Anda di halaman 1dari 7

Bincangkan tentang koheren dan kohesi. Tuliskan artikel ringkas tentangnya.

(10
Markah)

Wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap, terhasil daripada gabungan leksikal, frasa,
ayat dan semantik yang menjadikan sesebuah ayat gramatis. Wacana mempunyai kedudukan
tertinggi dalam hierarki kebahasaan. Sebuah wacana yang baik ialah wacana yang dapat
memberikan kefahaman kepada para pembacanya melalui penggunaan ayat yang gramatis dan
mempunyai tautan antara satu sama lain. Dengan kata lain, wacana yang terhasil sama ada
berbentuk tulisan atau lisan perlulah menunjukkan pertautan dan hubungan antara unsur-unsur
yang hadir dalam wacana, bermula dari peringkat kata sehingga dapat menghasilkan wacana
yang difahami oleh pembaca melalui kesepaduan maknanya.

Bagi wacana yang berbentuk tulisan, kesatuan ayat dan kepaduan makna yang hadir
dalam sesebuah wacana dihasilkan melalui unsur koheren dan kohesi. Umumnya, setiap
wacana yang baik memiliki unsur koheren dan kohesi. Menurut Edaham Ismail et.al (2016),
koheren dan kohesi memainkan peranan penting dalam membentuk wacana yang menarik,
terutamanya wacana bersifat naratif. Hal ini juga turut dinyatakan oleh Halliday dan Hasan
(1976) iaitu unsur-unsur bahasa yang merujuk dan berkaitan antara satu sama lain secara
sistematik mampu mencipta wacana yang baik. Unsur bahasa ini merujuk kepada unsur
koheren dan kohesi yang membentuk wacana.

Koheren merujuk kepada kesinambungan atau keterikatan antara satu ayat dengan ayat
yang lain dalam sesebuah wacana supaya dapat difahami. Menurut H.G. Tarigan (1987),
koheren adalah satu keserasian hubungan yang wujud antara satu unsur dengan unsur yang lain
dalam satu wacana sehingga timbulnya pengertian yang bermakna. Bagi Asmah Haji Omar
(1980) pula, koheren adalah keteraturan fikiran yang dapat dilihat melalui bentuk-bentuk
bahasa yang mempamerkan pautan dalam teks. Koheren ini wujud apabila bahagian-bahagian
dalam teks itu memperlihatkan logik antara idea-dea. Dengan erti kata lain, koheren dalam
wacana sama ada penulisan atau pertuturan menggambarkan pertautan antara idea-idea yang
ingin disampaikan oleh penulis dan penutur.

Selain itu, koheren juga didefinisikan sebagai perkaitan implisit yang hadir di sebalik
teks. Menurut Renkema (2004) dalam Edaham Ismail et.al (2016), koheren ini merujuk kepada
perkaitan makna yang difahami berdasarkan pengetahuan di luar wacana. Dalam konteks ini,
perkaitan makna yang wujud dalam wacana adalah hasil daripada pengetahuan yang dimiliki
oleh penulis diolah dan disampaikan kepada pembaca sehingga sesuatu penulisan atau

1
perucapan itu dapat difahami dan diinterpretasikan oleh pembaca atau pendengar. Perkaitan
makna ini juga merujuk kepada penghasilan sebuah wacana yang gramatis iaitu wacana yang
dapat diterima oleh pembaca, iaitu dari segi makna dan logik sesebuah wacana itu dihasilkan..
Koheren ini juga dapat dilihat daripada isu kandungan dan gaya penyampaian dalam teks yang
menunjukkan kesatuan yang tepat dengan tajuk serta penggunaan kohesi yang betul.

Berdasarkan definisi dan pandangan tentang aspek koheren, jelas menggambarkan


bahawa aspek koheren penting dalam membantu pembaca atau pendengar mendapatkan
maklumat yang dapat difahami oleh mereka melalui kesatuan secara menyeluruh yang berfokus
kepada persoalan sesebuah wacana. Bagi memahami sesebuah wacana, aspek koheren ini dapat
dikaitkan dengan beberapa unsur seperti penggunaan inferens, penciptaan konteks dan juga
mengenal pasti fungsi komunikatif atau ujaran yang hadir khususnya dalam wacana yang
bersifat lisan.

Unsur inferens dalam wacana digunakan apabila audiens cuba melakukan kesimpulan
berdasarkan bukti-bukti yang tersembunyi dapat menunjukkan koheren sebuah wacana.
Keadaan ini kebiasaannya berlaku dalam wacana komunikatif atau wacana yang tidak
berkohesi. Hal ini selari dengan definisi koheren, iaitu pertautan makna yang implisit di sebalik
teks. Bagi mendapatkan makna implisit dalam teks, audiens akan bertindak menghasilkan
kesimpulan berdasarkan pertautan idea-idea logik dan bermakna ini. Sebagai contoh, ayat
pertama iaitu adik sedang menangis dan ayat kedua iaitu jarinya luka terkena kaca
menunjukkan keterikatan antara satu ayat dengan ayat dalam wacana yang saling berurutan
bagi membolehkan audien melakukan inferens. Berdasarkan kedua-dua ayat ini, inferens yang
dilakukan oleh audiens ialah adik menangis disebabkan jarinya luka terkena kaca. Dalam
konteks ini, koheren wacana dapat dicapai kerana perkaita antara ayat mampu memberikan
interpretasi makna yang dapat difahami oleh audiens sama ada pembaca atau pendengar.

Unsur kedua yang dapat digunakan bagi memastikan wacana memiliki aspek koheren
dan dapat difahami adalah dengan menciptakan konteks. Menurut Halliday dan Hasan (1976),
koheren juga bergantung kepada konteks dan situasi untuk menyampaikan makna wacana. Hal
ini demikian kerana kesatuan atau koheren sesuatu wacana itu dapat ditentukan dengan
mengenal pasti konteks sesuatu ujaran berkenaan. Sebagai contoh, ayat seperti Stervia yang
kini giat ditanam oleh pengausaha mempunyai pelbagai khasiat dan dapat digunakan untuk
mengubati pelbagai penyakit. Berdasarkan ayat ini, koheren yang dihasilkan berdasarkan

2
perkaitan idea-idea memberikan audiens konteks tentang Stervia yang merupakan sejenis
tumbuhan yang dapat digunakan dalam perubatan.

Unsur ketiga yang dapat digunakan untuk memahami sesebuah wacana yang koheren
adalah dengan mengenal pasti fungsi ujaran atau komunikatif teks. Pada kebiasaannya, audiens
menggunakan fungsi ujaran untuk menginterpretasikan mesej yang koherens tetapi tidak
berkohesi. Keadaan ini juga melibatkan teks yang tidak memiliki aspek verbal, iaitu merujuk
kepada teks yang berbentuk penulisan. Bagi memastikan sama ada wacana tersebut memliki
koheren, pendengar perlu menentukan dengan cara mengenal pasti fungsi komunikatif setiap
ujaran dan pendengar juga menganggap setiap ujaran yang diterima mewakili aksi atau lakuan ?
bahasa tertentu. Sebagai contoh, ujaran seperti nak makan di mana? berfungsi sebagai
pertanyaan manakala bagi teks yang bersifat penulisan pula seperti:

Di sebuah pasaraya, seorang ibu dan anaknya sedang membeli-belah. Tiba-tiba


anaknya merengek meminta permainan tetapi tidak diendahkan. Anaknya mula
meronta-ronta sambil menghentakkan kaki dan mula menangis.

Berdasarkan kedua-dua contoh yang bersifat ujaran dan tulisan ini, wacana ini dianggap
sebagai wacana yang bersifat koheren. Hal ini dapat dipastikan dengan cara
menginterpretasikan atau mentafsirkannya sebagai lakuan bahasa. Melalui ujaran pertama
berfungsi sebagai pertanyaan manakala teks kedua pula menunjukkan lakuan bahasa persuasif.
Walaupun niat yang ditafsirkan oleh audien berkemungkinan pelbagai, namun fungsi lakuan
bahasa yang disampaikan oleh penutur atau penulis telah menghasilkan koheren kepada
wacana tersebut. Justeru, koheren merupakan unsur yang membentuk wacana seperti ayat,
perenggan, bab dan perkara lain yang mempunyai hubungan antara satu sama yang merujuk
kepada persoalan pokok, tajuk serta tema wacana yang dibincangkan

Kohesi pula merujuk kepada sebarang cara yang dapat menghubungkan kata, frasa,
klausa, ayat atau perenggan dalam sebuah wacana. Kohesi ini merujuk kepada pertautan bentuk
antara unsur-unsur dalam wacana. Kohesi merupakan aspek formal bahasa dalam wacana. Hal
ini bermaksud bahawa kohesi melibatkan hubungan antara ayat dalam sebuah wacana, sama
ada dari segi tingkat tatabahasanya atau tingkat leksikal tertentu. Menurut H.G. Tarigan (2009),
kohesi merupakan sebuah organisasi sintaksis dan tempat bagi kata atau kalimat yang disusun
secara padu dan juga padat untuk menghasilkan pertuturan.

3
Menurut Renkema (2004) pula, kohesi merupakan perkaitan manifestasi yang terdapat
dalam wacanan itu sendiri untuk menghubungkan ayat dan bahagian teks secara tersusun yang
dapat dilihat dan didengar (Edaham Ismail et.al., 2016). Perkaitan ini menggunakan alat
linguistik eksplisit seperti ikatan sintaksis yang menghubungkan idea dengan idea dan kaitan
semnatik yang menghubungkan makna yang wujud antara teks. Pendapat oleh Halliday dan
Hasan (1976), kohesi adalah set kemungkinan yang terdapat dalam bahasa untuk menjadikan
sesuatu teks memiliki kesatuan. Hal ini bermaksud hubungan makna sama ada makna
tatabahasa atau makna leksikal perlu diwujudkan secara berpadu dalam kesatuan yang
membentuk teks. Dengan kata lain, kohesi ini adalah keserasian hubungan antara satu unsur
dengan unsur yang lain sehingga dapat menghasilkan pengertian yang koheren.

Halliday dan Hasan (1976) menyatakan kohesi terbahagi kepada dua bentuk iaitu
kohesi gramatikal dan kohesi leksikal. Kohesi gramatikal merupakan kepaduan yang dicapai
dengan menggunakan elemen atau aturan tatabahasa. Kohesi ini dapat dibentuk melalui tiga
unsur yang terdiri daripada rujukan, penggantian dan elipsis. Rujukan merujuk hubungan
antara kata dan benda yang dirujuk. Rujukan ini juga disebut deiksis, iaitu unsur yang
digunakan untuk membuat rujukan kepada sesuatu. Halliday dan Hasan (1979) membahagikan
unsur rujukan ini kepada dua iaitu rujukan eksofora dan rujukan endofora.Rujukan eksofora
merupakan satuan bahasa yang berada di luar teks wacana manakala rujukan endofora pula
merujukan satuan bahasa yang terdapat dalam teks wacana tersebut.

Terdapat dua jenis rujukan endofora iaitu rujukan anafora dan rujukan katafora.
Rujukan jenis anafora ini melibatkan satuan bahasa yang hadir di permulaan ayat untuk
memberi rujukan kepada ayat yang sebelumnya. Bagi rujukan jenis ini, kehadirannya adalah
selepas kata atau benda yang ingin dirujuk. Sebagai contoh, (a) Sara menjerit kegembiraan. (b)
Dia berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun. Berdasarkan
contoh (b), kata dia merujuk kepada Sara. Hal ini menunjukkan wujudnya perkaitan secara
padu dan saling berhubungan. Rujukan katafora pula merujuk kepada satuan bahasa yang hadir
sebelum kata atau benda yang dirujuk. Sebagai contoh, kerana keretanya rosak, Dani terpaksa
menaiki bas ke tempat kerja. Dalam konteks ini, kata ganti nama -nya yang hadir pada frasa
yang pertama merujuk kepada kata nama Dani yang hadir selepasnya.

Bagi kedua-dua jenis rujukan ini, unsur pronomina (kata ganti) digunakan dalam
rujukan. Kata ganti ini terdiri daripada kata ganti persona, kata ganti penunjuk dan kata
perbandingan. Kata ganti persona adalah rujukan yang melibat kata ganti nama diri sama ada

4
pertama, kedua atau ketiga, bergantung kepada orang atau individu yang dirujuk. Sebagai
contoh, kata ganti persona seperti aku, -nya, dia, kami, kamu dan kita. Kata ganti penunjuk
digunakan untuk menunjuk kepada sesuatu benda seperti kata itu,ini, di sini, di sana, kini dan
sekarang. Kata perbandingan pula deiksis yang digunakan untuk melakukan perbandingan
antara antiseden. Sebagai contoh, seperti, bak umpama dan persis menunjukkan penggunaan
kata perbandingan.

Penggantian pula penggunaan unsur wacana yang lain menggantikan unsur yang telah
sedia ada dalam wacana, yang sama bentuk kata atau tingkat kata yang lain seperti frasa taua
klausa. Penggantian ini hampir serupa dengan rujukan. Walau bagaimanapun, kedua-dua ini
dapat dibezakan kerana rujukan memperlihatkan hubungan makna manakala penggantian pula
memperlihatkan hubungan antara tatabahasa atau leksikal. Dengan kata lain, penggantian ini
merujuk kepada unsur kata dalam wacana diganti dengan penggunaan kata atau frasa yang lain
bagi menghasilkan variasi dalam wacana. Terdapat empat jenis penggantian iaitu penggantian
nominal, penggantian kata kerja, penggantian frasa dan penggantian klausa.

Penggantian nominal ini melibatkan leksikal yang diganti dengan penggunaan leksikal
lain. Sebagai contoh, leksikal pangkat diganti dengan darjat dan kereta diganti dengan pancuan
empat roda. Penggantian kata kerja melibatkan pengantian kata kerja dengan kata kerja yang
lain seperti berusaha diganti dengan beriktiar. Penggantian frasa pula melibatkan satuan kata
yang berbentuk frasa diganti dengan penggunaan frasa yang lain dalam wacana. Misalnya, pada
masa lapang diganti dengan pada waktu senggang. Penggantian klausa merujuk kepada suatu
klausa dalam wacana diganti dengan klausa lain yang sama dengannya.

Seterusnya, elipsis pula proses pengguguran atau penghapusan kata atau satuan bahasa
yang lain. Elipsis juga merupakan penggantian dengan unsur yang kosong, iaitu unsur yang
digugurkan tidak diganti dengan unsur yang lain tetapi masih dapat difahami oleh pembaca
atau pendengar. Penggunaan elipsis adalah untuk mengelakkan berlakunya pengulangan dalam
wacana sehingga menyebabkan sesuatu ayat dalam wacana menjadi lewah. Sebagai contoh,
emak menyediakan sarapan pagi, mengejutkan anak-anaknya dari tidur, mula melakukan rutin
hariannya sebagai suri rumah sepenuh masa. Dalam konteks ini, pameran iaitu emak telah
digugurkan penggunaannya. Walau bagaimanapun, ayat tersebut masih dapat difahami oleh
pembaca. Lazimnya, elipsis ini didapati dalam wacana naratif.

5
Kohesi leksikal merupakan hubungan antara unsur dalam wacana secara semantik.
Berbanding dengan kohesi gramatikal, kohesi leksikal merujuk kepada hubungan leksikal
antara bahagian-bahagian wacana bagi mendapatkan keserasian struktur secara kohesif. Unsur
kohesi leksikal yang hadir terdiri daripada pengulangan, sinonim, antonim, hiponim, kolokasi
dan keseimbangan (equivalence). Pengulangan merupakan salah satu unsur yang dianggap
penting wacana. Hal ini demikian kerana unsur pengulangan yang diberikan penekanan dalam
teks menunjukkan kepentingannya dalam sesebuah teks wacana. Contohnya, menipu
merupakan satu sikap yang tidak bermoral. Menipu mampu menjadikan seorang individu keras
hati. Berdasarkan konteks ayat ini, pengulangan pada perkataan menipu dilakukan bagi
memberikan peringatan bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan tidak berperikemanusiaan.

Unsur kedua dalam kohesi leksikal ialah sinonim. Sinonim merupakan kata yang sama
atau hampir sama maknanya. Sinonim merupakan salah satu aspek leksikal yang digunakan
untuk mendukung kesepaduan wacana. Sebagai contoh, perkataan mati bersinonim dengan
meninggal, wafat, mangkat dan mampus. Penggunaan kata bersinonim ini digunakan dengan
melihat kepada konteks. Antonim pula merupakan unsur yang berlawanan dengan sinonim,
iaitu merujuk kepada kata yang berlawanan digunakan. Sebagai contoh, matahari terbit dari
timur dan terbenam di barat. Berdasarkan contoh, timur dan barat adalah dua kata yang
berlawanan kerana menunjukkan arah yang saling berlawanan antara satu sama lain. Begitu
juga dengan perkataan hitam putih yang menunjukkan perbezaan dari segi warna.

Di samping itu, hiponim yang juga merupakan unsur kohesi leksikal merujuk kepada
satuan bahasa yang maknanya terangkum dalam makna kata yang lain. Sebagai contoh, kerusi,
meja, sofa merupakan hiponim bagi perabot manakala kereta, bas, motorsikal dan lori pula
merupakan hiponim kepada kenderaan. Kolokasi pula menunjukkan kata yang hadir dengan
kata lain secara bersebelahan antara satu sama lain. Berdasarkan Kamus Dewan edisi Keempat
(2015), kolokasi merujuk kepada hubungan kedudukan atau kewujudan anatara satu perkataan
dengan perkataan yang lain dalam satu susunan. Sebagai contoh, gadis ayu menunjukkan
kolokasi antara perkataan gadis dan ayu. Hal ini demikian kerana ayu merujuk kepada
perbuatan yang lemah-lembut, berpadanan dengan sifat semulajadi seorang gadis.

Kesepadanan (equivalence) adalah hubungan kesepadanan antara satuan bahasa


tertentu dengan satu bahasa yang lain dalam sebuah paradigma. Dalam hal ini, kesepadanan ini
dilihat daripada penggunaan ayat yang hadir berurutan selepasnya. Sebagai contoh, Adli
merupakan seorang anak yang baik. Dia sentiasa menolong ibu bapanya ketika masa lapang.

6
Selain itu, dia juga membantu ibunya dalam menyediakan kelengkapan sekolah adik-
beradiknya yang lain. Berdasarkan wacana ini, dapat dilihat berlaku kesepadanan yang
menyatakan bahawa Adli ialah anak yang baik berdasarkan bukti-bukti yang hadir setelah ayat
tersebut.

Kesimpulannya, penghasilan wacana yang baik memerlukan kehadiran aspek koheren


dan kohesi. Unsur koheren dalam wacana dapat memastikan bahawa wacana tersebut dapat
difahami serta diinterpretasikan maknanya oleh audien sama ada pembaca atau pendengar.
Kohesi dalam wacana pula memastikan hubungan antara ayat dengan ayat dalam sebuah
wacana adalah bersepadu dan gramatis agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pembaca.
Justeru, kedua-dua aspek koheren dan kohesi adalah penting dalam menjadikan sebuah wacana
sebagai wacana yang baik.

Rujukan

Anda mungkin juga menyukai