Anda di halaman 1dari 4

Tiada pilih kasih tentukan giliran haji

SETAKAT ini, sebanyak 2.16 juta umat Islam di Malaysia sedang menunggu
giliran untuk menunaikan ibadah haji di Mekah. Kuota yang diperuntukkan
kepada Malaysia hanya 27,900 jemaah setahun dan sejak empat tahun lalu,
kuota itu dikurangkan sebanyak 20 peratus atau 22,320 jemaah berikutan
peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Sesiapa yang mendaftar untuk menunaikan rukun Islam kelima itu hari ini,
gilirannya mungkin tiba 87 tahun lagi. Pasti timbul kebimbangan lebih-lebih
lagi golongan yang lanjut usia sama ada mereka berkesempatan untuk
mengerjakan ibadah haji.

Situasi ini mencetuskan pelbagai persepsi kurang tepat tentang sistem


penggiliran yang diamalkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji). Ada yang
mendakwa berlaku pilih kasih, potong giliran dan kerajaan tidak berusaha
menambah kuota.

Bagi memperbetulkan persepsi itu, Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji,
Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberi penjelasan secara terperinci
tentang isu-isu berkaitan sistem penggiliran untuk menunaikan ibadah haji
dalam sesi khas bersama media di Ibu Pejabat Tabung Haji di Kuala Lumpur
baru-baru ini. Intipati penjelasan beliau adalah seperti berikut:

n Tiada pilih kasih dalam menentukan giliran

Kaedah yang digunakan adalah yang mendaftar dahulu, didahulukan


manakala yang mendaftar kemudian, dikemudiankan. Mereka yang
mendaftar akan dimasukkan dalam senarai menunggu. Contohnya, jika
senarai menunggu bagi musim haji 2103 mencukupi kuota 27,900 jemaah,
individu yang mendaftar seterusnya akan dimasukkan dalam senarai
menunggu untuk musim haji 2104. Sistem penggiliran itu dilaksanakan secara
telus dan mengikut prosedur ketat yang dipantau secara berterusan oleh
Jabatan Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).

n Jemaah haji pakej tidak potong giliran


Semua bakal haji yang tiba gilirannya untuk menunaikan ibadah itu pada
tahun tertentu akan ditawarkan secara muassasah dahulu. Kemudian, mereka
boleh memilih pakej haji yang ditawarkan 20 syarikat Pengelola Jemaah Haji
mengikut kemampuan masing-masing. Jadi, tidak timbul isu jemaah haji pakej
memotong giliran atau mengambil kuota jemaah haji muassasah. Mereka juga
asalnya sebahagian daripada jemaah yang dipilih secara muassasah dan
tertakluk kepada sistem penggiliran serta kuota yang sama.

n Kelulusan rayuan bergantung kepada kekosongan dan merit

Ada individu yang menerima tawaran untuk mengerjakan haji memohon untuk
penangguhan ke tahun lain atas sebab tertentu. Tabung Haji akan membuka
ruang kepada jemaah lain untuk merayu sebaik sahaja jumlah kekosongan
dimuktamadkan. Kira-kira 73,000 jemaah mengemukakan rayuan setiap
tahun. Perlu difahami, rayuan dibuka kerana ada kekosongan dan bukannya
disebabkan oleh pertambahan kuota.

Tabung Haji akan mempertimbangkan setiap rayuan berdasarkan merit.


Keutamaan diberi kepada mahram seperti suami, anak atau bapa yang perlu
menemani wanita yang tiba gilirannya untuk menunaikan haji. Merit yang lebih
tinggi diberikan kepada mahram wanita berusia 45 tahun ke bawah. Ini adalah
kerana peraturan kerajaan Arab Saudi yang berkuat kuasa mulai 2013 me-
netapkan wanita dalam kategori umur tersebut mesti ditemani mahram
semasa mengerjakan haji atau umrah di Mekah.

Mahram yang belum pernah mengerjakan haji akan diberi keutamaan. Anak
lelaki pula mesti berumur 15 tahun ke atas. Individu yang lanjut usia iaitu
berumur 75 tahun ke atas juga mempunyai merit yang lebih tinggi. Pada masa
ini, sebanyak 24,000 orang dalam kategori umur tersebut sedang menunggu
giliran.

n Sukar untuk menunaikan haji kali kedua melalui muassasah atau pakej

Umat Islam yang telah menunaikan ibadah haji tidak dibenarkan untuk
mendaftar semula dalam sistem giliran selama lima tahun selepas mereka
kembali dari tanah suci Mekah. Sekiranya mereka mendaftar semula, mereka
perlu mengikuti sistem penggiliran yang sama. Dengan tempoh menunggu
yang lama, agak mustahil bagi mereka untuk mengerjakan haji berulang kali
melalui muassasah atau pakej. Maksudnya, setiap orang berkemungkinan
besar dapat mengerjakan haji sekali dalam seumur hidup.

n Kuota haji ditentukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)


Persidangan OIC di Amman, Jordan menetapkan kuota haji adalah 0.1
peratus daripada jumlah penduduk negara Islam. Bagi negara bukan Islam,
kuotanya 0.1 peratus daripada jumlah umat Islam. Kerajaan Arab Saudi
mempunyai kuasa dalam penentuan kuota. Sejak empat tahun lalu, kuota
dikurangkan sebanyak 20 peratus bagi semua negara kerana projek menaik
taraf Masjidilharam dan Masjid Nabawi sedang dilaksanakan. Malaysia
mengemukakan rayuan pertambahan kuota kepada kerajaan Arab Saudi
setiap tahun. Kelulusan adalah tertakluk kepada pertimbangan kerajaan Arab
Saudi.

n Malaysia tidak boleh ambil kuota negara lain

Segelintir pihak menyangka Malaysia boleh memohon untuk menggunakan


kuota haji yang diperuntukkan bagi negara-negara lain. Masalahnya, negara-
negara lain seperti Turki, Indonesia dan Pakistan juga berdepan masalah
serupa. Pendaftaran untuk giliran mengerjakan haji di negara-negara tersebut
dianggarkan mencecah dua hingga tiga juta orang setahun. Tidak mungkin
Malaysia boleh mengambil kuota mereka.

n Mesti daftar untuk giliran tunaikan haji

Antara salah faham yang berlaku adalah menyangka setiap pendeposit akan
didaftarkan dalam sistem giliran untuk menunaikan haji secara automatik.
Dalam bahasa yang mudah, buka akaun Tabung Haji tidak bermakna sudah
mendaftar untuk pergi haji. Pendeposit mesti mempunyai baki minimum
RM1,300 sebelum mereka boleh mendaftar untuk giliran menunaikan haji.
Bila giliran tiba, mereka perlu mencukupkan jumlah RM9,980 bagi
menampung kos mengerjakan ibadah tersebut.

* Tabung Haji mampu tambung kos subsidi haji

Setiap bakal haji muassasah hanya perlu membayar RM9,980 sahaja untuk
mengerjakan ibadah tersebut. Jumlah itu tidak pernah berubah sejak 2009.
Kos haji sebenar adalah RM18,890 dan ini bermakna, Tabung Haji memberi
subsidi sebanyak RM8,910 bagi setiap bakal haji muassasah. Bayaran itu
adalah bagi menampung kos langsung seperti tambang kapal terbang,
penginapan, makanan, pengangkutan dan bayaran berkaitan kepada
kerajaan Arab Saudi. Jumlah keseluruhan kos langsung adalah RM160 juta
setahun. Di samping itu, Tabung Haji menampung kos tidak langsung
sebanyak RM25 juta setahun bagi membiayai kursus haji, elaun petugas,
perubatan serta operasi di stesen berlepas.
Semua subsidi yang diberi Tabung Haji dibiayai melalui keuntungan yang
dijana oleh kegiatan pelaburan dan perniagaan. Tabung Haji kini mempunyai
lebih 8.9 juta pendeposit dan jumlah simpanan mencecah RM63 bilion.
Kesimpulannya, kedudukan kewangan Tabung Haji masih kukuh.

Justeru, dakwaan kononnya Tabung Haji tidak mampu menampung kos


menguruskan jemaah haji adalah tidak benar sama sekali. Setiap tahun
Tabung Haji memberikan perkhidmatan terbaik terhadap jemaah haji Malaysia
di tanah suci. Malah, kerajaan Arab Saudi mengiktiraf jemaah haji Malaysia
sebagai yang terbaik pada musim haji lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tiada-pilih-kasih-


tentukan-giliran-haji-1.342279#ixzz4uhuWTThN
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai