Anda di halaman 1dari 2

Media Massa sering melaporkan kejadian jenayah seperti kes ragut yang sering berlaku di negara

kita sejak akhir-akhir ini.

Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut menjadi lebih serius.

Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat

masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam

masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini

bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh

itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri

yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam

masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini

menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah

keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya

akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi

perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang

mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa

membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik.

Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah

menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh

itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut

untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah

pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi

menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini
sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup

telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi

muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu.

Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan

jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut

meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa

perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk

menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak

merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia.

Mungkin peribahasa sudah terantuk baru tengadah memberikan kita satu pandangan supaya bersedia

sedia sebelum masalah itu berlaku.

Anda mungkin juga menyukai