Anda di halaman 1dari 2

Feride Hikmet Atak

DENGAN pengalaman hampir 30 tahun dalam industri muzik, tidak hairanlah penyanyi, Datuk
Hattan, terpanggil memberikan teguran kepada artis baharu yang ghairah meraih perhatian
dalam ledakan teknologi maya ketika ini.

Bagi penyanyi Rendah Tak Berbuah ini, tiada apa yang lebih dikesalkan jika artis menjadi
bahan kecaman hasil perlakuan sendiri.

Hattan berkata, ada segelintir artis yang tidak berfikir panjang sebelum menyebarkan sesuatu
perkara atau isu sehingga ia menjadi viral dan dikutuk netizen.

Menurut penyanyi berusia 52 tahun ini, perkara berkenaan tentu saja boleh menjejaskan
reputasi artis, malah merendahkan nilai eksklusif mereka.

"Tolonglah, sebelum memuat naik sebarang gambar, fikirlah dulu panjang-panjang, adakah ia
boleh menyebabkan orang bercakap negatif mengenainya ataupun tidak.

"Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila hendak ke tandas pun sempat muat naik gambar
ke laman sosial. Begitu juga apabila tidak puas hati pada sesuatu perkara, ia disebarkan
sehingga menjadi viral.

"Akhirnya, nama artis juga yang tampak buruk. Walaupun individu berkenaan berniat baik,
bahan yang menjadi viral itu masih boleh menampakkan artis terbabit berimej atau memiliki
sikap buruk di kalangan orang ramai," katanya.

Tambah Hattan, berikutan itu, beliau enggan membuka akaun laman sosial kerana ia dilihat
lebih banyak mengundang keburukan daripada kebaikan.

Katanya, laman siber membuatkan persekitaran masyarakat mudah 'dijangkiti' fitnah.


Semuanya disebabkan individu tidak bertanggungjawab boleh membangkitkan apa saja isu
tanpa fakta.

"Sekarang, bukan saja laman sosial, malah penuh isu viral yang kita tidak tahu hujung
pangkalnya.
"Begitupun ada bagusnya juga aspek viral ini kerana ia turut memberikan kebaikan. Sebagai
contoh, isu yang melanda Rohingya, kanak-kanak hilang dan sebagainya. Tetapi, ia
disalahgunakan," tegasnya.

Berikutan terlalu banyak individu yang menyebarkan maklumat yang belum tentu
kebenarannya, Hattan tampil dengan program Kembara Bijak Sabah bagi menyampaikan
kempen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai cara
mengelak isu viral tanpa fakta sahih.

Turut terbabit dalam program berkenaan ialah kumpulan lawak Zero dan beberapa selebriti
lain.

"Mungkin mesej seperti ini takkan mencegah secara total kecenderungan masyarakat
menyebarkan maklumat palsu di alam maya, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian daripada
kita pasti faham dengan kempen yang disampaikan.

"Sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu bagi membasmi masalah media sosial ini
sedikit demi sedikit," kata Hattan.

Dalam perkembangan lain, Hattan dan anak remajanya, Adam, akan tampil berduet menerusi
lagu baharu berjudul Klik. Lagu terbabit mengisahkan 'penyakit' di media sosial yang semakin
merosakkan masyarakat dunia tanpa sedar.

https://www.bharian.com.my/node/225763

2016

Anda mungkin juga menyukai