Anda di halaman 1dari 24

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Penulisan Akademik 1 (GB6012)

TUGASAN INDIVIDU: KERTAS KONSEP

NAMA PELAJAR : Aziz bin Polai

NO. KAD MATRIKS : GP05566

FAKULTI : PENDIDIKAN

PROGRAM PENGAJIAN : Sarjana Pendidikan

(Pendidikan Bahasa Melayu)

NAMA PENSYARAH : Prof. Dr. Zamri mahamod

Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan


PENGARUH BAHASA IBUNDA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

BAHASA MELAYU DI PEDALAMAN SARAWAK

Aziz bin Polai

Pendidikan Bahasa Melayu

Universiti Kebangsaan Malaysia

azizthegunners@gmail.com

Abstrak

Bahasa ibunda merujuk kepada bahasa pertama yang dipelajari oleh seseorang bermula
saat dari dilahirkan sehinggalah pandai berkata- kata. Dengan kata lain bahasa yang
dipelajari dari ibu bapa atau orang yang memelihara yang digunakan dalam komunikasi
seharian. Terdapat pelbagai bahasa ibunda yang boleh dikenalpasti di negara ini secara
amnya, dan juga di negeri Sarawak khasnya. Pelbagai idea dan pendapat dihasilkan oleh
pengkaji bahasa mengenai pengaruh bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu dalam pendidikan. Ramai yang mengatakan bahawa mutu pencapaian dan
penerimaan pelajar yang diajar dengan menggunakan bahasa ibunda lebih baik berbanding
dengan pendidikan yang dibuat menggunakan bahasa lain. Kertas konsep ini akan
membicarakan tentang pengaruh bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu di pedalaman Sarawak.

Kata kunci: bahasa ibunda, bahasa Melayu, pendidikan, pedalaman Sarawak.


PENGENALAN

Pencapaian pelajar akan bertambah baik jika pendidikan di sekolah dilakukan dalam bahasa
ibunda. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-
Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak
sekolah mengajar dalam bahasa ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah.
Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan serta dijadikan sebagai
bahasa pengantar pendidikan semenjak kemerdekaan. Merujuk kepada penyata Razak
1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 tercatat bahawa dalam sistem pendidikan di Malaysia
terbentuk dalam satu sistem yang dikenali sebagai sistem pendidikan kebangsaan.
Matlamat utamanya adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Artikel 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, menjelaskan “Bahasa kebangsaan
negara ini ialah Bahasa Melayu…”. Menurut Nik Safiah Karim (1996), bahasa Melayu
berperanan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar utama dan
merupakan subjek teras yang wajib dipelajari di peringkat sekolah rendah. Subjek bahasa
Melayu merupakan subjek yang wajib lulus dan dipelajari oleh murid- murid pada setiap
peringkat persekolahan. Menurut Dayang Sufilkawany dan Wan Muna Ruzanna (2016),
bahasa Melayu mempunyai kesukaran untuk dikuasai oleh murid- murid bukan penutur jati
bahasa tersebut terutamanya bagi murid- murid di pedalaman yang mendorong mereka
untuk menguasai bahasa tersebut.

Di Malaysia, murid- murid secara amnya telah terdedah dengan pelbagai jenis
bahasa. Kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh etnik- etnik yang berbeza membuktikan
bahawa bahasa Melayu bukanlah satu- satunya bahasa ibunda di negara ini. Perkara ini
bertepatan dengan kepelbagaian budaya, bahasa, adat resam dan kepercayaan yang
diamalkan oleh etnik dan kaum di Malaysia. Bahasa Melayu berkemungkinan menjadi
bahasa kedua atau bahasa ketiga bagi golongan masyarakat yang bukan berbangsa Melayu
(Khairul Nizam dan Wan Muna Ruzanna, 2016). Sehubungan itu, sejak pelaksanaan Dasar
Bahasa Melayu telah meningkat menjadi bahasa yang penting dan perlu dikuasai oleh
semua golongan terutama murid di sekolah. Pengajaran bahasa Melayu dalam sistem
pendidikan kemudian melalui zaman Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KSSM). Mulai 2017, banyak perubahan yang
penting diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Kamarudin Hj Kachar (1989) menyatakan bahawa konsep pendidikan dengan


masyarakat tidak dapat dipisahkan. Pendidikan memerlukan masyarakat untuk dijadikan
asas falsafah, matlamat dan tujuan. Masyarakat pula memerlukan pendidikan sebagai alat
terpenting menyediakan individu- individu untuk menjadi masyarakat terlatih, terpelajar dan
berbudi bahasa. Mohd Amin Arshad pula menyatakan istilah bahasa Melayu tinggi itu
memang mendukung pengertian sosial yang tertentu yang dapat dibezakan dengan bahasa
rendah. Dalam kalangan budayawan, budaya tinggi ditafsirkan sebagai budaya ilmu,
pemikiran dan teknologi. Dengan kata lain, bahasa Melayu tinggi adalah ragam bahasa
yang digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi,
bahasa baku dan bahasa standard.

Penguasaan sesuatu bahasa sangat penting dalam kehidupan rutin seseorang


individu. Bahasa berperanan untuk memperoleh serta menyampaikan pelbagai maklumat
semasa interaksi sesama manusia. Dasar pendidikan pula menyatakan bahawa bahasa
membolehkan masyarakat menguasai ilmu dan kemahiran serta nilai murni yang diperlukan
dalam dunia yang berdaya saing tinggi (Akta Pendidikan, 1996). Penguasaan lebih daripada
satu bahasa dapat meningkatkan manusia ke satu tahap yang tinggi dari sudut ilmu dan
pengetahuan. Selain itu, seseorang individu itu akan mudah bertutur dan berkomunikasi
dalam pelbagai situasi dengan masyarakat sekeliling. Pembelajaran bahasa kedua
memerlukan seseorang menguasai bahasa asing dengan melalui proses mempelajari
sesuatu bahasa baharu. Menurut Zamri (2016), penguasaan bahasa kedua diperoleh
melalui pengajaran dan pemudah cara (PdPc) secara formal. Akan tetapi, individu tersebut
belum tentu dapat bertutur dengan baik walaupun telah mempelajari sesuatu bahasa kedua
secara formal untuk beberapa tahun (Zulkifley Hamid, 2005). Untuk menguasai bahasa
kedua, seseorang perlulah menguasai dan memiliki asas yang kukuh dalam bahasa
pertama. Apabila bahasa pertama sudah kukuh, barulah proses penerimaan bahasa kedua
dapat dipelajari dengan lebih mudah dan berkesan. Nur Hayati (2002), menyatakan bahawa
pembelajaran bahasa kedua berlaku lebih terkemudian dengan andaian bahawa bahasa
pertama telah kukuh dikuasai oleh kanak- kanak. Justeru itu, penguasaan bahasa kedua
hanya boleh berlaku sekiranya bahasa pertama yang diperoleh sudah mencapai tahap
penguasaan yang baik atau hampir sempurna.
Penggunaan Bahasa Pertama dan Bahasa Kedua

Penguasaaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan kanak- kanak berusia
antara tujuh hingga 10 tahun merupakan satu cabaran kepada para pendidik. Walaupun
kanak- kanak dapat menguasai pelbagai bahasa dengan mudah dalam usia muda namun
pandangan ini tidaklah semudah yang disangkakan (DeKeyser dan Larson- Hal, 2005).
Sememangnya, kanak- kanak dapat menguasai bahasa kedua dengan lebih mudah
dibandingkan dengan golongan dewasa. Kanak- kanak lebih superior berbanding golongan
remaja dalam menguasai bahasa kedua disebabkan otak mereka lebih fleksibel. Hal ini
adalah disebabkan golongan dewasa bergantung pada pembelajaran yang bersifat eksplisit
berbanding kanak- kanak yang terdorong oleh kematangan (DeKeyser & Larson- Hal, 2005).

Kajian tentang pemerolehan bahasa kedua (Jarvis & Pavlenko, 2007) ,menunjukkan
bahawa terdapat salah faham tentang cara kanak- kanak mempelajari bahasa. Pemerolehan
bahasa kedua mengambil masa yang lama, lebih susah dan mencabar. Proses penguasaan
bahasa kedua ini juga dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pengaruh ini termasuk
kepelbagaian budaya dan bahasa di sekolah. Kepelbagaian ini dianggap sebagai satu
cabaran besar dalam sistem pendidikan. Perkara yang unik dalam penyelidikan
pembelajaran bahasa kedua adalah hubungan antara dua bahasa dalam fikiran yang sama.
Proses pemindahan bahasa yang luas akan berlaku sama ada dari bahasa pertama ke
bahasa kedua, bahasa kedua ke bahasa pertama (pemindahan balik) atau bahasa kedua ke
bahasa lain (pemindahan sisi) (Jarvis & Pavlenko, 2007).

Menurut Brown (2007), kebanyakan kajian tentang pembelajaran bahasa kedua


berkisar pada pembelajaran aktif, pembelajaran kolaborasi, pelbagai keupayaan kumpulan
murid, pengajaran holistik dan kesahihan penilaian yang ditujukan kepada kanak- kanak
daripada budaya dan bahasa pelbagai latar belakang. Cabaran dalam menguasai pelbagai
bahasa dipermudah dengan inovasi pendidikan dan strategi pengajaran yang berkesan
(Cook, 2007). Dari perspektif yang lain pula, cabaran mendidik pelbagai kelompok murid
dengan berkesan menggalakkan pembaharuan dalam sistem pendidikan. Pengajaran
bahasa yang bersifat praktikal adalah mustahil tanpa dipermudah (Cook, 2008). Hal ini
adalah disebabkan penguasaan bahasa kedua terdorong oleh kuasa kematangan
transformative yang bersifat intrinsic dan tidak sama dengan kanak- kanak monolingual
(Jarvis & Pavlenko, 2008). Oleh itu, usaha penerapan bahasa kedua yang dianggap sebagai
satu cabaran yang memerlukan pendekatan afdal.
Bahasa pertama merupakan aset terbesar dalam pembelajaran bahasa asing dan
menyediakan Sistem Sokongan Pemerolehan Bahasa. Namun begitu golongan ortodoks
ekabahasa menganggap bahasa pertama hanyalah gangguan yang berterusan dalam
pembelajaran bahasa kedua (Wolfgang, 2007). Salah satu perdebatan yang berpanjagnan
dalam kalangan guru bahasa adalah tentang kewajaran menggunakan bahasa pertama
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua. Kumpulan pertama berpendapat
bahasa bahasa pertama tidak harus digunakan semasa aktiviti pengajaran dan
pembelajaran bahasa kedua. Aliran konvensional ini berpegang pada pendirian bahawa
penggunaan ekabahasa adalah penghalang proses pengajaran bahasa yang berkesan.
Aliran konvensional ini tidak bersetuju dengan idea pembelajaran bahasa kedua dilakukan
dengan sokongan bahasa pertama.

Idean penutur jati merupakan salah satu idea yang bersifat kompleks dalam
pengajaran bahasa kedua. Hal ini adalah kerana konsep ini tidak dapat dijelaskan dengan
baik dan sasaran untuk mewujudkan ke arah penutur jati monolingual merupakan sesuatu
yang tidak realistic (Georgia & Joannis, 2009). Namun begitu, bagi penyokong idea
pengajaran bahasa kedua tanpa pengaruh bahasa pertama menyuarakan masalah dalam
pembelajaran bahasa yang sering diperlihatkan oleh murid dari segi fonologi, kosa kata dan
tatabahasa adalah berpunca daripada kebiasaan penggunaan bahasa pertama
(Beardsome, 1982).

Kumpulan kedua pula menyokong dan menggalakkan penggunaan bahasa pertama


dalam proses pembelajaran bahasa kedua. Keupayaan untuk bertutur dalam bahasa
pertama murid dianggap sebagai satu kelebihan yang sangat berharga. Malah guru yang
dapat bertutur dalam bahasa pertama dikatakan dapat menjadi guru yang baik (Wolfgang,
2007). Persoalan sama ada wajar menggunakan bahasa pertama dalam pengajaran dan
pembelajaran atau sebaliknya ditentukan oleh pelbagai faktor. Antara faktor ini termasuklah
norma sosial dan budaya, matlamat dan motivasi murid, umur dan kemahiran asas murid
dan penggunaan bahas kedua di luar persekitaran sekolah. Dalam pada itu, faktor- faktor
yang sama ini boleh menghasilkan pendekatan dan hasil yang berbeza bagi setiap guru.
Pelaksanaan kaedah dan amalan yang berbeza mengikut keadaan dan kesediaan murid
dapat membuahkan hasil yang baik.

Menurut Jarvis dan Pavlenko (2007), terdapat banyak bukti yang menunjukkan
bahawa pemindahan bahasa merupakan fenomena yang perlu dipertimbangkan dalam
proses penguasaan bahasa kedua. Kajian telah membuktikan bahawa banyak kemahiran
yang dikuasai semasa mempelajari bahasa pertama dapat dipindahkan pada bahasa kedua
(Kasper & Omori, 2010). Antaranya ialah kemahiran analitik yang membolehkan kanak-
kanak mempelajari bahasa kedua dengan mudah. Dengan menggunakan bahasa pertama,
seseorang murid dapat berfikir, berkomunikasi dan memperoleh pemahaman intuitif
tatabahasa. Bahasa pertama bukan sahaja dapat memantapkan penguasaan tatabahasa,
tetapi juga membuka ruang untuk menguasai tatabahasa lain kerana bahasa pertama
dianggap kunci utama untuk penguasaan bahasa asing dengan lebih pantas, tepat dan
secara menyeluruh. Walaupun tanggapan ini dianggap bersifat radikal, namun peranan
bahasa pertama dalam pembelajaran bahasa kedua tidak dapat dinafikan. Namun begitu,
penggunaan bahasa pertama perlulah berhati- hati dan tidak secara rawak.

Penerapan pengetahuan bahasa pertama dalam proses pembelajaran bahasa kedua


adalah satu ciri penting pembelajaran bahasa. Proses ini akan membentuk satu
pengetahuan baharu yang bersifat umum (Kasper &Omori, 2010). Hubungan bahasa
pertama dan bahasa kedua dari segi persamaan dan perbezaan perlu dipertimbangkan. Isu
gangguan dan kesan pengaruh bahasa pertama dan bahasa kedua sudah banyak
diperdebatkan. Menurut Lightbown dan Spada (1999), salah satu faktor yang mempengaruhi
proses pembelajaran bahasa kedua ialah pengaruh pemindahan negatif bahasa pertama.

Krashen (1982) mendefinisikan ini sebagai pemindahan secara langsung disebabkan


kebiasaan menggunakan struktur asas bahasa pertama bagi menggantikan struktur bahasa
sasaran. Hal ini juga dikenali sebagai corak penggunaan bahasa negatif atau peraturan
yang mendorong pada kesalahan bahasa. Sementara itu, persamaan antara bahasa
pertama dan bahasa kedua akan memperlihatkan lebih banyak gangguan dibandingkan
dengan keadaan perbezaan yang nyata antara kedua- dua bahasa ini.

Gangguan bahasa adalah kurang apabila kedua- dua bahasa ini memperlihatkan ciri
bahasa yang berbeza. Namun begitu, hal ini akan menyebabkan pemahaman bahasa
menjadi lebih sukar. Semua murid yang bertutur bahasa kedua bermula dengan andaian
bahawa setiap perkataan dalam bahasa pertama ada terjemahan yang sama maksud dalam
bahasa kedua. Maka, satu- satunya cara memulakan komunikasi dalam bahasa kedua
adalah dengan terjemahan perkataan demi perkataan atau berfikir dalam bahasa pertama.
Menurut Kasper (2010), pembelajaran yang berjaya adalah apabila bahasa kedua yang
dituturkan dapat dibezakan dengan jelas. Dalam situasi ini, walaupun penguasaan bahasa
kedua dipengaruhi oleh struktur bahasa pertama namun keupayaan untuk membezakan
struktur kedua- dua bahasa ini memperlihatkan penguasaan yang sebenarnya. Dalam pada
itu, Cook (2007) berpendapat bahawa seseorang yang menguasai dua bahasa merupakan
individu yang berbeza dengan penutur monolingual kerana pendedahannya pada pelbagai
kecekapan atau kemahiran.
Dalam erti kata lain, pelbagai kecekapan ini mewakili keadaan dua sistem
tatabahasa dalam minda. Malahan individu yang menguasai pelbagai bahasa
memperlihatkan nilai yang berbeza daripada individu yang hanya tahu menuturkan dalam
satu bahasa. Dari sudut yang lain pula, murid multilingual atau pelbagai bahasa
menunjukkan proses kognitif yang berbeza daripada murid monolingual (Cook, 2005).
Perkara yang perlu disedari tentang pengajaran bahasa ialah setiap murid mempunyai
pemikiran dan kehendak yang berbeza. Mereka memainkan peranan dengan pelbagai cara
dalam konteks yang berbeza jika berbanding murid monolingual.

Cook dan Newson (2007) berpendapat cara minda memperoleh bahasa haruslah
bebas daripada pengaruh tahap perkembangan. Walaupun mungkin terdapat urutan semula
jadi dalam perkembangan menguasai bahasa namun terdapat pelbagai faktor yang turut
mempengaruhinya. Antara faktor ini termasuklah kesan kekerapan input bahasa dan
perkembangan ingatan kanak- kanak. Dalam pembelajaran bahasa kedua yang melibatkan
penggunaan bahasa pertama, murid akan memperlihatkan latar belakang budaya yang
berbeza dan tingkah laku yang berbeza terhadap pembelajaran bahasa kedua yang
berperanan sebagai medium pemahaman umum (Alptekin, 2002).
Fungsi Bahasa Melayu

a. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan telah


termaktub dalam dasar pendidikan negara Malaysia. Dasar pendidikan negara telah
menggariskan bahawa pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan,
menengah dan pengajian tinggi (selain daripada kursus bahasa asing dan bahasa
Inggeris) harus diajar menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar pendidikan telah dicatat dan dinyatakan dalam Akta
Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar pendidikan terutamanya di institusi- institusi pendidikan tinggi swasta
mengalami pengubahsuaian atau penambahbaikan apabilan pihak Parlimen Malaysia
meluluskan Akta Pendidikan 1996. Seksyen 2 dalam Akta Pendidikan 1996 jelas
menyatakan bahawa bahasa kebangsaan dapat dijadikan bahasa pengantar di semua
institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, Seksyen 17
(1) telah memberi satu kelonggaran dengan memberi kuasa kepada asas penubuhan
universiti swasta tersebut.

b. Bahasa Melayu bahasa perpaduan.

Asmah Omar (2008) menyatakan bahawa bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa
kebangsaan atas peranan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa pemersatu.
Bahasa pemersatu di sini bermaksud bahasa yang digunakan untuk menyatupadukan
rakyat berbilang kaum di Malaysia. Semua sekolah yang terdiri daripada sekolah
kebangsaan dan sekolah vernakular di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama, malah institusi- institusi pengajian tinggi juga menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bagi merealisasikan peranan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, dalam Penyata
Razak 1957 dinyatakan bahawa bahasa Melayu harus dijadikan asas dalam pengajaran
dan pembelajaran. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan
sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara
penduduk yang berbilang kaum. Fungsi simbolik sesuatu bahasa standard ialah fungsi
penyatuan, bahasa juga boleh menjadi alat yang menghubungkan semua dialek dengan
satu bahasa yang sama.

Bahasa pengantar utama yang sama di sekolah- sekolah juga akan merealisasikan
hasrat negara Malaysia yang ingin mewujudkan satu bangsa yang dinamakan bangsa
Malaysia. Seperti mana yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dengan
memperkenalkan konsep 1Malaysia untuk kesejahteraan rakyat dan negar.
Kesefahaman di dalam politik dan agama sahaja tidak memadai untuk menyatupadukan
rakyat. Bahasa adalah alat yang terbaik untuk menyatupadukan rakyat kerana bahasa
merupakan alat untuk melahirkan pendapat dan fikiran. Hasrat kerajaan untuk melihat
rakyat bersatu padu, terutama dalam pelaksanaan konsep 1Malaysia memerlukan satu
bahasa yang sedia ada iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi antara setiap
golongan masyarakat, tidak kira tua atau muda, yang berpangkat mahupun tidak.

c. Bahasa Melayu bahasa ilmu.

Sejak dari zaman dahulu lagi bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa
perhubungan dan menjadi lingua franca. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa ilmu sejak
Tanah Melayu mula kenal ilmu pengetahuan, bermula dengan bahasa kuno, menjadi
bahasa klasik sehinggalah bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa moden.
Sungguhpun nilai dan taraf bahasa Melayu dilihat mengalami kemerosotan pada zaman
pemerintahana British, akibat daripada pengaruh kolonialisme, namun setelah Malaysia
mencapai kemerdekaan bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan
seterusnya sebagai bahasa ilmu yang dituturkan oleh cerdik pandai bermula dari
sekolah kebangsaan, sekolah menengah serta institusi- institusi pengajian tinggi. Dasar
bahasa Kebangsaan menjadikan bahasa sebagai bahasa pengantar utama bagi semua
sekolah bermula dari peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah dan pengajian
tinggi telah meningkatkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

d. Bahasa Melayu bahasa komunikasi

Bahasa merupakan alat perhubungan bagi manusia menyampaikan perasaan atau


permikiran dalam bentuk tulisan, lisan atau isyarat. Negara Malaysia yang mempunyai
berbilang bangsa dapat disatukan dengan menggunakan bahasa komunikasi yang dapat
difahami oleh semua masyarakat. Bahasa komunikasi yang dapat difahami oleh semua
masyarakat amat penting bagi mengutarakan sesuatu idea. Setiap idea perlu
disampaikan dalam bentuk yang gramatis serta berkualiti untuk diterima dan diguna
pakai di dalam masyarakat. Jelaslah, bahasa komunikasi yang satu amat penting dan
akan dapat mempertimbangkan hubungan dan menambah kualiti komunikasi antara
satu sama lain.

e. Lingua franca

Bahasa Melayu ialah lingua- franca di rantau Melayu dan Indonesia. Sejarah Melayu
menceritakan bahawa para pedagang berusaha untuk mempelajari serta menguasai
bahasa Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pemimpin dan
masyarakat di Tanah Melayu untuk berdagang. Berdasarkan penelitian dan kajian yang
terperinci, bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua- franca atau bahasa komunikasi
utama sejak lima abad yang lalu iaitu zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-
15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan
diplomatic. Melakan telah berperanan sebagai pusat perkembangan bahasa,
kebudayaan dan kesusasteraan. Tiada bahasa lain yang dapat menandingi taraf bahasa
Melayu sebagai bahasa komunikasi yang luas di rantau ini. Pada ketika itu, bahasa
Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk penjajah British, Portugis dan
Belanda (Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin, 2007). Surat- surat rasmi dan dokumen
perjanjian turut menggunakan bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi.
Dokumen- dokumen berkenaan boleh kita temui dalam undang- undang tubuh bagi
negeri- negeri Melayu juga menggunakan bahasa Melayu dan ditulis menggunakan
tulisan jawi.

f. Bahasa Melayu sebagai Simbol Permuafakatan Antara Etnik.

Bahasa Melayu yang telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan perbualan harian,
sebagai bahasa komunikasi dan bahasa persuratan maka telah dipersetujui dan
disepakati oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar bahasa Melayu menjadi
bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957. Permuafakatan pelbagai kaum ini dirakam dalam bentuk dokumen
tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara seperti yang termaktub dalam Perkara
152, para 1 sebagai bahasa bagi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang
merdeka.
Pernyataan Masalah

Peningkatan kecekapan berbahasa disebabkan oleh pemahaman input, manakala


pemahaman output langsung tidak memberi sebarang kesan. Pendapat ini disokong oleh
Krashen (1994), yang menyatakan kecekapan linguistik hanya maju apabila bahasa
kecekapan linguistik hanya maju apabila bahasa diperolehi separa sedar, dan pembelajaran
sedar tidak boleh digunakan sebagai sumber hasilan bahasa yang spontan. Bahasa
pertama amat penting untuk dikuasai bagi memudahkan seseorang individu berinteraksi
dengan masyarakat sekeliling. Pembelajaran untuk menguasai bahasa kedua pula
memberikan kesukaran kepada penutur jati bahasa pertama kerana motivasi yang tinggi
perlu wujud dalam diri murid tersebut.

Bahasa pertama sememangnya memberikan pengaruh yang besar kepada murid


untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik. Penguasaan bahasa Melayu merangkumi
murid perlu menguasai kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis dengan
baik. Menurut Kamiliah dan Zamri (2015), individu yang dapat menuturkan bahasa dengan
baik tidak semestinya dapat menulis dengan baik kerana bentuk dan corak yang berbeza,
malah gaya penyampaiannya juga agak berbeza. Proses pengajaran dan pembelajaran
secara formal di sekolah merupakan asas utama seseorang murid untuk
memperkembangkan penguasaan bahasanya ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut kajian Mohammed (2010), membuktikan penggunaan bahasa Melayu


Sarawak dalam situasi formal membantu murid Iban dalam meningkatkan prestasi penulisan
karangan, namun kenyataan ini disangkal oleh Ilangko, Noorfulafiza dan Siti (2014), yang
menyatakan situasi ini berbeza di kawasan pedalaman khususnya dalam kalangan murid
sekolah rendah. Selain itu, di kawasan pedalaman Sarawak penggunaan bahasa Melayu
Sarawak tidak digunakan secara meluas oleh penduduk setempat. Hal ini kerana, penduduk
lebih gemar menggunakan bahasa ibunda untuk bertutur dalam kehidupan seharian
berbanding penggunaan bahasa Melayu Sarawak yang memerlukan mereka mengambil
masa untuk mempelajarinya.

Murid- murid etnik Iban bersikap positif dan bermotivasi tinggi terhadap pembelajaran
bahasa Melayu (Jerie & Zamri, 2011). Berdasarkan kajian ini, murid- murid Iban memiliki
kesungguhan yang tinggi dalam menguasai pembelajaran bahasa Melayu. Namun kajian ini
disangkal oleh Ilangko, Noorulafiza dan Siti (2013) yang menyatakan bahawa penguasaan
bahasa dipengaruhi oleh pelbagai faktor khususnya, keberkesanan pengajaran guru di bilik
darjah. Pengaruh persekitaran linguistik juga turut memberikan pengaruh seperti tempat
tinggal, penggunaan bahasa di rumah, latar belakang rakan dan jiran sememangnya
mempengaruhi pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Di daerah Dalat, Sarawak, majoriti penduduk di sini merupakan masyarakat
Melanau yang menggunakan bahasa Melanau sebagai bahasa komunikasi harian mereka.
Walaupun, penduduk di sini menggunakan bahasa Melanau sebagai bahasa pertama,
namun dialek yang dituturkan berbeza mengikut kampung atau kawasan- kawasan tertentu.
Perkara ini menyebabkan murid- murid yang berada pada peringkat awal persekolahan
memiliki kesukaran untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Kegagalan
menguasai bahasa Melayu dengan baik akan menyebabkan prestasi akademik berada pada
tahap yang kurang memuaskan. Alat- alat artikulasi murid sudah terbiasa menyebut
perkataan dalam bahasa ibunda, dan ini mengganggu nada dan intonasi murid untuk
bertutur dalam bahasa Melayu. Menurut Chew, 2016 bagi murid yang bukan penutur jati,
mempelajari bahasa kedua, iaitu bahasa Melayu merupakan satu proses mempelajari
lakuan baharu.

Pembelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah di pedalaman Sarawak dilihat


memberikan impak yang negatif dalam penguasaan kemahiran kerana dipengaruhi oleh
penggunaan bahasa komunikasi harian murid. Sebelum ini beberapa kajian telah dijalankan
tentang faktor sikap dan motivasi dalam pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa
kedua. Roslind (2003) telah menjalankan kajian di Sri Aman, Sarawak terhadap pelajar
tingkatan 2 dan 5 dalam pembelajaran bahasa Melayu. Abdullah (2004) telah mengkaji sikap
dan motivasi murid- murid Dusun terhadap pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa
kedua. Kajian terhadap sikap murid Cina terhadap pembelajaran bahasa Melayu pula telah
dijalankan oleh Zamri dan Zarina (2001).
Ulasan kepustakaan

Pelbagai kajian dan penyelidikan mengenai penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan
telah dijalankan oleh pelbagai agensi sama ada bersifat kerajaan mahupun bukan kerajaan.
Norshahimah Jalaludin (2003) yang mengkaji penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik mendapati bahawa terdapat masalah
dalam kalangan guru yang mengajar dan juga minat pelajar untuk mempelajari subjek
tersebut menurun. Shaharir Mohd Zain (2005) mengatakan terdapat kajian di Amerika
Syarikat menunjukkan bahawa pelajar terutamanya peringkat sekolah rendah akan dapat
menerima pelajaran dan pengetahuan dengan lebih mudah dengan menggunakan bahasa
ibunda sebagai bahasa pengantar.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga telah banyak dikaji oleh
pengkaji- pengkaji tempatan. Isahak Haron (2007) yang telah membuat kajian terhadap
dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)
di sekolah rendah dan menengah telah mendapati bahawa pertukaran dari bahasa Melayu
kepada bahasa Inggeris telah menyukarkan pelajar mempelajari dua mata pelajaran
tersebut. Prestasi pelajar bagi kedua- dua mata pelajaran tersebut merosot dan penguasaan
bahasa Inggeris mereka juga meningkat. Datok Abdul Raof Hussin yang mengetuai
penyelidik UPSI juga turut melaporkan bahawa dasar pengajaran dan pembelajaran Sains
dan Matematik dalam bahasa Inggeris hanya mampu meningkatkan sebanyak 4 peratus
sahaja penguasaan bahasa Inggeris, tetapi minat terhadap memahami mata pelajaran Sains
dan Matematik merosot. Kajian turut merumuskan bahawa pengajaran dan pembelajaran
dalam bahasa Inggeris untuk pemerolehan ilmu telah melunturkan semangat, minat dan
keinginan murid- murid terhadap subjek Sains dan Matematik sejak dari sekolah rendah lagi.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Habibah Elias, Abdul Rashid Jamian dan Yahnya
Othman (Ambigapathy Pandian, 2003:152) masalah sikap telah dikenal pasti dalam
kalangan pelajar bukan Melayu yang hanya belajar bahasa Melayu kerana bahasa Melayu
adalah mata pelajaran yang wajib dipelajari. Mereka dikatakan tidak mahu menggunakan
bahasa Melayu dan beranggapan bahawa bahasa Melayu amat mengelirukan dan sukar
untuk dipelajari. Kajian ini turut menunjukkan bahawa faktor sekolah mempunyai pengaruh
yang tidak siginifikan terhadap sikap dan minat pelajar- pelajar bukan Melayu dalam proses
pembelajaran bahasa Melayu.

Zamri Mahamod (2007) menyatakan bahawa aspek psikolinguistik mempengaruhi


pembelajaran- pembelajaran pelajar ketika belajar bahasa Melayu di dalam bilik darjah.
Pelajar yang bersikap negatif terhadap bahasa Melayu tidak bersetuju untuk mempelajari
bahasa Melayu, lantas kurang pendedahan terhadap bahasa Melayu. Pendedahan terhadap
bahasa kedua adalah amat penting kerana pelajar yang banyak terdedah kepada bahasa
kedua adalah lebih cekap berbahasa.

Menurut Zulkifley Hamid (2005) dalam dapatan kajiannya, pengetahuan bahasa


kedua boleh diperoleh melalui dua cara iaitu bersifat informal dan formal. Dalam konteks ini,
informal merujuk kepada usaha individu itu sendiri dan formal merujuk kepada pemerolehan
maklumat yang diterima daripada mereka yang arif tentang bahasa itu. Walau
bagaimanapun, Zulfkifley Hamid berpendapat bahawa pengetahuan tentang sesuatu
bahasa kedua yang diperoleh dengan berguru secara formal adalah bersifat menyeluruh. Ini
kerana pengetahuan tentang nahu atau rumus- rumus tatabahasa sesuatu bahasa kedua
seperti bahasa Melayu mungkin boleh dikuasai pada tahap tertentu, tetap aspek kecekapan
berbahasa mungkin sukar dikuasai jika tiada persekitaran yang sesuai.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Ilangko dan Noorulafiza (2013) menunjukkan
bahawa murid Tahun 1 dapat mencapai objektif mata pelajaran bahasa Melayu iaitu dapat
memahami petikan dengan baik dan dapat menjawab soalan pemahaman dengan lebih
tepat apabila bahasa pertama digunakan untuk mengukuhkan pemahaman murid. Dalam
memastikan penguasaan bahasa kedua berada pada tahap yang baik, guru perlulah
berhati- hati agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran tidak dilakukan sepenuhnya dalam
bahasa pertama.

Kajian yang dijalankan oleh Dayang Sufilkawany dan Wan Muna Ruzanna (2016)
menjelaskan bahawa faktor sosial dominan yang mempengaruhi pembelajaran bahasa
Melayu sebagai bahasa kedua ialah faktor motivasi, sikap dan persekitaran. Justeru, guru
bahasa Melayu perlu mengambil kira aspek sosial, motivasi, sikap dan persekitaran dalam
merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran, selain faktor sosial rakan sebaya dan
keluarga, terutamanya yang mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua kepada murid-
murid bukan Melayu. Sikap positif dalam kalangan murid membuatkan mereka lebih mudah
untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Hal ini menunjukkan secara
keselurahannya aspek intrinsik iaitu faktor dalam diri sendiri merupakan faktor utama yang
mendorong kepada kejayaan dalam penguasaan bahasa kedua.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Khairul Nizam dan Wan Muna Ruzanna (2016)
pula menjelaskan bahawa murid- murid Bajau sekolah rendah mempunyai sikap yang positif
dan motivasi yang tinggi dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Dapatan kajian mereka turut menunjukkan bahawa terdapat perbezaan sikap dan motivasi
antara murid lelaki dan perempuan yang mempelajari bahasa Melayu. Dapatan ini disokong
oleh kajian yang dijalankan oleh Jerie dan Zamri (2010) yang turut memperoleh keputusan
yang positif serta motivasi yang tinggi bagi murid Iban dalam mempelajaran bahasa Melayu
sebagai bahasa kedua. Menurut kajian Abdul Rashid (2010) terhadap murid berbangsa Cina
juga menunjukkan keputusan yang positif terhadap sikap dan bermotivasi tinggi untuk
mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan. Hal ini juga turut digambarkan oleh
Kajian Jumiya (2014), di mana murid berbangsa Kensiu turut menunjukkan sikap yang
positif serta motivasi yang tinggi terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Namun begitu,
hasil kajian yang dijalankan oleh Siti Saniah (2013) mendapati sikap dan motivasi pelajar
warga asing dalam pelbagai latar belakang kewarganegaraan menunjukkan keputusan yang
negatif serta tahap motivasi yang rendah semasa mempelajari bahasa Melayu.

Kajian yang dilakukan oleh Suthantradevi (2003) menjelaskan bahawa strategi


berdasarkan bahasa ibunda iaitu strategi terjemahan literal dan penukaran kod dalam
kalangan murid India paling kerap digunakan apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Pelajar
India berfikir dalam bahasa Tamil, terjemahan pemikiran itu dalam pertuturan bahasa
Melayu. Kajian terhadap pelajar India turut dijalankan oleh Mahendrand an Kartheges
(2014) terdapat beberapa pengaruh bahasa ibunda dalam kalangan pelajar sekolah Tamil,
terutamanya dalam domain sintaks dan perbendaharaan kata. Pengaruh ini diklasifikasikan
sebagai pengaruh negatif, yakni penggunaan bahasa ibunda mengganggu dalam
pembelajaran bahasa kedua.
Halangan dan Langkah Penyelesaian

Sungguhpun telah jelas bahawa untuk meningkatkan penguasaan berbahasa murid- murid
dalam pengajaran dan pembelajaran haruslah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa
ibunda, namun terdapat juga kekangan yang terpaksa dihadapi disebabkan oleh faktor-
faktor tertentu, antaranya ialah:

a. Pengaruh Bahasa Inggeris

Permodenan telah membawa pengaruh globalisasi secara menyeluruh ke seluruh dunia.


Dasar bahasa tidak berubah tetapi orientasi terhadap bahasa Inggeris sebagai wadah
kemajuan globalisasi atau sebagai alat untuk mencapai matlamat itu mula mengaburi mata
masyarakat dan penggubal dasar. Peranan bahasa Melayu dalam agenda pembangunan
negara dan pendidikan juga turut terkena bahang globalisasi. Rakyat Malaysia khususnya
orang Melayu diseru supaya menguasai bahasa Inggeris jika mereka hendak menjadi
bangsa yang maju. Proses globalisasi digunakan sebagai alasan bangsa Melayu dan
seluruh rakyat Malaysia mesti mengetahui bahasa Inggeris. Pada hal sudah ada dasar sejak
tahun 1957 yang diperakukan oleh Laporan Razak sendiri bahawa bahasa Inggeris ialah
bahasa kedua yang wajib diajarkan di sekolah. Kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai
bahasa Inggeris mula menjadi isu negara seolah- olah bahasa Inggeris itu merupakan
bahasa pengantar utama di sekolah mahupun di university manakala kelemahan pelajar
dalam menguasai bahasa Melayu dipandang sepi. Tiada tindakan mahupun usaha untuk
memantapkan bahasa Melayu. Hakikatnya, penguasaan pelajar terhadap bahasa Inggeris
tidak meningkat dan pemahaman mereka terhadap bahasa Melayu pula semakin merosot.

Cabaran paling serius terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Di
IPT berlaku apabila 600 lesen diluluskan kepada pihak swasta untuk menubuhkan Institusi
Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Walaupun Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996
menyatakan bahawa semua IPTS di negara ini hendaklah menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar, namun dalam akta yang sama juga telah
memberikan kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk membenarkan IPTS menggunakan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Penggunaan bahasa Inggeris
sebagai pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi
bukanlah jalan penyelesaian kepada pelajar dalam menguasai ilmu. Satu kaedah yang
mungkin boleh diaplikasikan dalam hal ini ialah memperkenalkan sistem bahasa ibunda
berasaskan dwibahasa yang dibincangkan oleh Carol Benson (2005). Melalui kaedah ini
pengajaran dan pembelajarn dilaksanakan dengan menggunakan dwibahasa. Pada hari ini
penggunaan dwibahasa sebagai bahasa pertuturan di rumah bukanlah perkara yang baru.
Namun, untuk melaksanakan langkah ini memerlukan satu kajian dan penyelidikan yang
teliti sebelum diimplementasikan.

ii. Kegagalan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi

Satu lagi masalah yang menyebabkan penggunaan bahasa Melayu adalah kegagalan
pelajar dan pengajar untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.
Terdapat ramai pelajar terutama pelajar bukan Melayu yang lulus dengan agregat A+ atau A
bagi mata pelajaran bahasa Melayu gagal berkomunikasi dengan menggunakan bahasa
Melayu. Mereka memperoleh gred yang tinggi kerana mereka fokus terhadap subjek
tersebut dan hanya belajar untuk peperiksaan. Kekangan yang jelas ketara untuk
memartabatkan bahasa Melayu dalam pendidikan ialah kurangnya tenaga pengajar yang
mahir dan tidak menguasai bahasa Melayu dengan sebaiknya. Abdul Hamid Mahmood
(1993) menyatakan bahasa Melayu itu tidak dapat dimartabatkan jika guru- guru yang
mengajarkan mata pelajaran bahasa Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu dengan
betul. Menurut kajian beliau, ramai guru masih menggunakan dialek setempat semasa
mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan bukannya menggunakan bahasa standard.
Budaya berbahasa yang sebenarnya tidak dapat diterapkan oleh golongan pengajar dan
tenaga pengajar tersebut. Ini menyebabkan golongan pelajar akan mendapat input yang
salah dan bercelaru. Hal ini demikian, menyebabkan golongan pelajar khususnya pelajar
Melayu tidak dapat mempelajari bahasa Melayu dengan betul.

Selain itu, masalah penggunaan dialek bahasa Melayu di bilik darjah masih ada
hingga hari ini. Tambahan pula, tidak semua pelajar dianggap sebagai orang Melayu adalah
orang Melayu. Contohnya, kaum Melanau dan menggunakan bahasa Melanau di rumah.
Bahasa Melayu ialah bahasa kedua dan bahasa Inggeris ialah bahasa ketiga bagi mereka.
Bagi kebanyakan pelajar sebegini, bahasa Melayu bukanlah bahasa ibunda mereka dan
mereka terpaksa mempelajarinya. Menurut Sufean Hussin (1996), mengatakan bahawa di
sekolah murid- murid akan diajarkan aspek tatabahasa dengan betul. Tujuan pengajaran
tatabahasa dijalankan di sekolah adalah untuk membolehkan murid- murid dapat memahami
dengan lebih jelas pengertian sesuatu perkataan atau ayat dengan menganalisis
kedudukannya. Selain itu, dapat membantu murid- murid bertutur dengan lancar, terang dan
mudah difahami oleh orang lain serta murid dapat menggunakan frasa dengan jelas dan
tepat.

Pengajaran tatabahasa ini sangat mencabar bagi seseorang guru bahasa. Gruu-
guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu tentang tatabahasa itu sendiri. Guru- guru tidak
boleh dengan sewenang- wenangnya mengajarkan tatabahasa kepada murid- murid tanpa
membuat sebarang rujukan berkaitan kandungan dalam tatabahasa itu sendiri. Ini
bersesuaian dengan zaman sekarang di mana murid- murid perlu menguasai tatabahasa
untuk diaplikasikan dalam menjawab soalan peperiksaan. Bagi mengatasi masalah ini,
antara langkah yang dimasukkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan (2012) adalah
mempertingkat kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui:

i.memperbanyak istilah Matematik, Sains dan Teknologi

ii. meningkatkan aktiviti sokongan bahasa seperti pertandingan/ kempen/ kursus

iii. meningkatkan bantuan dalam pembinaan kapasiti guru seperti munsyi bahasa/
kursus dan bengkel.

iii. Pengaruh Bahasa Slanga

Slanga wujud sebagai satu bentuk kekacauan bahasa. Kekacauan bahasa ini sebenarnya
berlaku tanpa disedari oleh penuturnya. Ismail Jusoh (2002) menyatakan bahawa bahasa
slanga dilahirkan oleh sesuatu kumpulan. Kumpulan ini mencipta istilah dan kata- kata yang
bermakna dan hanya difahami oleh kumpulan itu sahaja. Mereka menggunakan istilah-
istilah tersebut dalam berkomunikasi. Apabila wujudnya bahasa slanga secara tidak
langsung terbinalah pelbagai golongan mengikut identity mereka. Dalam menangani
masalah memartabatkan bahasa Melayu, golongan pelajar sepatutnya menunjukkan contoh
yang baik dalam berbahasa. Tetapi sejak akhir- akhir ini, banyak rungutan mengatakan
bahawa golongan pelajar universiti lebih suka menggunakan bahasa slanga dalam
pertuturan mereka tidak kira secara formal mahupun tidak formal. Bahasa Slanga adalah
satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh perbendaharaan kata yang baru digubal dan cepat
berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan muda seperti kumpulan rock dan
kawan melepak, atau pelajar universiti serta golongan profesional untuk menghindarkan
daripada diketahui oleh anggota komuniti bahasa yang lain. Bahasa Slanga ini cepat
merebak dan cepat pula hilang mengikut peredaran zaman. Antara contoh bahasa Slanga
yang menjadi ikutan seperti cun, buat dek, bengang, geng, melepak, buat pot dan banyak
lagi. Hal ini menyebabkan penguasaan bahasa Melayu semakin merosot. Jika keadaan ini
tidak dibendung nescaya proses untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan tercapai
kerana golongan muda inilah yang akan menjadi tunggak kepada pembangunan negara
pada masa hadapan.

iv. Kurang rujukan dalam bahasa Melayu.


Masalah yang dihadapi oleh golongan pelajar mahupun pendidik dewasa ini ialah kurangnya
buku ilmiah yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran
yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu. Kebanyakan buku- buku yang terdapat di
pasaran semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Keadaan ini sangat menyukarkan
terutamanya golongan pelajar. Para pelajar sukar membuat rujukan tentang sesuatu perkara
kerana tidak terdapat penterjemahan dari segi istilah. Buku- buku ilmiah ini didatangkan dari
luar negara untuk rujukan para pelajar. Dasar mempercayai budaya orang luar telah
menular di dalam diri masyarakat di negara Malaysia. Para penerbit buku seharusnya lebih
agresif untuk menerbitkan buku- buku ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa utamanya.

Abdullah Hassan (1987) mengatakan bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan
oleh pihak kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu ialah dengan melantik sebuah
badan berkanun seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka
merupakan satu badan berkanun yang berperanan penting dalam memartabatkan bahasa
Melayu. DBP berperanan untuk memupuk dan memperkaya bahasa kebangsaan,
memperluas bidang pengetahuan masyarakat terhadap penggunaan dan perkembangan
bahasa Melayu, menerbitkan, menggalakkan dan menyelaraskan penerbitan buku dan jenis
penerbitan lain yang berkaitan dengan kajian dan pembinaan bahasa Melayu, membakukan
sistem ejaan dan sebutan, mencipta istilah saintifik yang sesuai dengan bahasa
kebangsaan, menyusun dan menerbitkan kamus dalam bahasa kebangsaan. Dengan
adanya Dewan Bahasa dan Pustaka sedikit sebanyak dapat membantu pihak kerajaan
terutamanya Kementerian Pendidikan untuk memantapkan bahasa Melayu dalam bidang
pendidikan.

iv. Bahasa Melayu bahasa ilmu tinggi.

Dalam persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu di Universti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Bangi (2005), Wan Hashim Wan Teh menyatakan bahawa, perjuangan memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara telah tiba di kemuncaknya apabila bahasa
Melayu menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan sehingga ke universiti.
Menurut beliau, ia menunjukkan kesungguhan serta komitmen yang tinggi pihak kerajaan
untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Mohd Amin Arshad (2005),
menyatakan istilah bahasa Melayu tinggi itu memang mendukung pengertian sosial yang
tertentu yang dapat dibezakan dengan bahasa rendah. Bagi golongan budayawan, budaya
tinggi ditafsirkan sebagai budaya ilmu, pemikiran dan teknologi. Dengan kata lain, bahasa
Melayu tinggi adalah ragam bahasa yang digunakan sebagai pengantar ilmu, bahasa yang
digunakan dalam situasi rasmi, bahasa baku dan bahasa standard. Sehubungan dengan hal
ini, amat wajarlah bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat Melayu kini diiktiraf
sebagai bahasa ilmu tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa pembentuk
budaya. Pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai usaha ke arah memantapkan bahasa
Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem ejaan, sebutan, tatabahasa, peristilahan, kosa kata
dan laras bahasa. Pemantapan sistem bahasa sebagai persediaan menjadi bahasa yang
cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu, teknologi dan segala bidang
untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang kukuh, walaupun proses ini masih
berterusan dan masih perlukan pemantapan. Kemajuan pendidikan dalam bahasa Melayu
telah berlaku dengan pesatnya apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah
berbahasa pengantar Melayu dan terlaksananya Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di institusi- institusi pengajian tinggi (IPT).
Usaha memperkasa bahasa Melayu di IPT adalah menggunakannya dalam situasi- situasi
rasmi dan memupuk semangat cintakannya.
KESIMPULAN

Bahasa ibunda merupakan bahasa pertama yang dipelajari oleh manusia ketika mula
mengenal dunia. Bagi warganegara Malaysia, bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa
utama yang menjadi lambang dan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Penggunana bahasa
Melayu dalam pendidikan seharusnya diberi perhatian yang serius, bukan sahaja oleh
kerajaan dan pihak sekolah serta pihak institusi pengajian tinggi, sebaliknya seluruh warga
Malaysia seharusnya memberikan kerjasama yang serius dalam menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa pendidikan di negara ini. Ikrar yang sering dilafazkan dalam Rukun Negara
yang menyatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia semua warganegara telah berikrar untuk
mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya serta berikrar
menumpukan seluruh tenaga dan usaha dalam mencapai cita- cita berdasarkan prinsip
keluhuran perlembagaan perlulah dipraktikkan dalam bentuk amalan yang jujur dan ikhlas
sebagai warganegara Malaysia.

Sejajar dengan hal ini, generasi muda terutama pelajar sekolah harus dipupuk jati
dirinya terhadap bahasa kebangsaan sejak di bangku sekolah. Usahlah dibebankan mereka
dengan bahasa yang lain untuk mempelajari ilmu pengetahuan moden. Kuasailah bahasa
Melayu terlebih dahulu kemudian barulah kuasai bahasa kedua. Dengan cara ini, Malaysia
akan melahirkan rakyat yang dwibahasa menjelang tahun 2020. Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan harus sentiasa dipelihara. Dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu kita harus lebih dahulu memupuk jati diri dalam kalangan masyarakat
terutama golongan yang tiada jati diri terhadap bahasa, yang terlalu kuat sentimennya
terhadap bahasa Melayu dan golongan yang kurang kepercayaan dan keyakinan diri
terhadap bahasa Melayu. Bahasa menunjukkan bangsa dan maju bahasa majulah bangsa.
Rujukan

Abdullah Musa. 2004. Sikap dan motivasi pelajar dusun terhadap pembelajaran bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kertas Projek Sarjana
Pendidikan. Fakulti Pendidikan: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asmah Haji Omar, 2008. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Awang Sariyan, 2006. Bahasa Melayu dalam Mendepani Era Globalisasi: Upaya Dari Sudut
Pengayaan Khazanah Ilmu, Dalam Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Carole Benson, 2004.The importance of mother tongue- based schooling for educational
quality in Paper commissioned for the EFA Global Monitoring Report 2005, The
Quality Imperative, UNESCO.

Chew Fong Peng. 2016. Malasah pembelajaran Bahasa Melauu dalam kalangan murid Cina
Sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 6 (2): 10-22

Ilangko Subramaniam, Noorulafiza Abdul Muthalib & Siti Nor Hamahida Zainal. 2013.
Penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran Bahasa Melayu dalam
murid peribumi di sekoalh pedalaman Sarawak. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu. 4 (1): 65- 74.

Ismail Jusoh, 2000. Bahasa dan Masyarakat. Dalam Monograf Bahasa, Sastera dan Budaya
Melayu, Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Jerie anak Peter Langan & Zamri Mahamod. 2011. Sikap dan motivasi murid Iban dalam
mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, 1 (1): 13- 25.

Kamiliah Ayu Ab. Ghani & Zamri Mahamod. 2015. Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu
dalam Kalangan Pelajar Bukan Melayu. Prosiding Seminar Pascasiswazah
Pendidikan Bahasa Melayu & Kesusasteraan Melayu. Fakulti Pendidikan:
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Krashen, S. 1994. The input hypothesis and its rival. In. N. Ellis (Eds). Implicit and explicit
learning of languages. London: Academic Press.

Magdeline anak Nor & Zamri Mahamod. 2016. Pengetahuan pedagogi kandungan guru.
Bahasa Iban. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Mohammed Azlan Mis. 2010. Lingua franca di Sarawak. Aplikasi teori pilihan bahasa.
GEMA Online Journal of Language Studies, 10 (2): 97-116.
Nor Hashimah Jalaluddin, 2003. Penerimaan Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris
Di Kalangan Pelajar Dan Guru, Projek Penyelidikan II/10/2003 Persatuan
Linguistik Malaysia/ ATMA, Bangi, UKM.

Roslind Mawing. 2003. Hubungan antara gaya pengajaran guru dengan sikap pelajar
terhadap bahasa Melayu. Tesis Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan: Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Syofia Ulfah, Zamri Mahamod & Jamaludin Badusah. 2015. Komunikasi interpersonal: Teori
dan amali. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zamri Mahamod & Zarina Othman. 2011. Sikap pelajar Cina terhadap pembelajaran
Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Dewan Bahasa, Februari: 40- 43.

Anda mungkin juga menyukai