Anda di halaman 1dari 22

SEMANGAT KEJIRANAN

(Laman Sesawang Asal: http://files.cikgu-sim.webnode.com/200000039-a95f7aa573/faedah


%20memupuk%20semangat%20kejiranan.pdf )
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang
rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan
dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat
kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat
kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah
yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-
royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain
yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini
dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat
menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan
perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam
kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang
pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam
masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh
tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas,
Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya,
majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan
lebih erat lagi.
Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran
akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol,
terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan
sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang
bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi,
melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan
menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam
peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan
semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat
seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan
Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat
setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang
tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang
mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat
sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat,
kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan
yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita
bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu
memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan
terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat
merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam
era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin
menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan
perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh
itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam
setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara
supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat


Oleh Naqib Muhsin Bin Mathadi

Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, isu kelunturan
semangat kejiranan dalam jiwa kalangan masyarakat semakin menjadi perbualan hangat serta sering
memenuhi ruangan akhbar pada hari ini. Semakin hari, isu ini sering ditujukan kepada generasi muda
khususnya para remaja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala sosial yang semakin berleluasa ini
adalah salah satu punca kelunturan semangat kejiranan. Bukan itu sahaja malahan menjadi punca
dominan yang jelas dilihat pada hari ini. Tambahan pula, semangat kejiranan seharusnya dipupuk
melalui pengamalan sikap keperibadian yang mulia seperti bekerjasama, prihatin dan bertolak ansur
yang mampu membentuk jati diri untuk memperlihatkan kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budi
pekerti. Sebagai masyarakat yang mendiami negara ini, kita seharusnya bersyukur kepada Tuhan
kerana masih dikurniakan keamanan. Kita perlulah menyedari bahawa semangat kejiranan ini boleh
dijadikan sebagai amalan gaya hidup intim yang wajar memandangkan negara kita telah merdeka sejak
58 tahun lamanya. Menurut Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan
bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai
nilai murni dalam diri. Hal ini secara tidak langsung menjadikan nilai-nilai murni yang diterapkan dapat
dijadikan sebagai dorongan untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Sememangnya kita perlu berfikir bahawa teknologi pada masa ini juga merupakan penyumbang kepada
jurang pemisah antara masyarakat yang berbilang kaum ini. Hal ini kerana, rambut sama hitam,hati lain-
lain. Persoalan yang sedang bermain-main dalam fantasi minda kita sekarang ialah adakah peranan
kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk memupuk semangat kejiranan? Jawapannya tidak. Hal ini
kerana dalam usaha memupuk semangat kejiranan, memerlukan obligasi daripada pelbagai pihak untuk
menyalurkan peranan mereka demi melahirkan masyarakat yang maju dari aspek sosial. Oleh itu,
marilah kita menggunakan minda kelas pertama untuk mengupas topik kita dalam perbincangan ini iaitu
langkah-langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat secara terperinci untuk
kepentingan semua pihak.
Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah peranan ibu bapa amatlah signifikan
untuk menanam nilai-nilai murni dalam jiwa cahaya mata mereka sejak kecil lagi. Peribahasa Melayu ada
mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu mendidik seseorang dengan menerapkan nilai-
nilai murni sejak awal lagi. Hal ini demikian kerana ibu bapa bertindak sebagai agen pertama dalam
pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menunjukkan sikap berkasih
sayang kepada anak-anak mereka. Memang pada realitinya, anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu
bapa mereka kerana mereka lebih mengenali ibu bapa mereka sendiri. Hal ini dapat dikaitkan dengan
peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Selain itu, ibu bapa haruslah juga mengawasi
perlakuan dan kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, berdarah
setampuk pinang agar tidak terjebak dalam kancah negatif. Dalam meniti arus peredaran zaman yang
semakin meruncing ini, sebilangan besar ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa
akan tanggungjawab hakiki mereka untuk mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Hal ini
kerana anak-anak merupakan anugerah dan tanggungjawab daripada Tuhan kepada ibu bapa untuk
mencorak jiwa mereka ke arah kebaikan. Betapa rugilah ibu bapa jika tidak menyemai nilai-nilai murni
dalam jiwa anak-anak kerana mereka berkemungkinan besar untuk menjejakkan kaki ke kancah negatif.
Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan
seperti bergotong-royong dan kunjung-mengunjungi sesama jiran tetangga. Daripada amalan ini , anak-
anak muda mampu membuka mata, mencelikkan minda serta mengenali dunia luar yang mereka tidak
pernah alaminya sendiri. Secara langsung, sedikit demi sedikitmereka berminat untuk melakukan
aktiviti-aktiviti seperti ini lagi. Begitu juga halnya dengan dengan kawasan kejiranan yang didiami oleh
pelbagai kaum. Anak-anak muda pada hari lebih gemar menggunakan teknologi yang canggih dan
mendapati bahawa mampu memberi pelbagai faedah tetapi sangkalan mereka salah kerana menggiatkan
diri dalam aktiviti kemasyarakatan lebih berfaedah bukan untuk diri sahaja malahan boleh melahirkan
masyarakat dan negara yang aman damai. Daripada semangat kejiranan ini juga dapat menjadikan
negara sebagai negara contoh dan disegani oleh sebab terkenalnya kaum yang pelbagai mendiami
Malaysia tetapi masih boleh membina kepercayaan antara satu sama lain. Jelaslah bahawa ibu bapa
seharusnya menitikberatkan tanggungjawab untuk melahirkan anak-anak yang berjiwa kental untuk
memupuk semangat kejiranan sesama sendiri.
Meninjau skop yang lebih luas, tunggak utama untuk membangunkan semangat kejiranan ialah
masyarakat. Pada realitinya, sesebuah masyarakat perlu menjalankan aktiviti yang selaras dengan usaha
untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat . Hal ini demikian, masyarakat
sesebuah kawasan mampu mewujudkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan hubungan kejiranan semakin
erat. Masyarakat perlu mengaktifkan program Rukun Tetangga. Dalam konteks ini, pelaksanaan Rukun
Tetangga merujuk kepada program yang melibatkan masyarakat untuk bekerjasama dalam menjaga
keamanan sesebuah masyarakat. Dalam hal ini juga, Rukun Tetangga boleh melibatkan anak-anak muda
untuk kegiatan yang berfaedah ini daripada menghabiskan masa secara berfoya-foya yang boleh
meruntuhkan akhlak mereka. Sesebuah masyarakat yang progresif menunjukkan bahawa masyarakat
tersebut mempunyai nilai-nilai murni yang penuh dalam jiwa. Memang tidak dapat dinafikan pelaksanaan
Rukun Tetangga boleh melahirkan individuyang bertanggungjawab seterusnya mampu membentuk
masyarakat yang berjiwa murni. Dalam hal ini juga, ada sesetengah masyarakat mempertikaikan
pelaksanaan seperti ini sama ada ia dapat berjalan lancar ataupun tidak. Memang wajarlah kita
mempercayai bahawa masyarakat sebegini perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak peringkat awal
lagi. Antara alpukah yang dapat dicadangkan selain yang dinyatakan, penduduk kawasan perumahan
perlu menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong untuk membersihkan kawasan
kediaman. Yang paling nyata pada hari ini, aktiviti bergotong-royong masih lagi diamalkan dan memang
wajar diamalkan oleh setiap penduduk. Dalam menempuh era berteknologi ini, kita dapat menyaksikan
bahawa semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat semakin rapuh. Oleh itu, memang tidak
dapat dinafikan bahawa aktviti kemasyarakatan sememangnya sedang menempuh cabarannnya. Hal ini
kerana, untuk mendirikan sesebuah masyarakat yang aktif melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan
memerlukan kerjasama dan kerpercayaan antara penduduk. Oleh itu, kepercayaan dan kerjasama antara
penduduk diperlukan untuk melancarkan aktiviti kemasyarakatan ini. Tegaslah bahawa masyarakat perlu
menyedari amalan bekerjasama dalam menjalankan aktivit meliputi semua masyarakat memerlukan
kerjasama dan kepercayaan penduduk yang kukuh .

Pada realitinya, memang tidak dinafikan bahawa pihak sekolah perlu mendidik murid-murid
tentang kepentingan semangat kejiranan. Umum mengetahui bahawa sekolah kebangsaan dan sekolah
menengah kebangsaan khususnya terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum. Jelasnya di sini
bahawa murid-murid perlu bekerjasama walaupun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang
yang berbeza. Hal ini kerana ia tidak akan memberi kesan kepada permuafakatan masyarakat. Pihak
sekolah boleh menganjurkan aktiviti yang melibatkan daripada murid-murid. Selain itu, ibu bapa perlu
menyokong tindakan pihak sekolah secara membenarkan anak-anak mereka untuk melibatkan diri dalam
aktiviti yang sedemikian. Kendatipun ada sesetengah pihak ibu bapa tidak mempersetujui dengan aktiviti
yang dijalankan. Mereka juga tidak membenarkan anak-anaknya untuk menyertai aktiviti tersebut. Di
sinilah kita jelas menyaksikan sikap perkauman telah terwujud kerana tidak mahu melibatkan diri untuk
menyertai aktiviti tersebut oleh sebab kegiatan ini melibatkan pelbagai kaum dan agama. Dalam konteks
ini, pihak sekolah perlu menggalakkan murid-murid untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Selain
itu, pihak sekolah tidak usah menzahirkan keraguan akan tindakan yang diambil. Jika kita memulakan
sesuatu dengan perkara yang positif,maka hasil yang bakal diperoleh sudah tentu sesuatu yang positif
juga. Sebagaimana yang kita maklumi, aktiviti kokurikulum akan diadakan pada setiap hari Rabu. Aktiviti
kokurikulum merujuk kepada aktiviti yang dijalankan oleh setiap persatuan unit beruniform masing-
masing. Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti ini perlu diteruskan . Seterusnya, pihak sekolah
boleh menganjurkan aktiviti hari kantin,hari koperasi dan hari kokurikulum. Kita mengetahui bahawa
aktivitiseperti ini memerlukan kerjasama yang kuat antara murid dan guru. Hal ini demikian kerana aktiviti-
aktiviti tersebut menjalankan perniagaan. Dalam konteks ini, murid-murid dan guru berganding bahu
untuk menjayakan perniagaan yang dijalankan. Selain daripada murid dan guru, murid-murid turut
berganding bahu sesame murid. Memang tidak dapat dinafikan bahawa secara tidak langsung semangat
bekerjasama dapat diterbitkan dalam jiwa murid-murid. Selain itu, nilai kerjasama ini dapat diaplikasikan
dalam kehidupan murid-murid apabila mereka mencuba untuk menggiatkan diri dalam aktivit
kemasyarakatan ini. Izharlah bahawa, pihak sekolah perlu memberi galakkan kepada murid-murid untutk
menyertai aktiviti yang melibatkan nilai kerjasana agar jiwa mereka mudah untuk disemai dengan
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Setelah meniti perbincangan di atas secara mendalam dan terperinci, mauduk tentang langkah-
langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat akan dibugar dari perspektif peranan
kerajaan untuk memupuk semangat kejiranan. Kita seharusnya tidak memandang sebelah mata terhadap
peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan. Peristiwa 13 Mei 1969 masih segar dalam ingatan setiap
insan di Malaysia. Tragedi berdarah yang melibatkan rusuhan kaum pada ketika itu perlu menjadi iktibar
bagi setiap generasi. Sesungguhnya peristiwa 13 Mei yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah
perpaduan kaum di Malaysia wajar direnungi agar pisang tidak berbuah dua kali. Dalam konteks ini,pihak
kerajaan perlu memainkan peranan yang amat penting untuk mengelakkan perselisihan faham antara
kaum di samping memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks ini, pihak
kerajaan perlu mengadakan kempen yang berkisarkan memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat pada hari ini. Umum mengetahui bahawa, cabaran yang dihadapiterlalu banyak seperti gejala
sosial, isu perkauman dan sebagainya. Hal ini demikian, kerajaan perlu menjalankan kempen di kawasan
kejiranan. Di samping kita memupuk semangat kejiranan, kita juga mampu menimba ilmu pengetahuan
cara untuk memupuk semangat kejiranan secara tidak langsung. Ada juga sesetengah masyarakat
memandang enteng terhadap pelaksanaan program seperti ini. Sesungguhnya, masyarakat seperti ini
lebih memerlukan perhatian kerana masih kurang pengetahuan tentang kepentingan semangat kejiranan.
Untuk pengetahuan, masyarakat yang saling mempercayai dan bekerjasama mampu membangunkan
modal insan dan negara yang maju dari aspek sosial,politik seterusnya ekonomi. Bertitik tolak daripada
itu, pihak kerajaan juga boleh menganjurkan Rumah Terbuka Malaysia. Dalam hal ini, rumah terbukapada
kebiasaannya akan diadakan setiap kali perayaan utama diraikan. Antara contoh yang dapat kita lihat
pada hari ini, sambutan hari terbuka diraikan sangat meriah meskipun negara kita mengalami cabaran
yang sukar untuk dihadapi. Dalam konteks ini juga, sambutan rumah terbuka mampu melahirkan
mesyarakat yang sentiasa mengenali budaya kaum. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, pelabagai
kemaslahatan yang mampu diperoleh daripada pelbgai pihak yang meliputi daripada pelbagai lapisan
masyarakat. Izharlah bahawa, kerajaan merupakan tunggak utama selain peranan ibu bapa, masyarakat
dan pihak sekolah untuk membina keperibadian masyarakat yang utuh dengan semangat kejiranan.

Tidak ada kusut yang tidak terlerai, tidak ada keruh yang tidak jernih. Oleh itu, kata sepakat
seia sekata perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk berganding bahu melaksanakan langkah-langkah
untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Jika semua pihak berganding bahu
ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, Insya-Allah langkah-langkah yang dilaksanakan akan
memperbuahkan hasil yang lumayan dan jelas dilihat untuk tatapan masyarakat pada hari ini. Usaha
yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi
arang agar usaha ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mehupun melepaskan batuk di tangga
sahaja malahan menjadikan usaha-usaha ini sebagai pendorong untuk masyarakat berjaya dalam
kemajuan sosial. Besarlah harapan kita untuk menyaksikan usaha-usaha ini memberi kesan yang
berlarutan kepada masyarakat untuk diamalkan agar negara kita terus disegani dan dicontohi oleh
masyarakat dunia. [ 738 pp]
Hasil nukilan,
Naqib Muhsin Bin Mathadi,

DISIPLIN ASAS KEJAYAAN AKADEMIK


OLEH: Hamidah Hashim
(Laman Sesawang Asal: http://aniza3046.blogspot.my/2011/01/disiplin-asas-kejayaan-
akademik.html)
Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri
seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah
dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk
menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya,
harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini
begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan
iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada
kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin
kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan
Akademik".

Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa.
Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa
tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia
akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak
terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana
merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi
digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan
hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak
kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus
mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak
langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal
ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala-
gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat
emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.

Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin
mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di kem
tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta
berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki
tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan
menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut
cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani
mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan
dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu
sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada
pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pelajar
pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar.
Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang tumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati
diri dalam diri para pelajar.

Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala
sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin,
pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar.
Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan
yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang amat
bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu
melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya
tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari
ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang
akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri
mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan
aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini
menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru ,
jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.

Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin
juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara
suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas.
Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang
nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi
gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih kejayaan.
Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju adalah
amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan Tingkatan
Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk mencapai
wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk menentukan matlamat
hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan hidup semata-mata tanpa
memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha, sememangnya disiplin amat
penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar wawasan tersebut. Tahap disiplin
yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.

Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa
memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita
ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk
melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan
bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali
lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari
ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli,
pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi
cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang
enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan
seseorang kembali ke pangkal jalan.

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN


Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik,
madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini
mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika
Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan
sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang
progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus
perubahan dunia yang semakin mencabar. .
Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin
merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah
rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang
diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat
melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis
demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar
cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau
tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya,
disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan
minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai kejayaan persis kata tokoh
terkemuka, Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya
dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang. Jelaslah bahawa disiplin merupakan
formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.
Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga
sakinah. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna
kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk
keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa
untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya
menjadi rol model yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata
peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik
anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya,
ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan
melahirkan anak yang membudayakan sifat-sifat mahmudah dan menghindari segala unsur
mazmumah..
Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada
mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada
mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan
amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja.
Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti
terhadap bidang tugas yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa
harapkan pagar, pagar makan padi. Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara
bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau,
tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan
transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan
hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin
diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.
Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara
berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang
semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan
memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara
tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa
musim perayaan dapat dikurangkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata,
kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai
menganggapnya mustahil. Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian
menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor
kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak
dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan
sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu
mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai
peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan
nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.
Di samping itu, sebagai pengguna mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika berbelanja.
Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja
dengan hanya mengakses maklumat hanya di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naf dengan mata
kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan hawa nafsu dan bukannya
keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan
bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada
berhutang dengan bank atau lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan .
Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih
untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang
sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa beringat sebelum kena,
berjimat sebelum habis.
Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin
kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh
pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia.
Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang berdidiplin dan memiliki minda yang positif ialah
orang yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan
itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini. Oleh itu,
marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta
aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.

CABARAN MENGHADAPI KERJAYA MASA DEPAN


(Laman Sesawang Asal : http://karanganspm.com/2015/10/28/karangan-kemahiran-kemahiran-
sebagai-persediaan-untuk-menghadapi-cabaran-era-globalisasi/ )

Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi terakhir kepada kebanyakan pelajar.
Sama ada pada peringkat sijil, diploma atau ijazah mereka mula mencongak-congak akan peluang
pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran
pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan
yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang
baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Oleh hal yang demikian,
seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkap dirinya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan
sebelum melamar sebarang pekerjaan.

Antara kemahiran terpenting yang harus dikuasai ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran
berkomunikasi ialah kebolehan istimewa yang menggabungkan kecekapan seperti petah berbicara,
matang dalam melontarkan idea dan pendapat serta berani lagi yakin apabila berhadapan dengan
pelbagai peringkat klien. Hal tersebut amatlah penting memandangkan dunia terbuka pada hari ini
memerlukan seseorang itu berkebolehan untuk mengeluarkan hujah yang bernas serta pendapat yang
matang. Kebolehan dalam berkomunikasi juga memberikan ruang kepada individu tersebut memperluas
rangkaian klien dan tetamu. Melalui interaksi yang baik pada pelbagai peringkat pasti memberi impak
besar apabila pelbagai peluang kerjaya mudah diperoleh. Pada peringkat nasional, tokoh-tokoh istimewa
seperti Dato Dr. Fadhillah Kamsah, Mahathir Lokman, Dr Fatimah Al Zahra serta ramai lagi telah berjaya
membina kerjaya yang lumayan hasil kebijaksanaan berkomunikasi yang dimiliki oleh mereka.
Demikianlah yang dimaksudkan oleh peribahasa, budi menunjukkan hati, bahasa menunjukkan bangsa.
Di Malaysia, bahasa-bahasa utama seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis dan
Jepun mula mendapat tempat di hati masyarakat. Signifikan menguasai pelbagai bahasa memang tidak
dapat dielakkan lagi dalam era globalisasi tanpa sempadan seperti sekarang. Keupayaan seseorang
menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan
seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya. Dalam konteks negara perindustrian seperti Malaysia,
keupayaan menguasai pelbagai bahasa menjadikan bonus seseorang itu menjawat pelbagai jawatan
penting seperti penterjemah, pegawai perhubungan awam, agen perdagangan antarabangsa dan
pegawai utama di mana-mana kedutaan. Dengan hal yang demikian, seyogialah rakyat negara ini
mengambil peluang mempelajari pelbagai bahasa agar peluang kerjaya yang terbuka menjadi milik kita.
Tanpa penguasaan bahasa yang sesuai dengan tuntutan globalisasi, nescaya kita akan terus tertinggal
dan terperap bagaikan katak di bawah tempurung. Oleh itu, atas dasar tuntutan globalisasi dan massa
kita hendaklah mampu menguasai kemahiran pelbagai bahasa.
Pembawaan dengan sifat sederhana, kemas dan berperawakan yang yakin adalah antara faktor
seseorang itu mudah diterima dalam mana-mana agensi atau organisasi. Demikian pula apabila dalam
alam pekerjaan, kebolehan menyesuaikan diri dalam khalayak menjadi sumber terpenting untuk
seseorang itu berjaya. Sewajarnya, sebelum melangkah ke alam kerjaya, pastikan diri kita memperloleh
suatu kemahiran yang paling penting, iaitu kemahiran membuat penampilan diri. Penampilan diri adalah
berhubung kait dengan cara berpakaian, gaya bertutur dan bijak menyesuaikan diri dalam pebagai lantai
khalayak. Kemahiran ini perlu dipelajari semasa pelajar masih pada peringkat sekolah dan lebih-lebih
lagi di institusi pengajian tinggi. Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan koakademik
membolehkan individu belajar cara-cara bergaul, kebolehan membuat keputusan dan sentiasa mesra
khalayak. Oleh sebab itu, remaja hendaklah tampil dengan perawakan yang baik, berfikiran positif dan
menjauhi sikap menyendiri ibarat kera sumbang.
Kemahiran teknologi adalah antara cabaran terbesar yang mesti dikuasai oleh setiap remaja. Pada
hari ini dianggarkan lebih 200 ribu graduan yang menganggur akibat kesukaran untuk memasuki pasaran
kerja. Namun demikian, rata-rata graduan yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi seperti
kejuruteraan, elektronik dan perniagaan sangat mudah diterima oleh majikan. Oleh itu, bagi memenuhi
pasaran kerja yang mementingkan bidang kepakaran dan kemahiran, para remaja hendaklah tahu akan
potensi diri masing-masing dan memilih mana-mana bidang yang berkaitan dengan teknologi.
Kemahiran seperti pengendalian mesin, arka dan reka bentuk membolehkan graduan dalam bidang ini
amat laris bagaikan pisang goreng panas. Selaras dengan matlamat tersebut pelbagai institusi kemahiran
seperti Politeknik, Pusat Latihan Industri dan IPT yang berorientasi teknologi tumbuh bak cendawan
selepas hujan. Ayuh, remaja sekalian, apa lagi yang ditunggu? Perahu sudah di air, pendayung di dalam
genggaman harungilah samudera nan terbuka.
Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh pengaturcaraan maklumat, kemahiran dalam bidang ICT
sentiasa memberikan kelebihan kepada individu. Pada hari ini semua urusan yang bermula dari kaunter
hadapan hinggalah kepada membuat keputusan yang paling dasar bergantung penuh kepada akses
komputer. Golongan remaja kini mesti celik komputer dan mempunyai pengetahuan secara profesional
dalam bidang pengaturcaraan, programming dan perisian. Golongan remaja hendaklah memiliki
sekurang-kurangnya kemahiran asas komputer seperti Office, Powerpoint, Excel, Adobe dan boleh
melayari Internet. Malahan, seperkara yang amat penting juga, kebolehan berbahasa Inggeris juga amat
penting dalam menguasai teknologi maklumat ini. Oleh hal yang demikian, bersedialah dari awal agar
anda menjadi anak muda yang lengkap dengan pengetahuan sebelum turun ke pentas kerjaya, sejajar
dengan peribahasa, hilang dicari, terapung direnangi, tenggelam diselami.
Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan oleh orang-orang lama, anak-anak muda mestilah boleh
ditolak ke tepi mahupun ketengah, bak kata peribahasa benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, naik
ke darat menggunung sasa dan terlontar ke udara menyinar bak kejora. Begitulah hakikatnya, anak
muda pascamilenium datangnya dinantii, perginya dicari dan hilangnya diratapi.

Persiapan sebelum menghadapi alam kerjaya

Zaman modenisasi memberi pelbagai cabaran kepada setiap individu untuk merebut peluang dalam
pasaran kerjaya yang terbentang luas. Sudah pasti sesuatu kerjaya yang ditawarkan menjadi rebutan dan
mendapat persaingan yang sengit. Oleh itu, setiap individu perlu melengkapkan diri masing-masing
seawal usia remaja membuat persediaan untuk menempuh alam kerjaya pada masa hadapan.
Persoalannya, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu? Saya akan menghuraikan
secara terperinci persediaan yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perenggan-perenggan
selanjutnya.
Persediaan yang utama untuk menempuh alam kerjaya adalah setiap individu perlu mendapatkan
kelayakan akademik yang tertinggi. Antara kelayakan akademik yang perlu diperolehi sekurang-
kurangnya Kelulusan diploma hingga ke peringkat master dalam bidang yang diminati selaras dengan
kajian dan kehendak pasaran kerjaya semasa. Hal ini disebabkan, memiliki pengetahuan yang tinggi
dalam sesuatu bidang memberi keyakinan diri. Kelayakan yang tinggi membolehkan seseorang individu
dapat menggunakan ilmunya memberi idea, cadangan, pandangan yang bernas dan menyelesaikan
masalah berkaitan kerjaya yang akan disandang. Jelaslah, mendapatkan kelayakan akademik yang tinggi
disertai dengan pengetahuan kajian pasaran kerjaya menjadi input utama untuk menempuh alam kerjaya.
Selanjutnya, setiap individu yang telah mempunyai kelayakan akademik perlu mendapatkan
pengalaman kerjaya sebanyak yang mungkin. Antara pengalaman kerjaya yang boleh disertai pada awal
usia remaja termasuklah pengalaman dalam perhubungan dengan pelanggan, pengurusan dan
pentadbiran perniagaan, bidang pemasaran, pengurusan kewangan dan bidang logistik dalam mana-
mana syarikat. Pengalaman dalam bidang kerjaya yang tiada kaitan dengan kerjaya yang bakal
disandang akan menjadi nilai tambah kepada kelayakan akademik yang dimiliki. Selain itu, pengalaman
yang dimiliki dapat mengurang kos pengurusan untuk melatih pelatih baru yang diambil untuk bekerja.
Sesungguhnya, pelatih yang memiliki pengalaman kerjaya dan kelayakan akademik yang tinggi
mengatasi tawaran skala gaji yang lebih tinggi dari pelatih yang hanya bersandarkan kepada kelayakan
akademik.
Seterusnya, setiap individu juga perlu membuat persiapan mengasah kemahiran berkomunikasi.
Antara kemahiran berkomunikasi yang perlu dimiliki termasuklah mempelajari kemahiran berucap,
kemahiran mendengar, kemahiran mempengaruhi orang lain, kemahiran menulis secara verbal dan
bahasa tubuh melalui kelas-kelas yang dianjurkan pelbagai pihak. Kemahiran komunikasi membolehkan
setiap Individu mempunyai keupayaan untuk petah berbicara, mampu mempengaruhi orang lain, menjadi
seorang pendengar yang baik, mampu melontarkan idea, berani dan berkeyakinan menghadapi kerenah
masyarakat. Memiliki pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi, sudah pasti dapat memberi
sinergi kepada produktiviti, tarikan dan sokongan dari semua arah dan menceriakan organisasi.
Tuntasnya, kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu kemahiran insaniah yang perlu dikuasai oleh
setiap individu ke alam kerjaya.
Di samping itu, setiap individu perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental. Antara eleman
ketahanan fizikal dan mental termasuklah setiap individu mampu berdikari, berdisiplin dalam
melaksanakan tugasan, bijak membuat keputusan dan seorang yang proaktif yang boleh dipelajari
melalui kem-kem motivasi yang dianjurkan oleh sekolah atau pihak kolej. Kelebihan semangat berdikari
mendorong setiap individu betah dan sentiasa memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam menyelesaikan
segala cabaran yang mendatang. Berdisiplin dalam menjalankan tugas pula dapat memastikan
seseorang melaksanakan proses tugasan yang diamanahkan dengan penuh bertanggungjawab.
Manakala bijak membuat keputusan menjadikan individu seorang pemikir yang matang, pintar dan
berkeyakinan. Jelaslah, mempunyai ketahanan fizikal dan mental adalah satu aset menuju ke alam
kerjaya bagi setiap individu.
Setiap individu juga perlu menguasai pelbagai bahasa utama dunia. Antara bahasa utama yang perlu
dikuasai termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Jepun dan bahasa Jerman. Hal ini disebabkan, bahasa
Inggeris menjadi bahasa perhubungan yang digunakan di seluruh dunia. Manakala bahasa Jepun dan
bahasa Jerman adalah bahasa yang digunakan dalam bidang teknologi. Menguasai pelbagai bahasa
membolehkan kita menambah pelbagai input ilmu melalui pengajian dan bacaan buku-buku ilmiah
berkaitan kerjaya pilihan kita. Selain itu, keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa juga dapat
meningkatkan keyakinan dalam diri dan membuka peluang yang lebih luas kepada setiap individu untuk
merebut peluang kerjaya yang disediakan diseluruh dunia. Selanjutnya, individu turut dapat mengeratkan
hubungan dan berkomunikasi yang baik dalam organisasi yang dimiliki oleh penutur jati bahasa tertentu.
Jelaslah, menguasai pelbagai bahasa memberi impak yang besar kepada seseorang individu ke alam
kerjaya.
Kesimpulannya, untuk melorongkan diri ke alam kerjaya yang menjadi idaman, setiap individu perlu
melakukan pelbagai persediaan yang lengkap dari segi mental, fizikal dan kelayakan yang ditetapkan
sesuatu tawaran kerjaya. Segala persediaan boleh diperolehi melalui pengalaman, pengajian secara
formal atau tidak formal.

682 patah perkataan

CARA MENGATASI DAN MEMBENDUNG JENAYAH


(Laman Sesawang Asal: http://transformasiummah.blogspot.my/2011/04/cara-mengatasi-dan-
membendung-jenayah.html )
1. Pengenalan

Warga Malaysia semacam tidak lagi berasa selamat di negara ini.Jenayah negeri dan tidak masuk
akal dilaporkan setiap hari. Sudah tidak selamat lagi untuk beriadah, ke sekolah, berada di tempat kerja
dan berehat di kawasan Rehat dan Rawat di lebuh raya. Menurut Laporan Kualiti Kehidupan , kadar
jenayah setiap seribu penduduk meningkat 3.8 peratus pada kepada 6.2 peratus pada 2002. Akibatnya,
kapasiti muatan penjara sudah melebihi. Mereka yang dihukum oleh sebab jenayah kini berada di penjara
yang sudah padat. Malah, nisbah warder dan banduan melebihi standard antarabangsa.
Dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2004 pernah didedahkan setiap hari di negara ini 1.5
orang dibunuh, 4.7 dirogol, 68.2 insiden pecah rumah, 23.6 kereta dicuri, 141.3 motosikal dicuri dan 41.9
insiden rompakan. Malah, jenayah membabitkan juvana juga meningkat. Mereka yang terbabit
nampaknya semakin muda termasuk yang terjebak dalam jenayah dadah dan seksual. Pada 2006 ada
8,113 kes juvana dan 3,545 pelajar ditahan. Pengaruh televisyen dan internet yang mengandungi unsur
ganas dan seks dikenal pasti mempengaruhi peningkatan jenayah di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Seramai 1,831 membabitkan remaja bersekolah. Dalam sesetengah kes ada yang membabitkan
kanak-kanak seawal umur 7 hingga 10 tahun. Pelbagai langkah dilaksanakan untuk mencegah jenayah di
negara ini. Kami berpendapat selagi tidak ada suatu ketegasan dan kesungguhan untuk membanteras
jenayah daripada puncanya, selagi itulah peningkatan jenayah akan berterusan. Janganlah hendaknya
kenyataan negara maju seperti di Amerika Syarikat yang menjadi antara negara yang paling bahaya
untuk diduduki menjadi realiti di negara ini.
2. Konsep Jenayah
Keamanan dan kestabilan sesuatu tempat atau negara bergantung bukanlah sesuatu yang semula jadi.
Ia mesti diwujudkan dan dikekalkan . keamanan dan kestabilan tidak akan wujud jika terdapat anasir-
anasir yang menggugatnya seperti pengacau, pencuri, perosak, pemera, perasuah dan sebagainya.
Pengawalannya dan pembanterasan anasir-ansir tersebut menjadi tugasundang-undang jenayah.
Manakala perbuatan yang menggugat tersebut dekenali sebagai jenayah.
Perbuatan yang diakatakan jenayah itu mestilah dihalang atau diambil tindakan seperti menangkap
pelakunya. Mahkamah diperlukan untuk menentukan pelaku jenayah itu bersalah atau tidak. Selepas
dihukum bersalah, maka perlu pula dikenakan hukuman keseksaan supaya pesalah itu serik, orang lain
selamat dan akhirnya masyarakat menjadi selamat, tenteram dan stabil. Begitulah secara kasarnya
konsep jenayah, dan daripada konsep ini definisi jenayah dapat dibuat.
2.1.Definisi Jenayah
Daripada konsep undang-undang jenayah ciptaan tersebut maka definisi jenayah ialah sebarang
perbuatan (tinggalan) yang melanggar undang-undang yang boleh diambil tindakan (seperti ditangkap)
dan diadili (melalui mahkamah) dan apabila disabitkan bersalah dikenakan hukuman keseksaan. Idea
asas apa yang dikatakan jenayah ialah apa-apa yang boleh memberikan masalah atau kesusahan
kepada orang lain. Sebagai contoh, semua orang bersetuju bahawa mencuri dan
mencederakan/membunuh orang lain adalah perbuatan jenayah.

Jenayah di Malaysia disabitkan dengan :


UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta A324 AKTA KANUN ACARA JENAYAH (PINDAAN DAN
PERLUASAN) 1976
Akta ini bolehlah dinamakan Kanun Keseksaan
Seksaan bagi kesalahan yang dilakukan dalam Malaysia
Tiap tiap orang bolehlah dikenakan seksaan dibawah Kanun ini dan tidak dibawah mana mana undang
undang lain bagi tiap tiap perbuatan atau ketinggalan yang berlawan dengan peruntukannya yang
dilakukannya di dalam malaysia.
Seksaan bagi kesalahan yang dilakukan diluar Malaysia tetapi boleh disisi undang undang
dibicarakan dalam Malaysia.
Seseorang yang disisi undang undang kena dibicarakan kerana suatu kesalahan yang dilakukan di luar
Malaysia hendaklah dibicarakan menurut peruntukan Kanun ini kerana apa apa perbuatan yang
dilakukan di luar Malaysia sama seolah olah perbuatan itu dilakukan dalam Malaysia.
3. Senario Jenayah Kini
Kadar di Malaysia lebih tinggi daripada kadar yang boleh diterima di peringkat antarabangsa iaitu
1:3. Penjara kita hanya boleh memuatkan 31,000 tahanan tetapi kini ada 39,000 tahanan. Kini ada 9,974
warder dan ini menjadikan kadar kita ialah 1:4.5. Dilaporkan hampir semua penjara kita sudah melebihi
muatan. Kita juga menerima laporan bahawa 16 penjara lagi akan dibina. Baru-baru ini kilang
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terbiar dicadangkan juga akan diguna untuk ditukar
menjadi penjara sementara.
Sebagai reaksi, kerajaan menambahkan anggota polis di bandar raya itu di samping rondaan lebih
kerap termasuk rondaan helikopter pada setiap malam. Apa yang lebih mencemaskan kita ialah bukan
saja kekerapan jenayah meningkatkan namun lebih membimbangkan ialah jenis jenayah berat juga
meningkat. Kadar kes bunuh, rompakan bersenjata, ugut, rogol dan gangsterisme didapati meningkat
Angka semakin merisaukan kerana kini kadar jenayah dilaporkan meningkat lebih daripada 15 peratus di
seluruh negara. Hampir semua negeri mencatat kenaikan kadar jenayah

3.1.Statistik Jenayah Negara


-tunjukkan jadual statistik-
4. Punca Berlakunya Jenayah
4.1.Sistem dan Persekitaran Sosial yang Tidak Sihat
Jenayah merupakan produk sosial yang berkembang dalam sesuatu sistem dan persekitaran sosial
masyarakat. Jika sistem dan persekitaran sosial yang wujud tidak sihat, gejala sosial akan mudah
menular, dan akhirnya menjurus kepada peningkatan kadar jenayah yang tinggi dalam masyarakat
tersebut. Sistem sosial yang menjadi punca berlakunya kepincangan masyarakat dewasa ini, bukan
sahaja disebabkan oleh kelemahan institusi keluarga, malah unsur-unsur asing atau budaya kuning
merupakan pemangkin kepada kebejatan moral, dan seterusnya memberi memberi impak yang negatif
sehingga menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah yang berlaku dalam masyarakat yang
terbabit.
Struktur kelas sosial golongan bawahan yang luas memungkinkan gejala sosial semakin berleluasa.
Keadaan ini akan mengancam keselamatan rakyat di negara kita. Persekitaran sosial yang buruk juga
boleh menyebabkan berlakunya kemelut sosial yang menjadikan sesuatu kawasan tidak dapat menarik
minat golongan pengusaha untuk memajukannya bagi kegiatan perniagaan, pelancongan, dan
perusahaan. Kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dianggap mempunyai risiko yang
menyebabkan kerugian dari segi pelaburan.
4.2.Kelemahan Institusi Kekeluargaan
Bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi
asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap
mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak
kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama
lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup
sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai
contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu
banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka.
Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan
memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan
pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada
alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa
juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah
alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam
keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram
serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada
kancah keruntuhan moral
4.3.Pengaruh Rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan belia
dan remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Meeka lebih banyak
menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di
tempat-tempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan
sebaya untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka,
mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah
pilih rakan sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja
mudah terikut-ikut perangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar
sekolah, kes ragut, dan sebagainya.
Memilih rakan-rakan yang tidak beriman dan tidak berakhlak mulia akan menjadikan remaja lebih mudah
tergelincir dan terperusuk ke lembah kemaksiatan. Pengaruh daripada rakan sebaya adalah lebih kuat
impaknya daripada pengaruh keluarga. Seseorang remaja yang tidak kuat pegangan akidah Islam dan
memiliki ilmu pengetahuan Islam yang cetek akan berasa amat sukar dan tertekan untuk mematuhi
perintah dan larangan Allah SWT. Mereka akan merasa lebih selesa untuk berkompromi ataupun
menyembunyikan keIslamannya di hadapan rakan-rakan yang membenci ajaran Islam. Sebaliknya,
mereka pula akan menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang mengajak kepada Islam kerana perasaan
khuatir akan kelihatan tidak cool apabila bersama dikalangan rakan-rakan pilihan mereka.
Apabila situasi sebegini berlaku, maka seseorang itu akan terjebak ke lembah kemaksiatan, di
mana tidak ada beza hidupnya daripada rakannya yang tidak beriman. Akibat memilih rakan yang salah,
maka rosaklah kehidupan seseorang itu, hatinya menjadi rosak dan akan kehilangan pegangan Deen
Islam yang sepatutnya.
4.4.Kurang Penghayatan Agama dan Nilai Murni
Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden juga berlaku kerana kemerosotan nilai murni
dalam kehidupan individu dan masyarakat. Sikap mementingkan diri sendiri dan cemburu akan
kesenangan dan kejayaan orang lain mendorong berlakunya perbuatan jenayah. Masyarakat semakin
hilang kekuatan dan terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah kerana ketandusan nilai murni dan nilai
moral. Jenayah yang berlaku dalam masyarakat mempunyai kaitan dengan penyakit dan masalah
Natijah dari kehilangan Islam sebagai sebuah Sistem Pemerintahan yang diterapkan keatas umat
manusia pada hari ini, semakin ketara terlihat didalam seluruh aspek kehidupan. Kepincangan sistem
sosial yang tidak berlandaskan Islam didalam kehidupan masyarakat dapat dirasai samada kita hidup di
negara-negara yang dipimpin oleh penguasa Islam mahupun bukan Islam. Sudah tentunya, tiada yang
lebih menyedihkan apabila kita terpaksa menyaksikan bagaimana hinanya anak-anak remaja kita
dibesarkan didalam sistem Sekular Kapitalis yang penuh dengan kekufuran, malahan lebih buruk apabila
sebahagian dari mereka seperti telah kehilangan nilai-nilai keperibadian Islam, tidak kurang juga yang
terpesong pegangan akidahnya.
5. Langkah-Langkah Mengatasi dan Membendung Masalah Jenayah
Setelah dibuat kajian dan diteliti, maka dapatlah kiranya kami lampirkan disini sedikit ulasan kami sebagai
pendekatan untuk membanteras jenayah daripada terus menular di dalam negara kita. Langkah-langkah
yang kami sediakan ini merupakan langkah-langkah yang bersifat praktikal yang mampu dilakukan oleh
individu atau organisasi yang terlibat. Semoga ini akan dapat menjadikan negara kita lebih selamat pada
masa akan datang. Antara langkah-langkah tersebut ialah;
5.1. Penguatkuasaan Undang-Undang
Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan
pada amnya kebaikan sejagat manusia. Organisasi yang terlibat dalam menggubal undang-undang ialah
pihak kerajaan. Justeru undang-undang yang digubal mestilah menekankan aspek keselamatan secara
lebih serius. Hal ini kerana natijah daripada pelaksanaan undang-undang itu nanti ialah untuk
menyedarkan masyarakat dan setiap golongan individu agar saling menghormati nilai kemanusiaan yang
ada pada individu lain. Justeru mereka akan lebih menghargai dan berfikir panjang sebelum melakukan
sebarang bentuk jenayah.
Setelah undang-undang digubal oleh pihak yang berwajib, maka undang-undang tersebut akan
dilaksanakan oleh pihak lain pula seperti Polis Diraja Malaysia, Badan Pencegah Rasuah dan lain-lain.
Namun begitu masih timbul keraguan dalam sistem perlaksanaan undang-undang pada masa kini. Hal ini
kerana badan-badan berwajib tersebut juga terdiri di dalamnya segelintir individu yang pecah amanah
dengan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tersebut. Sebagai contoh, ada individu yang telah ditahan
oleh pihak tertentu tetapi dilepaskan atas alasan yang tidak munasabah dan dalam situasi lain ada yang
dilepaskan hanya kerana mereka terlibat dalam barisan kepimpinan negara. Pelu diingat disini bahawa,
setiap individu yang berada dibawah kawasan tanah Malaysia adalah bernaung dibawah undang-undang
yang sama.
Oleh itu sesiapa yang melakukan jenayah, maka dia perlu ditahan dan dikenakan tindakan, walaupun
dia mempunyai status atau kedudukan yang tinggi. Justeru pihakberwajib haruslah mempunyai suatu
mekanisme tambahan untuk membendung gejala pecah amanah dalam institusi mereka terus
bermaharajalela.
5.2.Mewujudkan Konsep Bandar dan Pekan Selamat
Definisi Bandar Selamat Bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental.
Pernyataan ini merujuk kepada persekitarannyayang sentiasa berada dalam keadaan paling terpelihara.
Terpelihara di sini bermaksud mempunyai suatu struktur asas pencegahan jenayah yang mampu untuk
memelihara penduduknya atau orang awam daripada terbabit dengan jenayah atau menjadi mangsa
kepada penjenayah. Jika hal ini dipandang dan diteliti dengan lebih jelas, usaha-usaha kerajaan dalam
mewujudkan pecan atau Bandar selamat memang wujud. Namun begitu, ada sesetengah tempat yang
dilihat berlakunya pengabaian keselamatan. Dengan ini si pelaku jenayah akan mempunyai peluang yang
cerah untuk meragut, merompak, rogol dan sebagainya. Seharusnya kerja-kerja penambahbaikkan ini
dipercepatkan lagi dan diteruskan pula ketempat tempat panas lain yang mana menjadi sasaran
penjenayah.
Antara usaha yang dilakukan ialah, membangunkan prasarana-prasarana keselamatan seperti
mengasingkan jalan untuk pejalan kaki dengan jalan raya, hal ini boleh mengelakkan jenayah ragut.
Seterusnya ialah mewujudkan pondok-pondok polis di kawasan tumpuan umum. Usaha ini boleh
membantu dalam mengawal dan memantau aktiviti-aktiviti yang mencurigakan dikawasan terbabit.
Seterusnya ialah setiap masyarakat yang berada di kawasan-kawasan panas ini semestinya wajib untuk
sama-sama menjaga keselamatan diri dan orang di sekeliling mereka. Mereka juga boleh sama-sama
turun padang membantu pihak yang berwajib menjaga keamanan setempat. Sebagai contoh
mengadakan rondaan secara bergilir-gilir pada waktu malam. Perkara ini jika dilakukan bukan sahaja
akan membuatkan penjenayah berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang bentuk jenayah di kawasan
terbabit, malah akan mengeratkan lagi ukhwah antara mereka.
Pada masa kini ada kawasan yang menggunakan khidmat pengawal keselamatan. Hal ini bagi
memastikan keselamatan penduduk terjamin. Ini juga bertujuan untuk membantu golongan yang
berkerjaya yang mana mereka ini sukar untuk memberikan komitmen dalam aktiviti rondaan di sekitar
kawasan perumahan mereka terutama pada waktu malam. Justeru kaedah menggunakan pihak
pengawal keselamatan juga dilihat sebagai suatu inisiatif berkesan dalam membantu mengawal aktiviti
jenayah di sesebuah kawasan.
5.3.Memperkasakan Ekonomi Negara
Antara faktor yang menjadikan seseorang itu berstatuskan penjenayah adalah akibat sistem kewangan
diri yang tidak stabil. Hal ini telah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk keluar daripada
masalah yang mereka hadapi iatu dengan cara melakukan jenayah seperti meragut, merompak dan
pecah rumah. Justeru dengan saranan agar ekonomi negara diperkasakan, maka akan timbul banyak
peluang pekerjaan bagi menampung lambakkan golongan yang bergelut untuk hidup ini. Mereka yang
terpaksa memilih bidang jenayah sebagai alternatif untuk mereka menyara hidup mereka tidak boleh
disalahkan secara seratus peratus. Hal ini kerana desakkan hudup pada masa kini terutama mereka yang
tinggal diibu kota amat meruntun mereka untuk berjuang bagi mencari sesuap nasi.
Para penganalisis dan perintis ekonomi kerajaan boleh merangka suatu pendekatan yang bersifat
sistematik dalam menyediakan pekerjaan kepada mereka. Hal ini kerana, ada dikalangan mereka yang
mempunyai latar belakang akademik yang tinggi namun sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka ini
boleh digunakan oleh kerajaan untuk menjana ekonomi setempat. Antara cara untuk memperkasakan
ekonomi ialah dengan menarik masuk para pelabur luar untuk melabur dalam neagara kita atau dengan
lebih spesifiknya pada tempat-tempat yang mempunyai jumlah penggangguran yang tinggi. Justeru
peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan.
Sistem ekonomi yang mampan dapat memastikan keberlangsungannya kemajuan sesebuah
negara. Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun bolehlah menjadikan negara-
negara maju yang lain sebagai contoh dalam melaksanakan pembangunan ekonomi mereka. Sebagai
contoh di sini ialah negara Jepun, Jepun merupakan sebuah negara yang sering kali berada dalam
keadaan yang genting. Terbaru negara tersebut telah mengalami kemusnahan yang teruk akibat daripada
bencana alam yang menimpa. Namun begitu, mereka yakni kerajaan Jepun telah merangka suatu
strategi susulan sekiranya mereka mengalami sebarang masalah akibat bencana alam. Seperti menarik
semula aset-aset mereka yang berada di luar negara masuk ke dalam negara mereka semula.
Ditambahkan lagi dengan kedudukan mereka sebagai salah sebuah negara G7 yang berpengaruh dalam
kuasa ekonomi dunia.
Namun yang paling ketara dan perlu untuk kita contohi ialah berkenaan penggunaan sumber
tenaga manusia. Jepun merupakan sebuah negara yang begitu menitik beratkan masalah sumer tenaga
manusia. Mereka amat prihati dengan masalah pekerja sehinggakan mampu untuk menjadikan
seseorang pekerja itu sanggup bertungkus lumus bekerja bagi menjana ekonomi negara. Sikap dan
langkah sebegini yang harus ditiru oleh negara-negara lain seperti Malaysia untuk membangunkan kuasa
ekonomi Malaysia. Justeru masalah berkaitan jenayah ekonomi seperti pemerdagangan manusia,
rasuah, penipuan duit syarikat adalah sama sekali dapat dihapuskan kerena kesedaran yang timbul
akibat penjanaan ekonomi yang mampan.
5.4.Kempen-kempen Pencegahan Jenayah
kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja
terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini kerana antara faktor yang menyumbang dalam timbulnya
minat untuk melakukan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya pendedahan berkenaan
jenayah dan akibat mereka melanggar undang-undang negara. Kempen yang dilakukan haruslah
mempunyaimatlamat yang jelas dimana para pelajar ini akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti
berkenaan ancaman jenayah. Mereka akan dibawa untuk mendekati dunia penjenayah. Di sana mereka
akan menilai sejauh mana kehebatan seseorang penjenayah kerana akhirnya mereka akan dihukum juga
dengan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka. Secara tidak langsung, mereka akan
menanamkan dalam diri mereka bahawa penjenayah dan jenayah itu merupakan sesuatu yang buruk dan
jijik.
Sebagai seorang manusia yang sihat mereka tidak akan menerima sesuatu yang bertentangan dengan
fitrah mereka yang sukakan kebaikkan dan keindahan. Justeru pepatah melentur buluh biarlah daripada
rebungnya amat sesuailah dipraktiskan disini. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan
di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan
jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan
hukuman kepada pesalah.
Kempen-kempen pencegahan jenayah ini bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah-sekolah, malah boleh
juga dilakukan ditempat-tempat awam atau tempat yang menjadi tumpuan umum. Masyarakat yang
berpontensi untuk terlibat dengan jenayah ini akan mendapat input-input berguna untuk mereka ketahui
bagi berdepan dengan masalah jenayah ini. Antara tempat-tempat tumpuan orang awam ialah pusat-
pusat membeli belah, pasar-pasar malam dan taman permaianan. Diharapkan semua pihak yang
mendengar atau mengikuti kempen tersebut akan lebih berwaspada dengan kegiatan jenayah yang
mungkin berlaku dan seterusnya mengetahui langkah langkah yang berkesan sekiranya mereka
berhadapan dengan situasi tersebut.
Antara impak tambahan ialah dapat menyedarkan penjenayah yang berada dalam kawasan berhampiran
dengan kempen yang dijalankan. Si penjenayah pasti akan berfikir panjang sebelum melakukan jenayah
di kawasan terbabit kerana rata-rata pengunjung akan mengambil langkah keselamatan seperti yang
diajar dan hal ini akan meningkatkan risiko mereka akan ditangkap atas jenayah yang dilakukan. Atau
sekurang-kurangnya mereka akan sedar bahawasanya tiada gunanya mereka melaksanakan aktiviti yang
tidak bermoral terbabit dan insaf serta kembali kepangkal jalan.
5.5.Pengenalan Semula Mata Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) dapat membentuk keperibadian para remaja yang mulia
dan juga dapat berperanan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Peribadi dan nilai-
nilai murni merupakan sesuatu yang berkait rapat. Hal ini kerana nadi kepada pembangunan negara
pada masa akan datang adalah terletak kepada generasi muda pada masa kini. Justeru itu individu ini
perlulah dididik dengan didikan yang sempurna untuk membantu mereka membesar dalam keadaan sihat
dan berdaya saing. Perkara yang paling mustahak ialah agar mereka terhindar daripada melakukan
sebarang aktiviti yang berkaitan dengan jenayah. Sekiranya mereka terjebak, amat sukar untuk kita
membetulkan semula diri mereka.
Justeru kata-kata mencegah lebih baik daripada menghormati perlulah dihayati oleh setiap pihak.
Saranan agar memberi penekanan kepada subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK)
merupakan suatu saranan agar kerajaan dan pihak sekolah melihat subjek ini sebagai suatu mekanisme
atau pendekatan yang efektif untuk menjadikan para pelajar celik jenayah.
Antara isi kandungan yang perlu ada di dalam subjek tersebut ialah seseorang individu berupaya
menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian
agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Setiap individu perlulah
memahami hak dan keadaan orang lain agar mereka tidak mengambil kesempatan terhadap orang lain.
Hasil positif yang akan wujud ialah apabila isi kandungan ini dihayati sepenuhnya oleh para pelajar, maka
mereka akan keluar ke dunia sebenar kelak dalam keadaan penuh berpelingdung yang dapat menangkis
sebarang godaan untuk mereka terjebak dalam kancah jenayah. Seterusnya bukan sahaja dapat
mengurangkan peratus jenayah, malah mungkin dapat membasminya secara total.
6. Kesimpulan
Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden berhubung kait dengan etika dan peraturan sosial.
Dalam mewujudkan masyarakat yang beretika, langkah yang wajar ialah kerjasama daripada semua
lapisan masyarakat itu sendiri. Masyarakat yang beretika mempunyai tanggungjawab sosial dan moral
yang kukuh dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah. Jika tidak, lunas etika yang lemah boleh
menyebabkan wujudnya krisis dan dilema dalam masyarakat kerana kecenderungan pihak tertentu untuk
melakukan jenayah pastilah sukar dibendung. Jenayah akan terus meningkat dan menjadi lebih kritikal
sekiranya etika tidak menjadi tunjang pembinaan masyarakat dan negara
Masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa
kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan juga penting demi membanteras fenomena
tersebut. Undang-undang memberi kuasa kepada pihak berwajib seperti polis dan pasukan keselamatan,
untuk membantu dalam melindungi masyarakat dan negara daripada ancaman sebarang bentuk jenayah.
Undang-undang perlu memberi lebih banyak kuasa kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab
mereka demi kesejahteraan rakyat.
Pengukuhan kuasa juga membolehkan pihak yang berwajib ini bertindak dengan lebih tegas bagi
mengatasi masalah jenayah, khususnya jenayah yang melibatkan pihak yang mempunyai pengaruh
termasuk wang, kuasa, dan kedudukan yang tinggi. Kerjasama polis dan masyarakat setempat
merupakan konsep pemuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan konsep membebaskan
masyarakat dan negara daripada jenayah.

DISIPLIN ASAS KEJAYAAN AKADEMIK


OLEH: Hamidah Hashim
(Laman Sesawang Asal: http://aniza3046.blogspot.my/2011/01/disiplin-asas-kejayaan-
akademik.html)
Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri
seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah
dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk
menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya,
harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini
begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan
iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada
kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin
kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan
Akademik".

Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa.
Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa
tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia
akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak
terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana
merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi
digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan
hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak
kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus
mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak
langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal
ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala-
gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat
emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.

Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin
mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di kem
tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta
berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki
tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan
menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut
cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani
mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan
dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu
sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada
pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pelajar
pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar.
Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang tumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati
diri dalam diri para pelajar.

Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala
sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin,
pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar.
Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan
yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang amat
bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu
melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya
tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari
ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang
akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri
mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan
aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini
menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru ,
jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.

Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin
juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara
suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas.
Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang
nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi
gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih kejayaan.
Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju adalah
amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan Tingkatan
Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk mencapai
wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk menentukan matlamat
hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan hidup semata-mata tanpa
memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha, sememangnya disiplin amat
penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar wawasan tersebut. Tahap disiplin
yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.

Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa
memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita
ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk
melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan
bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali
lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari
ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli,
pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi
cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang
enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan
seseorang kembali ke pangkal jalan.

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN


Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik,
madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini
mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika
Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan
sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang
progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus
perubahan dunia yang semakin mencabar. .
Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin
merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah
rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang
diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat
melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis
demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar
cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau
tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya,
disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan
minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai kejayaan persis kata tokoh
terkemuka, Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya
dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang. Jelaslah bahawa disiplin merupakan
formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.
Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga
sakinah. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna
kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk
keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa
untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya
menjadi rol model yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata
peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik
anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya,
ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan
melahirkan anak yang membudayakan sifat-sifat mahmudah dan menghindari segala unsur
mazmumah..
Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada
mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada
mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan
amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja.
Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti
terhadap bidang tugas yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa
harapkan pagar, pagar makan padi. Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara
bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau,
tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan
transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan
hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin
diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.
Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara
berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang
semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan
memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara
tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa
musim perayaan dapat dikurangkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata,
kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai
menganggapnya mustahil. Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian
menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor
kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak
dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan
sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu
mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai
peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan
nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.
Di samping itu, sebagai pengguna mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika berbelanja.
Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja
dengan hanya mengakses maklumat hanya di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naf dengan mata
kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan hawa nafsu dan bukannya
keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan
bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada
berhutang dengan bank atau lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan .
Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih
untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang
sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa beringat sebelum kena,
berjimat sebelum habis.
Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin
kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh
pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia.
Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang berdidiplin dan memiliki minda yang positif ialah
orang yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan
itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini. Oleh itu,
marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta
aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.
BANGSA MEMBACA BANGSA BERJAYA
SMAHADZIR
(Laman Sesawang Asal : http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.my/2012/04/bangsa-membaca-
bangsa-berjaya.html)

SEJARAH telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya
yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau
kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap.
Malah ia akan bergantung kepada bangsa lain yang lebih berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara
pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan
negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang
dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah masyarakat yang suka membaca. Disiplin
membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu
kemiskinan dan kejahilan.
Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi
yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding dengan orang yang kurang
membaca. Menurut Kenedy (1981) membaca adalah keupayaan seseorang untuk menggarap bentuk
visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan) yang menghubungkan bentuk
intu, atau bunyi makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami
dan mentafsir maksud.
Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini
kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka
membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu
melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini
juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea
bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.
Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang
terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi.
Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan
mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru.
Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan
seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The
New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan
Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi.
Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari.
Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di
bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu
menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama
di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub
khanah yang besar. Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.
Semua pemimpin negara juga menggalakkan masyarakatnya membaca supaya mereka tidak akan
ketinggalan dalam menerima kecanggihan dan kemodenan dunia. Bagi masyarakat Jepun, membaca
sudah menjadi tabiat dan amalan mereka kerana daripada budaya membaca mereka dapat
meningkatkan taraf hidup dan juga bersaing dengan dunia luar.
Walau bagaimanapun, masyarakat yang menerima perubahan teknologi yang moden dan canggih
hari ini telah menjadikan amalan membaca bahan-bahan yang tidak sepatutnya. Budaya ini telah
menyebabkan masyarakat terutama golongan remaja menjadi rendah akhlak dan cetek ilmu
pengetahuan. Jenis bahan bacaan yang boleh dikategorikan sebagai lucah atau tidak sopan ialah yang
mengeksploitasikan seks sebagai bahan utama. Bagi sesetengah bahan bacaan ini, memaparkan
gambar wanita mendedahkan tubuh badan dan aksi menggoda untuk dijadikan sebagai pelaris jualan.
Disebabkan remaja sering disogokkan dengan bahan sedemikian, golongan tersebut mudah terpengaruh
sehingga menjadi seronok dan ketagih. Ini akan menyebabkan golongan ini tidak dapat berfikir secara
matang dan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman
adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi.
Kerana itu, amat wajar bila negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan
negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali
menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki
tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting
dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.
Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekaligus memperoleh wawasan mahupun
pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan
perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang
Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan
mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti
Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali
negaranya dari kehancuran.
Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang
selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Dan
kejayaan Jepun menguasai dunia tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal.
Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya
dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru itu juga di
Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali
sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana mereka berada.
Lantaran suka membaca juga, media cetak di sana tumbuh begitu pesat. Bahkan, jumlah pengedaran
akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram
Fokus edisi April 2006, dari 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai
pengedaran akhbar-akhbar Jepun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan
jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari. Kedua, akhbar The Asahi Shimbun dengan jumlah
pengedaran 12 juta naskhah sehari. Ketiga, akhbar Mainchi Shimbun dengan jumlah pengedaran 5.5 juta
naskhah sehari. Keempat, akhbar Nihon Keizai Shimbun dengan jumlah pengedaran 4.6 juta naskhah
sehari dan kelima, akhbar Chunichi Shimbun dengan 4.5 juta naskhah sehari.
Di samping itu, umumnya akhbar di Jepun terbit dua kali sehari, pagi dan petang. Jika dikira, dalam
sehari, satu orang di Jepun membaca empat akhbar yang berbeza. Bayangkan! Betapa tingginya daya
baca orang-orang Jepun.
Singapura yang saiz negaranya jauh lebih kecil dari Malaysia juga memiliki semangat yang sama
dengan Jepun. Perekonomian, pendidikan, mahupun budaya membaca masyarakatnya melebihi negara-
negara di Asia Tenggara. Dengan jumlah penduduk sekitar 4.5 juta, terdapat tujuh suratkhabar dengan
jumlah pengedaran mencapai 1 juta naskhah per hari.
Kendatipun begitu, di negara kita, pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya
membaca di kalangan masyarakat. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan
masyarakat yang suka membaca. Untuk membudayakan amalan membaca, semua pihak termasuk
kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing
khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian. Serapkanlah
budaya membaca masyarakat Jepun dan Eropah ke dalam masyarakat kita agar kita mampu menjadi
bangsa yang berjaya.
Konklusinya, bangsa membaca bangsa berjaya adalah sebuah frasa yang jitu. Hakikatnya,
pembentukan bangsa yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia
bermaksud kesemuanya bermula dengan minda cemerlang yang lahir dari budaya membaca. Dalam Al-
Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan, Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang
kelebihan ilmu dan beliau menjawab, Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah
Muhammad) yang bermula dengan; Ketahuilah, sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu
terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah s.w.t gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20,
dan surah al-Anfal ayat 28 dan 41. Justeru, membaca yang mampu melahirkan minda cemerlang
merupakan pintu gerbang kepada segala kehebatan dan kejayaan.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu

Suka Cik awan nak berkongsi maklumat dengan saudara - saudari tentang ceramah yang di sampaikan
oleh Pn Rohayah yang bertajuk "Membina Budaya Membaca" di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah
(PSNZ) UMT.
Ceramah tersebut sempena penutup minggu Kenali PSNZ yang telah berlangsung selama tiga hari.
Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk pameran jabatan perpustakaan, pesta buku, kuiz dan banyak
lagi.

Cik Awan juga tidak ketinggalan untuk menyertai kuiz kenali PSNZ dan alhamdulillah dapat hadiah.
Terima kasih kepada pihak PSNZ. Lain kali kalu cik awan masuk bertanding, bagilah menang.

Balik kepada ceramah "Membina Budaya membaca" tadi beberapa point penting yang dapat cik awan
tangkap ialah:

Definisi Budaya Membaca


Amalan membaca apa-apa jenis bahan samada di dalam bentuk cetak/digital di mana-mana jua dari
dalam bas, keratapi, kapal terbang, klinik mahupun di tempat-tempat formal seperti perpustakaan, bilik
kuliah dan pejabat.

Budaya membaca adalah berkait rapat dengan budaya ilmu kerana proses pembacaan akan turut
mematangkan fikiran seseorang individu.

Dalam ceramah tersebut Pn Rohayah menjelaskan mengapa masih menjadi masalah untuk membaca
kerana:

1. Belum wujud budaya membaca dalam masyarakat kita dan penumpuan lebih kepada budaya
chatting dan lepak.
2. Pengaruh kuat media elektronik ke atas budaya ingin membaca yang telah mengalih
perhatian daripada membaca kepada ingin menonton.
3. Sikap kebanyakkan masyarakat Malaysia sangat berkira jika hendak membeli bahan
bacaan, tetapi tidak pula begitu semasa membeli bahan-bahan mewah.
4. Membaca dianggap sebagai suatu prosesyang terlalu intelektual khusus untuk satu
golongan tertentu sahaja dan bukan untuk semua golongan.
5. Mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang sentiasa membuang masa dengan berbual-bual
kosong serta lain-lain aktiviti yang tidak bermanafaat .
6. Kurangnya perpustakaan awam yang mudah dikunjungi.
7. Harga buku yang mahal serta tidak meminati bahan bacaan yang serius.
8. Cabaran era ICT mendedahkan ahli masyarakat terutama golongan remaja kearah menonton
televisyen, pergi ke supermarket, menggunakan telefon bimbit, menunggang motosikal serta
melepak bersama-sama rakan-rakan.

Faedah Membaca

1. Mampu meningkatkan daya pemikiran dan keintelektualan seseorang individu.


2. menjadikan individu itu lebih matang dan mampat serta dapat berdaya saing.
3. Mempunyai keterampilan, personality yang menawan dan mantap serta berkeyakinan
diri yang tinggi.
4. Menghaluskan budi pekerti serta mengeluarkan kata-kata yang boleh boleh menjadi penawar
kepada mereka yang sedang berduka.
5. Boleh membuat keputusan yang tidak boleh diperkotak-katikkan lagi.
6. Berinovatif serta terbuka kepada idea baru.
7. Kehidupan tidak seperti katak di bawah tempurung kerana sentiasa mengikuti perkembangan
semasa.
8. Mempunyai tahap emosi yang kuat kerana mereka yang membaca dengan penuh penghayatan akan
mempunyai jiwa yang tenang dan stabil.

Anda mungkin juga menyukai