasi merupakan satu perkataan yang menggambarkan satu sifat negatif
yang wujud dalam setiap lapisan masyarakat. Secara amnya diskriminasi adalah prasangka
buruk terhadap individu ataupun satu kumpulan manusia. Menurut Theodorson &
Theodorson, diskriminasi adalah tingkah laku yang tidak seimbang terhadap seseorang
individu atau kumpulan manusia berdasarkan sifat-sifat individu atau kumpulan tersebut.
Sebagai contoh, agama, bangsa dan keturunan (Fulthoni, Arianingtyas, Aminah, &
Sihombing, 2009). Kebiasaannya tiada seorang manusia pun di dunia ini setuju jika dituduh
melakukan diskriminasi terhadap individu yang lain. Namun, hakikatnya manusia yang hidup
dizaman serba maju ini masih lagi mengamalkan sikap negatif ini.

Pada masa kini Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan
sedang menuju kepada status negara maju. Kesan dari pembangunan yang pesat tersebut,
bidang pekerjaan mula terbuka luas. Namun, rakyat Malaysia juga tidak terlepas dari kesan
diskriminasi boleh berlaku di tempat kerja khasnya. Diskriminasi di tempat kerja seringkali
melibatkan ketidaksamaan jantina. Contohnya, pekerja perempuan seringkali dipandang
rendah akan keupayaan mereka dalam menjalankan sesuatu tugasan. Selain dari itu, golongan
Orang Kelainan Upaya (OKU) seringkali tidak mendapat tempat dan didiskriminasikan oleh
majikan.

Orang kelainan upaya (OKU) adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan


jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila
berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan
secara efektif dalam masyarakat (Akta Orang Kurang Upaya 2008). Golongan OKU
seringkali dipandang rendah oleh masyarakat. Hal ini kerana ketidaksempurnaan golongan
ini dan seringkali memerlukan rawatan dan pertolongan menjadikan golongan ini dilihat
sebagai golongan yang lemah. Peluang pekerjaan terhadap golongan ini amat tipis dan sukar
mendapatkan pekerjaan. Hal ini kerana majikan tidak yakin akan keupayaan golongan OKU
ini. Golongan ini dikatakan mempunyai tahap sosio-ekonomi yang rendah berbanding bukan
OKU akibat halangan akses kepada kesihatan, pengankutan, pendidikan dan pekerjaan (Amin
& Manap, 2015).

Golongan OKU terpaksa menerima hakikat bahawa peratus untuk diterima bekerja
amat rendah malah dalam erti kata sebenar, tiada peluang pekerjaan bagi golongan ini.
Terdapat kajian yang membuktikan peratus OKU yang bekerja amat rendah walaupun
pelbagai intensif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dalam menggalakkan golongan
ini bekerja (Amin & Manap, 2015). Antara sebab utama adalah majikan tidak mempunyai
maklumat dan pengalaman mengenai golongan OKU dan kesannya majikan tidak berani
mengambil risiko untuk menggajikan pekerja OKU tersebut. Selain itu, golongan OKU juga
perlu menghadapi beberapa cabaran dalam menyesuaikan diri dalam bidang kerjaya. Dan
cabaran-cabaran inilah yang perlu dikaji dalam membantu golongan OKU ini.

2. HAK OKU DAN PEKERJAAN

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak satu peratus dalam sektor awam, swasta mahupun
dilain-lain sektor untuk golongan OKU. Namun begitu menurut Timbalan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata
berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, setakat Disember 2014,
hanya 4,147 OKU berjaya mendapatkan pekerjaan dan ditempatkan di pelbagai sektor
pekerjaan. Daripada jumlah itu, 3,741 direkod sedang berkhidmat sebagai penjawat awam di
pelbagai kumpulan perkhidmatan dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan
(Penyertaan OKU dalam sektor pekerjaan, 2015).

Kerajaan tidak pernah mendiskriminasi golongan OKU bukan sahaja dalam bidang
pekerjaan malah dari segi pendidikan dan kesihatan, golongan ini turut mendapat hak dan
keistimewaan. Dasar Satu Peratus merupakan bukti bahawa kerajaan serius dalam membela
nasib golongan OKU di negara ini. Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan yang diperkenalkan
pada tahun 1988 telah diperkukuh melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010
yang mula berkuatkuasa pada 15 Disember 2010 (Penyertaan OKU dalam sektor pekerjaan,
2015).

Namun begitu, Dasar Satu Peratus ini sahaja belum cukup untuk membela nasib
golongan OKU dalam sektor pekerjaan. Hari ini rata-rata golongan OKU hanya menjadi
tukang urut refleksologi misalnya bagi golongan OKU cacat penglihatan. Peluang pekerjaan
yang amat terhad dan ini membuktikan bahawa kekurangan peluang pekerjaan bagi golongan
ini samada sektor awam mahupun swasta. Golongan ini juga menghadapi masalah untuk
mendapatkan pekerjaan yang produktif dan yang boleh menyalurkan pendapatan tetap kepada
mereka untuk menyara kehidupan.
Selain dari itu, OKU juga mempunya hak untuk menjalankan perniagaan sendiri. Hal
ini termasuklah penjaja dan perniagaan secara kecil-kecilan. Perniagaan ini seharusnya
diiktiraf dan disebarkan kepada seluruh masyarakat agar perniagaan yang dijalankan oleh
golngan OKU ini mendapat tempat di kalangan masyarakat. Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) juga membantu golongan kurang upaya yang berpendapatan kecil atau yang ingin
menjalakan perniagaan kecil dengan menyediakan peruntukkan geran pelancaran berkadar
maksimum RM 2,000.00. (Keistimewaan dan Kemudahan Kepada Golongan Orang Kurang
Upaya, 2015).

Sebagai contoh Tengku Arman Harris Tengku Ismail salah seorang OKU cacat
pendengaran merupakan salah seorang penguasaha batik di Terengganu yang bermula dengan
bantuan kewangan dari JKM Terengganu bernilai RM2,000 dan seterusnya mendapat
pinjaman dari MARA sebanyak RM20,000. Beliau kini mempunyai dua cawangan kedai batik
di bawah jenama Anis Batik di Subang Jaya. Antara lain Persatuan Orang Buta umpamanya
telah mengambil inisiatif yang sangat baik apabila menubuhkan rangkaian kedai-kedai
francais sebagai memberi peluang kepada orang buta untuk menjalankan perniagaan mereka
sendiri (Kesedaran Golongan Majikan Terhadap Orang Kurang Upaya (Oku) Di Malaysia,
2015).

3. PENDEDAHAN MENGENAI OKU KEPADA INDUSTRI

Industri pekerjaan di Malaysia semakin rancak dengan pelaburan-pelaburan yang


direncanakan oleh kerajaan Malaysia dalam memajukan ekonomi negara. Semua golongan
yang terlibat dengan industri pekerjaan memainkan peranan yang penting dalam memajukan
ekonomi Malaysia. Golongan OKU juga tidak terkecuali walaupun hanya sebilangan kecil
jika hendak dibandingkan dengan golongan pekerja yang lain. Oleh itu, golongan ini harus
lah didedahkan dengan lebih maksimum kepada semua bidang industri pekerjaan tanpa ada
sebarang diskriminasi.
Bagi memenuhi permintaan industri pekerjaan, pihak yang berkaitan seharusnya
bekerjasama dengan lebih rapat bersama pihak industri. Hal ini penting dalam memastikan
kehendak-kehendak industri dalam pengambilan pekerja baru termasuk pekerja dari golongan
OKU. Sebagai langkah proaktif, pihak yang berwajib perlulah mengadakan bengkel yang
akan menjana ekonomi golongan OKU. Modul-modul yang diajar dalam bengkel tersebut
seharusnya selari dengan kehendak pihak industri. Bengkel-bengkel mahupun kursus yang
diadakan akan mendedahkan golongan OKU dengan cara kerja mahupun teknologi-teknologi
yang digunakan dalam indusri misalnya industri pertukangan.
Langkah ini juga akan membuka banyak peluang kepada golongan OKU tatkala
peluang-peluang pekerjaan buat mereka hampir tertutup. Di pihak OKU pula, ini merupakan
satu peluang dalam jangkamasa yang panjang untuk menjana pendapatan.

Selain dari tu, pihak industri seharusnya sensitif dengan ketidak upayaan golongan
OKU. Halangan-halangan yang memudaratkan golongan OKU ketika berada di dalam
industri amat menyukarkan golongan ini untuk terus bekerja. Misalnya, halangan kepada
akses bangunan, kekurangan pengangkutan awam yang sesuai malah halangan di tempat kerja
itu sendiri (Persepsi Majikan Terhadap Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) dalam
Organisasi di Negeri Johor, 2013).
Isu-isu yang membelenggu golongan ini di tempat kerja belum lagi menemui jalan
penyelesaian. Isu keselamatan misalnya ,bagi golongan ini perlu dititik beratkan agar
golongan ini boleh bekerja dengan keadaan yang kondusif dan selamat.
Golongan OKU seharusnya dibantu agar keluar daripada kepompong charity-based.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Azizah
Mohd. Dun, golongan OKU mempunyai pelbagai kemahiran vokasional antaranya menjahit,
pertukangan, komputer dan teknologi maklumat, membuat peralatan alat ganti palsu, kulinari,
dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan. Katanya, masyarakat
khususnya golongan majikan perlu berubah sikap dengan memberikan fokus kepada
keupayaan golongan OKU, bukannya kekurangan atau ketidakupayaan mereka. Ini supaya
golongan tersebut dapat menyumbang kepada ekonomi negara, selain tidak terpinggir dan
ketinggalan dalam arus perdana (OKU Tersisih Dari Dunia Pekerjaan, 2016).

4. PERSEPSI MAJIKAN TERHADAP GOLONGAN OKU

Golongan majikan sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam mengambil pekerja di dalam
kalangan OKU disarankan mencontohi amalan negara-negara maju dalam pengambilan
kakitangan dan tidak mendiskriminasi golongan OKU. Golongan OKU tidak seharusnya
dipandang rendah oleh golongan majikan kerana mereka turut mempunya hak yang saksama
dengan ahli masyarakat yang lain.
Pihak majikan seharusnya sedar bahawa ada antara golongan OKU yang mempunyai
semangat kerja yang tinggi serta mempunyai kredibiliti yang serta potensi yang diperlukan
oleh pihak majikan. Antara punca-punca yang menyebabkan golongan majikan memandang
negatif terhadap golongan ini adalah kurangnya keyakinan akan kebolehan golongan OKU.
Majikan lebih memandang golong yang sempurna anggota badan dari golongan OKU. Selain
itu, kurangnya pendedahan maklumat dalam media massa tentang hak kesamarataan, dikenal
pasti sebagai satu halangan kepada golongan tersebut untuk terlibat penuh dalam masyarakat
(Kesedaran Golongan Majikan Terhadap Orang Kurang Upaya (Oku) Di Malaysia,2015).
Di samping itu, antara alasan lain majikan ialah pekerja OKU memerlukan penyeliaan
yang khusus selain menghadapi masalah untuk bekerja dalam pasukan. Selain itu, golongan
majikan juga berpendapat bahawa golongan OKU ini turut menghadapi masalah dalam
memberikan kualiti kerja yang baik selain mempunyai masalah kehadiran serta mempunyai
sikap yang kurang setia dengan pekerjaan (Persepsi Majikan Terhadap Pekerja Orang
Kurang Upaya (OKU) dalam Organisasi di Negeri Johor, 2013).
Oleh itu, pihak majikan seharusnya membuang persepsi negatif terhadap golongan
OKU dan memberi mereka peluang dalam pekerjaan agar golongan ini dapat membuktikan
keupayaan dan kebolehan mereka yang sebenar.

KESIMPULAN

Apa yang perlu adalah kerjasama daripada semua pihak dan tidak membuat pandangan yang
prejudis kepada golongan ini dari pelbagai segi. Apa yang pasti adalah pendidikan dan
kemahiran perlu ada untuk bersaing dalam pasaran kerja. Semua manusia di dunia ini perlu
diberikan peluang, dan galakan tetapi perlu ada sikap dan semangat mahu berusaha. Ini kerana
mereka juga boleh memberi sumbangan kepada negara.
Pihak majikan dan pihak berwajib seharusnya bekerjasama membantu golongan ini
agar tidak lagi timbul isu-isu diskriminasi terhadap mereka.
RUJUKAN

Amin, A. S., & J. M. (2015). Geografi, kemiskinan dan wanita kurang upaya di Malaysia.
11(7 (82-91)), issn 2180-2491, 83-84.

F., R. A., S. A., & Sihombing, U. P. (2009). Memahami Diskriminasi. Jakarta Selatan,
Indonesia: The Indonesian Legal Resources Centre.
JKM. Akta Orang Kurang Upaya 2008. Retrieved February 22, 2015, from
http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=akta_orang_kurang_upaya_2008&lan g=bm

Keistimewaan dan Kemudahan Kepada Golongan Orang Kurang Upaya. (n.d.). Retrieved
May 1, 2016, from http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/sosial/431-keistimewaan-
dan-kemudahan-kepada-golongan-orang-kurang-upaya.html

Penyertaan OKU dalam sektor pekerjaan belum capai Dasar Satu Peratus. (2015, Mac 18).
Berita Harian

Rosli, H. F., Sobri, S. A., Wahab, N. A., & Zakaria, N. A. (2015). Kesedaran Golongan
Majikan Terhadap Orang Kurang Upaya (Oku) Di Malaysia: Melalui Perspektif
Media. 192-199, 978-967-0850-25-2.

Samian, S. S., Ali, K. M., & Buntat, Y. (2013). Persepsi Majikan Terhadap Pekerja Orang
Kurang Upaya (OKU) dalam Organisasi di Negeri Johor. 349-353.

SAIDI, N. (2016, May 5). OKU tersisih dari dunia pekerjaan. Retrieved May 8, 2016, from :
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/oku-tersisih-dari-dunia-pekerjaan-
1.315556#sthash.dS3HXkO7.dpuf .