Anda di halaman 1dari 3

KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK KE ATAS INDUSTRI PERKAPALAN

Nazery Khalid

Peningkatan harga minyak ke tahap yang tertinggi dalam sejarah menjadi perbualan
hangat masa kini. Beberapa faktor seperti ketidakseimbangan kapasiti pengeluaran dan
permintaan, gejolak geo-politik, kelemahan nilai Dollar Amerika Syarikat serta elemen
spekulasi di kalangan para peniaga di pasaran komoditi menyumbang kepada fenomena
ini. Lonjakan dramatik harga minyak telah mendatangkan impak yang bukan kecil
kepada orang ramai serta pelbagai industri.

Tidak dapat lari dari pengaruh harga minyak yang semakin mendadak ialah industri
perkapalan yang merupakan kaedah pengangkutan yang menggunakan minyak secara
intensif. Artikel ini mengupas kesan kenaikan drastik harga minyak ke atas sektor
penting yang memudahcarakan sejumlah besar dagangan antarabangsa ini.

Kesan utama harga minyak yang tinggi ke atas sektor perkapalan ialah peningkatan kadar
fret pengangkutan kargo atau freight rates yang dikenakan oleh para pemilik kapal. Ini
tidak dapat dielakkan memandangkan yang syarikat-syarikat perkapalan terpaksa
menanggung kos operasi yang lebih tinggi dalam perniagaan mereka akibat kenaikan
harga minyak.

Di dalam persekitaran harga minyak yang tinggi, kos pengangkutan barangan


menggunakan kapal juga turut meningkat dan mengurangkan kadar keuntungan syarikat-
syarikat perkapalan. Tentu ramai di kalangan pembaca sukar mempercayai yang
walaupun kapal-kapal dagangan belayar dengan muatan kargo yang penuh beradsarkan
jumlah dagangan global yang semakin meningkat, syarikat-syarikat perkapalan tidak
semuanya mencatatkan keuntungan yang tinggi, malah ada yang rugi akibat kos operasi
yang tinggi. Pemilik kapal tidak mempunyai pilihan selain dari memindahkan kos
tersebut kepada pelanggan mereka dengan cara mengenakan caj penghantaran kargo yang
lebih tinggi bagi menjamin kadar keuntungan yang munasabah

Peningkatan harga bunker oil atau minyak yang digunakan untuk menggerakkan enjin
kapal mendatangkan impak ke atas operasi syarikat perkapalan. Bagi menjimatkan
penggunaan minyak dan mengurangkan kos operasi kapal, pemilik kapal dagangan
mengamalkan strategi slowsteaming atau belayar padar kelajuan yang perlahan. Sebuah
syarikat perkapalan kontena gergasi antarabangsa diketahui telah mengurangkan purata
kelajuan pelayaran kapal-kapal mereka dari 25 knot kepada 20 knot.

Langkah ini tentunya mempengaruhi jadual pelayaran kapal syarikat tersebu kerana ia
tidak dapat mengekalkan kadar perkhidmatan yang tinggi akibat pengurangan kelajuan

1
pelayaran, seterusnya mengurangkan tahap produktiviti kapal-kapal mereka. Ini bakal
mendatangkan kesan domino kepada produktiviti dan perniagaan pelabuhan dan
pelbagai perkhidmatan sokongan kendalian kapal dan kargo.

Syarikat perkapalan juga terpaksa mengolah semula kos operasi mereka dengan cara
memperkenalkan mekanisma pelarasan minyak atau bunker adjustment factor bagi
mengurangkan beban kenaikan minyak ke atas perniagaan mereka. Ini tentunya tidak
disenangi oleh penghantar barangan dan pengguna perkhidmatan perkapalan yang juga
tertekan oleh kos operasi yang tinggi akibat harga minyak tang mahal. Namun, pengguna
perkkhidmatan perkapalan tidak mempunyai banyak pilihan selain dari menerima
kenaikan kos yang dikenakan oleh pemilik kapal dalam keadaan harga minyak yang tidak
menentu kini.

Sebagai sebuah kaedah pengangkutan yang berperanan sebagai pemudahcara dagangan,


prestasi industri perkapalan berkait rapat dengan rentak-tari dagangan antarabangsa.
Tentunya keadaan harga minyak yang mahal yang berpanjangan akan membawa kepada
peningkatan harga bahan mentah, barangan keluaran dan perkhidmatan serta
mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi dunia. Kemurungan ekonomi akan
mendorong pengguna untuk mengurangkan perbelanjaan dan seterusnya membawa
impak negatif kepada permintaan barangan serta mengurangkan jumlah dagangan.

Ini seterusnya akan mengurangkan permintaan terhadap perkhidmatan perkapalan dan


secara langsung membawa kesan negatif kepada perkhidmatan sokongan industri
perkapalan. Jumlah kendalian kargo di pelabuhan akan berkurangan, dan sektor
pengakgkutan dagangan akan terjejas. Di dalam sektor pembinaan kapal, kesan yang
boleh dijangkakan ialah pengurangan pesanan kapal-kapal yang kuat menggunakan
minyak seperti kapal pengangkut kenderaan dan kapal tangki pengangkut gas. Ini juga
akan mengurangkan permintaan terhadap perkhidmatan seperti pembiayaan perkapalan,
pembaikpulihan kapal, insurans, klasifikasi kapal, pendaftaran kapal dan sebagainya.

Disebalik kemurungan persekitaran perniagaan industri perkapalan akibat harga minyak


yang tinggi, ada aspek positif yang terhasil dari sikap berhemah para pengamal industri
dalam menghadapi situasi ini. Strategi pengurangan kelajuan pelayaran kapal bagi
mengurangkan penggunaan minyak kapal mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke
udara dan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Ini tentunya disenangi oleh para
pencinta alam yang suara mereka semakin berpengaruh dalam menentukan yang industri
perkapalan mematuhi konsep perkapalan mesra alam atau green shipping. Adalah
diharapkan yang keruncingan pasaran minyak masa kini bakal mendorong industri
perkapalan untuk memperbaiki tekonologi kapal bagi mengoptimakan prestasinya serta
menggalakkan penggunaan tenaga alternatif dan mesra alam seperti bio-bahan api
(biofuel) dan gas bagi menggerakkan kapal.

Peningkatan aktiviti dalam sektor minyak dan gas pesisir akan menyemarakkan lagi
permintaan terhadap pelbagai kapal sokongan seperti kapal tangki minyak, kapal
pembekal pesisir (OSV) dan kapal penunda. Juga, permintaan terhadap struktur pesisir

2
seperti pelantar minyak dan sistem pengeluaran separa-samudra akan meningkat sejajar
dengan peningkatan aktiviti carigali pesisir. Limbungan kapal dan pembina struktur
pesisir akan terus sibuk memenuhi permintaan syarikat-syarikat minyak dan
perkhidmatan perkapalan sokongan industri minyak di tahun-tahun mendatang.

Nazery Khalid ialah Fellow Penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA). Tulisannya
merupakan pendapat peribadi semata-mata dan tidak mewakili pendapat rasmi MIMA.
Beliaumengalu-alukan komen pembaca dan boleh dihubungi di nazery@mima.gov.my

Anda mungkin juga menyukai