Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum dan salam satu malaysia.

Hari ini saya (nama) ingin


menyampai berita mengenai gejala buli yang semakin berleluasa sehingga
mengakibatkan kematian. SABAN hari kita asyik mendengar banyak
perkara-perkara yang kurang elok terjadi di sekeliling kita, terutamanya
masalah sosial seperti buli dan memeras ugut sering berlaku.

Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan melalui perbuatan mengasari


orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan diri.

Antara kes buli yang terbaru adalah kes buli pelajar sekolah berasrama
yang membabitkan pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan yang
tersebar luas di laman sosial baru-baru ini.

Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal seperti memukul, memeras ugut,
menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit. Manakala, buli mental
lebih kepada ejek-mengejek, mengusik dan menghina.

Secara umumnya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan


pelajar lelaki, sama ada secara individu atau berkumpulan. Hal ini telah
mencapai satu tahap yang amat membimbangkan dan merisaukan semua pihak
seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Islam mengajar umatnya supaya sentiasa berbuat baik dan menghormati


sesama manusia. Al-Quran ada menceritakan melalui firman ALLAH yang
bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat
ALLAH (yang diberikannya) kepada mu, di waktu suatu kaum bermaksud hendak
memanjangkan tangannya kepada mu (untuk berbuat jahat), maka ALLAH
menahan tangan mereka dari kamu. Dan bertaqwalah kepada ALLAH dan hanya
kepada ALLAH sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakal. (Surah
al-Maidah, ayat 11)

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun
dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya tidak kira dari
kalangan pelajar lelaki mahupun perempuan.

Terdapat beberapa punca yang menyumbang kepada masalah kes buli ini.
Antaranya adalah ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan
prihatin kepada anak-anak. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari kebendaan
dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab terhadap
anak-anak mereka.
Tambahan pula, kekurangan penghayatan nilai-nilai agama juga menjadi
salah satu faktor yang besar dalam hal begini. Mereka sanggup berbuat
demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan
kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai
kemanusiaan.

Tidak boleh dinafikan juga antara penyebab besar gejala buli adalah
terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya
merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan
kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.

Dalam masalah begini, semua pihak perlu bersatu hati menangani gejala buli
daripada terus menguasai pelajar sekolah. Terdapat beberapa langkah yang
boleh dilaksanakan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.

Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan juga


pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di
sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral,
Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.

Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan
satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat
tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara
mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga perlu
diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi
menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Pihak
sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab
Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif.

Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan
tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi
pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi
yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu
akannya.

Lantaran itu, sebagai umat Islam dan seorang pelajar, kita harus mempunyai
satu sikap yang mementingkan keharmonian dan kemakmuran sejagat. Kita
mesti membudayakan amalan sentiasa berbuat baik dan menghormati sesama
manusia. Ambillah masa yang ada ini untuk kesejahteraan semua.

Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan
menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama dan sehati sejiwa dalam usaha
menangani masalah kes buli ini. Kesimpulannya, selagi masalah ini masih
berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang
bermartabat mulia dan hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020
hanya tinggal kenangan sahaja. Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai