Anda di halaman 1dari 3

Ramli Ibrahim dh 35 thn dgn tarian klasik India

PENARI lelaki sering dilabelkan dengan pelbagai tanggapan yang kurang menyenangkan namun
bagi Ramli Ibrahim, perkara tersebut bukan alasan untuk beliau berhenti dan mengikut sahaja
arus pendapat yang dilontar masyarakat.
Perjalanan ikon seni kelahiran Kajang itu sememangnya sangat panjang. Pada usianya yang kini
telah mencecah 60 tahun, Ramli telah mengabdikan diri selama 35 tahun pada seni tarian
klasikal India.
Ramli mengakui, memang mencabar menjadi lelaki yang mempunyai minat dalam tarian
terutamanya dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Ramli Ibrahim, sebuah nama yang tidak asing lagi di dalam persada seni persembahan tanah air.
Walaupun kebanyakan hasil seninya merangkumi teater tari klasik India, Ramli pernah membuat
beberapa percubaan di dalam teater tari yang berasaskan rasa Melayu dan nusantara seperti
Gerhana, Pesta, Cita Rasa serta Pandanglah Lihatlah di awal 1980an dan 1990an. Mungkin
sambutan yang hambar di kalangan para pengkritik teater serta peminat-peminat Ramli dan Sutra
membuatkan beliau patah semangat untuk berekspresi dalam seni nuansa Melayu.

Beliau sering dikecam oleh masyarakat dan pengkritik Melayu sebagai “Tidak Islam” kerana
mendewa-dewakan tarian- tarian klasik India yang sememangnya banyak berlegar dan
berunsurkan ketuhanan agama Hindu. Tapi Ramli tetap dengan pendiriannya yang beliau tidak
menganuti ajaran ketuhanan Hindu, sebaliknya mengagumi ketinggian seni tari dan teaternya.
Beliau pernah mengatakan “Saya berada di dalam satu kelompok seni yang agak sulit.
Masyarakat India mahukan seorang seniman tari India yang lahir dari kalangan kaum India,
mungkin kerana inginkan seni tradisinya kekal sebagai identiti budayanya. Kaum Melayu pula
inginkan saya mencipta tarian-tarian yang berinspirasikan budaya Melayu. Mungkin saya telah
memusnahkan impian mereka”

Lelaki Melayu yang telah mencecah umur lima puluhan ini terus melahirkan karya-karya seni
tari India, malah Ramli dan Sutra, kumpulan seninya, baru saja mempersembahkan karya
terbarunya “Spellbound”, sebuah persembahan tarian klasik India “Oddisi” di Istana Budaya
pada 16-20 haribulan Februari 2005 dengan jayanya. Sebelum itu beliau telah
mempersembahkan karya ini di Tanjung Rhu, Langkawi. Karya teater tari ini akan
dipersembahkan di beberapa kota di Malaysia, Pulau Pinang (25 Februari), Ipoh (26 Februari),
Seremban (2 Mac), Johor Bharu (4 Mac) serta Singapura pada 5 Mac 2005.

“Ini adalah kali pertama saya dan Sutra diberikan peluang yang sewajarnya di Istana Budaya”
ujar Ramli Ibrahim. Sebelum ini Ramli Ibrahim telah terpilih sebagai salah seorang dari sepuluh
Koreografer Kontemporari Malaysia di dalam persembahan “Emas Sepuluh” pada tahun 2004
dan menampilkan Sutra Dance Company dalam karyanya. Ramli juga pernah menerima
‘Lifetime Achievement Award 2003’ dari Kakiseni-Boh Cameronian Arts Award. Seniman yang
baru saja menerima anugerah ‘Johan Setia Mahkota’ ini mendapat latihan di dalam tarian Ballet
klasik, tari moden dan tarian India klasik (Bharata Natyam dan Oddisi). Beliau pernah menari
dengan kumpulan Sydney Dance Company (1977-82) dan menjelajah dunia. Beliau juga banyak
belajar dari Dr.Chandrabhanu (Zamin Haroon), guru tarian klasik India yang menetap di
Australia. Ramli berguru dalam tarian Bharata Natyam dari Guru Padmashri Adyar K.Lashman
dan tarian Odissi dari Guru Deba Prasad Das di India.
Persembahan “Spellbound” atau terjemahannya ‘Terpukau’ adalah sebuah produksi hasil
kolaborasi Ramli dan Sutra dengan Guru Durga Charan Rambir dari Orissa, India. Musik untuk
persembahan ini dibekalkan oleh para pemusik khas dari Odissi, India – Sukanta (vokal), Guru
Dhaneswar (mardal), Abhiram (seruling), Niranjan (viola) serta Swapneswar (sitar). Guru Durga
Charan sememangnya terkenal di Orissa, tempat kelahiran tarian Odissi, juga di New Delhi.
Beliau dianggap sebagai penyambung kepada Guru Deba Prasad Das, yang juga menjadi guru
kepada Ramli. Sebelum ini Guru Durga pernah berkolaborasi dengan Ramli dan Sutra pada
tahun 2003. Ramli pernah mementaskan produksi “Spellbound” di tahun 1990an, tetapi ternyata
produksi “Spellbound” kolaborasi ini jauh lebih menyengat. Ramli juga pernah berkolaborasi
dengan seniman-seniman dari beberapa negara Asia pada tahun 2003 dalam produksi
“Sidhartha” karya Herman Hesse. Malangnya produksi tersebut begitu hambar dan tidak
bermaya serta mati sebelum waktunya.
“Spellbound” dibahagikan kepada enam koreografi – Mangala Caranam, Pallavi, Ashta Sambhu,
sebelum interval, kemudiannya disambung dengan Krisna Tandava, Ashta Nayika dan Aditya
Archana. Mangala Caranam adalah sebuah tari yang didedikasikan kepada Dewi Saraswati, dewi
kepada mitos, nyanyian, seni serta ilmu. Pallavi adalah sebuah tari yang asli serta khusus dalam
tarian Odissi yang bermaksud ‘elaborasi’ yang menampilkan sifat ketuhanan. Ashta Sambhu pula
menceritakan tentang Dewa Siva. Manakala Krishna Tandava menampilkan keabadian Dewa
Khrisna, Ashta Nayika dan Aditya Archana masing-masing bercerita tentang heroin-heroin
wanita di dalam tarian Odissi, termasuk tentang kisah cinta yang erotis, Sringara, dan Aditya
adalah nama lain untuk Suriya atau Matahari, titik kepada sesebuah kreativiti, salah satu dewi
pujaan.

Apa yang menarik didalam karya “Spellbound” di Istana Budaya adalah produksinya secara
keseluruhan. Ia telah menampilkan rekabentuk serta tatarias yang luarbiasa. Rekabentuk
pentasnya yang direka oleh Sivarajah Natarajan, merangkumi semua aspek reka set, reka lampu,
fotografi serta arahan teknikal. Sivarajah menggunakan teknik penggambaran fotografi serta
vidoegrafi berlatarbelakangkan suara Ramli Ibrahim sendiri, seolah-olah kita sedang menonton
National Geographic, di mana kita di bawa mengunjungi kuil-kuil peninggalan yang berkurun-
kurun lamanya di India. Fotografi dan vidoegrafi yang dipancarkan ke layar putih di bahagian
depan pentas kemudiannya bertindih dengan set sebuah pintu gerbang yang penuh dengan
ukiran-ukiran lama. Seterusnya, tampillah para penari yang disaluti tatarias serta busana yang
penuh gemilang warna-warnanya. Sivarajah menampilkan rekaan pintu gerbang yang berbeza-
beza untuk setiap sessi tarian. Walaupun beliau telah dapat menggunakan semua teknik-teknik
pementasan yang ada di pentas Panggung Sari Istana Budaya, lakaran lampunya masih berada di
tahap sederhana.
Di sini juga dapat kita saksikan sesungguhnya Ramli telah berjaya menampil penari-penari klasik
India yang mempesonakan seperti January Low. January telah memenangi ‘Anugerah
Persembahan Solo Terbaik 2003’ dari Kakiseni-Boh Cameronian. Di dalam persembahan kali
ini, kita terus asyik menonton lenggang lenggoknya serta kemasan-kemasan tariannya yang
begitu rapi, tepat dan padat dengan rasa dan emosinya. Malangnya January tidak banyak
ditampilkan secara solo. Antara penari-penari lain yang mantap termasuklah Revathi
Tamilselvan, Vidya Pushpanatan serta penari lelaki Parveen Nair yang begitu berkaliber. Parven
begitu berkeyakinan menari di samping Ramli, dan sering mengambil tempat yang utama
didalam menampilkan tari dan rasanya. Malah kehadiran Parveen yang baru berusia dua puluhan,
lebih dirasakan daripada Ramli, yang kian meningkat usianya. Walaubagaimanpun, Parven, yang
tidak berapa tinggi ukurannya, mempunyai kelemahannya yang tidah dapat dielakkan. Mungkin
suatu masa nanti beliau mampu menutup kelemahannya dengan kelincahan dan ketangkasannya
di pentas. Sebelum ini Ramli telah banyak melahirkan penari-penari India klasik yang berjaya
seperti Guna, Marvin, Gheeta dan lain-lain lagi. Apa yang penting, Ramli terus bersemarak
dalam membangkitkan Sutranya.