Anda di halaman 1dari 7

GEJALA VANDALISME

Kini, gejala vandalisme di negara Malaysia semakin menjadi-jadi. Gejala vandalisme ini sering dikaitkan dengan
remaja. Hal ini kerana, golongan remaja ini mudah terpengaruh dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak
sihat terutamanya gejala vandalisme. Maksud vandalisme menurut kamus dewan adalah satu bentuk jenayah di
sisi moral. Sebarang perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam dianggap
sebagai vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai gejala laku musnah iaitu tabiat seseorang membinasakan
harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama sebuah
puak di Eropah yang dikenali sebagai Vandal. Kebiasaannya, gejala vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk
jenayah, tetapi pada keadaan tertentu vandalisme ini juga merupakan satu bentuk jenayah ritual yang dilakukan
oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap keadaan masyarakat. Motif kejadian vandalisme biasanya
terletak pada aspek emosi. Vandalisme ini dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan geram atau pun cara
untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam dan
terutamanya kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat daripada vandalisme tersebut.
Faktor-faktor berlakunya gejala vandalisme
Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih
mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan komponen penting dalam membentuk
keperibadian seseorang. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku seseorang
remaja tersebut, terutamanya remaja yang tercicir dan menghadapi masalah dalam institusi keluarga mereka.
Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme ini merupakan remaja dalam kumpulan. Kumpulan
ini tidak mempunyai tujuan dan terjebak dalam budaya lepak. Apabila mereka berkumpul timbullah pelbagai idea
yang tidak baik termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkan harta benda awam tersebut.
Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa
membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak menghiraukan papan
tanda had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga
bermasalah atau keluarga yang
mengamalkan budaya hidup negatif. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu
bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.
Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan
adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah
vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan
mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar
sewajarnya.
Sikap tidak ambil peduli masyarakat juga merupakan faktor berlakunya gejala vandalisme. Remaja adalah
produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.
Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu
sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Vandalisme biasanya banyak berlaku di bandar.
Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang
dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa
yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan
gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.
Kesan Vandalisme
Terdapat banyak kesan yang dapat dilihat oleh fizikal dan juga emosi. Kesan vandalisme bukan dirasai oleh
individu sahaja malah masyarakat sekeliling dan negara juga memberi impak yang teruk akibat perbuatan yang
tidak bermoral dan menyusahkan semua pihak. Vandalisme boleh memberi kesan kepada individu, masyarakat,
dan negara.
Kebanyakan individu yang melakukan vandalisme hanya untuk melepaskan geram dan sesetengahnya untuk
memenuhi kepuasan hati. Hal demikian memberikan kesan kepada individu untuk melakukan perbuatan yang
sama itu lagi jika masalah ini masih berterusan . Hal ini secara tidak lansung akan menyebabkan perkara yang
lebih teruk akan berlaku seperti merompak atau membunuh.
Vandalisme sering dipandang remeh oleh masyarakat setempat. Mereka hanya berdiam diri sedangkan
vandalisme berlaku di depan mata mereka. Akhirnya masyarakat juga yang merana akibat aktiviti yang terkutuk
itu. Masyarakat susah untuk membuat perhubungan semasa dalam keadaan kecemasan. Contohnya telefon
awam rosak semasa rumah sedang terbakar. Selain itu, masyarakat tidak selesa ketika menggunakan harta
benda awam yang lain. Contohnya basah ketika menunggu bas kerana atap di perhentian bas rosak sebab tidak
dapat menghalang hujan yang turun. Contengan pada dinding tandas awam memburukkan dan mendorong
kepada generasi muda untuk meniru gejala tidak sihat ini.
Banyak fenomena vandalisme yang boleh menjejaskan mata memandang dan ini sudah tentu menjejaskan
imej negara .Jumlah kerugian akibat perbuatan vandalisme ini amatlah besar. Peruntukan kewangan yang
digunakan untuk mengganti baru dan membaik pulih kemudahan-kemudahan yang dirosakkan itu lebih baik
sekiranya digunakan untuk melaksanakan projek lain yang lebih berfaedah. Hal ini sudah tentu dapat memberi
manfaat kepada rakyat keseluruhannya
Kepada mereka, mungkin melukis graviti pada dinding sejuk dipandang mata, tetapi tahukah mereka bahawa
perkara sebegini hanya mengotorkan dinding .Perbuatan seperti ini hanya merugikan wang kerajaan kerana
mereka terpaksa berbelanja ribuan wang untuk memperbaikinya. Sebaliknya, kita hanya menggoyang kaki,
menggunakan kemudahan awam yang disediakan dengan mudah.
Inilah perbuatan manusia yang mengamalkan sikap alpa. Mereka langsung tidak mempedulikan akan perasaan
orang lain. Masyarakat hanya mementingkan diri sendiri. Apabila diperlukan, mereka menggunakan kemudahan
awam, apabila tidak diperlukan, mereka merosakkannya. Sikap seperti ini hanya seperti pepatah Melayu, 'selepas
isi dimakan, kepah dibuang'.
Perbuatan seperti ini boleh menjejaskan imej pemimpin negara. Hal ini secara tidak langsung mempengaruhi imej
negara.
Peranan agensi yang bertanggungjawab dalam menangani gejala vandalisme
Badan kerajaan juga turut memainkan peranan dalam menangani gejala vandalism. Di ibu negara, Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang
pentingnya sikap memelihara harta benda awam ini dengan membentuk Jawatankuasa Anti vandalisme yang turut
dianggotai oleh jabatan lain dan agensi kerajaan. Menyedari hakikat bahawa remaja merupakan aset yang penting
dan pemimpin generasi wawasan yang akan menerajui negara pada masa hadapan, maka Jawatankuasa Anti
Vandalisme ini telah mengambil langkah pertama dengan melibatkan sekolah dan para remaja untuk turut sama
menjayakan kempen ini. Jabatan Pendidikan sendiri telah menganjurkan Harta Benda Awam Milikku-Milikmu .
Pertandingan seperti ini penting untuk menanamkan sifat bertanggungjawab dan menyemaikan perasaan sayang
terhadap harta benda awam. .
Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis-majlis perbandaran serta Bandaraya juga turut
memberi peranan penting bagi menangani malah vandalisme yang semakin berleluasa pada akhir-akhir ini.
Pertubuhan Persatuan Pencegah Jenayah telah ditubuhkan di setiap sekolah bagi mengurangkan kadar masalah
sosial dalam kalangan remaja.
Selain itu, badan bukan kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam menangani gejala vandalism.
Penubuhan Rukun Tetangga merupakan salah satu badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab mengelakkan
gejala vandalisme berlaku terutamanya berdekatan dengan kawasan perumahan mereka. Jawatankuasa
Perumahan yang berkenaan perlu bergabung tenaga untuk membuat kawal selia di kawasan masing-masing.
Setiap persatuan yang bukan badan kerajaan dan juga Rukun Tetangga telah diberi satu kawasan untuk dijaga
dan di selenggara. Maka berharap agar jenayah ini berkurangan dari semasa ke semasa.
Langkah-langkah
Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta
Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda
awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan
kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja
khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. Tindakan tegas
perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.

Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan harta benda awam.
Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain
sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan kepentingan ini maka
sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak
mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk
membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak
melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, anggota
masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme.
Pihak sekolah juga patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam
.Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda
awam. Contohnya menerangkan kepada pelajar mengenai perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka
diconteng atau dikoyak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesedaran seumpama itu sedikit sebanyak
memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab terhadap harta benda awam.
Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada
tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan yang penting dan mempunyai
pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran dalam memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang
vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa. Media massa
juga berperanan dalam membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan
menghayati kempen Harta Awam Milik Bersama kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media
massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.
MENGEKANG BUDAYA VANDALISME DI DALAM MASYARAKAT
Aktiviti dan budaya vandalisme yang semakin berleluasa di negara kita adalah perbuatan yang tidak boleh diterima
sama sekali oleh semua masyarakat serta tidak boleh dimaafkan begitu sahaja kerana ianya jelas berlawanan
dengan moral dan akhlak serta ajaran agama. Perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat jahat ini
atau lebih dikenali dikenali sebagai vandalisme kini dilihat semakin meruncing dan bagaikan tidak boleh dibendung
lagi terutamanya di sekitar bandar-bandar besar di negara kita.

Aktiviti vandalisme ini begitu menyakitkan hati dan memalukan semua pihak terutamanya kepada masyarakat luar
seperti pelancong yang datang bertandang ke negara kita. Antara contoh-contoh vandalisme yang terdapat di
sekitar bandar-bandar besar di negara kita adalah seperti perbuatan merosakkan telefon awam, tandas awam,
peralatan permainan di taman rekreasi, menconteng dinding, membuang sampah merata-rata, mencuri kabel,
mencuri besi termasuklah kepala paip, meter air, penutup longkang, pagar besi penghadang jalan dan
sebagainya.

Kamus Dewan Edisi Empat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan vandalisme sebagai
perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Manakala dari segi sejarah,
perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah iaitu vandals yang telah membinasakan kota
Rom pada tahun 445 Masihi. Secara umumnya vandalisme juga membawa maksud membuat sebarang
perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam
tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Perbuatan yang tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan ini perlu dikekang segera dan semua pihak
hendaklah mencari jalan penyelesaiaan yang terbaik bagi mengatasi masalah sosial ini, apatah lagi aktiviti negatif
ini juga turut melibatkan generasi muda termasuklah pelajar sekolah. Golongan pelajar yang merupakan modal
insan dan asset penting negara ini tidak boleh dibiarkan terdedah dengan budaya negatif vandalism yang
merugikan serta tidak berfaedah ini dan mereka juga perlu dipantau dari masa kesemasa agar menjauhi serta
membencinya.

Perbuatan vandalisme juga perlu diperangi oleh semua pihak agar ianya tidak menjadi budaya di dalam
masyarakat kita dan merugikan banyak pihak yang terlibat serta menyusahkan orang ramai kerana melibatkan
kepentingan dan keperluan awam termasuklah sekolah, pusat rekreasi, stesen perhentian awam seperti bas,
kereta api, komuter dan sebagainya di mana vandalisme menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memperbaiki dan
mengganti kerosakan serta kecurian yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini.
Islam sendiri menghalang dan menegah perbuatan vandalisme yang boleh dikategorikan sebagai perbuatan fasad
(kerosakan) seperti mana yang ditegaskan di dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka
menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya
mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak
menyedarinya". (Al Baqarah: ayat 11-12)
Oleh yang demikian, bagi mengekang budaya dan aktiviti songsang ini, maka penguatkuasaan dan pelaksanaan
undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan terhadap pesalah vandalism di mana di bawah Akta Kerajaan
Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991 memperuntukkan sesiapa yang didapati merosakkan harta
benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.
Walaupun peruntukan undang-undang ini nampak agak ringan, namun mungkin sudah tiba masanya kita
mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah vandalisme seperti yang telah dilaksanakan di negara-
negara maju lain.
Pelaksanaan undang-undang lain seperti menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja
khidmat sosial dan masyarakat misalnya seperti mencuci dan mengecat tandas awam, membersih kawasan awam
seperti taman permainan dan sebagainya juga wajar dilaksanakan di mana mereka juga boleh diarahkan
menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat agar tidak
mengulangi perbuatan tersebut di masa hadapan serta menjadi teladan kepada semua. Ini adalah kerana aktiviti
vandalisme bukan perkara main-main dan boleh dianggap mudah oleh segelintir masyarakat kita terutamanya
generasi muda.
Tiada kesedaran sivik dan kurangnya nilai murni di kalangan segelintir masyarakat serta pengaruh rakan sebaya
juga menjadi faktor kes vandalisme membabitkan harta benda awam terus berlaku di mana memerlukan
kerjasama semua pihak dalam usaha mengatasinya. Peranan ibu bapa, guru-guru, tokoh masyarakat, alim ulama,
ahli politik dan sebagainya wajar digembleng bagi mencari formula paling berkesan mengekang budaya kuning
yang tidak sihat ini. Pihak media juga sama ada cetak atau elektronik perlu memainkan peranan dalam usaha
memberi kesedaran kepada masyarakat tentang masalah kronik ini agar tidak menjadi barah di dalam masyarakat
di negara kita.
Rujukan

Terjemahan al-Quran

S.M Mohamed Idris. 2008. Kita masih bergelut dengan vandalisme, Utusan Malaysia, 24 April

Vandalisme kian meruncing, Utusan Malaysia, 13 Julai 2010


Vandalisme

Anda mungkin juga menyukai