Anda di halaman 1dari 2

Usaha-usaha memajukan industri desa

Industri desa yang juga dikenali sebagai industri kecil ataupun industri tradisional merupakan antara industri yang
berperanan ke arah penjana pertumbuhan ekonomi negara dan berpotensi tinggi untuk dimajukan. Dengan perkataan
lain, industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan pengeluaran atau kerja tangan yang dihasilkan oleh
masyarakat kampung yang nmasih menggunakan teknik industri tempatan yang diwarisi daripada nenek moyang kita.
Memang tidak dinafikan bahawa suatu ketika dahulu permintaan dan pengeluaran hasil daripada industri desa
semakin berkurangan disebabkan oleh perubahan zaman yang ketara. hal ini demikian kerana fenomena peralihan
terhadap kemajuan teknologi yang menyebabkan industri desa kurang menonjol. Persoalannya, apakah usaha-usaha
yang dilakukan dalam memajukan industri desa?

Usaha yang boleh dilakukan termasuklah kerajaan memberikan bantuan dan galakan kepada mereka yang berminat.
Hal ini demikian kerana bantuan dan galakan yang berterusan penting terutama kepada pengusaha yang baru sahaja
menjalankan sesuatu industri desa. Kerajaan haruslah memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat secara
berterusan supaya industri desa seperti batik, kraftangan dan makanan tradisional. Taraf kehidupan penduduk desa
melalui sokongan kerajaan juga dapat dipertingkat. Oleh itu, peranan kerajaan penting agar industri desa terus
diusahakan secara berterusan di negara kita.

Seterusnya, langkah yang boleh dilakukan dalam memajukan industri desa adalah dengan menggunakan alat-alat
berteknologi moden. Dengan mengaplikasikan teknologi moden dalam pengeluaran produk tradisional, secara tidak
langsung dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti produk. Secara tidak langsung penduduk desa dapat mengksport
produk desa ke luar negara dan tidak hanya dipasarkan di dalam daerah sendiri sahaja. Melalui penggunaan alat-alat
teknologi moden juga, industri desa dapat memberi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada anak-anak
kampung itu sendiri lantaran permintaan yang semakin meningkat seiring dengan perubahan masa.Jelaslah, industri
desa yang telah dimajukan mampu menjadi teras pertumbuhan ekonomi yang mantap kepada pengusahanya.

Selain itu, kerajaan boleh juga memperkenalkan konsep "Satu Daerah Satu Produk". Dengan mengimplimentasikan
konsep tersebut secara berkesan, industri desa itu akan maju, mempunyai identiti tersendiri serta melahirkan
pengeluaran produk yang mencerminkan keistimewaan daerah tersebut. Sebagai contoh di negeri Melaka, terkenal
dengan pasaran gula Melaka yang digunakan dalam pelbagai masakan. Kerajaan negeri Melaka haruslah melatih
penduduk tempatan menghasilkan produk gula Melaka yang lebih enak dan berkualiti dengan cara memberi bantuan
khidmat nasihat serta modal. Hasil daripada usaha sedemikian, dapatlah ditingkatkan pendapatan penduduk
tempatan yang mengusahakan produk tersebut seterusnya menonjolkan keistimewaan daerah tersebut kerana
menjadi sebutan ramai. Keistimewaan daerah tersebut juga bakal menggamit pengunjung melawat dan mampu
meningkatkan kunjungan pelancong. Oleh itu, kerajaan haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi
menjayakan konsep "Satu Daerah Satu Produk".

Tidak ketinggalan juga, kerjasama antara semua pihak dalam usaha memasarkan produk industri desa ke seluruh
pelosok negara. Rakyat perlu yakin dengan kemampuan dan keupayaan sendiri untuk mencapai kemajuan dan
seterusnya membantu negara untuk menjadi sebuah negara maju. Misalnya pada setiap hari Khamis akan kelihatan
semua kakitangan kerajaan sama ada lelaki atau perempuan mengenakan baju batik yang merupakan produk industri
desa yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.Dengan memakai baju batik, rakyat telah mempromosikan
produk tempatan dan pada masa yang sama mereka telah menyumbang kepada pendapatan negara kerana membeli
produk buatan Malaysia. Impaknya industri desa dapat berkembang maju dan dapat mengekalkan nilai-nilai seni
tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun secara zaman- berzaman. Tuntasnya, kerjasama erat telah dipupuk dalam
kalangan rakyat dengan adanya usaha berterusan daripada kerajaan memartabatkan produk industri desa.

Secara komprehensifnya, masyarakat yang menjalankan industri desa perlulah merebut peluang sepenuhnya yang
disediakan oleh kerajaan. Mereka perlulah meningkatkan ilmu serta kemahiran bagi menghasilkan produk tempatan
yang berkualiti antarabangsa agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk berjenama
antarabangsa.

cara-cara memajukan industri desa

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi
negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu meningkatkan
ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan
dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa merupakan wadah bagi
menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional
yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan
penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada
dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka.
Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut
dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan
seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan kerana di mana ada gula, di situ ada
semut. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk
dek hujanjuga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Industri desa
di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil
inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan
kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan pertumbuhan ekonomi
yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan teknologi moden untuk
meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan
pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri yang
mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan
pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar
kepada industri ini.

Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan konsep
jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau di dalam belukar melapaskan
pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa
dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri desa haruslah
bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan industri desa ini.
Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka
berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari
nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakkan
generasi muda masa ini untuk menceburi industri desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh
pelosok dunia dan Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta
kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan produk
tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam
industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini untuk
meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita harus pandai mengambil yang
jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa
sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi
kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih
kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri
desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti
industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk memaksimumkan
hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pihak kerajaan untuk
menghidupkan industri desa kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kedua-dua pihak ini
haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional secara komersial kepada dunia luar.
Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada pengusaha industri desa supaya produk industri desa
seperti kraf tangan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya
akan mendapat sambutan yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara
asing. Penggunaan mesin juga dapat mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti
barangan industri desa yang dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada
pembeli ataupun para pengusaha secara berterusan.

Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat luar bandar
dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa
memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang
secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan
anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di negara kita dapat dimajukan
ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia
Boleh!