Anda di halaman 1dari 7

LINGUISTIK

Menurut Verhaar (1985:1), “linguistik” berasal daripada perkataan Latin yang


bermaksud bahasa. Selain itu, menurut kamus dewan (1993), perkataan Linguistik diambil
daripada perkataan Inggeris yang bererti pengajian ilmu bahasa. Ilmu Linguistik mengkaji
mengenai bahsa dan pertuturan dengan meniliti pelbagai aspek bahasa. Ia merupakan satu
bidang ilmu yang bersifat saintifik yang mengkaji secara empiris atau secara bersistem.

Linguistik secara sepenuhnya mengkaji mengenai ilmu bahasa iaitu bagaimana


manusia menyusun perkataan dan bunyi untuk berkomunikasi sesama sendiri, menganalisis
sejauh mana bahasa mempengaruhi pengamatan dan pemikiran manusia, hubungkait antara
bahasa, sistem makna dan budaya.

Terdapat beberapa sub-disiplin dalam linguistik iaitu fonetik dan fonologi, morfologi,
sintaksis bahasa melayu, semantik bahasa melayu, dialektologi, linguistik sejarah,
sosiolinguistik, dan psikolinguistik.

Pertuturan bahasa melibatkan bunyi-bunyi bahasa. Bunyi-bunyi bahasa yang


dihasilkan mempunyai bentuk yang tertentu dan ianya berbeza menurut bahasa tertentu.
Kesemua bunyi yang dihasilkan merupakan bidang kajian ilmu fonetik dan fonologi. Fonetik
meneliti bunyi bahasa menurut cara sebutannya dan sifat-sifat akuastiknya. Ilmu fonologi pula
meniliti bunyi-bunyi bahasa tertentu mengikut fungsi, susunan dan strukturnya.

Fungsi fonetik dan fonologi ini dapat dijelaskan dengan contoh yang memaparkan
wujudnya perbezaan penelitian mengikut bidang kajian masing-masing. Sebagai contoh, bunyi
“P” yang secara lazimnya menurut sifat fonetiknya diapit oleh tanda condong. Ia disebut
dengan menutup kedua-dua bibir dan melepaskannya sehingga udara keluar dengan
“menghasilkan suatu bunyi letupan”. Penghasilan bunyi “P” tersebut merupakan deskripsi
fonetik sahaja.

Seterusnya, jika dua bunyi yang secara fonetiknya mempunyai perbezaan tertentu, ia
dikatakan berbeza fonologinya, Perbezaan tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Ini
bermakna dua bunyi tersebut memperlihatkan perbezaan fonologi jika bunyi-bunyi tersebut
memperlihatkan perbezaan makna. Sebagai contoh, di dalam bahasa melayu, bunyi “P” dan
“T” berbeza dari segi fungsinya atau secara fonologi. Ia disebut sebagai pasangan minimum
kerana perkatan yang dihasilkan oleh kedua-dua bunyi tersebut berbeza dari segi kata-kata
yang dihasilkan, seperti dalam contoh kata “pulang” dan “tulang”. Pulang merujuk kepada
perkataan yang sama makna dengan perkatan “balik”, manakala “tulang” pula merujuk
kepada bahagian yang terdapat di dalam badan manusia atau haiwan yang menyokong berat
badan dan membolehkan manusia atau haiwan untuk berdiri. Jelas, perbezaan pasangan
minimum tersebut memperlihatkan wujudnya tafsiran makna yang berlainan bagi kedua-dua
kata tersebut. Perbezaan makna yang dibawa oleh bunyi-bunyi tersebut merupakan bidang
kajian ilmu fonologi.

Morfologi merupakan kajian proses pembentukan dan pengkategorian kata dalam


bahasa melayu. Menurut Nik Safiah Karim et al. (1993) mentakrifkan morfologi sebagai bidang
ilmu yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata, manakal Arbak Othman (1968)
menjelaskan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara
morfem dan varian morfem. Sebagai rumusan, dapat disimpulkan bahawa morfologi ialah
bidang yang mengkaji cara kata dibentuk. Bentuk kajian moroflogi yang terkecil ialah morfem
dan bentuk yang terbesar ialah kata. Kata mempunyai bentuk yang bebas, bermakna dan
dpat berdiri sendiri manakala morfem terdiri daripada dua bahagian, iaitu bentuk bebas dan
bentuk terikat.

Kata-kata yang dibentuk lahir daripada kata yang terdapat di dalam sesuatu bahasa
dan juga melalui proses-proses tertentu, kata-kata yang dilahrikan melalui kata tertentu,
sebagai contoh dalam bahasa Melayu merupakan kata yang dihasilkan di dalam bahasa
Melayu itu sendiri. Manakala, kata yang melalui proses tertentu pula ialah melalui proses
pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Melalui proses pengimbuhan kata dasar, kata
yang dihasilkan ialah kata terbitan. Melalui proses penggandaan, kata yang dihasilkan
merupakan kata ganda dan melalui proses pemajmukan pula, kata yang dihasilkan merupakan
kata majmuk. Dalam bahasa Melayu, terdapat bentuk kata utama iaitu kata nama, kata kerja
dan kata adjektif. Terdapat juga kata lain selain daripada kata utama aitu kata tugas yang
mempunyai tugas tertentu sama ada di dalam perkataan atau binaan ayat.

Sintaksis bahasa melayu merupakan satu cabang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur
dan binaan ayat, bidang sintaksis ini merangkumi frasa, klausa dan ayat. Dalam bidang ini,
manusia dapat belajar bagaimana untuk membina ayat dan memulakan sesuatu ayat dengan
menggunakan tatabahasa yang betul.

Menurut Nik Safiah Karim dalam bukunya Tatabahasa Dewan, sintaksis merupakan
satu bidang kajian yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruktur ayat. Selain
itu, kita juga dapat faham bawhawa bidang sintaksis juga ialah satu bidang yang mengkaji
hokum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan
perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa. Melalui
bidang ini, seseorang dapat mengetahui keunikan bahasa Melayu terutamanya penutur
bahasa Melayu secara lebih mendalam.

Semantik bahasa melayu merupakan satu bidang makna yang menjadi sebahagian
daripada bidang linguistik kerana bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna.
Menurut R. H. Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan salah satu
bahgian yang penting dalam linguistik am, manakala Nik Safiah Karim (2001) menjelaskan
bahawa semantik merupakan bidang yang mengkaji makna atau erti dalam bahasa.

Terdapat beberapa jenis makna iaitu makna denotatif atau tersurat, makna konotatif
atau makna tersirat, makna afektif, makna emotif, makna luas, makna sempit, makna gaya
nda makna tekanan. Makna denotatif merupakan makna yang tersurat, umum, leksikal dan
makna kamus. Ia merupakan makna yang sesuai dengan rujukan, pemerhatian alat
pancaindera dan makna yang nyata. Contohnya, “buaya yang ganas itu telah diburu”. Buaya
dalam ayat itu sejenis binatang buas yang tinggal di dalam air, tetapi boleh juga naik ke darat.

Makna konotatif merupakan makna tersirat yang lebih mengutamakan nilai


komunikatif. Contohnya, “jangan percaya sangat dengan kata-kata Abu kerana Abu
merupakan buaya darat”. Buaya darat dalam ayat tersebut bermaksud seorang lelaki yang
suka memujuk dan menipu wanita. Makna afektif pula muncul akibat reaksi pendengar atau
pembaca terhadap penggunaan kata kebalikan daripada yang disebutkan. Contohnya
perkataan “teratak, pondok, rumah yang tidak sepertinya” membawa makna bahawa orang
yang mengujarkan perkataan ini ingin merendah diri.

Makna emotif pula merupakan makna yang berbeza nilai rasa dan bahasanya tetapi
mempunyai makna yang sama. Contohnya perkataan meinggal dunia, mangkat, wafat,
mampus merupakan makna emotif yang kesemuanya maksudnya membawa makna yang
sama iaitu “mati”. Penggunaan perkataan yang berbeza menimbulkan nilai yang berbeza.
Makna luas pula merupakan makna yang terkandung dalam sesuatu perkataan kebiasaannya
lebih luas daripada makna sebenar. Contohnya, Universiti merupakan institusi pengajian tinggi
untuk tempat mempelajari pelbagai bidang ilmu dan kajian ilmiah. Makna luas universiti
merangkumi pelbagai aspek seperti professor, pensyarah, bilih kuliah dan mahasiswa.

Makna sempit pula merupakan makna yang terkandung dalam perkataan tersebut
semata-mata. Contohnya, kaki Derwin terseliuh semasa bermain bola. Anggota badan Derwin
yang terseliuh tidak melibatkan anggota badan yang lain, hanya pada bahagian kaki sahaja.
Makna gaya merupakan perkataan khas yang selalu dikemukakan oleh seorang pengarang
dalam karyanya. Contohnya, gaya penulisan Shahnon Ahmad boleh dikenali kerana beliau
gemar menggunakan dialek Kedah dalam penulisannya. Makna yang terakhir ialah makna
tekanan. Makna tekanan merupakan perkataan yang diberi penekanan semasa ujaran.
Perkataan itu mewakili makna utama dalam keseluruhan ujaran tersebut.

Sub-disiplin lain ialah dialektologi. Dialektologi merupakan cabang ilmu yang mengkaji
variasi bahasa Melayu berasaskan kawasan tempat tinggal penutur. Menurut Norazila ( 1986:
129 ), menjelaskan bahawa sesuatu bahasa atau dialek berbeza daripada bahasa atau dialek
lain akibat daripada pengaruh alam dan persekitaran yang berlainan. Menurut beliau lagi
perbezaan ini boleh dilihat menerusi sistem bunyi dan leksikal, manakala menurut Abdul
Hamid Mahmood (1990:217), memetik Mario Pei mentakrifkan dialek sebagai variasi daripada
satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat
bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu yang dituturkan dalam kawasan tertentu dan
berlainan daripada bentuk bahasa baku, baik dari segi sebutan, tatabahasa ataupun
penggunaan kata-kata tertentu. Kelainan tersebut tidaklah begitu besar untuk dianggap
sebagai satu bahasa yang lain. Dapatlah dikatakan bahawa dialek dituturkan oleh sekumpulan
masyarakat dalam satu-satu kawasan untuk tujuan komunikasi dalam kehidupan seharian
mereka.

Seterusnya Linguistik sejarah. Linguistik sejarah merupakan satu cabang ilmu bahasa
yang mengkaji perkembangan bahasa melalui masa. Kajian ini turut dikenali sebagai diakronik.
Hal ini demikian kerana, data tentang sesuatu bahasa akan dibandingkan untuk meneliti
perubahan dan perkembangannya dalam suatu tempoh masa tertentu. Sebagai contoh,
bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam teks-teks hikayat Melayu lama jelas
memperlihatkan perbezaan yang sangat ketara dengan bentuk bahasa Melayu yang
digunakan dalam novel-novel Melayu pada hari ini. Berdasarkan kamus linguistik pula,
Linguistik Sejarah diertikan sebagai pendekatan atau kaedah yang digunakan dalam cabang
linguistik untuk mengkaji perubahan jangka pendek atau jangka panjang dalam sistem bunyi,
tatabahasa dan kosa kata suatu bahasa. Menurut Roger Lass dalam bukunya yang berjudul
History Linguistics and Language Change (1997:17), Linguistik Sejarah adalah historiografi,
disiplin yang membuat cerita dan tafsiran dari apa yang berlaku dalam bahasa dari semasa
ke semasa. Zaman Linguistik Sejarah bermula pada abad ke-19, dan zaman klasik Linguistik
Sejarah dikatakan bermula sekitar tahun 1820-1870-an. Transformasi bahasa ini tidak berlaku
secara spontan, tetapi secara beransur-ansur.

Antara kepentingan Linguistik Sejarah ialah mengkaji hubungan kekerabatan bahasa-


bahasa yang berada dalam satu rumpun yang sama melalui penelitian terhadap aspek
linguistik iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Selain itu, Linguistik Sejarah penting
untuk membuat rekonstruksi bahasa-bahasa yang ada pada masa kini kepada bentuk bahasa
yang baru. pengkelasan ke atas bahasa yang berada dalam rumpun yang sama mengikut
subkelompok bahasa tertentu juga boleh dilakukan. Seterusnya kajian untuk mengenal pasti
pusat penyebaran bahasa-bahasa baru juga boleh dibuat di samping menentukan
perpindahan sejarah yang pernah berlaku. Sehingga ke hari ini, kajian pembentukan bahasa
dan pengkelasan bahasa-bahasa yang berada dalam rumpun bahasa dunia ini telah mencapai
kejayaan yang boleh dibanggakan. Contohnya, bahasa Melayu Purba telah dibentuk daripada
bahasa Melayu, Banjar Hulu, Minangkabau, Iban dan dialek Melayu Jakarta. Kajian-kajian
yang terkini juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berasal dari Kalimantan bahagian
Barat.

Sub-disipilin seterusnya ialah sosiolinguistik. Sosiolinguistik merupakan kaji hubungan


antara bahasa dan situasi sosial. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu
sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik-disiplin
yang meneliti bahasa. Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian dan pengkajian yang
menggabungkan dua disiplin, iaitu sosiologi dan linguistik. Dengan sifat penggabungan dua
disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat.
Sosiolinguistik menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan
antara kedua-dua entiti tersebut yang rapat. Pengkajian dan pengajian sosiolinguistik
bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud antara struktur bahasa
dengan struktur sosial, iaitu sama ada sesuatu struktur bahasa itu menyebabkan sesuatu
struktur sosial tertentu atau sebaliknya (Teo Kok Seong: 42-43).

Menurut Dittmar (1976), istilah sosiolinguistik pertama kali muncul dalam tulisan Currie
(1952) yang menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan antara
perlakuan bahasa dan status sosial. Istilah tersebut, yang pada mulanya bermaksud untuk
menyatakan suatu pendekatan antara-disiplin untuk penyelidikan mendapat penerimaan
umum. Di England, tugas sosiolinguistik muncul dengan buah fikiran Malinowski yang
diluaskan oleh Firth. Walaupun istilah institutional linguistics lebih digunakan, namun bidang
yang diliputi tidak berbeza daripada yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik. Bidang
sosiolinguistik juga merupakan daya usaha kelompok ahli antropologi dan sesuai dengan
hakikat bahawa sosiolinguistik itu merupakan cabang kepada bidang antropologi, khususnya
antropologi sosial yang mementingkan analisis struktur sosial masyarakat (Nik Safiah Karim,
1981: 1).
Kajian sosiolinguistik adalah bersifat kualitatif. Sosiolinguistik lebih berhubungan
dengan perincian-perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi pola-pola
pemakaian bahasa atau dialek di dalam budaya tertentu, pilihan pemakaian bahasa atau dialek
tertentu yang dilakukan penutur, topik dan latar pembicaraan.

Bidang sosiolinguistik membincangkan pelbagai aspek hubungan bahasa dengan


masyarakat. Antara aspek tersebut ialah kedwibahasaan, kepelbagaian bahasa, bahasa,
kelainan bahasa, sikap terhadap bahasa, perancangan bahasa dan sebagainya. Bidang
sosiolinguistik terapan pula menggabungkan kajian sosiolinguistik dengan kajian pendidikan.
Bidang ini telah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.

Sub-disiplin yang terkahir ialah psikolinguistik. Psikolinguistik merupakan kajian aspek-


aspek bahasa yang berkaitan dengan akal dan bahasa manusia dan mengkaji proses mental
manusia semasa berbahasa. Psikolinguistik merupakan bidang ilmu yang dapat mengetahui
hal yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa. teori
psikolinguistik adalah sesuatu pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang
psikolinguistik. Justeru, teori psikolinguistik dianggap sebagai teori moden yang berdasarkan
hasil kajian terbaharu mengenai hakikat kognitif manusia.

Menurut George A. Miller (1965), ilmu psikolinguistik bertujuan untuk menghuraikan


proses psikologi yang berlaku ketika sesesorang itu menggunakan ayat. Slobin (1974) pula
berpendapat bidang psikolinguistik dapat menghuraikan proses-proses psikologi yang
belangsung jika seseorang mengucapkan perkataan yang didengarinya ketika berkomunikasi
dan bagaimana kemampuan berbahasa itu diperoleh manusia. Psikolinguistik ialah ilmu yang
mempelajari perilaku berbahasa, sama ada perilaku yang dapat dilihat mahupun perilaku yang
tidak dapat dilihat. Perilaku yang dapat dilihat dalam berbahasa adalah perilaku manusia
ketika bertutur dan menulis atau ketika manusia menuturkan bahasa.

Psikologi dalam pengajaran bahasa sangat penting kerana dengan memahami


psikolinguistik, seorang guru dapat memahami proses yang terjadi dalam diri pelajar
terutamanya ketika aktiviti membaca, berbicara mahupun menulis sehingga mampu melihat
masalah berbahasa dari sudut pandangan psikologi sebagai jalan penyelesaiannya. Kajian
bidang psikolinguistik memberi tumpuan dalam aspek yang berkaitan dengan perbuatan
manusia yang melibatkan bahasa. Bidang ini juga berusaha untuk mengenal pasti struktur
dan proses kebolehan manusia untuk bercakap dan memahami bahasa.

Linguistik mempunyai matlamat iaitu memaparkan cara-cara bahasa berfungsi sebagai


alat berkomunikasi dan membantu manusia mencapai pelbagai matlamat atau hasrat dalam
kehidupan seharian. Kaedah penyelidikan dapat dibuat melalui kaedah survey, temubual, dan
pemerhatian.

Anda mungkin juga menyukai