Anda di halaman 1dari 3

UCAPAN KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH

YAYASAN SABAH, Y.A.B. DATUK CHONG KAH KIAT DI MAJLIS PENAMAAN BANGUNAN YAYASAN
SABAH SEBAGAI "MENARA TUN MUSTAPHA" SEMPENA ULANGTAHUN KE-35 PENUBUHAN YAYASAN
SABAH, AUDITORIUM YAYASAN SABAH, 31 JULAI, 2001

Pada petang yang bermakna ini, izinkan saya mengungkapkan kembali riwayat Yayasan Sabah,
sebuah institusi kemegahan kita bersama, yang telah mencapai usia 35 tahun pada tahun 2001.

Kita semua tahu yang hal ehwal pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan,
namun Kerajaan Negeri, pada tahun enam dan awal tujuh puluhan, amat peka terhadap kewujudan
jurang perbezaan di antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia. Atas kenyataan inilah, Tuan Yang
Terutama Yang Di-Pertua Negara [kini Yang Di-Pertua Negeri] Sabah yang pertama Allahyarham Tun
Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, mengilhamkan penubuhan sebuah organisasi yang akan
memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan pendidikan dan sosioekonomi rakyat negeri
ini. Ilham ini telah diluahkan, kali pertama, oleh Tun Mustapha semasa satu majlis bersama rakyat di
Pekan Mesapol, Sipitang pada 9hb November, 1965. Petikan ucapan bersejarah Tun Mustapha ini
berbunyi:

"Dicadangkan supaya ditubuhkan satu yayasan yang diberi nama Yayasan Sabah untuk
melengkapkan kemudahan-kemudahan pelajar-pelajar bagi meninggikan pelajaran anak-anak negeri
Sabah yang cerdik pandai tidak kira apa bangsa, agama dan kaum".

Visi besar lagi murni ini terus diperjuangkan hingga akhirnya ia menjadi suatu kenyataan. Enam
bulan kemudian, pada tanggal 10hb Mei, 1966 sebuah badan, yang kini dikenali sebagai Yayasan
Sabah, telah ditubuhkan secara rasmi melalui Enakmen No. 8 Dewan Undangan Negeri Sabah.
Dengan penuh iltizam yayasan negeri yang terulung ini menegaskan tiga objektif utamanya, iaitu:-

i. Penekanan terhadap kemajuan pendidikan;

ii. Pengurangan kemiskinan; dan

iii. Pelaksanakan aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan dan amal.

Bertitiktolak dari situ badan berkanun kerajaan negeri ini telah mula bergerak dari sebuah pejabat
kecil dan serba daif, di Bangunan Bank Chung Khiaw di Jalan Gaya, dianggotai oleh beberapa
kakitangan. Kini, Yayasan Sabah telah berkembang hingga mempunyai dua menara dan seramai
lebih daripada 7,000 orang kakitangan.
Sejak penubuhannya Yayasan Sabah telah memainkan peranan yang diamanahkan kepadanya oleh
Kerajaan Negeri. Secara hakikat, Yayasan Sabah merupakan wahana strategik Kerajaan Negeri. Oleh
itu, ia tetap mendukung tanggungjawabnya dalam ertikata "menokoktambah dan membantu usaha-
usaha kerajaan untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah, rakyatnya dan
negara ". Untuk memastikan kesungguhan pelaksanaan tanggungjawab ini, Lembaga Pemegang
Amanah Yayasan Sabah adalah terdiri daripada pemimpin Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan.
Begitu juga, pihak pengurusan tertinggi organisasi ini telah diamanahkan kepada sekumpulan
profesional yang berwibawa. Dengan pengstrukturan sedemikian rupa maka adalah diharapkan agar
segala perancangan dan sumbangan Yayasan Sabah akan sentiasa membawa manfaat terbanyak dan
berkesan bagi rakyat Sabah.

Selama 35 tahun Yayasan Sabah telah memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan
rakyat negeri ini, sama ada dalam bidang pendidikan, sosial mahupun ekonomi. Pada pengalaman
masyarakat Sabah badan ini tetap dikenali sebagai sebuah institusi rakyat. Ia merupakan penggerak
perintis pembangunan pendidikan massa, bermula dari peringkat pendidikan prasekolah hinggalah
ke peringkat institusi pengajian tinggi. Kemudahan seperti asrama di luar bandar disediakan untuk
memudahkan anak watan bangsa menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.
Yayasan Sabah turut berbakti mempertingkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat, khususnya
mereka di kawasan pendalaman melalui program-program kemasyarakatannya. Di samping itu,
Yayasan Sabah telah mendukung kewajipan sosialnya melalui sumbangan kewangan dan peralatan
kepada pelbagai institusi dan individu agar konsep masyarakat penyayang dan budaya amal
kebajikan menjadi sosiobudaya kita bersama.

Peranan sebagai penggerak pembangunan dan kemajuan bidang komersial turut diberi perhatian,
melalui Innoprise Corporation Sdn. Bhd.. ICSB, kini dikenali sebagai pengamal utama konsep
pengurusan mapan. Pelbagai langkah positif telah dilaksanakan untuk menjayakan pemuliharaan
ekologi hutan. Menerima akan kenyataan bahawa kepakaran terbaik harus dimanfaatkan ICSB telah
mewujudkan hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi kebangsaan dan antarabangsa. Hasil
daripada jalinan pintar ini kita berbangga dengan kejayaan Pusat Penyelidikan Lembah Danum yang
telah mengukir namanya di peringkat antarabangsa. Para penyelidik tempatan dan antarabangsa
sentiasa bergiat aktif di pusat ini. Begitu juga, Lembangan Maliau (Maliau Basin), yang dikenali
sebagai "Sabah's Lost World" telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 [Perlindungan] pada
tahun 1997. Langkah-langkah seperti ini membuktikan komitmen Yayasan Sabah dalam
pemeliharaan khazanah alam negeri Sabah.

Walaupun Yayasan Sabah telah mengukir namanya dalam lembaran sejarah pembangunan negeri
Sabah, namun ia perlu bertindak secara tangkas agar kualiti sumbangan dan imejnya pada masa
akan datang tetap mengecapi kecemerlangan. Kualiti pengurusannya hendaklah sentiasa peka
terhadap perubahan dan tuntutan zaman, dan bersedia menangani segala cabaran yang bakal
dihadapi. Langkah-langkah serius seperti menjayakan pelaksanaan sistem pengurusan berkualiti
tahap MS ISO 9000 di peringkat organisasi perlu diusahakan. Kebolehan menjayakan tahap
produktiviti dan kualiti yang tinggi hendaklah menjadi sebahagian daripada amalan budaya
pengurusan, bukan sesuatu yang digeruni. Dalam konteks ini, warga Yayasan Sabah hendaklah
bersedia melakukan paradigma bersesuaian kehendak zaman.
Yayasan Sabah, yang berusia 35 tahun, tidak mungkin wujud pada hari ini jika bukan kerana
komitmen dan visi Allahyarham Tun Mustapha. Konsep bangunan Ibu Pejabat Yayasan Sabah telah
diutarakan semasa Kerajaan Negeri diterajui oleh Tun Mustapha. Bangunan ini bukan sahaja
merupakan satu lambang korporat yang futuristik, tetapi juga menyatukan aspirasi murni rakyat
Malaysia di Sabah. Selain daripada struktur rekabentuk bangunan yang unik dan mengkagumkan ia
juga merupakan bangunan pertama yang sedemikian rupa di rantau Asia. Begitu juga,
pembiayaannya telah ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sabah.

Tun Mustapha merupakan antara mereka yang memainkan peranan penting dalam
memperjuangkan kemerdekaan negeri Sabah melalui Malaysia. Pemimpin ini telah dipilih sebagai
Yang Di-Pertua Negara Sabah (kini Yang Di-Pertua Negeri) yang pertama, namun, setelah menjawat
jawatan tertinggi ini selama hanya satu penggal, tokoh berjiwa rakyat ini sanggup meninggalkan
jawatan ini untuk menceburi semula dalam arena politik demi kepentingan rakyat dan masa depan
negeri Sabah.

Menerima akan kenyataan sejarah ini Kerajaan Negeri dan Lembaga Pemegang Amanah Sabah
Yayasan Sabah telah memilih nama yang melambangkan jasa dan perjuangan seorang wira yang
dikenali rakyat di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pada hemat kami Allahyarham
Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun merupakan pejuang pembangunan negeri Sabah sebelum
dan selepas kemerdekaan. Pemilihan nama tokoh ini turut mengambil kira akan kepentingan
memelihara warisan kita bersama agar generasi akan datang mengenali siapakah pejuang-pejuang
negeri kita dan merasa bangga terhadap jasa dan pengorbanan mereka. Bangsa yang mempunyai
peradaban tinggi tidak lupa jasa mereka yang mendahului kita.

Pada kita yang mewarisi khidmat bakti para pemimpin perintis negeri Sabah, seperti Tun Mustapha,
saya mengajak para hadirin sekalian agar membulatkan kesungguhan kita untuk memastikan agar
obor perjuangan yang diamanahkan kepada kita dapat terus bersinar demi kepentingan negeri.
Dalam memperingati jasa Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha marilah kita menghidupkan
semangat pejuang dalam hati sanubari kita. Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai