Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
April 2015
Maran Ramping
Universiti Putra Malaysia
Abstrak
Pengenalan
Bahasa penting dalam segala aspek kehidupan manusia, masyarakat dan negara. Bahasa juga
disifatkan mempunyai perkaitan yang erat dengan budaya. Oleh yang demikian, bahasa
mempunyai hubungan yang signifikan dengan sesuatu masyarakat. Bahasa adalah sistem
lambang bunyi bahasa yang arbitrer yang digunakan masyarakat untuk bekerjasama, berinteraksi,
dan mengidentifikasikan diri. Dalam kajian yang berkaitan dengan bahasa terdapat banyak aspek
yang perlu diambil penekanan terutama yang berkaitan dengan fonologi, morfologi, sintaksis,
semantik, leksikografi dan tidak ketinggalan ialah bidang sosiolinguistik (Abdullah Hassan,
1976).
Bidang sosiolinguistik merupakan kajian berkaitan dengan bahasa yang mencakupi struktur
sosial yang berkaitan dengan masyarakat. Sosiolinguistik juga ditakrifkan sebagai satu bidang
yang amat luas dan boleh digunakan untuk menjelaskan pelbagai kaedah dalam kajian bahasa
(Mayerhoff, 2011). Pada awal abad ke-20, De Saussure (1916) telah menyebutkan bahawa
bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga kemasyarakatan
lain, seperti perkawinan, pewarisan harta peninggalan, dan sebagainya. Justeru itu, perkataan
sosio adalah merujuk kepada masyarakat, dan linguistik adalah kajian berkaitan dengan bahasa.
Jadi, sosiolinguistik adalah kajian tentang bahasa yang dikaitkam dengan kondisi
kemasyarakatan.
Dalam kajian penulisan jurnal ini, fokus kupasan pengkaji adalah menjurus kepada perkaitan
bidang sosiolinguistik dan bahasa Melayu dan digarapi dengan kewujudan dialek Melayu
terutamanya yang berkaitan dialek Melayu Sarawak. Oleh sebab itu, penghasilan jurnal ini
melihat pertautan fungsi Bahasa Melayu dengan dialek Melayu Sarawak secara keseluruhannya.
Pengertian Bahasa Melayu Tinggi adalah merujuk kepada bahasa baku iaitu satu ragam bahasa
yang digunakan untuk suasana dan keperluan rasmi dan formal. Maknanya sebuah bahasa yang
digunakan dalam urusan yang sah dari segi matlamat dan fungsinya. Bahasa ini juga digunakan
oleh mereka yang dalam jurusan pekerjaan, pendidikan, perdagangan, pentadbiran dan
sebagainya. Dengan kata yang lebih tepat lagi adalah bahasa yang dipakai keperluan rasmi
berlaku dalam ucapan, syarahan, pengajaran, mesyuarat dan taklimat. Menurut Awang Sariyan
(2000) bahasa baku yang ada pada seseorang penutur dapat dikatakan baku apabila ianya
mempunyai ciri-ciri seperti:
Abdullah Hassan (2012) juga menjelaskan Bahasa Melayu Tinggi ialah bahasa sekolah, iaitu
bahasa yang diajar di sekolah. Itulah bahasa yang digunakan oleh orang terpelajar. Penuturannya
hendaklah seperti bahasa itu ditulis. Maka itulah sebabnya Zaba memanggilnya bahasa sekolah.
Antara lain, Bahasa Melayu Tinggi juga dikaitkan dengan sifat kesantunannya (Awang Sariyan,
2012). Asmah Haji Omar (2000) dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa iaitu peraturan
linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik menegaskan akan ketepatan bentuk
dan binaan bahasa seperti sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Jadi, Bahasa Melayu
Tinggi yang dibincangkan di atas mempunyai sifat-sifat kebakuannya di mana ianya amat
penting dalam menghuraikan pertautan perbendaharaan kata Bahasa Melayu dan dialek Melau
Sarawak yang dibincangkan selanjut dalam penulisan jurnal ini.
Perbendaharaan kata Bahasa Melayu lazimnya merujuk kepada jenis kata atau kelas kata.
Penggolongan kata merupakan proses menjeniskan dan menggelompokkan kata berdasarkan
kriteria tertentu. Antara kriteria yang digunakan untuk menggolongkan perkataan ialah ciri-ciri
persamaan yang dimiliki oleh kategori kata tersebut, makna kata, keserupaan bentuk, taburan
kata dan fungsinya dalam ayat. Dalam bahasa Melayu, perkataan boleh dimasukkan ke dalam
golongan kata yang sama berdasarkan ciri-ciri persamaan. Ciri persamaan ini dikenal juga
sebagai ciri morfologi, iaitu perkataan yang sama dimasukkan dalam golongan yang sama. Selain
itu, penggolongan kata juga dalam kalangan semantik di mana jenis kata-kata tersebut
dimasukkan dalam golongan masing-masing berdasarkan makna perkataan berkenaan. Definisi
semantik ini dapat menggolongkan kata seperti orang, rumah, kereta dan sebagainya. Manakala
penggolongan kata yang ketiga dalam bahasa Melayu adalah sintaksis yang merujuk kepada
fungsi sesuatu kata itu dalam struktur frasa atau ayat. Penggolongan kata dalam aspek sintaksis
ini membolehkan sesuatu kata itu dikelompokkan ke dalam golongan kata yang sama.
Aspek penggolongan kata dalam bahasa Melayu mempunyai cabaran yang amat getir apabila
berhadapan dengan kewujudan variasi bahasa yang merujuk kepada kepelbagaian bahasa yang
ditentukan oleh faktor teknikal bahasa, iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Keadaan ini
seolah-olah memisahkan fungsi dan makna bahasa Melayu yang sebenarnya dalam konteks yang
lebih tepat lagi Bahasa Melayu Tinggi (Baku). Kestabilan bahasa Melayu ini sedikit tergugat
dengan penularan unsur-unsur variasi bahasa ini yang lebih dikenali sebagai dialek (loghat)
negeri, daerah dan seumpamanya.
Menurut Asmah Haji Omar (1978) dialek terbahagi kepada dua iaitu dialek sosial dan dialek
daerah. Manakala, Abd Rashid Daing Melebek dan Amat Juhari Moain (2011) mengatakan
selain dialek sosial dan dialek daerah terdapat juga dialek seketika dalam kelompok masyarakat
kita. Secara lebih lanjut lagi dialek diklasifikasikan sebagai varian daripada sesebuah bahasa
mengikut pengguna. Dialek juga dikenali sebagai loghat, iaitu jenis bahasa yang digunakan
dalam percakapan di sesuatu tempat atau bahagian dalam negeri yang mempunyai pelat sebutan
yang khas bagi daerah tersebut. Dialek juga berbeza daripada sebutan umum yang digunakan di
negara ini.
Maka, dialek ialah kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa
berbanding bahasa baku atau bahasa Melayu Standard. Bahasa Melayu Standard pula merujuk
kepada satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi
bahasanya. Keseragaman dalam bentuk beerti bahawa bahasa Melayu Standard telah
dikodfikasikan baik dari segi ejaan, peristilahan mahupun tatabahasa. Sebagai contoh, Bahasa
Melayu Tinggi (Baku) yang diguna pakai di Negara kita dalam banyak urusan rasmi seperti
pendidikan, pentadbiran, perdagangan, kehakiman dan sebagai memperlihatkan kekukuhan
bahasa Melayu Standard yang dimaksudkan.
Bagi dialek Melayu Sarawak ianya juga merujuk kepada variasi bahasa merujuk kepada
kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa, iaitu sebutan, kosa kata dan
tatabahasa. Dialek ini dipengaruhi oleh faktor geografi di mana lokasi Sarawak yang terletak di
Pulau Borneo meletakkan masyarakat yang anggotanya terdiri daripada pelbagai suku kaum.
Komunikasi harian mereka adalah kompleks. Semakin luas dan kompleks aktiviti sesebuah
masyarakat, semakin rumit pilihan bahasa mereka (Dewa & Muhammad, 2006).
Masyarakat yang kompleks ini telah membawa kepada kebarangkalian untuk masyarakat
tersebut memilih satu atau beberapa bahasa sebagai alat perhubungan mereka apabila
berkomunikasi antara satu dengan yang lain atau perhubungan dengan suku kaum yang lain.
Keadaan ini akan membentuk kumpulan variasi bahasa Melayu Sarawak yang lebih dominan
dalam perhubungan seharian masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa peranan bahasa
perhubungan atau lebih dikenali sebagai lingua franca sangat penting terutamanya dalam satu
masyarakat yang pelbagai suku kaum atau etnik (penduduk yang menuturkan bahasa pertama
yang berbeza antara satu sama lain) (Hassan, 2009). Keadaan ini akan memangkinkan lagi
penggunaan dialek Melayu Sarawak dalam proses komunikasi penduduk teruma bagi penduduk
yang majoritinya dalam kelompok bumiputera Melayu.
Justeru itu, fokus utama penulisan jurnal ini adalah menjurus kepada variasi bahasa dialek
Melayu Sarawak berbanding dengan bahasa Melayu Standard. Aspek yang ditonjolkan dalam
analisis ini adalah merujuk kepada perbezaan dialek dari segi kosa kata yang dimiliki oleh dialek
bahasa Melayu Sarawak dengan Bahasa Melayu Tinggi.
Selain itu, terdapat juga perkataan kamek dan kitak di dalam dialek bahasa Melayu Sarawak.
Perkataan ini disifatkan halus dari segi ungkapannya memandangkan ianya digunakan terhadap
individu yang lebih berusia. Di samping itu, perkataan ini lazimnya digunakan bagi orang yang
baru jumpa atau kenal kerana ia menggambarkan sifat bersopan santun.
(a) Kamek - saya
(b) Kitak - awak
Perkataan indah berfungsi sebagai kata penyudah di akhir ayat dan menguatkan ekspresi
maksud perkataan sebelumnya.
Perkataan lok berfungsi untuk menguatkan ekspresi maksud perkataan sebelumnya dan sebagai
kata penyudah di akhir ayat. Sebutan lok perlu panjang bukannya pendek.
Perkataan koh, juak, ya dan bah ialah penambahaan perkataan untuk menguatkan lagi
ekspresi maksud perkataan sebelumnya. Huruf a, oh dan ah dipanjangkan atau ditekan untuk
menunjukkan ekspresi maksud perkataan sebelumnya.
Cara penyampaian Dialek Melayu Sarawak dan Bahasa Melayu Tinggi agak berbeza. Sebutan
Dialek Melayu Sarawak yang ketara adalah pada huruf r dimana ditekankan dengan nada yang
berat sepertimana sebutan orang Melayu diutara Semenanjung.
Terdapat juga pertukaran huruf f kepada huruf p menyebabkan sebutan huruf f menjadi p.
Selain itu, perkataan yang mengabaikan sama sekali sebutan huruf vokal.
Terdapat juga Dialek Sarawak lama yang digunakan oleh orang-orang tua Sarawak terutamanya
di Bahagian Kuching. Dialek Sarawak Lama jarang digunakan oleh generasi muda pada masa
sekarang. Berikut ialah beberapa perkataan Dialek Sarawak Lama:
Rumusan
Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa budaya merupakan aspek penting yang
mempengaruhi individu dalam kebanyakan aspek kehidupan termasuklah dalam hubungan
interpersonalnya. Dalam konteks dialek Melayu Sarawak dengan Bahasa Melayu Tinggi
sememangnya amat berbeza dan mempunyai kelebihan masing-masing. Setiap individu
mempunyai budaya tertentu yang membezakannya di antara satu sama lain. Antara perbezaan
yang ketara ialah perbezaan dari segi dialek (loghat) negeri atau daerah yang akan
mempengaruhi gaya pertuturan seseorang individu itu. Perbezaan ini adakalanya boleh
menimbulkan kesukaran dalam perhubungan sekiranya kedua-dua pihak mengambil sikap tidak
cakna serta tidak berusaha untuk memahami perbezaan tersebut. Justeru itu, setiap individu yang
berada di dalam kelompok masyarakat yang mempunyai kepelbagaian identiti dan budaya
perlulah berusaha memahami perbezaan dialek tersebut dan cuba menyesuaikan diri dengan
mengambil sikap saling menghormati antara satu sama lain, berusaha untuk mempelajari budaya
lain, mengurangkan ketidakpastian dengan bertanya serta menerima perbezaan yang wujud yang
menjadikan sesebuah masyarakat itu penuh warna-warni.
Rujukan
Abdullah Hassan. (1976). Kursus dalam Perkhidmatan Kakitangan Penting Bahasa Malaysia. Artikel.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdul Rashid Daing Melebek Amat Juhari Moain. (2011). Sosiolinguistik dan Bahasa Melayu. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Asmah Haji Omar. (2000). Setia dan Santun Bahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Asmah Haji Omar. (2008). Susur galur bahasa Melayu. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Awang Sariyan. (2012). Penerapan Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan. Kertas Kerja
Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu. Anjuran Persatuan
Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan
Pustaka di Hotel Merdeka Palace, Kuching Sarawak. pada 16-18 September 2012.
Madzhi Johari. (1988). Fonologi Dialek Melayu Kuching (Sarawak). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Zainal Abidin Merjan. (1992). Daftar Kata. Bahasa Malaysia-Dialek Melayu Sarawak Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.