Anda di halaman 1dari 5

Faedah Bergotong - royong

Gotong - royong membawa maksud melakukan sesuatu kerja secara beramai-ramai


tanpa menerima upah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong adalah
seperti membersihkan kawasan kampung, halaman rumah, kawasan sekolah dan membaiki
jambatan.

Amalan bergotong-royong boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita. Apabila


kita menjalankan sesuatu aktiviti secara bergotong-royong, kerja yang berat akan menjadi
ringan. Kita juga akan kurang berasa letih dan bosan.

Di samping itu, kita boleh menjimatkan masa, tenaga dan wang. Hal ini demikian
kerana aktiviti bergotong-royong dijalankan secara beramai-ramai tanpa upah. Dengan
adanya kerjasama daripada semua lapisan masyarakat, sesuatu aktiviti dapat dilaksanakan
dengan cepat dan mudah.

Selain itu, kita dapat memupuk persahabatan dan sifat setiakawan. Melalui aktiviti
bergotong-royong, kita boleh berkenalan dengan jiran tetangga dan kawan-kawan baharu.
Kita akan berpeluang untuk saling memahami dan tolong-menolong. Justeru, kita dapat
mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, kita boleh mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.
Melalui amalan ini, kita akan bekerjasama dan bermuafakat untuk mengatasi sesuatu
masalah. Amalan ini dapat menyatukan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. Kata
orang, "jiran sepakat membawa berkat".

Pendek kata, amalan yang mulia ini wajar dipupuk dalam sanubari kita demi
kesejahteraan bersama.
Faedah-faedah Amalan Membaca

Membaca adalah salah satu amalan yang amat berfaedah. Mereka yang mempunyai
tabiat ini dapat memperoleh banyak kelebihan dan manfaat.

Seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Bahan
bacaan seperti buku-buku ilmiah dan majalah boleh merangsang pemikiran kita. Oleh itu,
pemikiran kita senantiasa kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.

Amalan suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Misalnya kita
boleh membaca buku-buku cerita, novel dan makalah. Perbendaharaan kata yang meluas
baik dalam bahasa Malaysia ataupun bahasa Inggeris akan meningkatkan kemampuan kita
untuk berkomunikasi secara lisan ataupun bertulis.

Di samping itu, amalan suka membaca boleh menambah pengetahuan kita.


Contohnya, jika kita suka membaca buku-buku tentang sains dan sejarah yang boleh kita
dapati di perpustakaan. Dengan itu, pengetahuan tentang konsep sains dan juga sejarah
boleh ditingkatkan dan sekaligus membantu dalam proses pembelajaran di sekolah.

Seterusnya, amalan suka membaca boleh mengisi masa lapang kita dengan
berfaedah. Membaca buku-buku pelajaran, majalah dan buku cerita amat bermanfaat
kepada kita daripada membuang masa dengan bermain atau menonton televisyen sahaja.
Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia.

Kesimpulannya, tabiat membaca memang mempunyai banyak kelebihan. Maka kita


harus memupuk tabiat suka membaca ini sejak kecil lagi. Bak kata orang bijak pandai,
"Membaca Jambatan Ilmu".
KARANGAN FAKTA : FAEDAH BERSUKAN

Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh
badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri
dengan aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang
kita peroleh.
Salah satu daripada faedahnya ialah dapat menyihatkan tubuh
badan.Apabila kita berakreasi seperti berbasikal,bermain badminton dan
sebagainya,badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam
tubuh kita.Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu
ketika belajar di dalam kelas.
Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan
menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira
umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-
taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini
akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara
bermanfaat.Sesi latihan permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu
lapang.Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri
daripada terjebak dalam gejala sosial.
Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama
sekolah.Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili
pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara.Apabila kita berjaya memenangi
mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama
sekolah.Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.
Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan.Marilah kita
bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia
masyarakat yang cerdas dan cergas.
Berjimat-cermat Amalan Mulia

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud
menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan atau
menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang itu nanti boleh digunakan untuk perkara yang
lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya lagi.

Selain itu, sikap berjimat-cermat akan menyebabkan seseorang sentiasa berfikir panjang sebelum
membeli sesuatu barangan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli sesuatu
barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu sahaja. Ini tentu
merugikan kita.

Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang
yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka
sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan
diri mereka sendiri.

Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sebagai
contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan tubuh kita sihat dan cergas. Ini
dapat mengelakkan kita daripada selalu berulang-alik ke klinik atau hospital akibat daripada masalah
kesihatan. Hal yang demikian tentu akan membazirkan masa dan wang untuk mendapatkan rawatan.

Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka
sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan. Misalnya, mereka akan sentiasa
menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan sebagainya selepas
digunakan. Ini akan mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi
budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita ditimpa
pelbagai masalah.
FAEDAH MENYERTAI AKTIVITI KOKURIKULUM

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis
kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform,
kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai
kegiatan kokurikulum. Ada banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum.Salah satu
faedah kegiatan kokurikulum ialah kita dapat memenuhkan masa lapang. Orang yang
memenuhi masa lapang dengan aktiviti berfaedah tidak terlibat dengan gejala sosial.
Mereka sentiasa sibuk dengan aktiviti di sekolah. Sebagai contoh, jika mereka aktif dalam
bidang sukan, mereka akan berlatih setiap petang. Oleh itu masa lapang mereka terisi
sepenuhnya.

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada
berbagai-bagai jawatan dalam persatuan. Sebagai contoh, jawatan pengerusi, setiausaha,
bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang jawatan
pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Begitu juga dengan jawatan-jawatan
lain.

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin
diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah
untuk berjaya. Sebagai contoh, apabila hendak menjalani latihan sukan,, kita mesti
menepati masa. Jika terlewat, kita akan ketinggalan dan rugi.

Badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum. Kita boleh menjadi
ahli kelab sukan seperti pasukan bola sepak dan pasukan bola tampar. Untuk menang
dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani latihan. Dengan latihan itu kita akan
menjadi cergas. Badan akan mengeluarkan peluh. Kita akan menjadi sihat dan kuat. Kita
juga tidak akan mudah sakit.

Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan
kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang
berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan
berkumpul. Mereka boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan
mengeratkan hubungan sesama mereka.

Anda mungkin juga menyukai