Anda di halaman 1dari 12

1.

0 PROFIL KANAK-KANAK

Sepanjang menjalankan proses pemerhatian terhadap perkembangan sosioemosi


individu A, saya telah menggunakan kaedah pengumpulan data, pemerhatian dan soal
selidik bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan berkaitan dengan individu A
yang ingin dikaji. Bagi melengkapkan tugasan ini, saya perlu memilih seorang kanak-kanak
sahaja untuk dikaji dari segi perkembangan sosioemosi. Oleh itu, saya telah memilih
seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 6 tahun iaitu yang merupakan adik kandung
saya sendiri. Penilaian yang dibuat terhadap perkembangan sosioemosi adalah lebih
berasaskan kepada proses temubual bersama guru prasekolah dan juga pemerhatian
tingkah lakunya di sekolah dan di rumah. Saya mula menjalankan pemerhatian ini pada hari
Sabtu iaitu bersamaan dengan 8 Ogos hingga 9 Ogos 2015 iaitu selama 2 hari.

Bagi memudahkan saya mengenalpasti tahap perkembangan sosioemosi individu A,


saya telah membuat senarai semak secara rambang dan menilai tahap perkembangan yang
dilaluinya sama ada normal ataupun tidak. Selain itu, saya juga berjumpa dan berbual
dengan guru prasekolah yang mengajar individu A dan menyoal serba sedikit tentang
tingkah laku individu A sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bagi membuktikan bahawa saya benar-benar telah membuat kajian terhadap individu A,
saya telah mengumpul dan meminta kepada ibu saya beberapa data sokongan yang
mengandungi maklumat peribadi, rekod kesihatan dan juga rekod prestasi sebagai bukti
kukuh. Berikut merupakan profil peribadi individu A :

NAMA : INDIVIDU A (BUKAN NAMA SEBENAR)

TARIKH LAHIR : 3 OGOS 2015

TEMPAT LAHIR : HOSPITAL KEMAMAN, TERENGGANU

KETURUNAN : MELAYU / ISLAM

BIL. ADIK BERADIK : KE 7 DARIPADA 7 BERADIK (BONGSU)

HOBI : MEMBACA BUKU

CITA-CITA : GURU

SEKOLAH : PRASEKOLAH AL-TARMIZI, SEKOLAH KEBANGSAAN


FELDA NERAM 01, KEMAMAN TERENGGANU

19
1.1 PROFIL SOSIAL

Perkembangan sosial individu A di rumah dan di sekolah adalah berbeza. Apabila


berada di sekolah, individu A hanya bercakap dengan rakan-rakan yang dikenalinya sahaja
tetapi apabila berada di rumah, dia adalah seorang adik yang banyak bercakap. Ini
bermakna, individu A masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri dan membina konsep kendiri
apabila berada dalam kelompok kawan-kawan baharu di dalam kelas. Hal ini sejajar dengan
Teori Kematangan Gesell iaitu kanak-kanak yang berumur 5 hingga 6 tahun mula mengalami
proses kematangan semasa transisi iaitu bergantung kepada keperluan sekolah, rakan
sebaya dan juga pengubahsuaian kepada peraturan.

Saya telah menjalankan pemerhatian terhadap perkembangan sosial individu A


bersama rakannya di kelas apabila ingin mengambil individu A pulang dari sekolah. Oleh
sebab saya mengambil tiket untuk pulang ke Melaka pada malam hari Ahad, maka saya
menggunakan kesempatan yang ada ini untuk memerhati perkembangan dan juga
kemahiran sosial individu A apabila bersama dengan rakan-rakan dan juga guru di sekolah.
Pemerhatian mendapati bahawa individu A merupakan seorang yang pandai bersosial
dengan orang di sekelilingnya. Ini ditunjukkan apabila individu A sangat ramah dan sentiasa
bergurau senda dengan rakan-rakan yang lain. Dia juga pandai berkomunikasi dan
menyesuaikan diri dengan keadaan. Oleh sebab itu, kawan-kawan yang lain senang bergaul
dengannya.

Susun atur meja dan kerusi di prasekolah Al-Tarmizi adalah berbentuk bulatan
mengikut kumpulan dan dalam kumpulan meja tersebut terdapat dalam lingkungan 5 hingga
6 orang kanak-kanak. Pada ketika itu, mereka sedang melakukan aktiviti mewarna gambar
bunga. Saya melihat individu A memberikan rakan di sebelahnya meminjam pensel
warnanya dan mereka mewarna bersama-sama dengan gembira sambil berbual-bual. Hal ini
bersesuaian dengan teori Vygotsky yang menyatakan bahawa kanak-kanak tidak dapat
membina pengetahuannya sendiri tentang persekitaran. Oleh itu, kanak-kanak perlu
membina interaksi sosial dengan individu-individu yang berada di persekitarannya seperti ibu
bapa, guru-guru, rakan-rakan dan adik beradik. Pemerhatian mendapati bahawa individu A
berjaya membina hubungan sosial yang baik dengan rakan-rakan dan juga dapat
menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran.

Dalam kesempatan itu juga, saya sempat melihat cara pengurusan diri individu A
apabila berada di sekolah. Sebagai contoh, individu A mampu menguruskan diri sendiri
ketika pergi ke tandas tanpa menyusahkan pembantu dan guru pra sekolah. Berdasarkan
hasil perbualan dengan guru kelas prasekolah Al-Tarmizi menyatakan bahawa individu A
merupakan seorang kanak-kanak yang pandai berdikari dan mampu menyelesaikan

20
masalah sendiri tanpa bantuan orang lain. Dalam teori Erik Erikson juga menekankan
kepentingan hubungan sosial antara individu-individu yang berada dalam persekitaran
kanak-kanak. Nah! Sudah jelas di sini bahawa personaliti dan tingkah laku kanak-kanak
sangat dipengaruhi oleh tingkah laku individu-individu di sekeliling mereka. Dari sinilah
kanak-kanak mula belajar cara berkomunikasi dengan orang yang lebih tua, cara
menguruskan diri, cara makan dan sebagainya. Mereka akan melihat dan memerhatikan
perlakuan sosial orang sekeliling kemudian menjadikannya contoh ikutan dalam kehidupan
seharian.

Pada petang hari Sabtu, individu A bersama rakan-rakannya yang merupakan jiran
sebelah rumah telah bermain basikal di hadapan rumah kami. Oleh sebab kami duduk di
kampung maka suasana persekitaran lebih menyeronokkan apabila waktu petang.
Sepanjang bermain, individu A kelihatan gembira dan mampu berinteraksi dengan baik
antara satu sama lain. Hal ini dibuktikan apabila pada mulanya, mereka menunggang basikal
bersama-sama, setelah itu, individu A mengajak rakan-rakannya untuk bermain masak-
masak di hadapan rumah kami lalu mereka semua bersetuju. Pemerhatian mendapati
bahawa individu A boleh menggunakan bahasa yang sesuai dan mudah ketika
berkomunikasi dengan rakan-rakannya kerana mereka dapat memahami apa yang telah
diperkatakan oleh individu A dengan baik. Oleh itu, saya berpendapat bahawa individu A
mempunyai tahap sosial iaitu kemahiran berinteraksi, memahami dan sikap bertolak ansur
yang baik dengan rakan-rakannya,

Dalam teori pendidikan Friedrich Froebel telah menegaskan kepentingan bermain


sebagai peranan penting dalam proses pendidikan. Melalui permainan yang dilakukan ini
dapat membantu kanak-kanak berfikir mengenai interaksi antara kehidupan dan aktiviti
sendiri, pemikiran dan tindakan, perwakilan serta kebolehan dan pemahaman masing-
masing. Hal ini kerana, apabila kanak-kanak bermain, secara tidak langsung mereka akan
menunjukkan emosi gembira dengan senyum dan menjerit keseronokan bersama rakan-
rakan yang lain. Selain itu, Vygotsky juga menyatakan bahawa perkembangan bahasa
kanak-kanak berlaku kerana beberapa faktor antaranya adalah pengaruh persekitaran dan
juga pengaruh semula jadi. Oleh sebab individu A lebih terdedah dengan persekitaran yang
dikelilingi orang-orang dewasa iaitu kakak-kakak dan juga abang-abangnya yang banyak
bercakap, maka dia mudah meniru dan mengikut dari segi perbuatan, tingkah laku, cara
percakapan, dan juga bahasa pertuturan. Hal ini dibuktikan lagi dengan teori pembelajaran
yang dikemukakan oleh Chomsky iaitu kanak-kanak lebih cepat dan mahir bertutur sekiranya
ibu bapa mengambil berat serta memberikan galakan kepada mereka.

21
1.2 PROFIL EMOSI

Dari segi perkembangan emosi, individu A melalui proses perkembangan yang stabil
dan seimbang selaras dengan tingkah laku yang ditunjukkan. Ketika ingin mengambil
individu A pulang dari sekolah baru-baru ini, saya sempat berbual dengan guru prasekolah
tersebut. Menurut beliau, individu A seorang murid yang menurut kata, mendengar arahan,
mudah menerima pandangan orang lain terutamanya kawan rapat dan tidak mementingkan
diri sendiri ketika berada di dalam kelas. Malah, sebaik sahaja individu A melihat saya tiba di
hadapan pintu prasekolah, dengan secara tidak langsung dia menunjukkan mimik muka
gembira. Oleh itu, saya berpendapat bahawa individu A berasa dihargai dan disayangi
apabila kakaknya sanggup mengambil dia pulang dari sekolah dengan menunjukkan emosi
yang ceria.

Selain itu, individu A juga tidak menangis apabila ditinggalkan oleh ibunya ketika
dihantar ke sekolah, malah menurut temu bual dengan guru prasekolah tersebut
memaklumkan bahawa individu A merupakan antara kanak-kanak yang tidak menangis
sejak dihantar oleh ibunya pada awal sesi persekolahan bermula. Justeru, melalui maklumat
yang diperolehi ini mendapati bahawa individu A berjaya membina emosi diri yang baik dan
stabil walaupun terpaksa berpisah dengan ibunya. Oleh itu, saya berpendapat bahawa
individu A suka datang ke sekolah dan berjumpa dengan rakan-rakannya dalam suasana
persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Hal ini bersesuaian dengan teori yang
dikemukakan oleh Robert Owen iaitu persekitaran yang baik dapat mempengaruhi
pencapaian dan tingkah laku kanak-kanak.

Apabila berada di rumah, perkembangan emosi individu A agak berbeza berbanding


ketika dia berada di sekolah. Sebagai contoh, ketika hendak makan dia akan meminta
kepada kakak atau abangnya untuk mengisi nasi dan lauk ke dalam pinggan. Jika tidak, dia
akan menangis dan menunjukkan emosi sedih kerana orang sekeliling tidak memberikan
perhatian ke atas dirinya. Berdasarkan situasi ini, saya berpendapat disebabkan individu A
merupakan anak bongsu maka emosi dirinya lebih manja apabila dikelilingi dengan ahli
keluarga tetapi apabila berada di sekolah, individu A dapat mengawal emosi dengan baik
dan pandai berdikari dengan sendiri tanpa bantuan ahli keluarga. Oleh itu, sudah terang lagi
bersuluh menunjukkan bahawa tahap perkembangan emosi individu A telah dipengaruhi
oleh faktor persekitaran yang banyak mendorongnya dalam mengawal emosi dan tingkah
laku diri.

Namun begitu, individu A dapat membezakan yang mana baik dan yang mana tidak
baik. Sepanjang menjalankan kajian terhadap perkembangan sosioemosi individu A, saya
dapat melihat bahawa individu A dapat mengenal pasti dengan baik tingkah laku yang boleh

22
dilakukan dengan tingkah laku yang tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh, sebelum makan
dia akan membasuh tangan dan membaca doa terlebih dahulu. Apabila ditanya siapa yang
mengajar membaca doa makan, individu A menjawab “Cikgu adik pesan sebelum makan,
kena baca doa kalau tidak makan dengan syaitan”. Dalam konteks ini, individu A
mengamalkan apa yang diajar oleh guru di sekolah dengan mempraktikkannya di rumah
dengan baik. Oleh itu, sudah jelas lagi bersuluh menunjukkan bahawa individu A dapat
membezakan yang mana baik dan tidak selaras dengan teori perkembangan kognitif yang
dikemukakan oleh Jean Piaget iaitu kanak-kanak semakin matang dan dapat membezakan,
menyusun sesuatu benda mengikut susunan yang betul seperti dari kecil ke besar.

Di samping itu, individu A adalah seorang yang minat dan sayang pada haiwan
terutamanya kucing. Hal ini ditunjukkan ketika individu A melihat seekor kucing dalam
perjalanan keluar dari kawasan sekolah, lalu individu A pergi ke arah kucing tersebut sambil
membunyikan ‘meow’ beberapa kali. Saya juga dapat melihat dari ekspresi wajah individu A
yang menunjukkan bahawa dirinya gembira berjumpa dengan kucing tersebut. Menurut Fox,
Kimmerly & Schafer (1991), apabila bayi dan orang dewasa senyum, mereka berasa
gembira yang disertai dengan suatu perubahan fisiologi. Secara kolektif, ekspresi wajah
mencerminkan keadaan emosi kanak-kanak kecil.

Pernah suatu ketika, individu A menangis ketika mendapat tahu bahawa kucing
kesayangannya telah mati akibat dilanggar oleh kereta. Oleh sebab emosi sedih yang
dialaminya apabila mengenangkan bahawa kucingnya telah tiada menyebabkan individu A
menangis teresak-esak. Hal ini kerana kanak-kanak di seluruh dunia mengekspresi emosi
asas dengan cara yang sama. Tidak kira daerah ataupun budaya, semua kanak-kanak
mempunyai ekspresi wajah yang sama bagi menunjukkan marah, sedih, dan gembira.
Dalam situasi ini jelas menunjukkan bahawa individu A merupakan seorang yang penyayang
terhadap binatang dan mempunyai sifat empati yang tinggi apabila teringat akan kucing
kesayangannya.

Menurut Teori Perkembangan Personaliti Sigmund Freud menyatakan bahawa


personaliti terdiri daripada id, ego dan juga superego. Antara ciri-ciri perkembangan emosi-
fizikal manusia yang berumur 3 hingga 6 tahun salah satunya adalah kanak-kanak mula
menggunakan helah bela diri untuk tujuan tertentu. Dalam konflik Elektra menyatakan
bahawa anak perempuan lebih tertarik kepada bapa manakala dalam konflik Oedipus pula
menyatakan anak lelaki lebih tertarik kepada ibunya. Pemerhatian mendapati individu A
sering mengadu dan meminta sesuatu daripada bapanya dan jarang meminta daripada
ibunya. Sebagai contoh, individu A menggunakan helah untuk mendapatkan basikal dengan
mengugut bapanya jika tidak dia tidak akan mandi.

23
Saya lebih banyak menggunakan kaedah pemerhatian berbanding soal selidik dalam
mengkaji perkembangan sosioemosi individu A. Hal ini kerana, saya tidak mahu
mengganggu proses pembelajaran yang berlaku di dalam kelas dengan bertanya kepada
guru kelas segala yang berkaitan dengan individu A. Tambahan pula, individu A juga
merupakan adik saya sendiri dan ini lebih memudahkan saya untuk merumuskan tahap
perkembangan sosioemosi dirinya. Hasil daripada pemerhatian yang menyeluruh terhadap
individu A, saya mendapati bahawa individu A melalui proses perkembangan sosioemosi
yang stabil sesuai dengan tahap perkembangan umur.

2.0 LAPAN PERINGKAT PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI ERIK ERIKSON

Berdasarkan teori Erik Erikson ini, beliau telah memperkenalkan lapan peringkat
dalam perkembangan psikososial iaitu yang pertama ialah asas kepercayaan lawan asas
ketidakpercayaan. Pada peringkat ini berlaku kepada kanak-kanak yang baru lahir sehingga
berumur satu tahun. Bayi yang baru lahir memerlukan kasih sayang dan perhatian yang
utama daripada ibu bapa. Jika bayi gagal mendapat tumpuan yang sepatutnya daripada ibu
bapa, perasaan ketidakpercayaan akan timbul.

Peringkat yang kedua ialah autonomi lawan keraguan. Peringkat ini berlaku pada
kanak-kanak yang berumur satu hingga tiga tahun. Perkembangan kanak-kanak pada tahap
ini lebih tertumpu kepada perkembangan fizikal. Sekiranya kanak-kanak berjaya dan
mendapat sokongan daripada ahli keluarga maka secara automatik akan menimbulkan rasa
percaya kepada tahap keupayaan diri tetapi sekiranya gagal melaksanakan berkemungkinan
mereka akan hilang keyakinan dan mula ragu-ragu untuk mencuba.

Seterusnya, peringkat yang ketiga ialah inisiatif lawan rasa bersalah. Kanak-kanak
yang berumur 4 hingga 5 tahun pada masa ini mencuba untuk belajar berdikari, sentiasa
berusaha untuk melakukan sesuatu yang baru dengan inisiatif sendiri dan lebih kreatif dalam
melakukan sesuatu. Sekiranya mereka tidak berjaya melakukan apa yang mereka inginkan,
akan timbul perasaan bersalah dalam diri kerana tidak mampu mencapai apa yang diingini.

Kemudian, peringkat umur 6 hingga 11 tahun ialah peringkat kanak-kanak mengalami


industri kerajinan lawan rasa rendah diri. Hal ini menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu
menguasai kemahiran-kemahiran tertentu ketika berada di alam persekolahan. Sebagai
contohnya, kanak-kanak akan belajar kemahiran bermain sukan bola sepak atau hoki.
bergantung kepada minat masing-masing. Tetapi jika mereka tidak berjaya dalam sesi
latihan atau sebagainya, mereka akan membawa rasa rendah diri dan tiada keupayaan
untuk memajukan diri.

24
Pada peringkat yang kelima melibatkan peringkat identiti lawan kekeliruan identiti.
Apakah yang dimaksudkan dengan identiti lawan kekeliruan identiti? Pada waktu ini, kanak-
kanak mula mencari identiti diri yang sebenar bagi meneruskan kehidupan ke peringkat yang
lebih besar. Bagi golongan remaja, mereka mula mencari arah tujuan dalam bidang
pekerjaan, kemahiran yang layak bagi diri mereka, jantina dan peluang bersosial. Pada
masa yang sama juga, mereka mula keliru dengan apa yang sesuai dan layak untuk diri
mereka sendiri.

Seterusnya, peringkat keintiman lawan keasingan berlaku pada tahap umur 18


hingga 35 tahun. Pada waktu ini, golongan dewasa sudah mula membentuk keintiman dalam
hubungan masing-masing, lebih menjurus ke arah perkahwinan dan membina peluang
kerjaya yang lebih luas. Apabila gagal berkahwin, tidak mendapat pekerjaan seperti yang
diinginkan, akan membawa kepada keadaan terasing dan tersisih. Walaupun sudah dewasa,
namun perasaan terasing dan tersisih tetap akan wujud dalam diri.

Peringkat yang ketujuh ialah peringkat generativiti lawan kekakuan iaitu berlaku pada
peringkat umur 35 hingga 65 tahun. Pada waktu ini, mereka telah berjaya membina sebuah
keluaga yang bahagia dan mempunyai kerjaya yang baik. Namun begitu, apabila mereka
gagal satu kali terhadap profesion masing-masing ataupun gagal dalam mencapai sesuatu,
maka kegagalan itu akan membawa kepada perasaan pentingkan diri sendiri.

Akhir sekali, peringkat kelapan ialah integriti lawan kekecewaan yang berlaku pada
individu berumur 65 tahun ke atas sahaja. Pada peringkat ini, mereka akan mencapai
kejayaan dalam kehidupan berkeluarga dan dalam bidang kerjaya. Kegagalan yang akan
berlaku membawa kepada kesedihan dan kekecewaan yang melampau.

2.1 INDUSTRI RAJIN LAWAN RASA RENDAH DIRI (6-11 TAHUN)

Saya telah mengambil seorang kanak-kanak yang berumur 6 tahun untuk djadikan
bahan kajian daripada aspek perkembangan sosioemosi. Mengikut teori Erik Erikson, bagi
kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 6 hingga 11 tahun, pada masa ini mereka
akan mengalami peringkat industri lawan rasa rendah diri. Hal ini membawa maksud kanak-
kanak akan mencuba sedaya upaya untuk melakukan sesuatu yang mereka inginkan
daripada gagal. Pemerhatian mendapati bahawa individu A seorang yang berusaha dalam
melakukan sesuatu yang diingininya dengan bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, ketika
bermain masak-masak dengan rakannya, dia berusaha menjadi seorang ibu yang sedang
menyiapkan makanan kepada anak-anaknya iaitu rakan-rakan yang lain.

25
Ciri-ciri perkembangan sosioemosi pada tahap umur 6 hingga 11 tahun ialah
keinginan untuk menguasai sesuatu. Pada waktu ini, kanak-kanak mempunyai pelbagai
keinginan untuk dikuasai seperti keinginan untuk memjadi guru suatu hari nanti. Contoh yang
diberikan berkaitan dengan individu A kerana individu A menunjukkan sifat suka membaca
dan kerap kali meminta saya membeli buku kepadanya. Apabila bertanya kepadanya,
individu A menyatakan bahawa dia ingin menjadi seorang guru sepertimana kakaknya. Ini
membuktikan bahawa tahap perkembangan individu A adalah seimbang mengikut apa yang
diperkatakan dalam teori Erik Erikson. Individu A melawan rasa rendah diri dengan sentiasa
membaca buku dan juga membaca apa-apa perkataan yang dilihat seperti menyebut no plat
kereta atau motosikal yang lalu di hadapannya, membaca perkataan yang tertera pada
televisyen dan sebagainya.

Menurut teori Erik Erikson, pada peringkat ini kanak-kanak perlu menyalurkan tenaga
mereka kepada perkara yang baik seperti meluangkan masa dengan membaca atau
mengulangkaji pelajaran, beriadah dan sebagainya. Hal ini kerana, melalui ketekunan kanak-
kanak akan berkeupayaan untuk melakukan sesuatu. Contohnya, kanak-kanak yang rajin
membaca akan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Peringkat ini adalah
merupakan kunci kepada perkembangan sikap yang rajin dan keinginan melakukan aktiviti
yang berfaedah sahaja. Kanak-kanak akan berasa rendah diri sekiranya tidak mendapat
galakan dan sokongan daripada orang-orang yang rapat dengannya. Hal ini akan
menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri. Justeru itu, aktiviti berfaedah yang
dilakukannya hendaklah diberikan pujian agar kanak-kanak merasa seronok.

Secara konklusinya, teori Erik Erikson jelas membuktikan bahawa pada tahap umur 6
hingga 11 tahun, kanak-kanak mengalami peringkat konflik ketekunan lawan rasa rendah
diri. Berdasarkan pemerhatian mendapati bahawa individu A tergolong dalam golongan
industri ketekunan. Ini kerana, saya mendapati bahawa individu A banyak berusaha dalam
memperolehi sesuatu perkara yang diinginkan dan menunjukkan keinginan yang tinggi untuk
berjaya walaupun diganggu dengan emosi diri yang tidak stabil. Pada pandangan saya,
individu A menunjukkan perkembangan sosioemosi yang seimbang dan stabil sesuai dengan
tahap perkembangan umur. Saya juga merasakan bahawa individu A dapat menjadi seorang
yang berjaya suatu hari nanti berdasarkan tingkah laku positif yang ditunjukkan sepanjang
tempoh pemerhatian dijalankan.

26
3.0 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Perkembangan seseorang amat dipengaruhi oleh faktor baka dan persekitaran. Baka
ialah gen-gen yang diperturunkan daripada ibu bapa kepada anak-anaknya. Ciri-ciri baka
adalah seperti warna kulit, saiz fizikal, warna mata, jenis rambut dan lain-lain. Baka ini boleh
menguasai penyuburan fizikal dan mental. Selain itu, baka juga dapat menetapkan had
keupayaan dan kemampuan mental sama ada pandai ataupun kurang pandai. R. Hilgard
(1968) menyatakan bahawa baka dapat menentukan persamaan antara ibu bapa dengan
anak-anaknya dalam kalangan satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti
kebolehan, minat dan kawalan emosi.

Menurut Norman L. Munn (1969), mentakrifkan persekitaran ialah kuasa luaran yang
boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang individu. Faktor persekitaran meliputi aspek
rakan sebaya, keluarga, ekonomi dan banyak lagi. Faktor persekitaran mempunyai dua
kategori iaitu faktor pralahir dan faktor selepas lahir. Merujuk teori Ekologi Bronfenbrenner
(1979,1989), dalam Wong Kiet Wah et.al (2013), menjelaskan bahawa perkembangan
kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem,
ekosistem, makrosistem dan kronosistem. Setiap unsur-unsur ini adalah berbeza dan
mempengaruhi tahap perkembangan seseorang individu.

Oleh itu, proses perkembangan yang berlaku pada setiap individu adalah berbeza
antara satu sama lain. Walaupun kembar, tahap perkembangan yang dialamai tetap akan
berbeza antara satu sama lain. Mengikut kajian yang telah dilakukan oleh ahli-ahli psikologi,
tidak ada dua orang yang melalui proses perkembangan yang sama walaupun proses
pertumbuhan yang dilalui adalah sama. Perbezaan ini dapat dilihat dari aspek kognitif, fizikal,
emosi, sosial dan jasmani.

3.1 FAKTOR BAKA

Baka merujuk kepada ciri-ciri biologi atau gen-gen yang diperturunkan daripada ibu
bapa kepada anak-anaknya. Setiap individu normal akan mempunyai 23 pasang kromosom.
Apabila proses persenyawaan antara sperma dan ovum berlaku maka kromosom-kromosom
ini akan terjalin dan mempengaruhi ciri-ciri yang bakal diwarisi oleh bayi itu kelak. Gen
merupakan penentu utama dalam pewarisan ciri-ciri perkembangan individu serta
sesetengah penyakit ibu bapa. Hal ini kerana, pengaruh genetik terhadap perkembangan
manusia dapat diperhatikan ke atas ciri-ciri perbezaan individu dari segi fizikal seperti saiz
badan, warna organ deria serta kemahiran fizikal yang unik. Kajian juga mendapati bahawa

27
ciri-ciri fizikal luaran seperti warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen
ibu bapa.

Selain itu, mengikut ahli-ahli psikologi menyatakan bahawa emosi seseorang individu
juga dipengaruhi daripada baka ibu bapa. Misalnya, seorang ibu bapa yang mempunyai
emosi yang tidak stabil dan bersifat pemarah akan menghasilkan anak yang kurang stabil
dan bersifat agresif. Pemerhatian mendapati bahawa individu A seorang yang peramah dan
sering tersenyum sewaktu bermain dengan rakan-rakannya. Dalam hal ini, saya
berpendapat bahawa faktor baka ibu bapa individu A positif berdasarkan sikap dan tingkah
laku yang ditunjukkan.

Dari segi kecerdasan intelek juga dipengaruhi oleh faktor baka daripada ibu bapa itu
sendiri. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan seseorang
individu dengan yang lain berdasarkan kepada keputusan prestasi dalam peperiksaan atau
penilaian guru itu sendiri. Biasanya, ibu bapa yang pintar dan cerdik akan menghasilkan
anak yang pintar. Perkara ini kebanyakannya terjadi kepada ibu bapa yang bekerja sebagai
guru, anak tersebut akan mengikut genetik pintar ibu bapanya. Berdasarkan pemerhatian
yang dijalankan terhadap individu A, saya dapat merasakan bahawa ibu bapa individu A
merupakan seorang yang rajin kerana individu A rajin membasuh pinggan yang telah
digunakan walaupun baru berumur 6 tahun.

Selain itu, baka boleh menentukan struktur organ seseorang individu. Kebiasaanya,
ibu bapa yang sihat tanpa sebarang penyakit akan melahirkan anak yang sihat dan cergas.
Tetapi, jika ibu bapa sering mengalami masalah kesihatan, berkemungkinan besar anak
akan mewarisi penyakit tersebut. Hal ini kerana gen-gen ibu bapa saling bergabung dalam
menghasilkan satu gen yang dimiliki oleh anak tersebut. Contoh penyakit yang disebabkan
oleh baka ialah diabetes dan haemofilia. Berdasarkan pemerhatian, individu A seorang yang
aktif dan sihat. Guru kelas juga menyatakan bahawa individu A jarang tidak hadir ke sekolah
kerana faktor kesihatan. Ini membuktikan individu A mempunyai genetik yang sihat.

Genetik juga memainkan peranan dalam menentukan ciri-ciri fizikal seseorang


individu seperti warna rambut, warna mata, ketinggian, paras rupa dan bentuk. Misalnya,
seorang ibu bapa yang berambut hitam akan melahirkan anak yang berambut hitam. Bagi
ibu bapa yang berambut kerinting, peratusan anak yang dilahirkan itu berambut kerinting
adalah besar. Kajian mendapati bahawa individu A seorang yang kecil dan berambut lurus.
Mungkin kedua-dua ibu bapa individu A mempunyai rambut yang lurus dan hitam pekat
kerana warna rambut individu A adalah hitam.

28
Kesimpulannya, baka memainkan peranan penting dalam menentukan emosi,
tingkah laku, tahap kecerdasan intelek, prestasi dan juga ciri-ciri fizikal seseorang. Baka
yang bermutu akan menghasilkan benih yang bermutu dan begitulah juga ibu bapa yang
mempunyai baka yang sihat akan melahirkan seorang anak yang sihat dan cergas. Faktor
baka sangat mempengaruhi tahap perkembangan sosioemosi kanak-kanak kerana anak-
anak akan mengikut acuan yang dididik dan diamalkan oleh keluarganya bak kata pepatah
“Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi”.

3.2 FAKTOR PERSEKITARAN

Faktor kedua yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak


adalah dari segi persekitaran. Faktor persekitaran adalah menyeluruh meliputi faktor
keluarga, rakan sebaya, kebudayaan dan kemasyarakatan, faktor sekolah dan guru, sumber
teknologi dan lain-lain. Persekitaran juga memainkan peranan dalam menentukan tahap
perkembangan sosioemosi seseorang individu kerana melalui pengalaman dalam
persekitaran inilah, kanak-kanak akan mula belajar menyesuaikan diri dan mengadaptasi
segala apa yang diinginkannya dalam kehidupan seharian.

3.2.1 FAKTOR KELUARGA

Keluarga merupakan orang yang paling rapat dengan kita. Oleh itu, faktor
keluarga lebih memainkan peranan yang dominan dalam menentukan perkembangan
seseorang individu. Hal ini kerana, mereka mempunyai hubungan pertalian darah
yang sama dan lebih banyak meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga
daripada rakan-rakan. Bagi seseorang individu yang hidup dalam suasana keluarga
yang harmoni akan menunjukkan tingkah laku yang positif seperti mudah tersenyum,
boleh berdikari sendiri, tidak bersifat panas baran dan sebagainya. Tetapi keadaan
yang sebaliknya akan berlaku kepada kanak-kanak yang hidup dalam keluarga yang
tidak harmoni. Mereka akan bersifat murung, pendiam dan agresif. Melalui didikan
dan kasih sayang yang sempurna daripada ibu bapa akan melahirkan seorang
individu yang bertanggungjawab pada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Individu A seorang yang sangat manja. Hal ini kerana dia merupakan anak
bongsu daripada tujuh adik beradik. Pada waktu pagi sebelum pergi ke sekolah,
individu A akan mencium tangan dan pipi ayah serta ibunya dahulu. Selain itu, guru
juga ada menceritakan bahawa individu A seorang yang pandai bersosial kerana dia

29
mudah bertegur sapa dengan sesiapa sahaja yang dijumpainya dengan mengajak
bermain bersama-sama. Dalam hal ini, saya berpendapat individu A hidup dalam
suasana keluarga yang harmoni berdasarkan emosi dan tingkah laku yang
ditunjukkan.

3.2.2 FAKTOR RAKAN SEBAYA

Seterusnya, rakan sebaya juga mempengaruhi tahap perkembangan


seseorang. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, mereka akan berkenalan
dengan ramai rakan-rakan baru dan mula belajar sesuatu yang baru daripada
mereka. Pengaruh rakan sebaya adalah penting dalam perkembangan intelek,
sahsiah, emosi dan sosial. Hal ini kerana, rakan sebaya boleh mempengaruhi
seseorang dalam mencapai sesuatu yang diinginkan. Misalnya, kanak-kanak yang
bergaul dengan rakan yang rajin akan menggalakkan rakannya untuk belajar
bersama.

Keadaan yang sebaliknya akan terjadi jika kanak-kanak bersosial dengan


rakan yang bersikap negatif dan anti sosial. Akhlak dan nilai yang diamalkan oleh
seorang rakan sangat mempengaruhi rakan-rakan yang lain. Dalam hal ini, individu A
berkawan dengan semua orang dalam kelasnya tetapi dia lebih rapat dengan rakan
dalam kumpulan mejanya. Dari segi pergaulan dan komunikasi dengan rakan-rakan,
saya mendapati bahawa individu A seorang yang bijak memilih kawan.

Berdasarkan kepada pemerhatian, penulis mendapati bahawa perkembangan


sosioemosi individu A lebih banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran berbanding
faktor baka. Hal ini kerana individu A telah menunjukkan tingkah laku yang positif dan
seimbang selaras dengan teori perkembangan psikososial yang dikemukakan oleh
Erik Erikson pada tahap peringkat umur.

30

Anda mungkin juga menyukai