Anda di halaman 1dari 4

KEPENTINGAN DAN LANGKAH MEMUPUK AMALAN BUDI BAHASA

Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin
dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Budi bahasa ini penting
untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan
2020. Iman al-Ghazali mengatakan, Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila
kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah. Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan
akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut
budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya
berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita
tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti
gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas
menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan
dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh.

Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang
kaum di negara kita. (M) Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna
kulit ataupun status individu tersebut. Bukan itu sahaja, amalan murni ini akan mendidik masyarakat yang berlainan
bangsa dan agama supaya sentiasa menjaga perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau
perlakuan. Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau kata buruk padahnya. (B) Cetusan
gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri
Malaysia yang keenam merupakan langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin
goyah akibat fahaman politik yang berbeza. Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi
memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam
semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara
kaum. (K) Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan
gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu,
perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun
kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan jelas menunjukkan
pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan
bahawa bersatu teguh bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju
dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah. (P) Tegasnya, konsep perpaduan
dapat dicapai dengan mudah sekiranya amalan budi bahasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih
bertamadun. (M) Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki
tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada masa
tersebut dapat membina tamadun dan empayar yang kuat dan hebat seperti tamadun Mesopotamia, tamadun
Mesir, tamadun Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang dengan
sepenuhnya. (B) Untuk membina tamadun yang unggul, kita tidak seharusnya bersikap biadap dan kasar seperti
mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga memilukan hati pihak lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama
ini menggambarkan masyarakat tersebut masih berada dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup
masyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah. (K) Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti
kita dapat mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan masyarakat yang berfikiran
matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa Barat. Secara tidak
langsung, industri pelancongan juga turut meningkat. (P) Secara ringkasnya, masyarakat yang bertamadun dapat
dilahirkan melalui amalan budi bahasa.
Selain itu, masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti memberikan
layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing. (M) Hal ini penting agar dapat
meninggalkan imej yang positif tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian
yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini dialu-alukan dan dihargai oleh
masyarakat tempatan. (B) Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu
pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang lebih penting dengan senantiasa
melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara
Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan
irasshaimase yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak
kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat
Jepun. (K) Sekiranya amalan ini diikuti, sudah pasti keramahan dan kesantunan rakyat Malaysia akan sentiasa meniti
dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka.
Senario ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara yang kian
mendapat sambutan hangat. (P) Jadi, budaya yang murni ini amat penting ketika berurusan dengan pelancong asing
agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. (M) Pemimpin yang baik akan dapat
mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Pemimpin yang berbudi
bahasa sentiasa menitikberatkan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi. Mereka akan bertindak
dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak
putus tepung tidak berselerak. (B) Sehubungan dengan itu, golongan remaja merupakan aset yang sangat bernilai
kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu,
budi bahasa seperti menghormati orang tua, bertutur dengan sopan, bertolak ansur dan amalan tolong-menolong
perlulah dijadikan panduan dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang
berdedikasi dan berkarisma dapat dilahirkan. (K) Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej negara
kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan
diplomatik bagi menjamin kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara
kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. (P) Pendek kata, negara kita akan
terkenal di persada dunia kerana memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi bahasa yang
dipamerkan.

Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang pragmatik dan
efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari rakyat kita.Oleh itu,kita perlu bertindak
mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama. Salah
satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan
tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. (M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk
mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan
holistik sama ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan
yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. (B) Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu,
beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini
dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga
Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu
mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih
mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya
bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan
rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan
kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha
untuk memupuk amalan budi bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu
dilaksanakan.
Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat
dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling berkesan dalam
membentuk amalan budi bahasa seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para
pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai
program bagi memupuk amalan budi bahasa ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam. Lantaran itu,
mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan
yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk
semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah,
mematuhi giliran memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong
oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan
menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata
pepatah, tak kenal , maka tak cinta. (K) Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan
membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap membina
daripada meruntuhkan atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala
kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih
berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan
kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang
lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-
anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap budi bahasa dalam kalangan
masyarakat telah meningkat. (P) Pendek kata, amalan budi bahasa sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti
kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah

Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang berbudi bahasa
tinggi. (M) Bagaimana acuan, begitulah kuihnya, begitulah peribahasa yang membawa maksud bahawa peribadi
serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa
merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu
bapa merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan yang kaya budi
bahasa. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-
menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh,
anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar
menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh
bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan
bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini,
hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan baiti jannati. Malah yang
lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan berbudi bahasa yang akan mencerminkan maruah keluarga
tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke muka keluarga
sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk
amalan budi bahasa dalam diri anak-anak

Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang berbudi bahasa adalah melalui kempen yang
berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat
tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah
dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang diadakan. (B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari
2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen
Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya.
Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam
mengejar fatamorgana hidup sehingga sanggup merendahkan tahap budi bahasa kita. Suatu ketika dahulu , majalah
Readers Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi
bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu, kempen
seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadar melepaskan batuk di
tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat menyemarakkan dan menyemai
semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia serta meletakkan budi pekerti
sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika
warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat
Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. (P) Izharlah bahawa peranan kempen
juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita

Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa amalan budi bahasa amat mustahak untuk
negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia.Yang merah itu
saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi, demikianlah ungkapan yang menggambarkan
kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang
mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. (C) Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa
yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan
semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing
perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya
mengharapkan sebelah pihak sahaja untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah
diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. (H) Profesor DiRaja, Ungku Aziz
pernah berkata, Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan
nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat
buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya
negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus
bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian budi bahasa rakyatnya.