Anda di halaman 1dari 6

LAPORAN ISU PEMBUANGAN BAYI DALAM MASYARAKAT

Sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan berita-berita yang amat


memeranjatkan semua pihak iaitu isu pembuangan bayi. “Bayi lelaki berbogel ditinggal di
dalam kotak”. “Bayi ditemui di tepi tong sampah”. Hampir setiap minggu kita dapat melihat
berita sedemikian dipaparkan di dada surat khabar, televisyen atau majalah. Tong sampah,
tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam
dan sebagainya telah menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui. Hal ini demikian
disebabkan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan terhadap bayi
mereka. Ada antara bayi yang ditemui dalam keadaan yang masih hidup jika bernasib baik
dan ada juga yang sudah meninggal dunia dalam keadaan yang menyedihkan.
Pembuangan bayi merupakan satu jenayah walaupun terjadi akibat kehamilan yang tidak
diingini. Ramai remaja yang mengandung luar nikah berasa malu, takut akan akibat yang
bakal ditanggung dan terpaksa membuang bayi mereka. Oleh itu, bayi yang tidak berdosa
telah menjadi mangsa. Inilah yang telah berlaku di masyarakat kita. Gejala pergaulan bebas
dan maksiat berlaku di mana-mana.

Punca-punca berlakunya masalah pembuangan bayi yang kian berleluasa ini adalah
kepincangan institusi kekeluargaan. Ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan mereka
telah mengabaikan anak-anak mereka menyebabkan mereka berasa kurang kasih sayang
dan perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa menganggap bahawa mereka bekerja keras
untuk mendapat sesuap nasi untuk anak mereka telah memberi kasih sayang yang
mencukupi malah mereka perlu prihatin terhadap keadaan anak-anak mereka. Ibu bapa
yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam
mengejar kemewahan harta telah menyebabkan anak mereka berasa kurang perhatian dan
seterusnya mencari keseronokan di luar rumah seperti mengunjungi tempat hiburan untuk
melepaskan stres yang dihadapi. Ibu bapa yang sibuk dalam bekerja untuk menyara
keluarga mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mendidik dan
mengambil berat dengan setiap pergerakan anak mereka. Hal ini demikian telah
mengundang kepada masalah apabila anak mereka terlibat dalam gejala sosial. Akibatnya
mereka pun terjebak dalam masalah gejala sosial seperti melakukan seks bebas, menagih
dadah dan sebagainya. Mereka tidak berasa gentar apabila melakukan aktiviti sedemikian
kerana ibu bapa mereka tidak mempedulikan perihal mereka dalam aktiviti seharian. Mereka
bebas untuk melakukan apa-apa sahaja untuk memuaskan hati mereka tanpa ada
sesiapapun yang menghalang mereka. Oleh itu, keadaan inilah yang menyebabkan
masalah pembuangan bayi terjadi-jadi. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
membendung masalah gejala pembuangan bayi yang berpunca daripada anak mereka
sendiri.
Selain itu, kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja merupakan salah satu
punca gejala pembuangan bayi di negara kita. Biasanya golongan remaja yang kurang
didikan agama merupakan golongan yang paling banyak menyumbang kepada masalah ini.
Agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia. Tanpa pegangan
agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Peranan agama yang paling dominant
adalah ia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan manusia. Pegangan agama juga
boleh menjadi asas kepada ketamadunan dan acuan kepada latar budaya masyarakat.
Tanpa ajaran agama, remaja-remaja ini akan hilang arah dalam kehidupan dan mudah
terjerumus dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas. Remaja yang melibatkan
diri dalam gejala pergaulan bebas akan terdorong untuk menjalinkan hubungan
bertentangan dengan hukum agama. Kesannya,remaja perempuan akan mengandung
tanpa ikatan yang sah. Remaja yang tidak mempunyai pegangan agama akan membunuh
atau membuang anak mereka kerana berasa malu dan tidak mahu bertanggungjawab atas
anak tersebut.

Lain daripada itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca membarahnya
masalah ini di negara kita. Hal ini demikian remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan
sebaya mereka pada usia yang muda. Tambahan pula, remaja pada masa sekarang boleh
dikatakan lebih rapat dan banyak menghabiskan masa bersama rakan berbanding dengan
ibu bapa mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka mula bergaul dengan rakan
sebaya yang negatif. Remaja kini sangat cenderung untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Sikap ingin tahu dalam seseorang menyebabkan mereka ingin menerokai setiap perkara
yang salah di sisi undang-undang. Remaja beranggapan bahawa mereka menjadi lebih
matang dan hebat dengan mencuba sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang lain. Jadi,
rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar
batasan agama dan norma maysarakat, misalnya pergi ke tempat hiburan seperti disko,
menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam gejal-
gejala negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu
apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka
terpaksa membuangkan bayi mereka .Hal yang demikian kerana mereka akan berperasaan
malu terhadap masyarakat yang mencaci mereka atas perbuatan mereka.

Gejala pembuangan bayi ini perlu di beri perhatian yang serius kerana gejala
ini membawa impak yang sangat negatif bukan sahaja kepada individu itu sendiri, tetapi juga
kepada masyarakat dan juga negara. Anak merupakan anugerah Tuhan yang paling
berharga yang perlu kita hargai dan bukannya di buang sesuka hati. Tetapi, bayi ini
dikatakan menjadi bebanan kepada pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak mahu
bertanggungjawab di atas keterlanjuran mereka.
Sikap tidak berperikemanusiaan mereka akan menyebabkan bayi tersebut menerima
tempiasnya. Jika bayi yang dibuang tersebut masih hidup, mereka akan berhadapan dengan
tekanan jiwa. Bayi tersebut tidak mempunyai kasih sayang daripada ibu bapa dan berfikiran
negatif. Pelbagai gelaran negatif akan diberi oleh rakan-rakan mereka di sekolah seperti
‘anak pungut’, ‘anak haram’ dan sebagainya. Hal ini demikian telah menyebabkan mereka
diejek oleh rakan-rakan dan seterusnya mengalami tekanan jiwa.

Di samping itu, Ibu bayi tersebut juga mengalami tekanan emosi kerana membuang
anaknya sendiri. Pada mulanya, wanita tersebut mungkin masih muda dan berfikiran tidak
matang bertindak nekad untuk membuang bayinya hanya untuk menutup malu. Tetapi lama-
kelamaan, wanita tersebut akan menyesal atas sikapnya yang tidak berperikemanusiaan
dan membunuh anak sendiri. Kemudian, wanita tersebut akan menjadi murung dan
berkemungkinan besar menjadi gila. Wanita tersebut juga mungkin menghadapi masalah
kesihatan. Rasionalnya, kebanyakan atau boleh dikatakan semua ibu yang mengandungkan
anak luar nikah akan bersalin seorang diri tanpa bantuan doktor. Tanpa ubat-ubatan dan
tenaga perubatan, mereka melahirkan zuriat mereka. Hal ini amat berisiko tinggi kerana
mereka bakal berhadapan dengan jangkitan kuman. Apabila mereka bersalin secara
bersendirian, mereka akan terdedah kepada jangkitan kuman yang akan merebak
menganggu kesihatan mereka.

Seterusnya, akan berlaku keruntuhan institusi kekeluargaan disebabkan wujudnya


suasana tidak harmoni dalam kekeluargaan. Keluarga tersebut pasti akan dicemuh jiran
sekeliling menyebabkan mereka berasa malu untuk bergaul dengan orang ramai lagi.
Mungkin juga akan berlaku penceraian kerana suami isteri saling meyalahkan anatara satu
sama lain. Akibat daripada penceraian yang berlaku, maka anak-anak akan terbiar dan
berkemungkinan mengalami tekanan emosi. Mereka juga berasa bebas kerana ibu bapa
mereka sudah bercerai. Maka, mereka akan terdedah kepada gejala sosial kerana
terpengaruh dengan rakan sebaya dan tiada siapa yang mengawal tingkah laku mereka.
Lantas, akan wujudlah generasi yang mengulangi perbuatan yang sama.

Kesan pembuangan bayi yang semakin berleluasa ini juga boleh dilihat dari aspek
masyarakat. Jika gejala ini tidak dibendung, akan wujudlah masyarakat yang tidak
bertamadun kerana nilai kemanusiaan tidak lagi diutamakan. Jika kes pembuangan bayi
terus meningkat dalam kalangan sesuatu masyarakat, masyarakat itu akan dilihat sebagai
masyarakat yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan kerana sanggup membunuh bayi
yang baru hendak mengenal dunia. Masyarakat itu tidak ubah seperti masyarakat yang tidak
bertamadun pada zaman dahulu. Seterusnya, masyarakat akan dipandang hina jika
berlakunya kes pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat tersebut. Bak kata pepatah,
kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Apabila wujudnya golongan yang tidak
berperikemanusiaan dalam sesebuah masyarakat, maka seluruh masyarakat tersebut akan
menerima tempiasnya. Kes pembuangan bayi ini juga akan menjejaskan imej dan kredibiliti
masyarakat. Masyarakat pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku dalam
kalangan masyarakat mereka. Sudah semestinya remaja yang menjadi penyumbang utama
dalam kes pembuangan bayi ini, tetapi, masyarakat akan menerima akibatnya hasil daripada
kegiatan tidak bermoral para remaja dalam kalangan masyarakat tersebut. Hal ini secara
tidak langsung akan menimbulkan persepsi negatif orang luar terhadap kredibiliti
masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti ini berlaku.

Tidak dapat dinafikan, pembuangan bayi juga memberi kesan yang sangat besar
kepada negara. Rasionalnya, jatuh bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya
kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang pastinya
berlaku ialah pembangunan negara akan terbantut serta ekonomi negara sukar untuk
berkembang disebabkan wujudnya gejala pembuangan bayi ini. Tambahan pula,
perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang diletakkan di rumah
kebajikan masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang dijumpai biasanya ditempatkan di rumah
kebajikan masyarakat sebagai penempatan sementara. Duit yang sepatutnya boleh
digunakan untuk pembangunan negara telah digunakan untuk menampung perbelanjaan
bagi menangani gejala ini. Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut dicari dan
sekiranya tidak dijumpai, maka, rumah kebajikan masyarakat pastinya menjadi penempatan
kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak yang
berkaitan dari segi kewangan.

Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di
luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa haruslah memantau setiap aktiviti dan pergerakan
anak mereka di rumah supaya tidak terlibat dalam gejala pergaulan bebas dan juga
mengambil tahu tentang kawan-kawan mereka di sekolah untuk memastikan kawan mereka
baik atau tidak. Hal ini demikian kerana dalam kalangan remaja, mereka masih tidak pandai
untuk membezakan baik dan buruk. Mereka juga sentiasa mengambil berat dan
memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak mereka walaupun sibuk dalam
pekerjaan masing-masing. Ibu bapa haruslah mencurahkan kasih sayang yang mencukupi
kepada anak mereka seperti mengambil berat terhadap anak-anak mereka tentang perkara
yang berlaku di sekolah atau masalah yang dihadapi oleh anak mereka dalam pelajaran .

Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali
mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga
dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa
perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi
bersiar-siar, dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan
mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks
bebas.

Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa haruslah
bertanggungjawab untuk menerapkan dan memberikan didikan agama kepada anak mereka
sejak kecil supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala negatif.
Nilai-nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang supaya segala
tindakan mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam
masyarakat. Dengan adanya didikan agama, mereka dapat membina kekuatan dalaman
mereka dan tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak baik. Ibu bapa juga
haruslah memberi ajaran seperti menatang minyak yang penuh. Agama dapat membentuk
pandangan semesta seseorang dan sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan
mereka dalam kehidupan. Ini dapat dilihat dari segi pertuturan, perilaku dan gaya hidup
seseorang manusia. Ibu bapa haruslah mencurahkan kasih sayang yang mencukupi
semasa mendidik anak mereka. Oleh itu, ibu bapa dapat mengetahui aktiviti-aktiviti luar
anak mereka dan hal ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala
pembuangan bayi.

Pihak berkuasa juga memainkan peranan yang amat penting dalam mengatasi
masalah yang serius ini. Langkah pencegahannya adalah dengan menguatkuasakan
undang-undang negara. Hukuman berpenjara atau dendaan haruslah dikenakan ke atas
pasangan yang tidak berperikemanusiaan ini. Hukuman yang setimpal harus dilaksanakan
supaya dapat memberi pengajaran kepada remaja yang terlibat dan juga kepada remaja-
remaja yang lain. Secara tidak langsung mungkin ini dapat mengurangkan kes pembuangan
bayi dan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Selain itu, pihak berkuasa
juga mestilah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membangkitkan kesedaran
remaja terhadap isu ini tentang masalah-masalah yang berlaku akibat pembuangan bayi dan
seterusnya dapat menangani masalah ini. Justeru itu, peranan media massa dan media
cetak amatlah penting bagi menjayakan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak
berkuasa. Peranan media ini penting dalam menghebahkan dan membuat liputan secara
besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan.

Konklusinya, semua pihak haruslah berganding bahu dan memberi kerjasama yang
sepenuhnya untuk mengatasi masalah pembuangan bayi ini. Remaja sebagai tiang negara
merupakan aset yang paling berharga untuk masa depan negara. Oleh itu, didikan yang
baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil kerana ibarat kain putih, dan ibu bapalah
yang mencorakkannya. Kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab ini kepada satu
pihak sahaja sebaliknya setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah
bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras penyakit sosial ini
agar tidak menular dengan lebih serius dan menjejaskan pembangunan dan matlamat
negara kita untuk mencapai wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai