Anda di halaman 1dari 10

PENGENALAN

Pendidikan di Malaysia menekankan kepentingan melahirkan warga Malaysia yang


kreatif dan inovatif. Seinring dengan itu, Falsafah Pendidikan Negara juga turut memberi
penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang kreatif dan inovatif bagi
pembangunan sesebuah negara. Usaha yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia ini dilihat relevan dengan aspirasi pendidikan seni visual kerana subjek ini dilihat
sebagai satu cabang disiplin yang membolehkan fikiran kreatif berkembang kerana sifatnya
yang tidak konservatif dan tidak jumud.. Selain menggalakkan penjanaan idea, mata
pelajaran ini banyak memberi peluang dan kebebasan kepada murid untuk melakukan
penerokaan dan percubaan bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik. Dalam hal ini,
pemupukan pemikiran kreatif perlu disemai semenjak kanak-kanak lagi.

Kreativiti dapat ditafsirkan sebagai kebolehan berimaginasi atau mencipta sesuatu


yang baharu. Ia merupakan satu kebolehan menjana idea baharu dengan menggabung,
mengubah dan mengaplikasikan semua idea. Kreativiti melibatkan pemikiran dan khayalan
serta berkebolehan untuk melihat sesuatu dalam cara yang berbeza untuk mencari
kepuasan dalam menghasilkan sesuatu dan memerlukan ketekunan dalam penghasilan
sesuatu karya. Kreativiti paling jelas dapat dilihat pada kanak-kanak kerana bagi mereka
segalanya adalah baru dan otak mereka yang kecil sentiasa cuba menggabungkan fikiran
dan idea-idea, sambil meneroka dunia di sekeliling mereka.

Walau bagaimanapun, kreativiti bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza dan tidak
semua kanak-kanak melakukan aktiviti seni dan hanya sesetengah kanak-kanak sahaja
yang gemar melukis dan mewarnakan lukisaan walaupun tanpa disuruh. Manakala kanak-
kanak yang pemalu atau takut mungkin memerlukan idea untuk mendorong mereka
memulakannya. Oleh itu, melalui kajian penghasilan sesuatu hasil kreatif kanak-kanak, guru
Pendidikan Seni Visual dapat mengenali perkembangan pengutaraan tampak, bakat dan
kebolehan mereka. Hal ini kerana, hasil kreatif tersebut dapat dijadikan sebagai alat
komunikasi dan juga sebagai refleksi kepada pemikiran kanak-kanak tersebut.

Sehubungan dengan itu, penulis yang terdiri daripada tiga orang guru pelatih dalam
satu kumpulan telah melakukan kajian dan temubual terhadap murid tahap satu di Sekolah
Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail dan sebulat suara untuk
memilih empat orang murid tahun tiga sebagai responden bagi kajian ini. Kajian ini dilakukan
adalah bertujuan untuk menganalisis apresiasi karya seni yang dihasilkan murid tahun tiga
tersebut dari segi bentuk, makna dan tahap perkembangan mereka. Melalui hasil kajian
tersebut, penulis melakukan analisis dan menyenaraikan beberapa perbezaan apresiasi
melalui dua karya lukisan yang dihasilkan oleh setiap murid.
KAJIAN PERBEZAAN APRESIASI KARYA SENI LUKISAN KANAK-KANAK

Lowenfeld dan Britain (1987) telah memperkenalkan teori perkembangan


pengutaraan tampak kanak-kanak mengikuti peringkat-peringkat perkembagan fizikal,
mental, sosial, intelek, dan estetik, kanak-kanak.Peringkat perkembangan pengutaraan
tampak mereka merangkumi peringkat contengan (2-4 tahun), praskematik (4-7 tahun),
skematik (7-9 tahun), realism ( 9-12 tahun), penaakulan (12-14 tahun), dan remaja (14-17
tahun). Pada setiap peringkat, kanak-kanak mempunyai keperluan dan keinginan asas dari
segi fizikal, mental, emosi, sosial, intelek dan estetik. Tahap perkembangan kanak-kanak
sentiasa terkawal dan mereka tidak pandai menipu walaupun dalam karya seni. Kanak-
kanak sentiasa belajar melalui pengalaman yang berlaku di persekitaran mereka.
Seterusnya, menurut Victor Lowenfeld (1975) teori kreativiti yang diutarakan oleh beliau
adalah satu naluri semula jadi yang di miliki oleh setiap orang sejak lahir lagi. Naluri
merupakan faktor pertama yang digunakan bagi menyelesaikan ataupun membuat
pernyataan tentang masalah mengenai kehidupan. Manakala keinginan pula merupakan
asas yang mendorong seseorang dalam menyelidik atau meneroka sesuatu. Maka tanpa
naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.Menurut Lowenfeld juga, kreativiti turut
memberikan penekanan kepada kebolehan manusia dalam menghasilkan sesuatu teknik
bagi mengolah bahan, media, serta alat. Teori ini dianggap berkesan sebagai satu cara
pembelajaran kreativiti melalui pendidikan seni.

Sehubungan dengan itu, kajian telah dijalankan terhadap beberapa orang murid
Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail antaranya
Raihana Nadhirah dari tahun 3 Pintar dan Ain Nurjannah dari tahun 3 Cerdik. Pada umur 9
tahun kanak-kanak ini berada pada peringkat skematik (7-9 tahun) atau peringkat realism (9-
12 tahun). Kanak-kanak pada peringkat ini kurang cenderung untuk melukis imej objek.
Lukisan mula dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu dan objek diualang-ulangkan
dengan cara yang sama. Kanak-kanak diperingkat ini juga tertarik melukis gambar manusia
dan objek-objek yang menarik perhatian mereka, di mana lukisan mereka banyak
menggunakan bentuk geometri seperti bulat, empat segi, tiga segi, bujur dan lain-lain. Objek
yang menjadi tumpuan mereka seperti muka manusia digambarkan secara berlebihan
(exegeration). Kefahaman mereka tentang ruang digambarkan melalui satu garisan dasar
satah dimana semua objek dilukis di atas atau dalam lingkungan garisan tersebut. Lukisan
mereka juga benyak kelihatan bersifat hiasan (dekoratif)

. Berdasarkan lukisan dua murid perempuan yang dikaji iaitu Raihana dan Jannah
terdapat beberapa perbezaan Asas Seni Reka yang dapat dikenal pasti melalui bentuk dan
makna yang terdapat dalam lukisan tersebut. Melalui penelitian dan soal jawab yang
dijalankan terhadap murid berkenaan, penulis mendapati bahawa lukisan yang dihasilkan
murid ini sememangnya telah melukis dan memperlihatkan sebahagian besar daripada ciri-
ciri yang diklasifikasikan dalam lukisan kanak-kanak peringkat skematik atau peringkat
realism mengikut teori victor lowenfeld. Antara ciri-ciri yang diperlihatkan dalam lukisan
tersebut termasuklah reprentasi objek seperti figura manusia, matahari, bangunan sekolah
dan sebagainya. Pada kedua-dua hasil lukisan iaitu “keluarga saya” dan “sekolah saya”,
Raihana lebih banyak menerapkan penggunaan jenis garisan seperti garisan halus dalam
pembentukan imej-imej figura manusia, objek buatan manusia iaitu pintu bilik dan pasu
bunga, garisan kasar dijelaskan menggunakan media kering iaitu pensil warna , garisan
beralun pada garisan luar objek frame gambar, garisan berserabut juga dilihat pada pintu
sehingga menimbulkan jalinan tampak hasil daripada penggunaan pensil warna yang
ditekan secara kuat, garisan selari dan berulang digunakan dalam membentuk objek
bangunan sekolah dan garisan berduri dapat dilihat pada lukisan alam semula jadi iaitu
pada bahagian lukisan matahari. Berbanding lukisan Jannah hanya menerapkan beberapa
jenis garisan sahaja iaitu garisan kasar, garisan tebal yang dapat dilihat dalam membentuk
mata pada figura manusia, garisan nipis pada penghasilan figura manusia, garisan beralun
pula dapat dilihat pada penghasilan bendera yang sedang berkibar dan garisan berduri
dalam membentuk matahari.

Dari segi warna pula, Raihana menggunakan warna-warna yang lembut dan tidak
terang pada hasil lukisannya, manakala Jannah menggunakan gabungan warna-warna yang
gelap dan terang, ini menunjukkan keberanian Jannah dalam mengaplikasikan warna. Hal
ini juga menunjukkan kedua-dua pelajar ini pandai memadankan warna pada tempat yang
betul. Penggunaan media kering iaitu pensel warna juga tidak terkeluar daripada garisan
dan mementingkan kekemasan. Menurut Raihana, dia mewarnakan rambut imej figura
manusia yang dimaksudkan dirinya dengan warna kuning kerana sering menonton animasi
kartun yang mempunyai watak berrambut kuning. Pada pandangan penulis, Raihana
menerapkan pengalaman dan pengetahuan disekelilingnya ke dalam penghasilan lukisan
tersebut. kerana pada kebiasaannya cerita kartun yang dihasilkan oleh negara barat yang
berimej figura manusia dengan rambut berwarna kuning yang menunjukkan jenis warna
rambut sesuatu kaum atau bangsa di Negara barat. Dalam temu bual yang diadakan
bersama Raihana juga ada menyatakan bahawa dia meminati warna biru. Ini dapat dilihat
dalam lukisan Raihana yang dilihat banyak menggunakan warna-warna biru. Jannah juga
pandai memadankan warna-warna yang ada pada bendera dengan betul seperti warna
bendera negeri Terengganu ialah hitam dan putih. Dapat disimpulkan bahawa Jannah
merupakan seorang kanak-kanak yang amat peka terhadap persekitaran sekelilingnya.
Berbicara tentang penggunaan warna dalam lukisan kanak-kanak, penulis mendapati
bahawa Raihana dan Jannah menggunakan warna yang sesuai dengan naluri kanak-kanak
yang gemar akan kepelbagaian warna. Penggunaan warna asas (biru, merah dan kuning)
yang terang dan menarik perhatian adalah menjadi pilihan kebanyakan kanak-kanak.
Demikian juga halnya dengan warna sekunder dan juga warna penggenap yang turut
digunakan seperti warna coklat. Penggunaan ton dalam lukisan kanak-kanak jarang kita lihat
kerana mereka belum memahami konsep pencahayaan dalam mewarna. Walau
bagaimanapun, kita dapat melihat wujudnya pengaplikasian ton warna yang betul pada
objek seperti bendera Terengganu berwarna hitam putih, matahari berwarna oren dan
sebagainya. Namun demikian, ton yang ditunjukkan dalam lukisan ini tidaklah bersifat
realistik dan sempurna. Pengaplikasian ton ini hanyalah menunjukkan bahawa kanak-kanak
ini sudah mula memahami bahawa wujud konsep pencahayaan dalam lukisan.

Seterusnya unsur seni rupa, Raihana dan Jannah telah menerapkan kedua-dua jenis
rupa iaitu organik dan geometri. Hal ini dapat dilihat pada objek-objek yang dihasilkan iaitu
objek yang bersudut dan objek yang tidak bersudut. Bentuk yang dihasilkan ialah berbentuk
ilusi kerana hasil lukisan mereka merupakan karya 2 dimensi. Bentuk yang dihasilkan oleh
raihana dilukis secara besar dan menggunakan ruang yang menyeluruh berbanding Jannah
yang menghasilkan lukisan berbentuk objek kecil dan ruang yang digunakan pula tidak
digunakan sepenuhnya. Hasil daripada penelitian dan temu bual penulis bersama murid
mendapati bahawa Raihana lebih berani dalam menyatakan ceritanya melalui lukisan
berbanding Jannah yang agak pendiam dan banyak berahsia apabila diajukan beberapa
soalan. Dalam lukisan Raihana juga menunjukkan terdapat unsur perspektif iaitu ruang atas,
tengah dan bawah. Ini dapat dilihat melalui fungsi dan saiz lukisan objek adalah berbeza.
Manakala Jannah pula kurang dalam penggunaan ruang perspektif kerana lukisan imej
figura manusia yang dihasilkan berkadar saiz yang tidak tepat. Hal ini dapat dilihat hasil
daripada temu bual pelajar, dia menyatakan bahawa figura dua orang lelaki dalam lukisan
keluarga saya itu adalah adik dan ayahnya, walhal saiz mereka sama. Apabila disoal
kenapa mereka dilukis dalam saiz yang sama, namun Jannah hanya mendiamkan diri.

Selain itu prinsip rekaan yang dapat dikenal pasti dalam lukisan kanak-kanak
tersebut ialah harmoni, keseimbangan, pergerakan, kesatuan dan kepelbagaian.
Berdasarkan lukisan Raihana, unsur harmoni dapat dilihat dari melalui caranya menyusun
objek-objek mengikut suatu arah tertentu dan penggunaan warna pada objek yang betul. Ini
menyebabkan lukisan Raihana kelihatan menarik dan selesa dilihat. Karya Jannah juga
mempunyai unsur harmoni yang dapat dilihat melalui pengunaan warna yang betul.
Keseimbangan juga wujud dalam lukisan Raihana kerana dia menggunakan perspektif
secara keseluruhan berbanding lukisan jannah yang kurang unsur perspektif dalam
lukisannya. Pergerakan wujud melalui lukisan Jannah kerana dia telah melukis bendera
yang sedang berkibar manakala Raihana tidak mempunyai unsur pergerakan dalam
lukisannya. Ini menandakan Jannah lebih peka terhadap bentuk fizikal objek disekelilingnya
dimana Jannah tahu cara untuk melukis keadaan bendera sedang berkibar.

Kesatuan dapat dilihat dalam kesemua lukisan Raihana dan Jannah. Hal ini kerana
kesatuan sangat berkait rapat dengan harmoni, jika sesebuah karya tersebut mempunyai
unsur kesatuan maka hasil karya tersebut akan kelihatan harmoni. Akhir sekali ialah
kepelbagaian, Raihana dan jannah menggunakan kepelbagaian jenis warna seperti warna
panas, warna sejuk dan warna semulajadi dalam lukisan mereka. Mereka juga
menggunakan kepelbagaian bentuk dan rupa seperti rupa geometri dan rupa organik. Tetapi
secara keseluruhannya, terdapat unsur penceritaan dalam lukisan Raihana. Contohnya
dalam lukisan Keluarga saya, Raihana memberitahu bahawa dia melukis suasana rumah
mereka pada waktu malam dimana imej figura manusia yang besar itu adalah dirinya yang
sedang berjalan untuk memasuki bilik tidur. Lukisan frame gambar yang sedang tergantung
didinding rumahnya pula ialah gambar sewaktu mereka menyambut perayaan hari raya.

Seterusnya, lukisan Jannah pula lebih tersembunyi penceritaannya dan objek yang
dilukis tidak mempunyai penceritaan. Hal ini kerana, apabila ditanya Jannah memberitahu
dia hanya melukis apa yang dia lihat. Semasa sesi temu bual juga Jannah memberitahu
bahawa dia tidak suka berkawan dan tidak mempunyai kawan baik. Pada pandangan
penulis mungkin Jannah mempunyai masaalah dari segi sosialnya yang menyebabkan dia
menjadi seorang yang tidak aktif dan pendiam. Dari aspek kognitif pula, penulis berpendapat
bahawa memandangkan Raihana dan Jannah merupakan pelajar dari kelas berlainan,
mungkin cara pemikiran dan kefahaman mereka berbeza. Berdasarkan maklumat, Raihana
adalah pelajar yang agak pintar sedikit berbanding Jannah, ini berkemungkinan bahawa
Raihana lebih pandai dalam meluahkan pengalaman dan pengetahuannya dalam bentuk
lukisan berbanding Jannah yang pada awalnya tidak mahu melukis dan tidak banyak
bercakap apabila ditanya.

Sudah selesai membincangkan dan membandingkan hasil lukisan pelajar


perempuan. Kini, perbincangan, perbandingan, perbezaan dan perbahasan akan giat
ditumpukan kepada murid lelaki pula. Murid lelaki yang terlibat ialah Muhammad Ammar Bin
Noor Asa’ari dan Muhammad Aqeel Fahmi Bin Kamaruddin. Menurut Lowenfeld (1975),
kebiasaannya bagi seorang dewasa, sebuah lukisan sering dikaitkan dengan kecantikan
dan kesempurnaan. Namun, bagi seorang kanak-kanak ianya adalah luahan dan ekspresif.
Bertepatan dengan kajian, penulis yang bertindak sebagai pengkaji mendapati bahawa
dalam tema ‘Sekolah Saya’, Ammar melukis dan cuba menzahirkan perasaan riangnya
dalam menjalani kehidupan sebagai seorang murid di sekolah. Bukti jelas kelihatan apabila
hanya terdapat dua figura di dalam sebuah ruang bilik darjah di sekolahnya. Jelas
menggambarkan keriangan dalam menuntut ilmu pada raut wajah Ammar apabila senyuman
manis diukur indah di hadapan kelas.

Bukan itu sahaja, figura di hadapan kelas itu diceritakan oleh Ammar kepada penulis
merupakan seorang guru. Ammar juga cuba menzahirkan betapa gurunya seorang yang
periang dan amat disayanginya apabila dia juga mengukir senyuman yang manis pada
figura yang terdapat di hadapan kelas itu. Kata Ammar juga, dia berasa tenang setiap hari
hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu. Perasaan itu jelas kelihatan dalam karya lukisan
Ammar membuatkan dia berjaya mengekspresi perasaan yang dialaminya. Jika Ammar
menzahirkan keriangannya di dalam bilik darjah, berbeza pula dengan seorang lagi murid
bernama Aqeel. Dia cuba menzahirkan keriangannya belajar di sekolah pada suasana
pembelajaran luar bilik darjah iaitu melakukan aktiviti kokurikulum kelab iaitu Kelab
Memanah.

Aqeel juga berfikiran seperti Ammar walaupun berbeza kelas, dia hanya melukis satu
figura yang menggambarkan dirinya dalam lukisan ‘Sekolah Saya’. Hal ini kerana menurut
Lowenfeld dalam buku terbitan Tinta Seni, kanak-kanak pada umur 7 hingga 9 tahun
merupakan peringkat Skimatik dimana skimatik atau simbol yang dillukis dapat
melambangkan individu kanak-kanak itu sendiri. Skima dalam kalangan kanak-kanak dapat
diukur berdasarkan bagaimana caranya mereka melihat sesuatu, emosi yang dihubungkan,
pengalaman keindahan dan perhubungan objek-objek. Jelas bahawa, figura dalam lukisan
Aqeel menggambarkan dirinya sedang melakukan aktiviti memanah dalam keadaan riang
dan gembira kerana senyuman jelas terpancar pada wajah figura itu.

Seterusnya, dalam kajian penulis menerusi lukisan kedua-dua murid lelaki ini dalam
tajuk ‘Keluarga Saya’, didapati Ammar mengambarkan sebuah keluarga yang bahagia dan
aman. Ini dapat dibuktikan dengan senyuman manis yang digambarkan oleh Ammar dalam
wajah dua figura dalam lukisan yang mana kedua-dua figura itu adalah gambaran ibu
bapanya. Berdasarkan hasil temubual antara penulis dengan Ammar, Ammar menyatakan
bahawa dia melukis ibu bapanya kerana merasakan mereka amat penting dalam
kehidupnya. Katanya lagi, dia tidak dapat hidup tanpa ibu bapanya. Berbanding Aqeel, dia
melukis dua figura di atas rumah yang melambangkan ibu bapanya yang senantiasa ada di
rumah mendidiknya dan memberikan kasih sayang tanpa berbelah bahagi.

Terpaut wajah kegembiraan dalam senyuman dua figura itu menggambarkan


keluarga Aqeel hidup gembira dan riang. Berdasarkan temubual penulis dengan Aqeel, dia
menyatakan bahawa tiada ruang lagi di atas rumah untuk melukis figura ketiga bagi
menggambarkan dirinya. Peringkat ini mementingkan bentuk, ruang dan konsep serta
pengulangan skima untuk menghasilkan suatu corak yang baik. Jelas menggambarkan
bahawa Ammar dan Aqeel berjaya menguasai peringkat Skimatik (7-9 tahun). Dengan
pengetahuan skima ini, penulis dapat memahami apa yang ingin disampaikan oleh kedua-
dua murid ini. Kita dapat mempelajari gambaran mental mereka terhadap sesuatu objek di
alam sekitarnya melalui proses pemikirannya.

Beralih pula kepada kajian penulis mengenai Asas seni reka yang ditonjolkan oleh
kedua-dua pelajar lelaki ini. Menurut Sem C. Bangun (2000) dalam buku karangan Hassan
Ghazali, kepakaran dalam bidang kritikan seni menjadi prasyarat agar pembaca dan
khalayak yakin dengan kritikan yang disampaikan, antara lain beliau mencadangkan
prasyarat seorang pengkritik seni antaranya mengetahui aspek formal (Asas seni reka)
termasuk persoalan media dan teknik. Dalam hal ini, penulis yang juga bertindak selaku
pengkaji lukisan kanak-kanak harus menilai tahap perkembangan lukisan kanak-kanak
dengan memerhati dan membuat ulasan visual berkenaan lukisan mereka. Berdasarkan
hasil lukisan murid lelaki Ammar dan Aqeel, penulis mendapati bahawa pada tajuk ‘Sekolah
Saya’, terdapat persamaan antara Ammar dan Aqeel dalam menghasilkan garisan. Mereka
cenderung menghasilkan garisan menggunakan pembaris membuatkan hasil lukisan
mereka kelihatan kaku dan menyerlahkan peringkat skimatik mereka.

Berbanding lukisan bertajuk ‘Keluarga Saya’, Didapati bahawa terdapat perbezaan


antara lukisan Ammar dan Aqeel dalam menggunakan teknik garisan untuk menghasilkan
rumah jika dibandingkan kedua-dua lukisan tersebut. Ammar menggunakan garisan lurus
pada tiang rumah sahaja. Pada bahagian tingkap, dia ingin menggunakan garisan jenis
lurus atau menegak tanpa menggunakan pembaris tetapi menjadi beralun kerana
psikomotornya masih belum mahir. Dalam menghasilkan tangga rumah pula diaplikasikan
jenis garisan mendatar dan berpancar. Berbanding dengan Aqeel, jelas ketara perbezaan
jenis garisan dalam menghasilkan tiang rumah dimana dia menghasilkan jenis garisan lurus
dan menegak tanpa menggunakan pembaris. Jelas kelihatan garisan beralun Aqeel
gunakan untuk menggambarkan dua buah bukit yang terdapat dibelakang rumahnya. Dia
juga mengaplikasikan garisan jenis berduri untuk menggambarkan daun atau pelepah
sebatang pokok yang tidak diketahui jenisnya. Garisan berpancar juga diaplikasi oleh Aqeel
untuk menggambarkan matahari yang sedang bersinar.
Seterusnya rupa. Jelas kelihatan rupa meja dalam lukisan Ammar masih belum
mencapai peringkat awal realisme (9-12 tahun). Menurut Lowenfeld,

“ Di peringkat skimatik, kanak-kanak mengulangi symbol-simbol yang sama. ”

(Tinta Seni; 266)

Begitu juga dengan Aqeel yang masih mengulangi simbol-simbol yang sama dengan
menghasilkan rupa 4 penghadang. Kedua-dua murid ini masih belum dapat melihat objek-
objek dari perspektif dan bentuk yang sebenar. Jika dibandingkan dengan dua karya Aqeel
yang berlainan tajuk itu, kelihatan rupa batang pokok dengan 4 penghadang itu hampir
sama proses penghasilannya. Beralih pula kepada jalinan. Kedua-dua karya milik Ammar
dan Aqeel ini adalah dihasilkan dia atas beberapa helaian kertas yang bersifat 2 Dimensi
menggunakan media kering. Maka, karya mereka bersifat jalinan tampak yang hanya dapat
merasa situasi itu wujud apabila menggunakan pancaindera sahaja tidak pada deria sentuh.

Selain itu, elemen ruang masih belum dikuasai oleh pelajar kerana jika diperhatikan
dalam karya ‘Sekolah Saya’, setiap rupa dalam karya Ammar dan Aqeel keseluruhannya
berada pada jarak-jarak yang jauh dan tidak ada pada kedudukan yang realistik atau asal.
Jika diperhatikan pada lukisan Aqeel bertajuk ‘Keluarga Saya’, jelas bahawa dia tidak
menguasai ruang dalam seni lukis. Buktinya, dua figura yang ditonjolkan olehnya seakan
melekat pada dinding rumah. Aqeel cuba gambarkan bahawa ibu bapanya berada di dalam
rumah tetapi masih belum berhasil. Begitu juga dengan tingkap yang Aqeel cuba
digambarkan. Akhir sekali dalam unsur seni ialah warna. Berdasarkan pengamatan penulis
dalam memerhati kedua-dua jenis karya milik dua murid ini, secara keseluruhannya, Ammar
mempunyai keberanian dan agresif diri yang tinggi dalam mewarnai karyanya. Selain itu, dia
juga mewarnai karyanya tanpa melebihi had garisan rupa yang ditonjolkan. Berbanding
dengan karya Aqeel, dia tidak menggunakan warna yang terang kerana masih kurang
kerberanian dalam berkarya. Tetapi, contengan yang dihasilkan dan ditunjukkan oleh Aqeel
juga menggambarkan dirinya sedang agresif dalam berkarya.

Berakhir sudah Unsur Seni untuk diperbahaskan. Penulis ingin membongkar dan
mendedahkan serta menghuraikan Prinsip Rekaan yang terdapat dalam karya-karya yang
telah dihasilkan oleh Ammar dan Aqeel. Terdapat beberapa prinsip rekaan dalam karya
mereka antaranya harmoni, penegasan, keseimbangan tidak simetri, dan kepelbagaian.
Melihat dari perspektif harmoni, para pelajar ini masing-masing berjaya menghidupkan
prinsip harmoni dalam setiap karya mereka. Hal ini kerana tiada unsur percanggahan dalam
karya mereka. Tambahan pula, suasana yang harmoni wujud dalam karya setiap satunya.
Penerapan unsur-unsur alam semulajadi juga wujud sungguhpun tidak sempurna.
Seterusnya, prinsip penegasan juga wujud dalam karya mereka. Berpandukan
lukisan Ammar dalam tajuk ‘Sekolah Saya’, tenegasan tertumpu kepada huruf A hingga E.
Pasti setiap pemerhati yang memerhati lukisannya tertanya-tanya mengapa huruf tersebut
terberhenti pada E sahaja? Hasil temubual bersama Ammar, dia menyatakan bahawa huruf-
huruf yang dinyatakannya pada lukisan di bahagian papah hitam itu menandakan antara
huruf yang terawal dipelajarinya di sekolah manakala Aqeel pula mencuri mata setiap
pemerhati untuk memerhati figura yang sedang memegang alat pemanah. Digambarkan
bahawa Aqeel sedang memerhati dan menumpukan perhatian mencari titik yang
mempunyai banyak mata untuk dipanahnya. Terdapat persamaan prinsip penegasan dalam
karya ‘Keluarga Saya’ menerusi karya Ammar dan Aqeel dimana dua figura yang terdapat
disetiap karya menjadi titik penegasan. Figura yang dilukis jelas menggambarkan mereka
mempunyai ibu bapa yang penuh dengan kasih sayang dan belaian manja.

Seterusnya ialah prinsip imbangan tak simetri. Kesemua karya yang dihasilkan oleh
mereka semuanya tiada unsur imbangan simetri. Hal ini kerana mereka masih belum
menguasai konsep imbangan untuk menyeimbangkan hasil lukisan mereka dengan
penerapan beberapa objek lain. Akhir sekali ialah prinsip kepelbagaian. Karya Ammar dan
Aqeel jelas kelihatan perbezaannya. Ammar menerapkan pelbagai jenis rupa dalam
karyanya kerana dia berjaya melalui peringkat permulaan realisme (9-12 tahun). Berbeza
dengan Aqeel dimana penerapan pelbagai rupa masih kurang. Jika dilihat perbandingan
antara dua jenis karya antara ‘Sekolah Saya’ dan ‘Keluarga Saya’, ternyata Aqeel lebih
menerapkan beberapa jenis rupa yang terdapat disekelilingnya. Prinsip kepelbagaian yang
akan diterapkan oleh murid bergantung kepada peringkat perkembangan kreativiti mereka
dan tahap imaginasi yang bercambah dan bercabang.

Kanak-kanak pada peringkat ini memerlukan ransangan dari segi pemikiran mereka
dengan memberikan banyak bahan bacaan bercerita, menonton filem tentang haiwan,
manusia dan sebagainya. Khayalan dan kepercayaan mereka tentang sesuatu memainkan
peranan penting diperingkat usia ini. Mereka juga perlu diberikan perhatian terhadap karya
mereka agar mereka merasakan kehebatan keupayaan mereka dan dirinya dihargai.
Mereka juga perlu bimbingan supaya mereka ini dapat berfikir dan bertindak secara
berdikari. Serta jangan keterlaluan dalam mengkritik kerja dan tindakan mereka kerana
kesilapan itu juga merupakan proses pembelajaran.
RUMUSAN

Kesimpulannya penghasilan lukisan dapat memberikan peluang kepada murid untuk


meluahkan ekspresi mereka melalui hasil lukisan tersebut. Selain itu, guru juga dapat
menilai tahap kognitif dan perkembangan mereka melalui kajian dari segi apresiasi dan
pengutaraan tampak daripada hasil lukisan murid. Hal ini kerana, hasil seni lukisan yang
dihasilkan oleh murid berfungsi sebagai alat komunikasi yang dapat menggambarkan
personalii seseorang murid itu. Melalui kajian ini juga, penulis dapat menyimpulkan bahawa
melalui subjek pendidikan seni visual ini, murid dapat meluahkan emosi dan segala yang
dilaluinya serta segala pengalaman penerokaannya kedalam hasil seni. Murid juga dapat
melatih kemahiran sosialnya dan menjadikan mereka lebih percaya diri.

Melalui kajian ini juga, penulis dapat memengenali peribadi setiap responden secara
kasar dan dapat mengenal pasti latar belakang dan masalah yang dihadapi oleh murid
selepas ditemubual. Selain itu penulis juga menyokong teori yang dikemukakan oleh Victor
Lowenfeld bahawa pada usia 7-9 tahun tersebut, lukisan mula dihasilkan mengikut skema
atau konsep tertentu. Penekanan lebih diberikan kepada cara penyusunan objek dalam imej
selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di sekelilingnya. Selain itu, lukisan
yang dihasilkan adalah spontan, bebas dan berskala besar. Mereka juga tidak peka dengan
karya mereka sendiri dan tidak kisah dengan lukisan yang dihasilkan kerana mereka
membuat karya sebagai luahan emosi dan belum terarah kepada penghasilan karya yang
bertujuan untuk nilai estetika.