Anda di halaman 1dari 2

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Terima kasih Pengacara Majlis.


Yang Berbahagia Tuan Haji Zubair b Haji Hussain, Yang Dipertua PIBG Sekolah
Kebangsaan Gunong,
Yang Berusaha Encik Mohd Zahir b Hashim, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gunong,
Ahli-ahli jawatankuasa PIBG dan Alumni Sekolah Kebangsaan Gunong,
Guru-guru, ibu bapa dan para hadirin yang dihormati sekalian.

Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan perkenan dan limpah rahmat-Nya,
kita semua dapat hadir dalam majlis yang amat bermakna ini. Saya ingin merakamkan
penghargaan dan terima kasih atas penghormatan yang diberi untuk merasmikan sambutan
sempena 100 tahun Sekolah Kebangsaan Gunong.

Tuan-tuan dan puan-puan ,

Berusia satu abad saya percaya sekolah ini telah melalui kepayahan, kesulitan dan
kesungguhan orang-orang yang terdahulu untuk melihat perkembangan pendidikan yang
gemilang serta melahirkan insan-insan yang cemerlang. Justeru, Kerajaan Negeri
mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Sekolah khususnya masyarakat
setempat atas perkembangan ini dalam melahirkan rakyat yang berkualiti untuk berbakti
kepada negeri dan negara kita.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada masyarakat setempat
kerana sangat mementingkan pendidikan anak-anak untuk membina generasi pelapis yang
berjaya dan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Kita perlu sedar, dalam melahirkan insan yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah, bukan
dibebankan di atas bahu guru-guru semata-mata. Sebagai masyarakat, kita yang menentukan
sama ada anak-anak kita terdidik dengan nilai-nilai murni dan mempunyai kekuatan dalaman
untuk berdepan dengan gejala negatif di luar rumah. Jelas, tanggungjawab menentukan
keperibadian anak-anak sebenarnya tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untuk
melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak guru. Dalam konteks ini, Alumni,PIBG dan guru
perlu bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain membantu
kebajikan murid, guru dan juga pembangunan sekolah. Oleh itu, sama-samalah kita
berbincang dan berdoa agar usaha yang digarap bersama-sama ini akan diberkati oleh Allah
Taala.

Bagi pihak kerajaan negeri, kami sentiasa mengambil berat tentang kepentingan
pelajaran anak-anak. Pelbagai kemudahan dan bantuan telah disalurkan bagi memastikan
anak-anak kita mendapat pelajaran yang sewajarnya. Bantuan buku teks, Rancangan
Makanan Tambahan (RMT), bantuan awal persekolahan, biasiswa dan macam-macam lagi
adalah untuk anak-anak tuan-tuan dan puan-puan. Oleh itu, kita sepatutnya berterima kasih
kepada kerajaan masa kini yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa melalui Pelan Pembangunan Pendidikan


Malaysia 2013 -2025, program sarana ibu bapa dan sarana sekolah telah dilaksanakan.
Program ini dilaksanakan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti, dan sektor
swasta dalam pembelajaran anak-anak. Pembelajaran anak-anak berlaku melangkaui
kawasan sekolah dan boleh berlaku di rumah dan dalam komuniti.

Saya mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa Alumni, PIBG, Guru Besar,
guru-guru serta seluruh ibu bapa khususnya di Sekolah Kebangsaan Gunong kerana dapat
mengadakan Sambutan 100 tahun seperti yang dirancang. Sebelum mengakhiri ucapan, saya
sekali lagi mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan ke majlis
pada hari ini . Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa yang
mengendalikan majlis ini dengan jayanya

Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan Sk
Gunong atas sambutan 100 tahun sekolah ini. Semoga sekolah ini akan terus berupaya
melahirkan anak-anak yang berketerampilan, berilmu serta berkualiti yang akan pemimpin
pada masa hadapan.

Dengan lafaz Bismillahhirahmanirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan


Sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Gunong.

Sekian, wabillaitaufik wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai