Anda di halaman 1dari 2

Piagam Madinah asas wujud hubungan harmoni

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

TINDAKAN paderi Benjamin Stephen yang didakwa menghina Islam dan institusi kerasulan menerusi
laman sesawang You Tube dilihat cuba mengeruhkan ikatan mesra antara penduduk berbilang
agama di negara ini. Ia sekali gus menyemarakkan lagi perasaan takut dan benci kepada Islam yang
sedang berlaku di sesetengah negara Barat.

Gejala Islamophobia di Amerika Syarikat sebagai contoh telah menggagalkan usaha untuk
menubuhkan sebuah pusat Islam berhampiran Ground Zero kerana mendapat bantahan akibat
tuduhan penglibatan umat Islam dalam insiden 911. Malah tindakan Paderi Terry Jones dari The
Dove World Outreach Centre di Florida yang beria-ia mengadakan kempen membakar al-Quran
sempena peristiwa itu juga adalah antara usaha menanam kebencian mendalam terhadap Islam dan
penganutnya.

Selaras dengan itu, cadangan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut supaya
Piagam Madinah dijadikan asas untuk mewujudkan hubungan harmoni di antara agama wajar
dipertimbangkan. Menurut beliau, Piagam Madinah yang merupakan wasiat tinggalan Rasulullah
SAW adalah model terbaik yang menunjukkan bagaimana Islam sangat menitikberatkan pertalian
muhibah antara umat Islam dan bukan Islam.

Dengan kata lain, isi kandungan piagam tersebut yang terdiri daripada 47 fasal telah menentukan
prinsip kebebasan akidah, kebebasan berfikir, kesucian Kota Madinah, keselamatan nyawa dan harta
benda serta pencegahan terhadap perkara mungkar seperti mencuri, melakukan kezaliman,
membunuh dan seumpamanya.

Selain itu, setiap individu Muslim boleh memainkan peranan signifikan bagi menjernihkan gejala
Islamophobia yang mula semarak sejak akhir-akhir ini dengan menjadi duta bagi mempromosikan
elemen keunikan Islam kepada masyarakat. Komitmen bersungguh- sungguh dan berterusan perlu
dilakukan bagi menghilangkan pelbagai tanggapan negatif yang dilontarkan terhadap Islam.

Oleh yang demikian, aspek perundangan Islam perlu terlebih dahulu menjadi teras pegangan
ummah sehingga segala tindak-tanduk dan perlakuan dapat dilaksanakan sesuai dengan ajarannya.
Di samping itu, umat Islam diseru mempromosikan nilai-nilai ketinggian Islam melalui aspek
pemantapan akidah, pelaksanaan ibadah yang sempurna dan mempraktikkan keunikan nilai akhlak
Islam dalam kehidupan seharian.

Begitu juga, semangat toleransi dan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang
agama dan bangsa dapat menyumbang kepada keamanan sejagat yang sangat diperlukan dewasa
ini.

Perlu juga diingat bahawa tindakan menghina dan mencerca agama lain adalah dilarang sama sekali.
Ini termasuk gejala ekstremis seperti membakar rumah ibadah dan mencemarkan kesucian agama
lain yang jauh menyimpang daripada nilai al-samahah dan toleransi yang digariskan dalam Islam.

Tegahan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mencerca
benda-benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara
melampau batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelok pada pandangan
tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali
mereka lalu ia pun menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka kerjakan". (Surah al-
An'am:108)
Lebih jelas lagi, perlakuan buruk segelintir pelampau agama yang cuba menggugat keharmonian
hidup beragama seperti ini pasti mengundang bencana dan mala petaka kepada negara jika tidak
dibendung segera. Ia ibarat api dalam sekam yang boleh menimbulkan rusuhan kaum pada bila-bila
masa lalu merencatkan pembangunan negara.

Lihat saja tragedi Masjid Babri di Ayodha, India yang mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa akibat
tindakan pelampau Hindu merampas masjid tersebut pada 1992. Ia kembali hangat diperkatakan
menjelang keputusan penghakiman yang akan menentukan sama ada tapak masjid tersebut
diserahkan kepada umat Islam atau kepada penganut Hindu yang merampas masjid tersebut.

Justeru, amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap di Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu supaya Pergerakan Global Kumpulan Sederhana dibina daripada semua
agama untuk bekerjasama bagi memerangi dan menyisih kumpulan ekstrem yang mengancam dunia
dengan ketaksuban dan pendapat yang berat sebelah perlu disambut baik oleh semua pemimpin
agama di Malaysia khususnya bagi merealisasikan hasrat tersebut. Ini kerana tiada gunanya Perdana
Menteri berceramah di persada dunia jika masyarakat sendiri masih skeptikal terhadap
keistimewaan Islam sebagai agama rasmi di negara berdaulat ini, sehingga masih ada pihak berani
mempersoalkan dan mencemarkan kesuciannya

Akhirnya, fahamilah bahawa Islam tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana puak militan yang
menyebabkan huru-hara atas nama agama. Sebaliknya, syariah Islam adalah agama yang bersifat
universal untuk semua manusia termasuk golongan bukan Islam yang mendapat manfaat keamanan
dan keterbukaan daripadanya.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor
Bahru.

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencan
a&pg=re_03.htm#ixzz4w3tjPAER

Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai