Anda di halaman 1dari 10

MODUL 2

ALIRAN-ALIRAN FALSAFAH ILMU SOSIAL


KANDUNGAN MODUL
1.0. PENGENALAN
2.0. KONSERVATISME
3.0. LIBERALISME
4.0. REALISME
5.0. SOSIALISME
6.0. UTILITARIANISME
7.0. RUMUSAN
8.0. SOALAN LATIHAN KENDIRI
9.0. BIBLIOGRAFI

13
ALIRAN-ALIRAN FALSAFAH ILMU SOSIAL

1.0. PENGENALAN
Peradaban Eropah abad ke-19 telah menjadi pengaruh global yang meresap hampir ke seluruh
pelusuk dunia melalui jaringan perdagangan dan kolonialisme. Bersamanya tersalurlah nilai-nilai
kemanusiaan dan kemasyarakatan mereka, peraturan-peraturan ekonomi, politik dan sosial
yang mereka sanjung, dan ilmu sains dan teknologi yang menjadi asas kemampuan mereka
menjelajah serta menundukkan dunia. Turut diperkenalkan di wilayah-wilayah dunia yang
mereka sampai ialah sistem pemikiran serta falsafah mereka dalam pelbagai bidang, khususnya
dalam bidang politik dan pentadbiran.

Selepas Perang Dunia Pertama (1911-17) dan Perang Dunia Kedua (1939-45)
khususnya, dikatakan terdapat tiga pendekatan utama dalam falsafah ilmu sosial. Pertama, di
kalangan Negara-negara liberal dan berpelembagaan terdapat sikap pragmatis yang cuba
mengusahakan sistem politik bercirikan undang-undang yang diterima umum, kerajaan yang
diperaku rakyat, dan pentadbiran yang mementingkan kebajikan am. Kedua, terdapat penilaian
dan pengukuhan semula nilai-nilai agama dan keagamaan dalam kehidupan masyarakat dan
Negara secara keseluruhan. Ketiga, berkembangnya idea-idea revolusiner terutama yang
bercorak Marxis dan Sosialis.

Dalam tiga kategori tersebut terdapat pula pelbagai falsafah dan pemikiran politik yang
diutarakan oleh pelbagai tokoh falsafah dan pemikir politik di mana falsafah dan pemikiran
mereka telah dicorak oleh latar belakang, sosialisasi, persekitaran dan zaman masing-masing.
Pelbagai falsafah dan pemikiran yang diutarakan oleh tokoh-tokoh ini dapat pula dikelompokkan
kepada beberapa aliran yang dominan. Yang dimaksudkan dengan “aliran” di sini ialah satu
cara pengkelompokan falsafah-falsafah ilmu sosial menurut ciri-ciri utama yang ditunjukkan.
Berikut ialah beberapa contoh bagi menerangkan yang dimaksudkan di sini.

Too much cannot be hoped of government, and the best


society is that in which tyranny and caprice of power are
prevented and in which men are free to create diverse and
spontaneous institutions within the framework of low (The
New Encyclopedia Britannica 1975: vol 14: p. 696)

2.0. KONSERVATISME
Falsafah ilmu sosial yang dikenali sebagai aliran konservatif mempunyai pendirian bahawa
pembentukan masyarakat manusia yang mempunyai sistem sosial, politik dan ekonomi yang
jelas, adalah suatu pencapaian yang unggul. Ia ingin mengekalkan status quo1 atas keyakinan
asas mereka bahawa yang sedia ada itu sudah cukup baik atau lebih terjamin berbanding
dengan sesuatu yang baru atau akan diperkenalkan. Dengan itu, mereka biasanya tidak
menganjurkan perubahan walau pun mereka dapat juga menerima pengubahsuaian yang tidak

1
“ status quo” ialah Bahasa Latin yang bermaksud keadaan yang wujud pada masa sekarang atau pada
masa yang berkenaan sebelum berlaku perubahan.

14
radikal dan mendadak. Dalam konteks modul ini, konsevatisme boleh dilihat dalam dua aspek
iaitu sikap terhadap masyarakat dan falsafah tentang pemerintahan terbaik.2

Aliran konservatif dalam falsafah ilmu sosial berpendapat bahawa “masyarakat” dan
“Negara” harus didahulukan atau diutamakan daripada individu. Berbanding dengan
pendekatan aliran liberal, aliran ini menganggap bahawa masyarakat dan Negara menyediakan
struktur bagi tindakan dan pembentukan nilai individu. Dengan itu, walaupun individu
berperanan dalam mencorak struktur dan nilai masyarakat, aliran ini lebih memberatkan
peranan masyarakat dan Negara dalam pembentukan nilai dan sikap individu-individu di
dalamnya. Aliran ini juga berkeyakinan bahawa nilai msyarakat dan Negara itu lebih unggul
kerana ia merupakan warisan daripada pemkiran serta amalan yang telah diuji oleh peredaran
masa. Dari pendirian yang beginilah wujud misalnya pegangan biar mati anak jangan mati adat.
Dalam konteks zaman moden yang menekankan amalan demokrasi, pendirian konservatif
biasanya disahkan melalui proses penerimaan majoriti.

Dalam menemukan formula bagi pemerintahan terbaik, falsafah ilmu sosial yang
dikatakan dari kelompok aliran knservatif menekankan soal “apa yang harus dipelihara” dan
“bagaimana cara melihatnya”. Dari segi ini ia menekankan peranan institusi-institusi masyarakat
dan pemerintahan yang menentukan jawatan-jawatan dalam masyarakat dan kerajaan tidaklah
dibentuk berasaskan konsep-konsep abstrak yang tidak ada relevannya dengan keperluan
masyarakat. Sebaliknya ia dibentuk secara realistik bagi memenuhi dan menguruskan keperluan
tersebut. Atas dasar ini maka kuasa yang ada pada individu-individu tertentu pada jawatan-
jawatan yang dipegangnya. Yakni status dan kuasa adalah terletak pada jawatan-jawatan
tersebut.

Selain daripada itu, aliran falsafah ini juga menganggap bahawa kerajaan sebagai
institusi masyarakat dan negara yang utama, mestilah berkuasa ke atas institusi-institusi lain
yang wujud dibawahnya tetapi di mana institusi-institusi lain ini mempunyai kuasa autonominya
sendiri. Contoh institusi-institusi ialah institusi-institusi kehakiman, agama, kebudayaan dan
politik. Dengan itu kerajaan berkewajipan memelihara agar institusi-institusi ini dapat
mengekalkan pula aspek kebajikan rakyat berdasarkan nlai dan prinsip-prinsip dasar yang
berkenaaan bagi menjamin perjalanan masyarakat dan negara yang teratur. Di sini pentinglah
dibezakan daripada amalan totalitarian yang tidak membenarkan sebarang kebebasan autonomi
kepada sebarang institusi lain dalam masyarakat dan negara yang berkenaan. Sebaliknya aliran
falsafah konservatisme sentiasa membahaskan dan mengutarakan penyelesaian bagi
menyelaraskan dan mengharmonikan kesatuan kerajaan dengan kebebasan individu dan
kepelbagaian institusi dalam sesebuah masyarakat dan negara.

A state is totalitarian if it permits no autonomous institutions, i.e.


if the aims, activities and membership of all associations are
subject to the control of the state
(Scruton, 1982: 466)

2
Selain daripada sebagai sikap terhadap masyarakat dan falsafah tentang pemerintahan terbaik,
“konsevatisme” juga dapat dilihat sebagai sikap dan amalan politik. (Lihat Modul Kursus
Pengantar Sains Politik).

15
Thomas Hobbes (1588-1679) ialah seorang tokoh falsafah ilmu sosial Inggeris yang
mengalami zaman perang saudara di England yang berpunca daripada bantahan terhadap
kuasa mutlak raja. Dia menyaksikan pentadbiran negara yang menjadi kucar-kacir dan
memerhatikan sikap serta perangai anggota masyarakatnya dalam konteks mengujudkan
pemerintahan yang baik selepas perang tersebut. Dia menghuraikan pandangannya dalam
karyanya Leviathan (1651) dengan memberikan fokus kepada soal sifat semulajadi manusia,
kedaulatan, kewajipan politik dan undang-undang. Dia juga menimbangkan persoalan kuasa
mutlak raja sehubungan dengan kebebasan individu. Akhirnya dia menyarankan bahawa
pemerintahan terbaik haruslah berdasarkan persetujuan semua untuk melantik seorang
pemrintah yang berkuasa mutlak dari kalangan mereka. Bagaimanapun rakyat mempunyai hak
untuk menentang kerajaan atau melakukan rebellion sekiranya mereka rasakan perlu dengan
fahaman bahawa tindakan ini bermakna melakukan kezaliman kepada diri sendiri kerana ia
mengembalikan keadaan huru-hara dan kucar-kacir. Falsafah ilmu sosial Hobbes ini dianggap
sebagai memperlihatkan ciri-ciri aliran falsafah konservatif dari segi sikapnya yang ingin
mengekalkan status quo pada waktu itu, iaitu pemerintahan raja berkuasa mutlak, tetapi pada
waktu yang sama ingin memperkenalkan satu pengubahsuaian yang berbentuk terhad, iaitu
penyertaan rakyat biasa dalam politik.

3.0. LIBERALISME
Sejarah aliran falsafah ilmu sosial Liberalisme adalah sejarah perjuangan kebebasan individu
dan strategi ke arah menghadkan kuasa kerajaan. Ia mengasaskan sistem politik demokrasi dan
menjadi wadah kepada sistem ekonomi bentuk pasaran bebas atau sistem kapitalis.

Istilah Liberalisme merangkumi pemikiran dan falsafah moden tentang hal-hal yang
berkaitan dengan persoalan demokrasi dan masyarakat sivil. 3 Fokus utamanya ialah tentang
cara memelihara serta mempertahankan hak asasi dan kebebasan individu daripada dihakis
atau didominasi oleh kuasa pemerintah. Salah satu doktrin liberalism yang penting ialah
perisytiharan Magna Carta (1215) di England. Di dalam Magna Carta ini terkandung asas-asas
hak asasi individu di dalam bidang ekonomi, sosial dan politik dalam konteks falsafah ilmu sosial
demokrasi.

Gerakan liberasime ini berlaku di Eropah pada zaman Enlightenment atau zaman
Gemilang iaitu berikutan kemajuan sains di abad ke-17 sehingga berlakunya Revolusi Perancis.
Ciri-ciri zaman itu ialah kecenderungan mempersoal kuasa tradisi dalam bidang agama dan
politik, keterbukaan, dan pengiktirafan terhadap kemampuan akal manusia bagi menentukan
yang terbaik bagi dirinya. Dengan itu terdapat pelbagai pemikiran yang muncul pada era ini
berdasarkan tempat, kebudayaan dan persekitran masing-masing.

3
Perbahasan serta perbincangan tentang “masyarakat sivil” adalah satu fenomena semasa yang berkait
dengan amalan demokrasi di Negara-negara antarabangsa, khususnya di Negara-negara asia
yang mendakwa bahawa amalan demokrasi mereka adalah menurut acuan mereka sendiri.
Terdapat beberapa istilah lain yang diguna secara bertukar-ganti tetapi sebenarnya mempunyai
aspek-aspek perbezaan tertentu dan didefinisikan secara berbeza-beza oleh pengkaji-pengkaji
yang berlainan. Misalnya, ia tidak seharusnya dikelirukan dengan istilah “masyarakat sipil”
[Indonesia] dan masyarakat madani.

16
In a more general sense the term ‘enlightenment’ is used (along with “toleration”,
‘freedom of thought’, ‘open-mindedness’) to denote the ideals of what is sometimes
called the ‘liberal enlightenment’ view of politics. …. The assumption is presumably
that is all people were to think about and to question the prejudices whereby they
live, then the result would be greater political understanding and greater social
harmony.
(Scruton 1982: 149)

Di antara tokoh-tokoh aliran falsafah ilmu sosial Liberalisme ini ialah Spinoza (1632-77),
Locke (1632-1704), Montesquieu (1689-1755) dan Jefferson (1743-1826). Antara sumbangan
falsafah ilmu sosial Spinoza yang menarik ialah pandangannya bahawa keteraturan hidup
bermasyarakat tidak dapat dicapai tanpa kebebasan intelektual. Kebebasan ini baginya
menjamin peranan fikiran jitu dalam kehidupan manusia. Locke pula terkenal dalam bidang
falsafah ilmu sosial sebagai tokoh yang menghuraikan konsep ‘kerajaan dengan kuasa terhad’
atau limited government. Sehubungan dengan konsep ini Locke mempertahankan idea
pemerintahan berdasarkan perlembagaan di mana hak-hak asasi individu terpelihara. Dalam
dua karyanya tentang kerajaan, Two Treatises of Civil Government (1960), Locke telah
mengemukakan idea awal tentang peri pentingnya konsep pengasingan kuasa. Bagaimanapun
yang memperhalusinya ialah Montesquieu melalui karyanya yang diterjemahkan ke dalam
Bahasa Inggeris sebagai The Spirit of The Laws (1734) atau semangat Undang-Undang di mana
dia membincangkan ciri-ciri perlembagaan yang terbaik yang boleh menjamin kestabilan dan
pada waktu yang sama menjamin hak asasi serta kebebasan rakyat.

Locke brings powerful arguments against the idea of an independent hereditary


principle of government, and against other doctrines of legitimacy that try to bypass
the need for consent on the part of the governed.
(Scruton 1982: 276)

Idea-idea Locke dan Montesquieu ini pula menjadi asas teori dan falsafah kepada
perlembagaan dan sistem politik Amerika Syarikat. Salah seorang tokoh penting ialah Thomas
Jefferson (1743-1826) yang menjadi presiden Amerika Syarikat (1801-9). Dia adalah tokoh
yang menuliskan draf American Declaration of Independence atau dikenali sebagai Perisytiharan
Kemerdekaan Amerika (1776) daripada Great Britain. Dia juga dikenali sebagai salah seorang
tokoh yang memperjuangkaan demokrasi berteraskan hak mengundi untuk semua (universal
suffrage), pengasingan kuasa kehakiman, legislatif dan eksekutif, mekanisme check and
balance atau pengawasan dan pengimbangan kuasa yang berkesan, jaminan terhadap hak
serta kebebasan individu, dan pembentukkan institusi-institusi politik yang stabil.

4.0. REALISME
Dari segi falsafah ilmu sosial, aliran ini membuat pendekatan yang lebih empirik berbanding
dengan aliran-aliran lain. Ini ialah kerana pendekatannya lebih cenderung melihat sesuatu
persoalan itu sebagaiamana sewajarnya wujudnya atau what is, yakni bukan andaian
sebagaimana sewajarnya atau what ought to be. Pendekatan ini juga membuat andaian asas
bahawa kuasa dan penggunaannya adalah matlamat utama bagi aktor-aktor dalam arena
politik. Menurut aliran ini, soal moral dan kesahan undang-undang tidak merupakan
pertimbangan penting. Atau jika pun mereka menerima bahawa nilai ideal dan moral

17
berperanan dalam keputusan dan tindak laku politik, ia tetap harus dipertimbangkan dalam
kontrks penggunaan kuasa. Pemikiran serta falsafah aliran ini juga menganggaap bahawa
hakikat atau realiti entiti masyarakat, Negara, kerajaan dan juga institusi-institusi masyaraakat
atau negara mengatasi individu-individu yang menganggotainya. Pendekatan ini bertentangan
dengan pendekatan aliran reductionism 4 ialah yang lebih mementingkan individu daripada
masyarakat yang lebih besar.

Reductionism: A philosopher might attempt to replace all references to social entities


by references to individuals and suggest some systematic replacement for all
sentences in which like “state”, “society” and “institution” occur.
(Scruton 1982: 396)

Machiavelli (1459-1517) adalah tokoh falsafah ilmu sosial yang paling dikenali dalam
aliran realisme ini. Melalui karyanya yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris sebagai The
Prince, dia membentangkan konsep penggunaan kuasa oleh pemerintah berdasarkan apa yang
dianggapnya sebagai berdasarkan kecenderungan manusia sebagaimana yang diperlihatkan,
atau men as they are. Baginya pemerintahan yang baik dan berkesan mestilah diasaskan
kepada penggunaan kuasa secara realistik. Menurutnya, ini berdasarkan hakikat bahawa
masyarakat manusia tidak mungkin diperintah dengan kuasa moral, etika dan tauladan yang
baik. Penggunaan kuasa itu pula tidak perlu tertakluk kepada nilai-nilai moral, etika dan
keagamaan. Yang penting ialah bagi pemerintah mencapai matlamat pemerintahannya.
Amalan-amalan pemerintahan atau penggunaan kuasa menurut falsafah Machiavelli ini dikenali
sebagai amalan Machiavelli atau Machiavellian.

5.0. SOSIALISME
Aliran falsafah ilmu sosial sosialisme pada dasarnya mengusahakan penghapusan kedudukan
istimewa dalam semua bidang dan dalam semua bentuk, menentang prinsip kuasa dan hak
berdasarkan keturunan seseorang, dan memperjuangkan konsep negara kebajikan di mana
kebajikan atau kesempurnaan hidup setiap rakyat adalah dianggap sebagai kewajipan utama
pihak berkuasa. Bagaimanapun ia juga dikatakan sebagai kurang mempunyai ciri-ciri
keterbukaan, fleksibiliti dan nilai-nilai kebebasan individu yang terdapat dalam falsafah ilmu
sosial aliran Liberalisme. Ia juga dikatakan kurang mempunyai ciri pragmatis aliran falsafah ilmu
sosial konservatisme.

Bagaimanapun terdapat dimensi dalam penggunaan istilah ‘sosialisme’. Menurut Teori


Marxis, ‘sosialisme’ ialah tahap transisi di antara tahap kapitalisme dan tahap komunisme yang
sebenar. 5 Di tahap sosialisme ini berlaku ‘social ownership’ di mana alat-alat pengeluaran
dikuasai oleh proletariat sendiri tetapi menerusi golongan elit pemimpinnya. Dengan itu, ‘social
ownership’ yang dalam andaian mereka membawa makna “keupayaan bersama”, adalah
berbeza daripada “private ownership” yang bermakna keuntungan bagi orang perseorangan

4
Perkataan akarnya ialah “reduce” yakni mengurangkan atau mengecilkan.
5
Dalam teori Marxis, masyarakat berkembang secara dialetik menerusi pertembungan tesis dan
antithesis yang membentuk sintesis baru. Perkembangan ini berpunca di dalam bidang ekonomi
yang dalam teori ini diyakini sebagai penentu kepada sistem serta struktur sosial dan politik.
Menurut teori ini juga perkembangan ini melalui tahap feudal, kapitalis dan sosialis sebelum
mencapai kemurnian komunisme.

18
dan “state ownership” yang pada takrif mereka adalah penguasaan oleh golongan kapitalis.
Kedua-duanya tidak menyamaratakan agihan ekonomi. Kerana ia mengekalkan kekuatan
ekonomi maka ia juga mengukuhkan kuasa politik di tangan elit ekonomi. Falsafah-falsafah ilmu
sosial yang menggunakan teori Marxis sebagai asas dikatakan sebagai falsafah ilmu sosial aliran
Marxisme.

6.0. UTILITARIANISME
Aliran falsafah utilitarianisme [yu-ti-lita-riya-nisme] merupakan falsafah tentang politik,
perundangan dan moral yang terasas kepada konsep utility. Maskudnya ialah ‘guna’ atau
‘faedah’ sesuatu. Falsafah ini menghujah bahawa tindakan yang betul, keperibadian yang baik
dan undang-undang yang benar adalah yang mempunyai ‘guna’ atau ‘faedah’ yang terbanyak
bagi jumlah rakyat yang terbesar atau dikenali sebagai the greatest happiness principle.
Happiness atau kebahagiaan yang mereka maksudkan ialah nikmat keseronokan atau plesure
dan tiadanya kesakitan atau pain berdasarkan nilai kemanusiaan yang rasional. Yakni ia tidaklah
diukur secara sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan akal dan kemanasabahan. Prinsip ini
kerap dinyatakan sebagai ‘Better a Socrates dissatisfied than a pig satisfied’

Guna/ Faedah

Prinsip “The Greatest Happiness for The Greatest Number”


The greatest Happiness Principle holds that actions are right in
proportions as they tend to promote happiness, wrong as they tend
to produce the reverse of happiness.
(Scruton, 1982:480)

Jumlah Orang

Aliran utilitarian ini dianggap sebagai satu percubaan untuk menilai secara analisa kos
dan faedah (cost/benefit analysis) aspek moral dan perundangan dalam kehidupan manusia.
Kesan utama daripada penulisan dan aktiviti tokoh-tokoh aliran ini ialah di bidang undang-
undang. Pengaruh mereka telah menyebabkan aspek-aspek faedah yang lain daripada aspek
menghukum telah menjadi pertimbangan penting dalam penggubalan undang-undang jenayah
di Eropah amnya dan di England khasnya. Tokoh-tokoh aliran falsafah ilmu sosial utilitarian ini
ialah Jeremy Bentham (1748-1832), James Mill (1773-1836), John Stuart Mill (1806-73) dan
Henry Sidgwick (1838-1900).

7.0. RUMUSAN
Secara ringkasnya, setiap aliran falsafah ilmu sosial yang dihuraikan di atas adalah aliran-aliran
falsafah ilmu sosial yang berkembang di Eropah dan kemudian dibawa melalui proses

19
kolonialisme, imperialism dan globalisasi ke benua-benua lain, khususnya di Asia dan Afrika. Ini
telah menghasilkan pelbagai bentuk sistem politik moden di bekas tanah jajahan Eropah.
Kebanyakkannya menerapkan idealisme-idealisme falsafah ilmu sosial tersebut tanpa
memperhalusi kesesuaiannya dengan budaya politik pribumi yang kekal walau pun setelah
berkurun-kurun diperintah penjajah. Hal inilah yang di akhir-akhir ini menjadi salah satu fokus
perbahasan serta perbincangan dalam konteks pelaksanaan konsep “ pemerintahan yang baik”
atau konsep “good governance”.

Pada umumnya sekarang, “pemerintahan yang baik” diandaikan sebagai pemerintahan


demokrasi, yakni sistem politik yang melibatkan penyertaan rakyat secara bebas dan
pembuatan keputusan berdasarkan kehendak majoriti. Bagaimanapun timbul suatu persoalan
praktik yang lain, iaitu bahawa pemerintahan yang baik juga harus berkesan dalam memenuhi
agenda pentadbiran yang dikehendaki oleh rakyat. Dan, dalam perkembangan yang kompleks
seperti yang terdapat di masa kini, pemusatan kuasa yang bersifat authoritarian kelihatan kerap
berlaku untuk mencapai keberkesanan pentadbiran. Persoalan ini telah menjadi salah satu
intipati perbahasan tentang “demokrasi acuan sendiri” dan “nilai Asia” yang sekarang popular
diperkatakan bukan sahaja oleh pemimpin-pemimpin kita di Asia malah juga oleh aktivitis-
aktivitis dan pengkaji politik sedunia.

Aliran-aliran falsafah ilmu sosial yang dihuraikan juga mendasari beberapa ideologi
utama dunia antarabangsa. Istilah “ideologi” itu sendiri telah dipopularkan oleh tokoh falsafah
Perancis, Destutt de Tracy dalam tahun 1795 bagi merujuk kepada sains pemikiran. Kini ia
bermaksud sebarang doktrin politik yang merupakan teori tentang manusia dan masyarakatnya,
dan melahirkan pula program tindakan politik yang teratur. Marxisme ialah satu ideologi.
Demokrasi dan Sosialisme juga didokong oleh penganut-penganutnya dan seterusnya boleh
dikaji sebagai ideologi. Parti-parti politik dan gerakan-gerakan massa, kerap diasaskan bagi
memperjuangkan salah satu ideologi ini. Perang dingin atau cold war yang berlangsung di
antara Blok Barat dan Blok Komunis di sepanjang tahun 50-an sehingga awal 90-an adalah
merupakan pertentangan ideologi demokrasi dan komunis. Bagaimanapun terdapat juga banyak
falsafah ilmu sosial dari pelbagai aliran falsafah ilmu sosial ini yang tinggal terus sebagai
pemikiran idealis tentang sistem politik terbaik, pemerintahan terbaik, masyarakat sempurna
dan sebagainya. Jauh daripada meminggirkan pemikiran-pemikiran ideal ini, matlamat
pengkajian falsafah ilmu sosial juga ialah untuk memandu kita memikir, menganalisa serta
menilai semua aspek kehidupan kita bermasyarakat dan persekitaran politik kita. Andaian disini
ialah bahawa kita akan dapat memahami bukan sahaja intipati dan kepelbagaian pendirian
politik yang ada sekarang, malah kita akan dapat merumuskan masalah-masalah yang timbul
darinya. Pendedahan kita kepada pelbagai aliran falsafah ilmu sosial ini dan pemahaman kita
tentang persoalan-persoalan pokok dalam falsafah ilmu sosial pula seharusnya dapat membantu
kita dalam aktiviti tersebut dengan lebih bermakna lagi.

When one vision of the political world does not appear to afford a good
basis for addressing a particular question, than a person engaged in
political thinking may turn to another theory, with the intention of
determining whether the alternative theory does a better job in addressing
a given question.
(De Lue 1997:3)

20
Selain daripada aliran-aliran falsafah ilmu sosial moden Eropah ini terdapat lagi pelbagai
aliran falsafah ilmu sosial yang lain. Aliran-aliran ini bukan sahaja terhad kepada Eropah pada
zaman Enlightenment tetapi juga di zaman-zaman terdahulu darinya dan di kalangan
masyarakat serta kebudayaan lain. Di zaman Yunani, misalnya terdapat aliran-aliran stoicism
dan Epicureanism. Stoicism menganjurkan pembentukkan peribadi yang unggul dalam erti kata
self-sufficient serta menekankan rasa tanggungjawab terhadap tugas dan kewajipaan.
Epicureanism pula menganjurkan manusia menarik diri daripada hal ehawal dunia. Ini seolah-
olah bersamaan dengan falsafah ilmu sosial Lao Tze dan Mo Tze di Cina kuno, misalnya di
mana kedua-duanya menganjurkan manusia memahami hukum alam semula jadi serta
menyesuaikan fikiran serta tindak laku dengannya demi menghasilkan masyarakat serta negara
yang harmoni.

Dalam kajian falsafah ilmu sosial barat, dirumuskan bahawa walaupun terdapat
peradaban-peradaban unggul di Mesir, Mesopotamia, Lembah Indus dan Cina, namun dikatakan
bahawa tidak pula terdapat perbahasan dan perbincangan tentang persoalan-persoalan falsafah
ilmu sosial seperti mana yang berlaku di Eropah. Ajaran Kungfu Tze (Confucius) dalam abad ke-
6M merupakan peraturan untuk mengatur hubungan semasa manusia demi mengujudkan
suasana harmoni dan masyarakat stabil. Sebagai perbandingan, Arthasastra, karya Perdana
Menteri kerajaan Chandagupta Maurya, Kautilya, di akhir abad ke-4 SM, menghuraikan startegi
dan taktik politik dalam persekitaran persaingan kuasa dan konsep Dharma dalam ajaran
Buddha yang menjadi pegangan Maharaja Asoka di abad ke-3 SM menekankan aspek moral
dalam penggunaan kuasa oleh pemerintah. Undang-undang Hammurabi (1750SM) adalah
tentang undang-undang yang diperkenalkan oleh raja-raja yang bertindak sebagai wakil tuhan
di bumi. Ia mementingkan kestabilan, perdagangan dan sistem perairan. Karya Perdana Menteri
Ptahotep (2300 SM) di Mesir Kuno mengajarkan cara-cara berjaya dalam sistem burokrasi
semasanya. Pendeknya dikatakan bahawa di luar dari Eropah tidak ada dibahaskan soal
“mengapa” atau “why” pemerintah harus dipatuhi, tentang kebenaran asas-asas kewajipan
politik rakyat mematuhi pemerintah dan tentang apakah sebenarnya matlamat kerajaan.
Sebaliknya, di Eropah persoalan-persoalan inilah yang paling diberikan perhatian dalam falsafah
ilmu sosial mereka. Di sebelah Asia pula kelihatan seolah-olah bahawa pemerintahan
authoritarian itu diterima tanpa perbahasan dan tanpa dipersoalkan.

Satu aspek dalam perbincangan ini ialah asas aliran falsafah ilmu sosial di Eropah. Selain
daripada era Kristian yang memperlihatkan tokoh-tokoh falsafah seperti St. Augustine (354-
430) yang menulis City of God (413-26), keseluruhan yang lain adalah dikemukakan
berdasarkan kebijaksanaan akal manusia sahaja. Yakni, pemikiran serta falsafah mereka adalah
dari pendekatan kemanusiaan yang mengutamakan kemampuan akal manusia. Malah semenjak
zaman St. Augustine pun sudah mula dibahaskan kecenderungan mengasingkan politik
dariapada agama. Akhirnya perbahasan ini telah menyebabkan lahirnya sekularisme yang
menjadi teras sistem serta pemikiran politik seterusnya.

Pendekatan ini berbeza langsung dengan pendekatan Islam yang melahirkan pula
falsafah ilmu sosial Islam yang tersendiri di mana pada andaian dasarnya tidak dapat
dipisahkan antara kewajipan ibadah peribadi dengan kewajipan kepada masyarakat yang lebih
luas. Di dalam falsafah ini juga dijelaskan bahawa kewajipan pemerintah dan yang diperintah
tertakluk kepada kewajipan kepada Allah S.W.T. Dinyatakan juga tentang syarat-syarat menjadi
pemerintah dan tanggungjawab seseorang pemerintah. Dihuraikan dengan tegas matlamat
sesebuah negara dan sesuatu kerajaan. Telah disebutkan dengan terang bahawa negara yang

21
wajib didirikan ialah negara yang baik serta menerima keampunan dari Allah SWT. Dan ciri-ciri
negara ini juga sudah digalurkan. Maka dalam konteks ini falsafah ilmu sosial Islam, dan juga
falsafah ilmu sosial lain yang berteraskan sesuatu agama, tidak lagi memperdebatkan beberapa
soal yang menjadi fokus falsafah ilmu sosial Eropah yang dihuraikan di atas. Sebaliknya
falsafah-falsafah ilmu sosial ini memberikan perhatian kepada pelaksanaan dan mekanisme
terbaik bagi merealisasikan ideal-ideal yang telah ditentukan.

8.0. SOALAN LATIHAN KENDIRI

1. Nyatakan ciri-ciri utama beberapa aliran dominan dalam falsafah ilmu sosial moden.

2. Bincangkan implikasi-implikasi ciri-ciri falsafah ilmu sosial yang berteraskan agama dan
yang berasaskan kemampuan akal manusia dari segi pembangunan sosial dan
kestabilan politik.

3. Bincangkan pengaruh-pengaruh falsafah ilmu sosial yang terdapat dalam pemikiran dan
amalan politik di Malaysia. Apakah kesimpulan-kesimpulan anda?

4. Cuba bezakan di antara “ideologi” dan “falsafah” yang tidak menjadi “ideologi”?

5. Berikan pandangan anda mengapakah falsafah-falsafah tertentu telah berkembang


menjadi ideologi.

6. Cuba bincangkan mengapakah sesetengah aliran falsafah ilmu sosial lebih


menggalakkan demokrasi berbanding yang lain.

9.0. BIBLIOGRAFI

The New Encyclopeadia Britannica. 1975. vol.14.

Baradat, Leon P. (1997). Political Ideologies. Their Origins and Impact. Upper Saddle River, N.J:
Prentice-Hall, Inc. Simon & Schuster.

Berlin, Isaiah. (1978). Karl Marx: His Life and Environment. 4th edn. Oxford: OUP.

De Lue, Steven. (1997). Political Thinking, Political Theory, and Civil Society. Boston: Allyn &
Bacon.

Hobhouse, L.T. (1964). Liberalisme. Oxfrord: OUP.

Muhammad Kamlin. (1986). Pengantar Pemikiran Politik Barat. Bangi: Penerbit UKM.

Sabine, G.H., (1966). A History of Political Theory. London : G. Harrap, 1969

Sandel, Micheal. (ed.) (1984). Liberalism and Its Critics. New York: Palgrave Macmillan.

Scruton, Roger. (1982). A Dictionary of Political Thought. London: Macmillan Press.

22

Anda mungkin juga menyukai