Anda di halaman 1dari 5

Contoh Karangan : Langkah - Langkah Mengatasi

Kegiatan Jenayah dalam Kalangan Remaja


Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan
masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan
jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun
percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah
negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak
dan ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara
pergaulan remaja sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu
dibanteras dengan segera agar tidak leluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu
diambil untuk mengekang gejala ini daripada kehidupan seharian.

Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam
kalangan remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik
anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala
jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang
perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan
anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya
anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada salah atau betul.
Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk
mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja
yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa pula tidak
seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan
kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah.
Tegasnya, ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada remaja dan
anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat tinggal dan
tempat mengadu masalah.

Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah
dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak
berkuasa perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini
merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah
telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat.
Antara langkah untuk mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah
dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga,
polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut bebas daripada
kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan
daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja
yang ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai
langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah
berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat
diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada
melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan
pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah
dalam kalangan remaja.
Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga
merupakan salah satu cara untuk menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja.
Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras
sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran
PSK ini merupakan satu langkah kearah mambentuk keperibadian para remaja yang
mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja.
Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya
menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan,
memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada
pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani
dengan adanya pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh
para remaja.

Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga


boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di
sekolah seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran
dalam kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian
kerana para pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan
jenayah. Seandainya para pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah,
sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini,
mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-
kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah
yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran
berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk
hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada
kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk
meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat
membimbangkan.

Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus


operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin
leluasa. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD)
merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-
kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah
malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang
berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan
sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan sebagai
pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi
lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih baik daripada
mengubat”. Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan jenayah
dalan kalangan remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat
antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala
jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di
sekolah merupakan salah satu langkah prakmatik dan dogmatik dalam menangani
masalah jenayah dalam kalangan remaja.
Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif
kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan
menjatuhkan imej negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya
setiap orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam
kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah menggembleng
tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah di Malaysia. Hal ini
sekali gus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja
seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah tinggi dan
berbudi pekerti.
GGHkk