Anda di halaman 1dari 4

ciri-ciri pengguna yang bijak

Mutakhir, isu berkaitan dengan pengguna yang bijak saban waktu diuar-uarkan dalam media arus
perdana malah sering menjadi polemik yang hangat diperdebatkan di negara kita. Justeru, semua
pihak mestilah beriltizam dan komited untuk menjadi seorang pengguna yang bijak kerana di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah ciri-ciri pengguna yang bijak?

Pada hemat saya, antara ciri yang paling dominan adalah dengan membuat perbandingan harga.
Hal ini demikian kerana, harga sesuatu barangan yang dibuat perbandingan terlebih dahulu dapat
mengelakkan pengguna daripada dieksploitasi oleh peniaga yang bersifat lintah darah. Dengan
berbuat demikian, pengguna yang bijak dapat memilih barangan pada harga yang lebih murah
tetapi berkualiti. Sebagai contoh, seseorang pengguna tidak terlalu ghairah dengan pelbagai
tawaran menarik daripada jualan murah yang dipromosikan. Sebaliknya, mereka perlulah membuat
perbandingan harga barangan tersebut terlebih dahulu kerana biar alah membeli asal menang
memakai. Tegasnya, pengguna yang membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum
membuat keputusan untuk membeli sesuatu barangan dapat dikategorikan sebagai pengguna yang
bijak.

Selain itu, membeli barangan yang berkualiti juga merupakan antara kriteria pengguna yang bijak.
Saya berpendapat demikian kerana barangan berkualiti yang dibeli oleh pengguna dapat memberi
kepuasan yang maksimum kepada mereka berbanding dengan barangan tiruan. Dalam konteks ini,
pengguna yang membeli barangan yang berkualiti tidak berkira tentang harga sesuatu produk
asalkan mereka memperoleh nilai faedah yang tinggi daripada barangan tersebut. Cuba kita
bayangkan, jika pengguna tidak membeli barangan yang berkualiti mungkin mereka akan terdedah
kepada pelbagai risiko penipuan. Buktinya, kerajaan sentiasa menyarankan para pengguna supaya
membeli barang yang berkualiti melalui pelbagai media massa dan dalam masa yang sama,
kerajaan amat serius dalam membanteras barangan tiruan. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh,
pengguna yang mengutamakan pembelian barangan yang berkualiti dapat digolongkan sebagai
pengguna yang bijak.

Elemen-elemen pengguna bijak yang berikutnya ialah membuat senarai barang sebelum
membeli. Analoginya cukup mudah. Senarai barang yang dibuat sebelum membeli akan banyak
membantu pengguna daripada membeli secara boros dan membazir kerana perbuatan membazir
itu adalah amalan syaitan. Hal ini bermaksud, seseorang pengguna seharusnya merancang
pembelian terlebih dahulu agar mereka tidak mudah terpesona dengan pelbagai tawaran yang ada
kalanya bersifat ada udang di sebalik batu. Realitinya pada hari ini, pengguna sudah kurang
membuat senarai barangan untuk dibeli kerana mereka terpengaruh dengan kaedah beli-belah
yang bersifat window shopping yang menjadi trend masyarakat pada hari ini.

Justeru, saya optimis pengguna yang membuat senarai barangan terlebih dahulu sebelum membeli
merupakan pengguna yang menepati ciri-ciri pengguna yang bijak.
Sebagai natijahnya, setiap pengguna mestilah berusaha untuk menjadi pengguna yang bijak
supaya tidak mudah dieksploitasi dan dimanipulasi oleh peniaga yang sentiasa mengintai peluang
untuk mengaut keuntungan dengan cara yang tidak bermoral. Kita mestilah menggembleng tenaga
untuk merealisasikannya kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!
Langkah-langkah untuk Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam

Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah
lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali.
Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah
mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang
mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian
pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem
Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang
sebagai warganegara Malaysia menyokong penggunaan pengangkutan awam, siapakah lagi
menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi
untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan
penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket
bersepadu yang dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah
menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di
negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu
yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat
seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki
kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja
dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan.
Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran
yang telah diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam
adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas
awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita
haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti
shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara
kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan penggunaan pengangkutan awam adalah salah satu
unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau
menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan
membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan
keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam
kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan
mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan
untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak
komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan
mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam
perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter
dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain
menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu
menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan
rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan
sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan
sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang
terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat
meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat
rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran
yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian
para penumpang.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya,pendidikan sejak
kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki
pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan
menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya
dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan
awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada
pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej
buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan
yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat
meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki
kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api
sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam
mendalam kepada mereka.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak


perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu
destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat
merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada
tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh
kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam
Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia yang semakin menuju ke
status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi
oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan
satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah
baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang
kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.

Faedah utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui
jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila tiba waktu puncak
ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan
awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua
orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas
jalan raya pastinya berkurangan.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang
menggunakannya. Hal ini demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel
yang tidak melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu destinasi.
Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti Pudu Sentral,
Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya
yang sesak dengan kenderaan.

Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat
menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir
kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja.
Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran
parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat
tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk
menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan
kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon
monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat
mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga,
rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam yang efisien turut mampu menarik minat
pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat
seiring dengan penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan
merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan. Oleh itu,
penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan kelangsungan
penggunaanya dalam masyarakat.

Izharnya, sudah terang lagi bersuluh, penggunaan pengangkutan awam di negara kita ini
mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding
bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan
dijaga dengan rapi untuk memastikan kelangsungan penggunaannya. Jika semua perkara ini tidak
dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju menjelang
tahun 2020 seperti yang dicita-citakan.