Anda di halaman 1dari 6

ULASAN JURNAL

1.0 Pengenalan

Dalam pendidikan di Malaysia hari ini telah mengalami perkembangan globalisasi

yang pesat. Selari dengan perkembangan globalisasi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia

telah menggariskan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) sebagai satu kewaipan dan

keutamaan yang mesti dilaksanakan dalam perancangan kerjaya setiap guru. Dengan itu,

bidang pembangunan staf melalui LDP ini telah dijadikan teras yang penting dalam aras

pembangunan pendidikan negara. Dalam ulasan jurnal ini, ulasan yang dibuat adalah

berkaitan dengan Latihan Dalam Perkhidmatan Kepada Guru.

2.0 Maklumat Jurnal

Butiran jurnal yang diulas adalah seperti berikut;

Tajuk : Implikasi Latihan Dalaman Kepada Guru – Guru Sekolah Rendah

Penulis : Lokman bin Mohd Tahir dan Kalsom binti Salleh

Tahun : 2011

Sumber: eprints.utm.my/11910/1/Implikasi_Dalaman_Kepada_Guru.pdf

3.0 Sinopsis Jurnal

Jurnal ini adalah berkaitan dengan kajian penyelidik (penulis) tentang keberkesanan

latihan dalaman kepada guru. Dalam jurnal ini penulis melakukan kajian bagi melihat

penilaian guru – guru terhadap faktor – faktor keperluan latihan dalaman dan mengenalpasti

kesan latihan dalam meningkatkan kemahiran mengajar guru di sekolah. Dalam dapatan

kajiannya, penulis merumuskan bahawa keperluan latihan dalaman untuk guru adalah perlu

dalam meningkatkan profesionalisma guru. Penulis menyatakan dapatan ini membuktikan

latihan dalam memberi manafaat yang cukup besar besar dalam meningkatkan mutu dan

kemahiran pengajaran guru. Keperluan dan keberkesanan latihan ini disokong dengan
kesesuaian latihan dan pelaksanaan kompenan latihan seperti perancangan awal, teratur dan

mendapatkan maklum balas. Dua isi utama yang akan diulas jurnal ini ialah berkaitan

dengan keberkesanan latihan oleh guru yang merupakan pekerja dalam sektor perkhidmatan

pendidikan serta keperluan pelaksanaan latihan yang memenuhi keperluan guru.

4.0 Ulasan Jurnal

Dapatan kajian penyelidik ini tentang keberkesanan latihan dalaman kepada guru jelas

menunjukkan bahawa latihan adalah satu elemen yang penting dalam mengembangkan

profesionalisma guru. Latihan yang diterima oleh pekerja termasuklah guru dapat mengubah

sikap, meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pekerja agar prestasi kerja mereka dapat

ditingkatkan. Dalam perkembangan dalam dunia pendidikan kini, menuntut guru untuk

meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yangn terkini selari dengan dasar yang diingini

oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebagai contoh pada masa ini ledakan teknologi

maklumat yang menjadikan pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan tanpa melalui pengajaran

konvensional guru semata – mata. Guru harus sentiasa mengembangkan dirinya dengan

pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat supaya ia dapat bergerak bersama – sama

dengan arus perkembangan ilmu dan dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

Menurut Mogana (1994), kemahiran metodologi serta pengetahuan guru harus ditingkatkan

dari masa ke semasa dalam kerjayanya agar memotivasi serta meningkatkan kualiti guru

dalam bilik darjah. Justeru Latihan Dalaman dianggap sebagai alat yang paling berkesan

dalam memberi latihan dan memberi latihan semula kepada guru – guru yang meliputi

pengetahuan dan kemahiran baru kepada guru dalam meneruskan kerjaya mengharungi

cabaran dunia pendidikan. Contoh di sini ialah memberi latihan tentang pembelajaran maya

Virtual Leraning Environment (VLE Frog) kepada guru dimana guru diajar dan dilatih

tentang penggunaan VLE Frog ini serta kelebihanya.


Keberkesanan latihan dalaman ini turut dibuktikan oleh Mahaliza Mansor, Norlia Mat

Norwani & Jamal @ Nordin Yunus dalam kajian mereka “Hubungan Antara Model – Model

Pembelajaran Profesional Terhadap Amalan Guru Sekolah Menengah Harian di Malaysia”.

Dalam dapatan kajian mereka, latihan merupakan antara empat model pembelajaran

profesional yang menyumbang ke atas amalan guru dalam melaksanakan tugas pengajaran di

sekolah. Walaupun terdapat kajian yang menyatakan tiada perkaitan antara kekerapan

menghadiri program pembangunan profesionalisma dengan efikasi kolektif guru namun perlu

diakui bahawa latihan dalaman adalah penting bagi golongan pendidik kerana dapat memberi

impak tinggi terhadap pembelajaran murid. Selain itu latihan juga bertujuan untuk

memperbaiki kesedaran diri seseorang individu seperti mana yang diterangkan oleh Ab Aziz

Yusof (2006) dalam buku Pengurusan Sumber Manusia : Konsep, Isu dan Pelaksanaan. Ini

bermaksud latihan yang diterima oleh guru boleh mengubah tingkah laku dari negatif kepada

positif agar setanding dengan perubahan yang berlaku. Sebagai contoh, latihan yang diberi

kepada guru boleh mengubah persepsi guru yang gagal melihat apa yang relevan pada suatu

masa dahulu tidak semestinya relevan pada masa kini.

Bagi isi kedua iaitu berkaitan dengan keperluan pelaksanaan latihan, ianya dilihat

mempengaruhi keberkesanan latihan dalaman yang diterima oleh guru. Keperluan

mengadakan latihan dalaman bergantung kepada keadaan semasa dan persekitaran sesebuah

sekolah. Ini termasuklah melihat keperluan guru-guru. Oleh itu keperluan guru-guru harus

dianalisis serta dikenalpasti melalui analisis keperluan peserta. Analisis keperluan latihan

oleh peserta adalah penting untuk menentukan bidang – bidang latihan yang diperlukan oleh

guru agar ia dapat menjayakan pelaksanaan latihan dalam perkhidmatan di sekolah. Latar

belakang peserta seperti jantina, umur, pengalaman dan kelayakan perlu diambil kira semasa

mengatur program LDP. Terdapat latihan yang bersesuaian dengan guru yang lama

berkhidmat dan guru muda. Jeff (1986) endapati keperluan perkembangan staf untuk guru-
guru lama berkhidmat manakala Mogana (1994) memandang guru muda memerlukan latihan,

manakala guru yang telah berpengalaman telah menurun pandangan mereka tentang perlunya

latihan.

Namun begitu, kedua – dua golongan guru ini memerlukan latihan dalam

meningkatkan kerjaya mereka. Cuma apa yang perlu dilakukan adalah melihat kepada

kaedah dan pengisian bagi kedua – dua golongan tersebut. Menurut kajian Ong (1992),

kaedah latihan mempengaruhi keberkesanan program latihan dalam perkhidmatan. Menurut

beliau lagi kaedah latihan yang diberikan seperti kaedah yang lebih efektif seperti main

peranan, simulasi boleh menarik minat guru – guru yang berpengalaman. Lawrence (1974)

juga bersetuju dengan pendapat yang sama iaitu faktor pengalaman dan latar belakang

memberi kesan kepada kaedah kursus dalam perkhidmatan yang digunakan. Penglibatan

yang aktif dan menyeluruh dalam latihan akan menambah ilmu pengetahuan guru serta

meningkatkan tahap profesionalisma mereka (Lawrence 1974).

Faktor lain yang mendorong keberkesanan latihan dalaman atau LDP ini ialah

fasilitator. Penggunaan pendekatan dan kaedah latihan yang sesuai dengan tajuk oleh

fasilitator akan memberi kesan yang baik kepada peserta LDP. Pengendalian harus

menggunakan teknik yang boleh melibatkan peserta secara aktif dan maksimum. Fasilitator

yang dipilih adalah terdiri daripada guru – guru sekolah yang mempunyai pengalaman dan

interpersonal yang baik. Ini boleh menarik minat peserta untuk mengikuti latihan sehingga

tamat latihan. Kaedah yang digunakan semestinya sesuai dengan berbagai peringkat

kebolehan, kelulusan dan pengalaman peserta yang menyertai latihan itu. Fasilitator yang

berkesan perlu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam persekitaran pendidikan lebih

– lebih lagi di dalam bilik darjah. Hanya dengan cara ini fasilitator dapat menyediakan

dengan keadaan sebenar dunia pengajaran dan pembelajaran. Ini disokong oleh dapatan
Mohd Radzi (1995), penggunaan pendekatan oleh fasilitator dan kaedah latihan yang sesuai

akan memberi kesan yang baik kepada peserta latihan dalam perkhidmatan.

Selain itu yang ingin dilihat oleh peserta ialah proses penyeliaan terhadap latihan dalaman itu

sendiri. Ini dilakukan menerusi maklum balas yang diberi oleh peserta. Ianya dikira aspek penting

untuk melihat kekuatan dan kelemahan daripada latihan dalaman yang telah dijalankan. Dengan itu

tindakan susulan akan diambil untuk memperbaiki atau mempertingkatkan program latihan pada masa

akan datang bagi memenuhi keperluan perserta sekaligus untuk kebaikan organisasi seperti sekolah.

Hewton (1998) menyatakan tindakan selepas program latihan berakhir akan memastikan segala

kekurangan diperbaiki malah segala kelebihan dipertingkatkan bagi semua pihak yang terlibat.

5.0 Rumusan

Hasil daripada dapatan jurnal ini menunjukkan betapa pentingnya latihan kepada guru

kerana ianya dapat memberikan impak yang positif bukan sahaja kepada organisasi tetapi

juga kepada pekerja itu sendiri. Pekeliling Perkhidmatan Bil 6 2005, Dasar Latihan Sumber

Manusia Sektor Awam menyatakan “Pegawai Perkhidmatan Awam hendaklah mengikuti

latihan sekurang – kurangnya 7 hari setahun”. Mesyuarat Profesional KPM Bil. 7/2007

bertarikh 21 November 2007 telah meluluskan kertas cadangan konsep Pengoperasian

Latihan Peningkatan Profesionalisma Bidang Pengajaran dan Pembelajaran bagi Pegawai

Perkhidmatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memberi penekanan

pengoperasian secara “School Based” selaras dengan konsep ‘let manager manage’.

Sehubungan itu adalah penting untuk organisasi sekolah melaksanakan program

pembangunan profesionalisma keguruan atau latihan dalam perkhidmatan di sekolah masing

– masing dan semua guru menghadirinya. Tujuan pelaksanaan ini adalah untuk

meningkatkan kapasiti dan kualiti gur dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik

darjah dan secara langsungnya dapat meningkatkan pencapaian prestasi sekolah.


6.0 Rujukan

Dewi Isma Madzlan, Khalid Johari, Shukri Zain, Mohd Khairuddin Abdullah. Perkaitan
Antara Kekerapan Menghadiri Program Pembangunan Profesionalisma Mengikut
Bidang Kurikulum Dengan Efikasi Kolektif Guru Sekolah Menengah di Sabah.
Universiti Malaysia Sabah.
www.medc.com.my.medc/seminar_medc/fromCD/pdf/62.pdf
Mahaliza Mansor, Norlia Mat Norwani, Jamal @ Nordin. Hubungan Antara Model – Model
Pembelajaran Profesionalisma Terhadap Amalan Guru Sekolah Menengah Harian Di
Malaysia. Jurnal Pendidikan Bintara UPSI.
www.jpbu.upsi.edu.my

Omar Abdull Kaseem (2010). Perkembangan Profesional Guru Secara Berterusan :


Perspektif Pembangunan Sumber Manusia. UPSI.
http://www.researchgate.net/publication/237225630

Nur Hafizoh Idris, Rohana Hamzah (2012). Nilai Profesionalisma Bakal Guru Berteraskan
Indikator Standard Guru Malaysia (SGM). Skudai : UTM.
www.jurnalteknologi.utm.my

Ab. Aziz Yusof (2006). Pengurusan Sumber Manusia : Konsep, Isu dan Pelaksanaan.
Petaling Jaya : Prentice Hall.