0 Pengenalan
Terdapat lima proses tahap hubungan etnik di Malaysia yang mana tahap-tahap ini amat
penting dalam membentuk perpaduan dan integrasi. Tahap tersebut antaranya ialah
akomodasi, amalgamasi, akulturasi, asimilasi dan segregasi. Kesemua proses ini akan
diperhalusi satu persatu supaya kefahaman mengenainya dapat dipertingkatkan seterusnya
dapat dinilai semula sama ada proses ini masih segar dalam masyarakat pada hari ini atau
telah mula longgar ditelan kemodenan. Perpaduan dan integrasi adalah merujuk kepada
proses menggabungkan bahagian-bahagian menjadi satu unit. Menurut Shamsul Amri
Baharuddin (2007), perpaduan adalah satu proses menyatupadukan masyarakat dan negara
supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti, nilai bersama, perasaan
cinta dan bangga akan tanah air. Integrasi pula adalah satu proses mewujudkan satu identiti
nasional dalam kumpulan terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah
unit politik.
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta
menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup
masing-masing. Kita dapat memahami konsep dengan jelas dengan menggunakan formula “A
+ B+ C = A +B+C”, disini A, B dan C merujuk kepada budaya. Ia merupakan satu keadaan
atau proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk menghentikan dan
mengelak konflik dengan mengadakan interaksi secara aman damai baik untuk sementara
atau selama-lamanya. Interaksi sosial seumpama ini membolehkan kelompok-kelompok yang
terlibat meneruskan identiti serta sikap mereka yang berasingan. Pelbagai kumpulan etnik
hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan
pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan
mereka saling bergantung.
Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas
mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni. Dengan adanya konsep ini, kita
sebagai rakyat Malaysia berpeluang untuk memahami agama, bahasa dan budaya masing-
masing. Kita dapati bahawa prestasi perpaduan dan integrasi dalam setiap proses berkenaan
adalah berbeza. Proses akomodasi adalah sangat penting dalam perpaduan dan integrasi
kelompok etnik di Malaysia. Hal ini terjadi kerana sikap positif saling hormat-menghormati
antara kelompok etnik terhadap nilai dan norma masing-masing, yang kita boleh ungkapkan
”sama tetapi tidakserupa.” Maksudnya, setiap kelompok etnik ada sistem kepercayaan
masing-masing, ada perayaan masing-masing dan ada pantang larang masing-masing. Dari
segi ini semua kelompok etnik mempunyai persamaan.Namun cara masing-masing, misalnya,
merayakan hari kebesaran agama masing-masing ternyata mempunyai perbezaaan. Atas asas
persamaan ini setiap kelompok etnik menghormati perayaan masing-masing. Malah sanggup
pula saling merayakan hari-hari kebesaran tersebut.
Amalgamasi merupakan satu proses penyatuan pelbagai kumpulan etnik dari segi biologi.
Dalam proses ini, semua entiti kebudayaan pelbagai kumpulan dicampuradukkan melalui
perkahwinan campur dan akhirnya mewujudkan satu bangsa atau budaya baru tanpa menuruti
budaya asal mereka. Proses ini kebiasaannya memakan masa yang lama dan akan melalui
beberapa generasi. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C = D, di sini
A,B dan C mewakili kumpulan etnik yang berlainan dan D mewakili kumpulan baru
(amalgam) yang terhasil daripada penyatuan A,B dan C itu tadi. Proses amalgamasi
merupakan proses yang boleh dilakukan secara “campurtangan” (interventionist) dan sedar
oleh beberapa kumpulan etnik atau pemerintah, di dalam usaha untuk mencantumkan
beberapa unsur berbeza daripada kumpulan yang berbeza ke dalam satu entiti yang bersatu,
samada secara sementara atau berkekalan dan contohnya seperti wujudnya Sekolah Wawasan
oleh pihak kerajaan. Idea penubuhan sekolah wawasan telah dicernakan oleh mantan Perdana
Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.Sekolah integrasi ini berpegang kepada konsep
belajar bersama-sama di bawah satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira
kaum dan agama.
Konsep ini bermaksud dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan
pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas
seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer, kantin dan sebagainya.
Perkongsian kawasan dan kemudahan sekolah ini memungkinkan usaha-usaha penerapan
nilai-nilai masyarakat majmuk serta memupuk semangat persefahaman dan toleransi antara
kaum, khususnya di kalangan murid-murid sekolah sejak di peringkat rendah lagi.
Tahap ketiga: AKULTURASI
Akulturasi juga merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan
individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila
satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu
kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan
diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak
menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Dalam sejarah tamadun
manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan.
Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam. Pada peringkat awal, unsur
pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan usur kebudayaan
sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan rujukan seperti penggunaan tali leher,
angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Hari ini istilah dan konsep angpau sudah dihayati
dan diamalkan dalam adat resam etnik Melayu. Malah setiap bank dan syarikat swasta
menyediakan sampul surat untuk memberi angpau di Hari Raya Puasa sudah diamalkan lebih
dari satu dekad di Malaysia. Yang nyata daripada akulturasi ini, ianya tidak merobah tiang
seribudaya, norma dan nilai sesuatu kumpulan etnik. Yang berlaku adalah budaya sesuatu
etnik yang meminjam telah diperkaya dengan ritual budaya yang baru.
Asimilasi yang merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik
yang mempunyai berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan
dan identiti yang sama. Konsep ini berhubungan dengan penyerapan sehala individu atau
kelompok ke dalam kelompok yang lain. Menurut seorang pakar sosiologi, Vander Zanden
menyatakan, asimilasi ialah satu proses dalam mana-mana kelompok yang berfikir,
berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya
yang sama. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh
berbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Contohnya, orang Melayu di Thailand telah
mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hamper semua aspek cara
hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai.
Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C = A, di mana A mewakili golongan dominan
sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti.Pada dasarnya proses asimilasi berlaku
apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik yang berbeza budaya bagi
suatu tempoh yang agak lama.
Kejayaan dan keberkesanan asimilasi pada umumnya bergantung kepada
kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan
etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.
Di negara kita Malaysia, seperti apa yang berlaku ke atas masyarakat Cina Kelantan,
Jawa, Baba dan Nyonya merupakan salah satu contoh berlakunya proses asimilasi.
Walaubagaimanapun ianya hanya berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan
kepercayaan atau agama. Dalam sesetengah kes masyarakat Cina di Malaysia telah
mengamalkan kepelbagaian kebudayaan yang umum di mana pemikiran dan sentimen
mereka walaupun bersifat kecinaan dari segi etnik namun mereka dikatakan berkongsi
sentimen bersama dan beberapa cara hidup orang Melayu, India dan penduduk-penduduk
Malaysia yang lain dan begitu juga sebaliknya samada dari segi pemakanan, pakaian dan
sebagainya.
Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi adalah salah satu pendekatan yang
terbaik di dalam usaha membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen, sekurang-kurangnya
dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Contohnya apabila dilihat melalui
konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga Pulau Pinang, golongan India peranakan
atau Mami di Pulau Pinang dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan
bahasa nenek moyang mereka. Di sini amat jelas bahawa budaya golongan minoriti dalam
konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halus terdapat
perbezaannya. Budaya Bab Nyonya, India Peranakan dan Arab Peranakan ini dengan jelas
telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen.
Proses yang terakhir iaitu segregasi. Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan
antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah Negara.
Pemisahan berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya dari segi kawasan tempat tinggal,
sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Amir Hassan Dewi (2002) dalam
Penteorian Sosiologi dan Pendidikan telah menyatakan segregasi atau pengelompokkan etnik
merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan
sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada
kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi
untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi wujud sama
ada didasari oleh undang-undang. Sebelum merdeka, Malaysia telah pun melalui keadaan ini
selari dengan dasar pecah dan perintah British sebagai kuasa penjajah. Dasar berkenaan
mewujudkan segregasi dalam kalangan pelbagai etnik yang dapat mengukuhkan kedudukan
kuasa politik dan ekonomi British. Seterusnya, British dapat bertapak dan menjajah selama
170 tahun di negara ini. Pengalaman segregasi yang pernah dilalui rakyat negara ini turut
sama dirasai oleh penduduk di Afrika Selatan. Sungguhpun terdapat perbezaan yang nyata
antara kedua-dua negara, tetapi terdapat pengajaran penting tentang kesan negatif amalan
segregasi tersebut.
Di Afrika Selatan, segregasi yang diamalkan dari tahun 1948 hingga tahun 1994
didasarkan oleh undang-undang yang dikenali sebagai dasar apartheid. Justeru, isu yang
berlegar sekitar hubungan etnik adalah penting untuk difahami demi membina kesejahteraan
hidup rakyat. Di Malaysia pula, Amidah Hamim (2001) menyatakan tentang dasar-dasar yang
diperkenalkan oleh pihak kerajaan seperti Dasar Wawasan Negara (DWN ialah mencapai
perpaduan nasional, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula
masyarakat dan pembangunan seimbang menerusi pembangunan alam sektor yang mapan
untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang. DWN akan merangkumi teras kritikal
seperti berikut; membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan,
menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat
supaya lebih bertolak ansur dan penyayang juga tersemat dengan nilai positif, dan
meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi.
Rumusan
Isu-isu yang berlegar sekitar hubungan etnik terutamanya berkaitan perpaduan dan integrasi
amat perlu untuk difahami kerana jika diperhalusi daripada sudut sosiologi dan antropologi,
integrasi nasional membawa maksud minat yang semakin bertambah dalam diri manusia
untuk menyatukan kelompoknya demi survival kelompok tersebut (Ahmad Ali Seman &
Warti Kimi, 2014:286). Sekiranya proses ini tidak dilakukan kelompok tersebut akan musnah
dan hancur. Justeru itu, integrasi nasional dan perpaduan merupakan rukun survival yang
perlu untuk meneruskan kehidupan di dunia. Sehubungan itu, negara memerlukan bangsa
Malaysia yang bersatu padu, berkongsi masa depan yang sama, hidup dalam keadaan yang
harmoni dan wujud perkongsian dengan cara yang sebenar dan adil. Apa pun situasinya,
penghayatan terhadap konsep dan nilai integrasi dan perpaduan serta keupayaan setiap
individu dalam kumpulan etnik tertentu untuk mengadaptasi diri dengan kepelbagaian etnik
dan budaya merupakan strategi utama dan relevan dalam usaha untuk mencapai matlamat
perpaduan sosial, budaya dan politik yang dihadapi oleh kebanyakkan Negara, termasuklah
negara maju.
Rujukan
Wan Hashim Wan The, 2011. Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Institur
Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Norhasniah Wan Husin, 2012. Peradaban dan Perkauman di Malaysia: Hubungan Etnik
Melayu-Cina. Kuala Lumpr: Universiti Malaya.
Ahmad Ali Seman, Warti Kimi, 2013. Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur:
Freemind Horizons Sdn. Bhd